Anda di halaman 1dari 10

PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM

DALAM PEMBINAAN MODAL INSAN

PENDAHULUAN:
Membina modal insan adalah teras strategik kedua dalam Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dilancarkan oleh YAB Perdana
Menteri pada 2006. Teras strategik ini memberi penekanan akan pentingnya
pembentukan modal insan sebagai tonggak dalam pembinaan sebuah negara
maju menjelang 2020.

KEPENTINGAN MEMBINA MODAL INSAN:


Aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal
insan inilah yang merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya,
ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya. Pembangunan
modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti
negara.
Kertas ini akan memfokuskan perbincangan tentang pembentukan
modal insan dari perspektif pembinaan peribadi muslim.
Allah S.W.T mengajar kita melalui al Quran betapa penting wujudnya insan-
insan yang mempunyai kekuatan individu yang mantap. Allah S.W.T
menggunakan ungkapan 'rijal' terhadap peribadi-peribadi yang mempunyai
kekuatan dan ketahanan diri dalam menghadapi pelbagai dugaan dan
cabaran. Firman Allah:

        


         
 
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati
apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka
ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-
nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya),

Rasulullah s.a.w juga menekankan pembinaan individu-individu yang


mempunyai keperibadian yang hebat. Antara medan yang digunakan oleh

72
Rasulullah s.a.w dalam pembinaan rijal ialah rumah al Arqam bin Abi al
Arqam.

Al Imam Hassan al Banna pengasas Gerakan Ikhwan al Muslimin telah


menyatakan betapa pentingnya pembinaan individu muslim dalam usaha
pembinaan keluarga dan seterusnya membina masyarakat, ummah dan
negara. Beliau telah menggariskan 10 ciri yang perlu ada pada setiap individu
muslim.

CIRI-CIRI PERIBADI MUSLIM:


1. Akidah dan sejahtera
Akidah yang sejahtera bermaksud seseorang individu itu bebas daripada
sebarang unsur syirik, khurafat, tahyul atau apa sahaja perkara yang
bertentangan dengan akidah Islam. Akidah yang sejahtera dan mantap
ini menjadi benteng kepada individu tersebut daripada melakukan perkara
yang bertentangan dengan syariat Islam. Keyakinan yang mantap
bahawa setiap amalan sentiasa dalam pemerhatian Allah S.W.T dan
amalan tersebut pasti akan dihisab dan diberi balasan, akan mendorong
individu tersebut melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

2. Ibadah yang sah


Peribadi muslim yang baik sentiasa berusaha untuk memastikan ibadah
yang dilakukan adalah ibadah yang sah dan diterima oleh Allah S.W.T.
Para ulamak menggaris dua syarat utama agar sesuatu amalan diterima
oleh Allah. Syarat tersebut ialah:
a. Niat yang ikhlas
b. Bertepatan dengan syariat Islam
Ibadah yang sah dan diterima Allah S.W.T akan menjadikan individu
tersebut seorang insan yang baik. Ibadah yang dilakukan akan mencapai
matlamat sebagaimana yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Contohnya,
solat yang sah dan diterima oleh Allah S.W.T akan melahirkan insan yang
tidak melakukan perkara keji dan mungkar sebagaimana firman Allah
S.W.T yang bermaksud:

73
"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara yang keji dan
mungkar"
Begitu juga puasa yang sah dan diterima akan melahir seorang individu
yang bertaqwa.

3. Akhlak yang mantap


Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia bermaksud tingkah laku yang baik yang melibat
hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungan sesama makhluk. Antara
akhlak utama yang sepatutnya menghiasi seorang peribadi ialah:
a. Bercakap benar
b. Jujur dan menepati janji
c. Berani menuntut kebenaran mengakui kesalahan
d. Bersopan, tekun dan bergurau secara berpada
e. Malu, peka dan merendah diri
f. Mengutamakan khidmat kepada masyarakat.

