Anda di halaman 1dari 4

NAMA GURU SEKOLAH

: MAIZATUL AZLIAH BINTI RUSLI. : SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTAN ABDUL SAMAD, PETALING UTAMA.

TAJUK

: GURU PEMANGKIN TRANSFORMASI. ANTARA HARAPAN DAN CABARAN.

Guru, Cikgu, Sifu, Sensei, membawa maksud yang sama walau apa bahasa digunakan kerana ia membawa maksud seorang pendidik. Tugas dan tanggungjawab seorang pendidik amat berat. Ia bukanlah sekadar populariti yang dilaung-laung oleh sesetengah pihak mengenai tugas dan profesion seorang pendidik. Mereka bertanggungjawab mendidik , memberi tunjuk ajar serta mendisiplinkan pelajar atau anak didik mereka agar mereka menjadi insan yang berwawasan serta mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara kelak. Sejak dari dulu lagi walau apa pun panggilan yang diberi, cabaran dan halangan sentiasa ada. Jika sebelum merdeka halangan yang harus diatasi ialah menanamkan sifat cinta kepada bangsa dan perpaduan, kini tugas seorang guru lebih berat bagi mendidik anak bangsa agar menjadi rakyat yang bermatlamat juang demi negara tercinta serta meneruskan usaha menanam sifat cintakan keamanan serta perpaduan yang dari dahulu lagi menjadi teras pembangunan negara. Kelestarian modal insan negara bergantung kepada para guru agar dapat membentuk generasi akan datang menjadi generasi yang berhemah tinggi dalam merealisasikan impian negara menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan Wawasan 2020 serta program transformasi ekonomi yang dilancarkan. Selaras dengan transformasi pendidikan oleh kerajaan bagi menjadikan sistem pendidikan negara lebih berdaya saing dan lebih mapan, cabaran dan halangan para guru semakin hebat dan bertambah dalam memastikan transformasi pendidikan yang dicanang dapat direalisasikan dengan jayanya. Selaras dengan peredaran masa, cabaran dan halangan dalam mentransformasikan pendidikan semakin rumit dan mencabar kreativiti serta kewibawaan para guru. Slogan MBMMBI yang diutarakan juga merupakan cabaran buat para guru dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan menerapkan nilai cintakan bahasa kebangsaan dalam diri para pelajar. Serentak itu juga kemahiran berbahasa asing seperti Inggeris perlu diperkasa seperti slogan MBMMBI itu sendiri yang bermakna Memartabatkan bahasa Melayu, Memperkasa bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris itu sendiri merupakan bahasa dunia dimana ia diguna secara meluas. Kegagalan menguasai bahasa asing tersebut menjadikan pelajar ketinggalan dalam arus pembangunan serta pembelajaran. Peredaran arus zaman kepada dunia tanpa sempadan juga memberi cabaran baru buat para guru. Kehadiran berbagai laman sosial membawa pelbagai implikasi kepada rakyat negara ini.
1

