Anda di halaman 1dari 4

Soalan Tutorial bagi Tajuk 1 (EDUP2082 PSIKOLOGI PENDIDIKAN)

Nama : Caro Ranchak Anak Gani, Jamal Bin Bidin, Dorina Bullet Anak Nading

Soalan : Nyatakan satu implikasi Psikologi Pendidikan Kepada Guru. Huraikan


dengan contoh.

Psikologi secara umumnya ditakrifkan sebagai sebuah bidang ilmu yang menjalankan
kajian saintifik tentang cara minda manusia berfungsi dan ia dibuat secara sistematik.
Davidoff (1976) menyatakan bahawa psikologi merupakan kajian saintifik tentang tingkah
laku manusia atau haiwan secara nyata atau selindung. Kajian secara nyata merujuk
kepada kajian tentang tingkah laku yang boleh dinilai, diperhati dan diukur. Manakala
kajian selindung merupakan kajian tentang keperluan emosi, naluri, motivasi, kecerdasan
dan sebagainya.

Pendidikan pula ditakrifkan sebagai satu proses pembelajaran dan pengajaran yang
bertujuan untuk memberi dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Pendidikan boleh diterima
secara formal atau tidak formal dalam kehidupan seseorang individu. Justeru, psikologi
pendidikan pula menurut Slavin (1991) didefinisikan sebagai kajian terhadap tingkah laku
murid - murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini juga turut meneliti
tentang bagaimana proses kemahiran, nilai dan sikap disalurkan oleh guru kepada murid
dalam bilik darjah. Oleh itu, disiplin ilmu psikologi pendidikan telah memberikan implikasi
yang berikut kepada guru di sekolah.

Antara implikasi psikologi pendidikan terhadap guru ialah membolehkan guru


memahami tingkah laku pelajar dengan lebih baik. Tingkah laku pelajar boleh dilihat
melalui kaedah pemerhatian terhadap pelajar di dalam bilik darjah (Slavin, 1991).
Malahan guru juga boleh melakukan kajian tindakan untuk meneliti dan mengkaji dengan
lebih mendalam berkaitan dengan tingkah laku pelajar. Dengan itu, guru akan dapat
merancang dan melaksanakan tindakan-tindakan profesional yang sewajarnya untuk
mengubah tingkah laku pelajar yang negatif dan tidak diingini. Jutseru tidak dapat
dinafikan bahawa psikolgi pendidikan ini memainkan peranan yang sangat penting
kepada guru sebagai asas pemahaman kepada proses pengajaran dan pembelajaran
(Slavin, 1991). Selain itu, ia juga sebagai panduan dan strategi untuk menyelami dan
menghayati tingkah laku pelajar agar guru dapat memilih atau menentukan kaedah
pengajaran yang paling sesuai serta berkesan untuk dilaksanakan. Tanpa pengetahuan
psikologi pendidikan, guru akan mengalami kesukaran dan masalah besar untuk
memahami kelakuan pelajar mereka (Mok Soon Sang, 2006). Sebagai contoh, tingkah
laku pelajar yang tidak baik seperti hiperaktif, kelakuan nakal, bising, bergerak sesuka
hati, agresif secara lisan dan fizikal, ketawa kuat dan sebagainya (Ee Ah Meng, 2002).
Tindakan sebegini sememangnya akan menggangu proses pembelajaran dan pengajaran
serta secara langsung akan menyebabkan objektif pembelajaran guru sukar dicapai
sepenuhnya. Oleh itu, psikologi pendidikan ini adalah harus difahami dan diteliti oleh guru
dalam usaha negara kita untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani seperti mana yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.

Implikasi kedua psikologi pendidikan kepada guru pula kajian ini membolehkan guru
untuk menangani tingkah laku murid yang berbeza - beza dalam bilik darjah semasa
proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Umum mengetahui bahawa mulai tahun
2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan satu arahan untuk
memansuhkan sistem pengasingan kelas di setiap sekolah. Ini bermaksud, murid yang
diletakkan dalam sesebuah bilik darjah terdiri daripada murid yang dikategorikan
mempunyai pemikiran aras rendah dan tinggi. Senario ini secara tidak langsung
menjadikan murid dalam sesebuah kelas mempunyai tingkah laku dan sikap yang
berbeza terhadap pelajaran. Bagi pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku seperti
suka berbuat bising, tidur dan mengganggu rakan di dalam bilik darjah bukan sahaja
memberikan cabaran kepada para guru malah memberikan kesan yang tidak baik
terhadap kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Justeru, psikologi pendidikan
ini secara tidak langsung mampu untuk memberikan pendedahan kepada para guru agar
mampu mengenal pasti murid yang bermasalah di dalam bilik darjah sekaligus
menggunakan teknik - teknik tertentu dalam menangani masalah tingkah laku berkenaan
bagi memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan
berkesan.

