Anda di halaman 1dari 16

Pendahuluan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh,

berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam. Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta fizikal. Untuk mempertingkatkan mutu kehidupan, kita perlu mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik, pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan warga yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global. Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas atau fundamental yang terkandung dalam al-Quran dan hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditaksir secara ikhlas dan difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidah, akan dapat menghadapi cabaran dan reality semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa dan tempat. Dari sudut istilah hadhari membawa maksud yang bertamadun atau Islam yang menekankan aspek tamadun. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Civilization Islam, dan dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-Islam alHadhari. Islam hadhari adalah suatu pendekatan anjakan paradigma bagi mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam seperti mana yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang tidak mengurangkan prinsip akidah

dan syariat dalam ajaran Islam malah menekankan aspek penghayatan Islam yang syumul, menyeluruh dan realistik bagi menterjemahkan agama dalam kehidupan. Pendekatan Islam hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban yang berdasarkan pandangan semesta Islam dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan serta pembangunan fizikal. Pendekatan ini adalah untuk membuktikan keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang sentiasa mengamalkan prinsip kesederhanaan, selaras dengan dasar-dasar negara yang dilaksanakan masa kini dan yang akan dicapai pada masa hadapan seperti Wawasan 2020 dan Dasar Pembangunan Negara. Pendekatan yang menekankan nilai-nilai pembangunan sejagat yang sama sekali tidak bercanggah dengan konteks masyarakat majmuk. Visi Islam hadhari adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh iaitu sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Konsepnya ialah negara yang mempunyai masyarakat yang membangun dan memiliki ilmu pengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan serta berakhlak mulia berpaksikan kepada kepercayaan agama. Misi Islam hadhari adalah melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang. Objektif Islam hadhari adalah bagi melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual, akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai. Terdapat sepuluh prinsip Islam hadhari yang dirangka bagi merangsang ke arah perubahan minda umat Islam secara menyeluruh dan sistematik yang tidak bersifat sektor dan partisan. Konsep hidup sebagai hamba Allah dan khalifah Allah yang berkewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan. Khususnya dalam memenuhi prinsip-prinsip maqasid al-syariah yang

sentiasa berkembang seperti menjaga, memartabatkan dan memperkasa agama, akal, nyawa, harta, keturunan, maruah, institusi keluarga dan alam sekitar. Prinsip-prinsip Islam hadhari ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah, kerajaan yang adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemuliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan. Prinsip-prinsip Islam hadhari sudah dilaksanakan di peringkat sekolah-sekolah. Aspek kurikulum/ sukatan/ kokurikulum Sekolah yang saya ditempatkan semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah adalah di SJK (C) Siong Boon, Bintulu, Sarawak. Aspek yang saya nilai ialah keberkesanan kurikulum, sukatan dan kokurikulum dilaksanakan di sekolah tersebut. Selepas menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah di sekolah tersebut, saya mendapati bahawa prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah telah dilaksanakan di sekolah tersebut. Keimanan dan ketakwaan adalah asas yang paling kuat untuk menjadikan manusia itu melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-larangannya. Prinsip ini menekankan kepada pembinaan akidah umat Islam menerusi pelaksanaan sistem pendidikan yang bersepadu dan mantap sejak dari peringkat awal persekolahan. Langkah yang diambil oleh sekolah untuk mencapai prinsip tersebut adalah dengan memperkenalkan pendidikan j-Qaf di dalam sekolah. Sekolah ini telah membuka satu kelas bagi pendidikan j-Qaf dan juga mempunyai seorang guru pelatih j-Qaf yang bernama Puan Latifah Binti Jemain. Tujuan pembukaan kelas j-Qaf adalah untuk bagi peluang kepada pelajar-pelajar Islam di peringkat sekolah rendah untuk mempelajari pelajaran Jawi, al-Quran dan juga fardu ain. Guru besar sekolah tersebut, Encik Samuel Ing Tieng berharap dengan perlaksanaan kelas j-Qaf ini, diharapkan bahawa pelajar di sekolahnya sudah mampu menguasai tulisan Jawi, mahir membaca al-Quran dan memahami asas-