4. Ilmu yang luas


Islam amat menitik berat tentang ilmu pengetahuan. Seorang individu
muslim seharusnya menguasai ilmu asas syariah seperti akidah, ibadah
dan akhlak. Di samping itu individu muslim hendaklah mempunyai
pengetahuan yang luas tentang ilmu semasa yang merangkumi bidang
politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

5. Bermanfaat kepada orang lain


Modal insan yang hendak dibina adalah individu baik. Individu itu bukan
sekadar boleh memelihara diri daripada melakukan perkara yang tidak
baik malah dia mampu untuk memberikan manfaat kepada orang lain.
Kehadiran individu tersebut dalam sesuatu masyarakat amat dirasai dan
kehilangan mereka adalah satu kehilangan kepada masyarakat. Dia
hendaklah melaksanakan hak-hak sesama manusia seperti berkasih
sayang, hormat menghormati, bantu membantu dan mengutamakan
orang lain

74
6. Kehidupan yang teratur
Individu yang baik akan mengatur kehidupan dengan sebaiknya.
Kehidupannya tidak kelam kabut. Segala urusan diatur denga baik dan
tersusun. Syariat Islam sendiri membentuk manusia menjadi seorang
yang mempunyai kehidupan yang teratur. Pensyariatan solat, puasa, haji
amat rapat dengan pengurusan masa seseorang individu. Kehidupan
yang teratur ini merangkumi kehidupan di rumah, sekolah, tempat kerja
dan sebagainya.

7. Menjaga masa
Seorang individu yang baik perlu mengurus masa dengan sebaik
mungkin. Dia sepatutnya menggunakan masa untuk perkara yang
membawa kebaikan. Dia juga seharusnya memahami konsep keutamaan
(aulawiyat) agar tidak membuang masa menguruskan perkara yang tidak
penting.

8. Kuat tubuh badan


Islam amat mengambil berat tentang masalah kesihatan dan kekuatan
tubuh badan. Rasulullah s.a.w ada bersabda seorang mukmin yang kuat
lebih dikasihi oleh Allah S.W.T daripada seorang mukmin yang lemah.
Bagi memiliki tubuh badan yang kuat dan sihat seseorang individu
hendaklah menjaga pemakanannya dan mempunyai aktiviti fizikal secara
kerap dan teratur. Dia perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dari
semasa ke semasa. Dia hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan
menjauhkan diri sama sekali daripada rokok, arak, dadah dan senua
perkara yang haram lagi merosakkan kesihatan.

9. Mampu berdikari
Untuk menjadikan umat Islam umat yang kuat. Setiap individu muslim
perlu menjadi seorang yang mampu berdiri di atas kaki sendiri. Seorang
itu tidak dianggap baik dan kuat sekiranya dia hanya bergantung kepada
orang lain. Seorang individu muslim perlu mempunyai pekerjaan tetap
dan mendapat pendapatan yang halal.

75
10. Bermujahadah.
Individu yang baik ialah individu yang sentiasa berusaha memperbaiki
dirinya. Dia sentiasa bermujahadah melawan hawa nafsunya daripada
melakukan perkara-perkara yang di larang Allah. Dia juga hendaklah
sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan
memperbanyakkan amalan-amalan sunat di samping tidak meninggalkan
ibadah-ibadah wajib. Kesan daripada mujahadah ini akan melahirkan
seorang individu yang mempunyai keperibadian yang kuat dan mampu
menghadapi apa jua cabaran yang menghalangnya.

FAKTOR PEMBENTUKAN PERIBADI:

Ustaz Sa'id Hawa menggariskan dalam kitabnya Afak Risalah Ta'lim bahawa
seseorang individu akan terbentuk hasil daripada tiga faktor iaitu manhaj atau
method yang digunakan, persekitaran yang baik dan pendidik yang baik.

1. Manhaj (Method)
a. Kurikulum di sekolah
Kurikulum Kebangsaan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah boleh
dimanfaatkan untuk membina keperibadian muslim. Mata pelajaran-
mata pelajaran yang dipelajari di sekolah boleh membekalkan murid-
murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang banyak. Guru
Pendidikan Islam hendaklah membimbing murid-murid agar
mengaitkan apa sahaja yang dipelajari dalam mata pelajaran lain
dengan apa yang dipelajari dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.
Ilmu-lmu tersebut hendaklah dilihat secara menyeluruh dan
mempunyai kaitan antara satu sama lain.

b. Majlis ilmu di masjid/surau


Guru-guru Pendidikan Islam juga perlu merancang dan
melaksanakan program tarbiah dan pengisian ilmu di masjid atau
surau sekolah. Majlis-majlis ilmu hendaklah disusun dengan baik.
Bidang-bidang ilmu yang diajar disurau sekolah perlulah merangkumi
bidang-bidang yang sepatutnya dipelajari oleh murid. Suasana