Implikasi Psikologi Pendidikan kepada guru yang seterusnya ialah membolehkan


guru merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan potensi dan
kebolehan murid. Untuk menentukan status potensi dan kebolehan, guru boleh
melakukan pemerhatian sebagai proses awal pengesanan terhadap tingkah laku murid.
Potensi dan kebolehan murid dapat dikaitkan dengan kecerdasan interpersonal dimana ia
mempunyai kecerdasan interaksi sosial, kepandaian memimpin dan komunikasi
berkesan. Guru dapat mengaplikasikan cara untuk memperkembangkan kemahiran
komunikasi murid melalui aktiviti berkumpulan seperti aktiviti perbincangan dalam
kumpulan. Apabila berbicara mengenai aktiviti kumpulan, sudah pasti murid yang berada
di dalam kumpulan perlulah menjana idea bagi membincangkan tugasan yang telah
diarahkan untuk kumpulan. Dari sini, guru akan dapat membuat pemerhatian terhadap
tingkah laku murid samada aktif atau pasif. Sekiranya guru sudah membuat pemerhatian
dan mengenalpasti status potensi dan kebolehan murid tersebut, maka guru perlulah
membantu urus kecerdesan interpersonal. Antara elemen cara yang boleh digunakan
yang pertama ialah, melalui komunikasi. Komunikasi merupakan kebolehan menyatakan
perasaan tanpa perasaan marah serta dapat meningkatkan perhubungan yang berkualiti.
Ia dapat membantu murid yang pasif untuk mencuba peluang supaya boleh menjadi
murid yang aktif. Sebagai contoh, murid pasif ini diberikan peluang untuk mengutarakan
idea sekiranya kumpulan mereka sedang melakukan perbincangan tugasan yang telah
diberikan oleh guru. Yang kedua pula ialah guru perlu menerapkan nilai Kerjasama dalam
diri murid. Nilai Kerjasama merujuk kepada kebolehan memimpin dan dipimpin.
Kepimpinan berkesan dibina bukan atas dasar dominasi tetapi saling bantu membantu
antara satu sama lain bagi mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh, perbincangan
dalam kumpulan memerlukan murid memilih ketua untuk memimpin dan mempunyai
rakan yang dipimpin dapat memberikan kepercayaan kepada ketua mereka. Mereka perlu
bersepakat dalam membuat keputusan supaya mereka dapat mencapai matlamat. Yang
ketiga pula ialah, guru juga perlu membantu murid menyelesaikan masalah yang mana
penyelesaian masalah ini memerlukan kefahaman diri seseorang itu tentang bagaimana
sesuatu mekanisme itu berfungsi dan bukan atas perasaan emosi. Sebagai contoh, guru
memberikan tugasan untuk menjawab soalan kuiz sejarah dan murid perlulah berfikir
teknik yang sesuai untuk menjawab soalan kuiz. Bagi memperoleh jawapan yang tepat,
murid perlulah menguasai teknik mengenal kata kunci bagi mencari kehendak soalan kuiz
yang telah diberikan. Maka, mudahlah bagi seseorang murid itu untuk menyelesaikan
masalah. Oleh itu, implikasi psikologi Pendidikan menjadikan guru lebih sensitif terhadap
keperluan murid dan dapat mengajar muridnya untuk mengenali gaya pembelajaran yang
sesuai.

Tuntasnya, psikologi pendidikan amat penting untuk dikuasi oleh guru bagi tujuan
menguasai kemahiran memahami tingkah laku murid di dalam bilik darjah. Psikologi
pendidikan sekaligus akan membolehkan warga pendidik melakukan anjakan paradigma
dalam sistem pendidikan negara di samping mampu mewujudkan taraf pendidikan yang
dapat berdaya saing sehingga ke peringkat global.

Sumber Rujukan :
Mohd Khairuddin Abdullah, Khalid Hj Jihari, Ag Yusof Ag Chuchu & Halimah Laji. T.d.
“Komunikasi Guru Dalam Bilik Darjah Dan Tingkah Laku Delinkuen Murid Sekolah
Menengah”, Jurnal Pemikir Pendidikan (Journal for Educational Thinkers) Vol. 5, ms 59-
77, ISSN 1985-3637.

Slavin, (1991). Psikologi dan Psikologi Pendidikan dalam


<https://www.academia.edu/7699920/7_Tajuk_1_Psikologi_dan_Psikologi_Pendidika>
diakses pada 04.09.2020.

Mok Soon Sang, (2006). Modul Pembelajaran Psikologi Pendidikan dalam


<https://www.academia.edu/7699920/7_Tajuk_1_Psikologi_dan_Psikologi_Pendidikan>
diakses pada 04.09.2020.

Ee Ah Meng, (2002). Pengurusan Tingkah Laku Bermasalah Dalam Bilik Darjah dalam
<http://ipgkpt.edu.my/kdc%20interim/sem2%202017/MODUL/konten%20edup2034.pdf>
diakses pada 04.09.2020

Anda mungkin juga menyukai