Disinilah cabaran yang baru hadir buat sang pendidik. Mereka harus seiring dengan kecanggihan teknologi agar tidak digelar ketinggalan zaman malah mungkin diperlekehkan oleh para murid. Laman sosial digunakan sebaik mungkin sebagai salah satu medium bagi merapatkan jurang antara murid dan guru. Para guru harus bijak berinteraksi dengan para pelajar menggunakan pelbagai kemudahan yang ada termasuk menggunakan laman sosial bagi merapatkan jurang antara guru dan pelajar. Kewujudan jurang ini boleh merencatkan proses pembelajaran. Laman sosial juga membawa pelbagai pengaruh negatif dan secara tidak langsung , beban untuk mengajar murid menggunakan laman sosial dengan berhemah jatuh ke atas bahu para guru. Walaubagaimanapun, cabaran paling besar buat para guru tidak lain tidak bukan adalah memastikan para murid dapat memahami apa yang disampaikan dalam pembelajaran sehari hari. Walaupun RPH iaitu Rancangan Pembelajaran Harian merupakan cara bagi guru menguruskan sub sektor pembelajaran, namun yang menjadi masalah adalah mengekalkan minat dan fokus pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar. Ini kerana setiap pelajar mempunyai pandangan tersendiri mengenai subjek yang diminati sehinggalah paling kurang diminati. Di sinilah cabaran yang paling besar buat seorang guru dalam menguji keberkesanan pengajaran. Sebagai seorang pendidik, guru haruslah memanfaatkan segala kecanggihan teknologi dan mempraktikkan teknik teknik pengajaran yang berkesan yang dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Guru seharusnya menjadikan subjek yang diajar lebih mudah difahami oleh murid. Guru juga harus bijak dalam menangani masalah berkaitan pelajar kerana setiap pelajar mempunyai ragam yang berbeza. Ada pelajar yang sengaja mencabar kesabaran guru terutama pelajar yang sentiasa menimbulkan masalah disiplin. Kegagalan menangani emosi semasa berurusan dengan pelajar sebegini akan membuatkan guru terjebak dalam perangkap emosi serta tidak dapat menyelesaikan masalah pelajar yang seharusnya ditangani secara bijak. Para guru harus melihat dari pelbagai aspek seperti psikologi pelajar terbabit. Adakalanya pelajar bersikap seperti ini hanya untuk menuntut perhatian yang kadang kala tidak dimiliki ketika di rumah. Ini mendatangkan cabaran dimana para guru bukan sahaja harus bertindak sebagai seorang guru yang mendisiplinkan pelajar malah harus mempunyai sifat keibubapaan dalam menyelesaikan masalah berkaitan pelajar. Kerana itu ditegaskan bahawa guru bukan sahaja mengajar, malah mendidik. Semenjak negara mencapai kemerdekaan , para guru sentiasa dicabar dalam pelbagai aspek. Perhubungan sesuatu kawasan antara kawasan yang lain masih menjadi masalah besar yang dihadapi oleh para guru dalam menjalankan tugas. Darjah ketersampaian yang rendah di kawasan pedalaman menyukarkan penduduk di kawasan tersebut mendapat pendidikan lantas menyebabkan mereka terpinggir dari arus pemodenan negara. Usaha telah dilakukan dengan menghantar guru ke kawasan terbabit namun perkembangan amat perlahan. Di bawah program transformasi pendidikan, usaha ini diperhebat dan diperkukuh dengan lebih ramai guru di hantar ke kawasan terlibat sekaligus memberi cabaran baru buat para guru yang tidak pernah berkhidmat di kawasan pedalaman. Seperti sesetengah kawasan di Sabah dan Sarawak yang memerlukan perhubungan dilakukan melalui jalan darat dan air sehingga memakan masa berhari hari menyukarkan proses pembelajaran dilakukan. Ini kerana di kawasan pedalaman bahan bantuan mengajar sangat terhad
2

dan para guru harus menangani masalah ini dengan menjadi lebih kreatif serta mewujudkan bahan bantuan mengajar dengan sumber yang terhad. Kegigihan para guru ini meredah hutan, menongkah arus sungai hanya untuk sampai ke perkampungan yang dahagakan pendidikan harus dipuji. Penggunaan bahasa tempatan atau dialek daerah juga turut memberikan cabaran baru bagi guru guru yang bertugas di pedalaman. Para pelajar di kawasan terbabit kurang didedahkan dengan penggunaan bahasa kebangsaan dan tahap pemahaman yang rendah menyukarkan proses pembelajaran dilakukan. Para guru perlu memahami dialek tempatan dengan cepat bagi memudahkan interaksi antara guru dengan pelajar serta masyarakat setempat. Sesungguhnya profesion perguruan menuntut pengorbanan yang amat tinggi. Kadang kala pepatah Melayu lama iaitu Kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan boleh juga di aplikasi kepada para guru. Ini kerana para guru lebih banyak menghabiskan masa bersama para murid di sekolah daripada keluarga di rumah. Para guru perlu membahagikan masa dengan bijak antara tugas di sekolah dan di rumah kerana selain menjadi guru di sekolah, mereka perlu menjadi suami , isteri , ibu dan bapa di rumah. Guru juga harus menjadi role model atau idola serta harus mengekalkan imej yang bersih kerana guru yang mempunyai imej kurang bersih akan meninggalkan impak negatif kepada para pelajar. Guru yang mempunyai imej bersih akan membawa kepada pembentukan wadah pemikiran cemerlang para pelajar. Peranan guru bukan sahaja sebagai seorang pendidik di sekolah namun mereka juga harus pintar memainkan peranan sahabat, orang dipercayai ataupun penasihat kepada pelajar. Keakraban hubungan antara pelajar dan guru membolehkan pelajar berpaling kepada mereka bagi mendapatkan nasihat sekaligus menepis unsur tidak sihat yang mungkin mempengaruhi minda para pelajar. Unsur unsur ini selalu datang dalam pelbagai bentuk kepada para pelajar sama ada pengaruh rakan sebaya, media massa dan yang paling besar impak pada masa kini kewujudan laman sosial yang terlalu banyak jumlahnya. Sebagai seorang guru yang menjadi pemangkin transformasi pendidikan, para guru juga harus bijak dalam penampilan kerana ia dinilai oleh para pelajar. Guru yang bijak dalam penampilan biasanya digemari oleh para pelajar kerana penampilan yang menarik serta menjadikan perwatakan seseorang itu lebih mesra. Akan tetapi harus diingat bahawa wujudnya garis halus di dalam berpenampilan bijak dan keterlaluan. Para guru haruslah sentiasa ingat bahawa sekolah bukanlah medan memperagakan fesyen ataupun pentas bersaing sesama mereka. Ini kerana penampilan para guru sedikit sebanyak mempengaruhi cara pelajar memperagakan diri. Sekiranya guru keterlaluan maka tidak mustahil para pelajar akan melakukan perkara yang sama. Sekiranya dikenakan tindakan disiplin maka pelajar tersebut akan memberontak menekankan hak kesaksamaan dan kesama rataan antara pelajar dan guru. Nah maka disinilah selalunya para guru akan memberikan alasan bahawa sebagai seorang pelajar mereka wajib mematuhi arahan sekolah. Sekiranya ini berlaku, maka ia merupakan kesalahan besar yang tidak disedari oleh para guru. Harus diingat para guru juga termaktub dan wajib untuk mematuhi peraturan sekolah. Menjadi seorang guru tidak bermakna anda boleh melangkaui atau mengatasi peraturan yang telah
3