76
pembelajaran di surau yang berlainan dengan suasana pembelajaran
di sekolah boleh memberikan kesan yang berbeza daripada apa yang
dipelajari di sekolah. Murid akan lebih mudah disentuh hatinya dalam
majlis ilmu yang diadakan di tempat solat, berpakaian dengan
pakaian solat yang bersih dan berada dalam keadaan berwuduk.
Surau juga perlu dimanfaatkan untuk membina kekuatan rohani
pelajar. Aktiviti yang boleh meningkatkan kekuatan roh perlu
dirancang dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Antara
program yang boleh dilaksanakan ialah qiamullail, tadarus al-Quran,
bacaan al-Makthurat dan sebagainya.

c. Ko kurikulum
Kegiatan ko kurikulum juga boleh dimanfaatkan dalam proses
pembinaan peribadi muslim. Banyak ciri-ciri peribadi muslim yang
digariskan di atas boleh digarap dan dipupuk dalam aktiviti ko
kurikulum. Antara ciri yang boleh dipupuk ialah bermanfaat kepada
orang lain, kehidupan yang teratur, menjaga masa, kuat tubuh badan
dan mampu berdikari. Guru Pendidikan Islam perlu mengambil
kesempatan semasa membimbing pelajar dalam aktiviti ko kurikulum
dengan mengaitkan apa sahaja aktiviti yang disertai oleh pelajar
dengan usaha pembinaan peribadi muslim yang sempurna. Guru
Pendidikan Islam juga perlu memastikan aktiviti ko kurikulum yang
dilaksanakan tidak melanggar syariat Islam dan tidak bertentangan
dengan adab-adab Islam. Antara aktiviti yang boleh dianjurkan oleh
oleh persatuan-persatuan atau badan-badan ko kurikulum ialah
usrah, mukhaiyam, rehlah dan sebagainya.

2. Persekitaran yang baik


a. Rumah
Rumah adalah tempat yang terpenting bagi seseorang individu.
Peribadi seorang kanak-kanak yang sedang membesar banyak
dipengaruhi oleh suasana di rumahnya. Rumah yang dipenuhi
dengan suasana pengabdian diri kepada Allah S.W.T, kasih sayang
sesama anggotanya akan melahirkan seorang individu yang baik.

77
Begitulah sebaliknya sekiranya rumah dipenuhi dengan perkara
maksiat dan permusuhan sesama anggotanya, individu yang lahir
daripada keluarga itu adalah orang yang jauh daripada Allah S.W.T
dan akan menimbulkan masalah kepada masyarakat. Oleh itu ibu
bapa perlu berusaha mewujudkan persekitaran yang baik di rumah.
Antara perkara yang boleh dibuat bagi mewujudkan biah solehah di
rumah ialah:
i. Ahli keluarga lelaki hendaklah menunaikan solat fardu berjemaah
di masjid atau surau.
ii. Mendiri solat sunat dirumah.
iii. Bacaan al-Quran berkumandang di rumah sama ada dibaca oleh
ahli rumah atau melalui alat eletronik atau komputer.
iv. Memberi salam setiap kali masuk ke rumah.
v. Perbanyakkan nasihat menasihati sama ada secara formal atau
tidak.
vi. Saling hormat menghormati antara ahli keluarga.
vii. Bersenda gurau dan bermesra.
viii. Memastikan rumah sentiasa bersih, kemas dan tersusun.
ix. Hindarkan rumah daripada perkara haram seperti patung,
gambar-gambar yang tidak baik, rancangan televisyen yang tidak
bermoral.
x. Elakkan daripada pertengkaran di dalam keluarga khususnya
antara suami dan isteri.

b. Sekolah
Bagi kanak-kanak dan remaja yang masih berada di alam
persekolahan, sekolah adalah tempat yang kedua penting selepas
rumah mereka. Mereka menghabiskan banyak masa di sekolah.
Malah ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan
tujuan supaya anak mereka belajar. Persekitaran dan suasana
pembelajaran di sekolah banyak membentuk keperibadian
seseorang. Untuk itu para pentadbir dan pendidik mesti berusaha
membentuk persekitaran dan suasana yang baik untuk membentuk
keperibadian murid-murid mereka. Persekitaran yang baik juga akan