asas fardu ain apabila mereka tamat pendidikan di peringkat darjah enam nanti. Beliau berasa bahawa pengetahuan-pengetahuan ini merupakan asas ke arah melahirkan individu yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Pengenalan kepada pendidikan j-Qaf dalam sukatan kurikulum ini dapat mengelakkan murid daripada terlibat dengan jenayah. Dengan pegangan kepada prinsip itu, murid-murid tahu perbezaan perbuatan salah dan betul. Kekuatan seseorang muslim itu amat bergantung pada kukuhnya pegangan terhadap keimanan kepada Allah SWT. Semakin kukuh keimanannya kepada Allah SWT, maka semakin kukuhlah keperibadian muslim itu, begitulah sebaliknya. Kekuatan akidah bergantung pada keyakinan akan kebenaran yang mutlak, hakikat yang mutlak dan pasti serta abadi. Allah SWT menyeru kepada manusia supaya menggunakan akal fikiran yang telah dikurniakan untuk mencari hakikat tersebut, bukti yang lahir daripada kebenaran hakikat merupakan suatu jalan yang terbaik bagi beriman dan berakidah kepada Allah SWT. Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang mudah menerima kebenaran dan mampu mempertahankannya dan menyebarkannya kepada orang lain melalui pengajaran dan pendidikan mahupun melalui suri teladan yang terlihat dalam amalan hariannya. Oleh itu, iman dan takwa merupakan nadi penggerak pembangunan insan yang dapat menghasilkan sumber manusia yang berkebolehan dan berupaya dalam melaksanakan pembangunan tamadun yang dicita-citakan. Meletakkan keimanan dan ketakwaan sebagai teras utamanya pendekatan Islam Hadhari adalah asas yang kukuh dan konsisten bagi menerangi pembangunan manusia dan hala tuju negara ini merupakan satu kesimpulan yang tepat dan praktikal. Oleh itu, manusia yang beriman dan bertakwa sentiasa berusaha melakukan perkaraperkara terbaik dan menjauhi yang mungkar. Ia tidak memisahkan diri dari masyarakat tanpa mengira batasan agama, budaya, bangsa dan bahasa. Penguasaan teknologi dan pemilikan ilmu bukan sahaja berkaitan dengan amalan keagamaan tetapi juga bersangkut-paut dengan kehidupan di dunia kerana penguasaan ilmu pengetahuan merupakan faktor yang menentukan

kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Seseorang yang memiliki iman dan takwa akan melihat sesama manusia sebagai kejadian Allah SWT yang mulia tanpa memberi justifikasi darjat seseorang mengikut agama dan bangsanya. Ia memberi pertolongan dan pergaulan yang baik kepada semua, tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Malah orang yang beriman dan bertakwa sentiasa menjadikan dirinya sebagai cermin di masyarakatnya dan memberi contoh yang terbaik dalam pergaulan dan muamalah. Keimanan itu mestilah disertai dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman rohani supaya iman yang wujud itu dapat kekal selama-lamanya. Keimanan boleh bertambah dan berkurang, kebenaran ilmu yang dimiliki dan diamalkan menjadikan manusia itu lebih dekat kepada Allah SWT. Sahsiah yang baik adalah berkait rapat dengan ilmu bagi membentuk takwa. Affif Abdul Fatah Tabarrah telah merumuskan definisi takwa iaitu manusia takut untuk melaksanakan perkara-perkara yang dimurkai Tuhan dan takut kepada perkaraperkara yang merosakkan dirinya sendiri dan merosakkan orang lain. Oleh itu, untuk memantapkan akidah dan ketakwaan ini, sekolah boleh menyemaikannya melalui proses pengajaran dan pembelajaran dan kegiatan kerohanian di samping bimbingan berterusan di dalam dan di luar bilik darjah. Langkah yang paling baik dalam menjayakan prinsip ini adalah dengan memperkenalkan pendidikan j-Qaf dalam sekolah rendah seperti sekolah yang saya telah ditempatkan untuk PBS. Bagi saya, langkah ini agak berkesan dilaksanakan di sekolah rendah. Selain itu, prinsip kerajaan adil dan amanah juga dapat dilihat di sekolah tersebut dengan penubuhan pelbagai kelab, persatuan dan unit beruniform. Contohnya, persatuan mencegah rasuah dan kadet polis. Persatuan mencegah rasuah dan kadet polis menanamkan prinsip tidak mengamalkan rasuah dalam jiwa murid-murid sejak dari kecil lagi. Dengan ini, proses pembangunan negara barulah boleh dijalankan dengan lancar. Persatuan mencegah rasuah dan kadet polis ini amat aktif di dalam sekolah. Cikgu yang memainkan peranan sebagai pembimbing kepada persatuan tersebut banyak mengadakan aktiviti untuk