ditetapkan. Untuk mengekalkan perbezaan antara penampilan bijak dan keterlaluan haruslah disedari oleh para guru. Melakukan transformasi dalam bidang pendidikan serta mencapai sasaran objektif NKRA dalam bidang pendidikan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bukan perkara yang mudah. Terlebih dahulu ia menuntut transformasi para guru itu sendiri sebelum berjaya menntransformasikan sistem pendidikan. Para guru haruslah mempunyai kesiap siagaan serta fokus dan pemahaman tinggi. Sekiranya mereka gagal memahami objektif yang ingin disampaikan maka ia juga turut tidak berjaya disampaikan pada para pelajar. Seperti yang berlaku dalam subjek Sains dan Matematik beberapa tahun sudah. Perubahan bahasa pengantar subjek berkenaan memberi impak besar terhadap keputusan yang diperolehi para pelajar. Jelas perkara ini menunjukkan para guru gagal dalam menguasai dan memahami penggunaan bahasa pengantar yang baru. Ini dengan jelas dijelmakan dalam keputusan para pelajar yang jauh merosot akibat mereka juga tidak memahami pengajaran para guru. Inilah yang berlaku sekiranya para guru sendiri tidak memahami apa yang ingin disampaikan kepada pelajar. Ia menjadi cabaran kepada guru yang terlibat untuk memahami dan membiasakan diri dengan bahasa pengantar baru setelah bertahun menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Perubahan ini jelas mencabar kefahaman para guru terutama guru yang sedikit berusia. Walaupun sukar namun cabaran ini akhirya berjaya diatasi berkat kegigihan para guru mencari penyelesaian dalam menyediakan medium bantuan mengajar bagi memudahkan penyampaian dan pemahaman pelajar dalam dua subjek berkenaan. Hasil kaedah kaedah kreatif ini menunjukkan respon positif apabila keputusan pelajar semakin meningkat dari semasa ke semasa. Profesion perguruan bukanlah bidang yang glamor malah memerlukan seseorang itu memberi fokus sepenuhnya terhadap tugas tugas yang harus dilaksanakan. Guru juga merupakan pemangkin perubahan arus pembangunan negara kerana tidak akan wujud seorang pemimpin atau insan cemerlang dan berwibawa tanpa seorang insan bergelar guru atau cikgu. Tanpa guru, transformasi pendidikan negara tidak akan membawa sebarang makna kerana guru itu sendirilah yang memacu arus transformasi tersebut. Maka bolehlah diibaratkan guru itu seperti lilin yang membakar diri demi menerangi kegelapan. Guru berkorban demi masa depan pelajar dan juga negara.

Anda mungkin juga menyukai