78
dapat dimanfaatkan oleh para pendidik untuk mempertingkatkan
kualiti diri mereka. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk
mewujudkan persekitaran yang baik disekolah ialah:
i. Melaksanakan solat berjemaah untuk semua warga sekolah.
ii. Memperdengarkan bacaan al Quran di awal sesi persekolahan
dan waktu-waktu yang sesuai.
iii. Memelihara kebersihan dan keceriaan sekolah.
iv. Sekolah tidak melaksanakan program yang melalaikan dan
bertentangan dengan syariat.
v. Membentuk suasana pergaulan yang sihat, umpamanya tiada
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

c. Masyarakat dan rakan sebaya


Seorang individu banyak terpengaruh dengan masyarakat sekitarnya.
Orang yang paling banyak mempengaruhi keperibadian seseorang
ialah rakan sebaya. Justeru itu ibu bapa dan guru perlu
memerhatikan siapakah rakan atau sahabat yang rapat dengan anak-
anak mereka. Guru Pendidikan Islam hendaklah sering mengingatkan
murid-murid mereka supaya mencari kawan yang baik. Sekiranya
perlu murid hendak dibantu untuk memilih kawan yang baik. Bantuan
boleh diberi dengan cara mengumpulkan mereka dalam kumpulan
yang bersesuaian dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai
sama ada di kelas atau di asrama.

3. Pendidik yang baik


a. Berilmu
Ilmu adalah syarat utama yang perlu ada kepada seorang pendidik.
Sekiranya seorang pendidik tidak mempunyai ilmu yang secukup
nescaya dia tidak akan dapat membimbing anak didiknya.Pepatah
arab ada menyebut:

"‫"فاقد الشىء اليعطي‬


Maksudnya:

79
" Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberi
sesuatu kepada orang lain"

b. Ikhlas
Seorang pendidik juga ikhlas dalam melaksanakan amanah mendidik.
Bimbingan, nasihat dan tunjur ajar yang lahir daripada hati yang
bersih lagi ikhlas akan masuk ke dalam hati orang yang dididik.
Sebaliknya sekiranya pendidik tidak mempunyai keikhlasan, malah
mengajar dengan matlamat mendapatkan ganjaran dunia dan pujian
daripada manusia maka didikan itu tidak akan memberi kesan. Ilmu
yang diajar bukan daripada hati yang ikhlas hanya akan singgah ke
minda murid dan ianya tidak akan dapat mendorong murid itu
menggunakan ilmu itu kearah menjadi mukmin yang baik. Keikhlasan
Rasulullah s.a.w, para sahabat, tabi'in dan pejuang-pejuang serta
pendakwah-pendakwah selepas dalam menyampaikan dakwah telah
menyebabkan Islam terus hidup dalam jiwa umat Islam.

c. Kesungguhan dan kebijaksanaan.


Usaha menyampaikan ilmu dan mendidik manusia bukanlah satu
kerja yang mudah. Membentuk dan membina manusia bukan seperti
membuat perabot atau membuat kuih. Seorang tukang kayu dapat
membuat ratusan biji kerusi yang mempunyai bentuk dan ukuran
yang sama sekiranya dia menggunakan kaedah yang sama semasa
membuat kerus-kerusi tersebut. Begitu juga seorang tukang masak
akan dapat membuat beberapa biji kek yang sama rasa, warna dan
bentuk sekiranya menggunakan resepi yang sama.

Namun membentuk dan membina manusia tidak semudah membuat


kerusi atau kek. Manusia mempunyai kebolehan dan keupayaan yang
berbeza. Setiap manusia juga mempunyai keinginan yang lain antara
satu sama lain. Justeru itu pendidik perlu mempunyai tahap
kesungguhan dan kebijaksanaan yang tinggi. Pendekatan dalam
mendidik dan mentarbiyah mungkin berbeza antara seorang murid
dengan murid yang lain. Oleh itu para pendidik perlu menggunakan

80
pelbagai pendekatan dan kemahiran untuk mendidik murid-murid
yang berbeza.

PENUTUP:

Sesuatu umat akan dapat membina ketamadunannya sekiranya umat itu


menpunyai ramai individu-individu yang berkualiti. Individu yang berkualiti
tidak akan dapat dilahirkan tanpa sebarang perancangan dan program yang
tersusun. Sebagai Guru Pendidikan Islam kita wajib melaksanakan amanah
yang telah diletakkan di bahu kita dengan sebaik mungkin. Tugas sebenar
Guru Pendidikan Islam ialah mengajar dan mendidik anak-anak murid agar
menjadi seorang individu muslim yang dapat berperanan dengan baik dalam
masyarakat. Mudahan dengan usaha bersungguh-sungguh oleh semua Guru
Pendidikan Pendidikan kita akan dapat melihat lahirnya ramai individu muslim
yang berkualiti pada masa depan. Semoga Allah mengira segala usaha kita
sebagai amal soleh yang bakal menjadi bekalan kepada kita semasa bertemu
dengan-Nya. Wallahu a'lam

Zamri bin Abdul Rahim


Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral
Kementerian Pelajaran Malaysia

81

Anda mungkin juga menyukai