murid-muridnya supaya mereka lebih memahami tentang amalan rasuah yang semakin hari semakin serius di dalam negara kita. Cikgu dalam sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam memberikan mereka konsep atau cara untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan jenayah ini. Setiap insan yang dilahirkan di bumi Allah ini adalah sebagai hamba Allah dan khalifah Allah yang memberi kewajipan atau tanggungjawab mengurus dan mentadbir segala urusan keduniaan secara adil dan beramanah kerana alam dan segala isinya adalah milik Allah SWT maka manusia telah menerima tanggungjawab untuk menguruskannya. Keadilan bermaksud memberi hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Pelaksanaan keadilan tidak dilihat pada keturunan, warna kulit, bangsa dan kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Prinsip ini merupakan pernyataan iltizam pihak pemerintah untuk memerintah secara adil dan beramanah kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan agama dan budaya. Setiap rakyat akan mendapat hak mereka seperti mana yang sepatutnya. Mereka yang memerintah pula akan memikul amanah kepimpinan sebagai suatu tanggungjawab dan bukannya sebagai satu peluang untuk kepentingan diri serta keluarga. Mereka akan menolak segala bentuk penyelewengan seperti amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kokurikulum di sekolah tersebut telah mengamalkan prinsip kerajaan adil dan amanah dalam jiwa murid-murid. Justeru, guru besar juga telah menyediakan hadiah kepada murid yang amanah. Contohnya, murid tersebut terkutip sebuah dompet dan telah memulangkan kepada tuan punya, guru besar akan memberi ganjaran kepada murid tersebut sebagai dorongan untuk meneruskan sikap yang baik itu. Prinsip keutuhan budaya dan moral juga diperlihatkan di sekolah tersebut. Dalam perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, perkara-perkara yang diambil kira dalam membantu perkembangan sahsiah ialah kaedah yang berpusatkan murid, meransangkan pemikiran dan cetusan idea, menggalakkan

pemikiran terbuka sesuai dengan tahap pemikiran murid, kemahiran mengakses maklumat, memproses maklumat dan menambah nilai kepada maklumat dengan menggunakan bahasa yang halus dan mudah difahami serta menerapkan nilainilai murni bagi membentuk sahsiah diri, keyakinan diri, semangat setia kawan serta membentuk sikap-sikap positif. Kegiatan kokurikulum adalah lanjutan daripada kegiatan kurikulum yang tidak kurang pentingnya kepada pembangunan sahsiah murid. Malah kegiatan kokurikulum jika diuruskan secara efektif dapat meningkatkan jati diri murid. Pembinaan sahsiah mulia boleh diterapkan secara langsung atau tidak langsung berasaskan pendekatan Islam hadhari kerana semua prinsip Islam hadhari adalah relevan untuk merentas kokurikulum. Modul-modul kegiatan kokurikulum yang dirangka dalam perjumpaan mingguan atau kegiatan seperti perkhemahan, program-program tertentu yang dilakukan di dalam atau di luar kawasan sekolah boleh diserapkan prinsip-prinsip Islam hadhari seperti mana kurikulum bagi membina dan memantap sahsiah murid. Kegiatan yang berbentuk kerohanian, kecergasan jasmani, pembinaan intelek dan kesedaran emosi boleh menjurus kepada pembinaan sahsiah murid. Oleh itu, keberkesanan pelaksanaan pendekatan Islam hadhari dalam kurikulum dan kokurikulum sekolah bergantung pada pelan strategi yang berkesan. Aspek budaya sekolah Dari aspek budaya sekolah yang telah saya menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah pula, saya mendapati sekolah tersebut telah memenuhi prinsip pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita. Semua murid dan guru di sekolah tersebut bekerjasama, hormat-menghormati dan mempunyai hubungan yang erat antara satu sama lain walaupun berlainan jantina. Guru besar dan guru-guru mempunyai hubungan yang sangat erat dan mereka bekerjasama untuk memastikan semua program di sekolah dijalankan dengan lancar.

Budaya sekolah adalah sebahagian daripada budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat. Semua murid sekolah telah didedahkan dengan norma, nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah adalah budaya yang dihasilkan oleh sebahagian murid dan sebahagian lagi oleh golongan tertentu supaya aktiviti murid dapat dikawal. Dengan ini, pendidikan amat dititikberatkan dalam sekolah tersebut. Pembudayaan di sekolah tersebut dilaksanakan menerusi kurikulum formal dan kurikulum tidak formal. Budaya formal sekolah adalah apa yang telah dirancang seperti aktiviti kurikulum dan kegiatan kokurikulum. Murid yang pandai dan aktif akan mendapat sanjungan pihak guru dan sekolah. Manakala pelajar yang lemah dan kurang cerdik akan tersisih. Budaya ini akan menyebabkan murid ini melakukan gejala negatif bagi menarik perhatian pihak tertentu. Masalah yang wujud ini telah diselesaikan oleh guru di sekolah dengan mengamalkan prinsip ini. Guru menggalakkan murid supaya perlu tolong-menolong dari segi pelajaran. Murid yang pandai perlu menolong murid yang lemah tanpa mengira jantina dan kaum. Dengan ini, prinsip pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita telah dicapaikan. Ini prinsip yang memainkan peranan yang sangat berkesan dalam sekolah. Galakan dan asuhan agar murid sentiasa saling tolong-menolong, hormat-menghormati, saling bekerjasama sesama mereka walaupun berlainan jantina dapat dipraktikkan dalam kerja kumpulan sama ada dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Di samping itu, prinsip penguasaan ilmu pengetahuan juga telah diperlihatkan oleh saya semasa di sekolah. Banyak pepatah yang berguna dan juga kuiz-kuiz yang menarik telah dipaparkan di sepanjang koridor sekolah tersebut. Ini adalah antara kaedah yang berguna oleh guru untuk murid sekolah untuk menambah ilmu pengetahuan. Budaya berani menyoal dan budaya membaca telah disemai di sekolah tersebut. Setiap budaya ini juga diiringi dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah, contohnya budaya membaca yang dilaksanakan dengan berkesan adalah dengan mengaturkan

masa untuk pergi perpustakaan dalam jadual belajar. Menurut guru besar sekolah tersebut, Projek Nilam juga dijalankan pada setiap hari di sekolah sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran. Di dalam Projek Nilam ini, setiap pelajar yang telah habis membaca sesebuah buku, haruslah mencatat laporan ringkas buku yang telah dibaca itu tadi. Ganjaran atau hadiah akan diberikan kepada murid pada setiap hujung bulan yang mencapai tahap membaca yang tertentu. Ilmu merupakan asas untuk mencapai kemajuan. Bangsa-bangsa yang berjaya dan maju adalah mereka yang menguasai ilmu. Pendekatan Islam hadhari menyeru rakyat Malaysia supaya menjadi umat peneroka ilmu dalam pelbagai bidang. Tujuan penguasaan ilmu adalah bagi mewujudkan umat yang bertamadun. Rakyat Malaysia perlu menjadi umat peneroka ilmu, umat yang mampu berdikari serta berupaya menangani cabaran semasa dalam kehidupan. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, faktor ilmu bersepadu, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan keterampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat. Melalui pendidikan di sekolah yang saling melengkapi antara penguasaan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah, kita boleh melahirkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun. Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan dalam prinsip penguasaan ilmu pengetahuan adalah umat yang cinta akan ilmu, menjadi bangsa peneroka ilmu, mendalami ilmu fardu ain bagi umat Islam, menguasai semua bidang ilmu fardu kifayah, meninggalkan ilmuilmu negatif yang boleh merosakkan akidah, membina masyarakat melalui pendekatan ilmu dan juga memantapkan integrasi ilmu melalui program yang dijalankan di sekolah. Di samping itu, terdapat juga program astro yang dirancang oleh guru besar. Dengan program astro ini, murid-murid telah diberikan masa untuk menonton rancangan astro yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan mereka

dalam waktu pengajaran dan pembelajaran. Televisyen telah digunakan sebagai salah satu alat bantu mengajar di dalam kelas. Ini boleh menghilangkan kebosanan murid untuk belajar dalam kelas. Justeru, kelas tuisyen petang diadakan pada setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad di sekolah. Kelas tuisyen ini mengukuhkan ilmu pengetahuan pelajar untuk menghadapi peperiksaan supaya mendapat keputusan yang cemerlang. Prinsip penguasaan ilmu pengetahuan dilihat sangat berkesan dilaksanakan di sekolah tersebut. Justeru, prinsip keutuhan budaya dan moral juga dapat dilihat di sekolah tersebut. Sekolah dan semua warganya seperti sebuah rumah tangga dan keluarga. Dengan menjayakan budaya penyayang guru yang penuh dengan perasaan, pengurusan sekolah dan guru telah mempunyai tanggapan yang betul dan positif mengenai setiap anak didik mereka di sekolah. Budaya Penyayang amat dititikberatkan di sekolah tersebut. Guru besar beranggapan bahawa murid yang bersahsiah baik ialah murid yang tahu menilai baik dan buruk, yakin kepada semua nilai murni, mengamalkan perlakuan baik dan menghindari perlakuan buruk serta menghayati nilai kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan. Pemupukan budaya penyayang di sekolah adalah bertujuan untuk melahirkan murid yang bertanggungjawab yang menyedari tugas dan tanggungjawab adalah satu amanah dan mesti dilaksanakan dengan sempurna. Pemupukan nilai kasih sayang dan bekerjasama akan dilaksanakan secara berkesan di kalangan murid sekiranya guru berjaya menerapkan melalui kurikulum, kokurikulum dan juga dalam pengurusan sekolah. Pendidik seharusnya menerapkan nilai-nilai murni kepada murid supaya ilmu yang diperolehi dan keterampilan yang diterima mampu memanfaatkan manusia sejagat. Tujuan ini adalah agar subjek yang diajar bukan sahaja menarik minat mereka, bahkan sentiasa ada penerapan nilai. Selain itu, prinsip kehidupan berkualiti dapat juga dilaksanakan di sekolah. Islam menuntut supaya manusia mencapai kebahagiaan hidup di dunia

seterusnya mencapai kebahagiaan yang abadi di akhirat sebagai kehidupan yang berkualiti. Maka untuk mencapai matlamat ini, seseorang insan perlu melaksanakan semua aspek kehidupan yang merangkumi rohani dan jasmani, fizikal dan mental, material dan spiritual secara bersepadu dan sentiasa meningkat maju iaitu menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Guru di sekolah harus memberi teladan dengan mengamalkan budaya hidup berkualiti yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya dapat melahirkan generasi modal insan berkualiti. Murid-murid akan didedahkan dengan nilai-nilai kesyumulan dalam Islam yang merangkumi keseluruhan kehidupan manusia bagi melahirkan insan dan masyarakat yang berkualiti iaitu mencapai kebaikan dan kebahagiaan di dunia serta mencapai kesejahteraan di akhirat. Di samping itu, prinsip kekuatan pertahanan juga dilihat berkesan dalam pelaksanaan di peringkat sekolah. Kekuatan pertahanan adalah perkara yang tidak boleh diabaikan bagi menjaga maruah bangsa dan negara. Bangsa yang maju dan bermaruah dilihat dari kekuatan tenteranya, oleh itu persediaan negara untuk memperlengkapkan dengan kekuatan ketenteraan dari aspek kekuatan fizikal, persenjataan dan kemahiran untuk berhadapan dengan musuh adalah sebagai langkah untuk mempertahankan diri dan negara, bukannya bertujuan penaklukan ke atas negara lain. Semangat cinta akan negara sepatutnya boleh diterapkan di dalam diri murid-murid sehingga mereka merasakan bahawa semangat jihad dan pengorbanan untuk mempertahan maruah negara adalah menjadi suatu kewajipan kerana mereka memahami bahawa cinta kepada negara adalah sebahagian daripada iman. Contohnya, semasa hari kemerdekaan, guru-guru boleh mengadakan program hari kebangsaan seperti mendeklamasi sajak, pertandingan mewarna, menyanyikan lagu patriotik dan lain-lain untuk memupuk semangat cinta akan negara di dalam jiwa mereka sejak kecil lagi.

Aspek kantin Aspek yang saya juga nilai semasa saya menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah ialah di kantin sekolah tersebut. Setelah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah selama seminggu di sekolah tersebut, saya mendapati bahawa pekerja di kantin sekolah tersebut telah melaksanakan prinsip pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif. Semua pekerja di kantin sekolah tersebut bekerja dengan tekun, berdisiplin dan istiqamah dengan pekerjaan yang menghasilkan rezeki-rezeki yang halal. Makanan yang dijual kepada murid semuanya halal untuk bagi memenuhi keperluan murid-murid Islam. Pekerja di kantin juga tidak mengamalkan amalan yang tidak baik seperti mencuri dan memeras ugut murid-murid pelajar. Mereka menjalani perniagaan dengan jujur dan tekun. Bagi mencapai hasrat untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara, maka usaha-usaha untuk meningkatkan dan memantapkan kestabilan ekonomi telah dilaksanakan dengan membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menceburi dalam pelbagai bidang yang telah disediakan. Rakyat bersedia untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produktiviti dan mempelbagaikan hasilan serta memperluaskan pemasaran melalui promosi hebat. Strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, pertumbuhan ekonomi yang mapan di samping berusaha dengan berani membuat perubahan seperti dalam bidang pertanian atau bioteknologi, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Ke arah membina kefahaman dan kesedaran produk yang suci dan halal, kerajaan melalui JAKIM telah mempromosikan pensijilan halal dan menganjurkan pameran produk halal (MIHAS) yang diadakan secara tahunan. Pameran sebegini bukan sahaja membeli peluang kepada rakyat Malaysia membeli produk-produk yang disahkan halal, malah menyemai kesedaran tentang konsep halal dalam kalangan masyarakat serta membuka peluang perniagaan kepada umat Islam.

Pekerja kantin telah menjadikan teladan yang baik kepada murid-murid dengan mencari rezeki yang bersih dan halal, tekun dalam pekerjaan dan menghindarkan daripada perkara-perkara yang dilarang Allah seperti mencuri, memeras ugut dan melibatkan diri dalam perniagaan berunsur riba. Mereka diberikan bimbingan yang sewajarnya supaya memahami ciri-ciri ekonomi Islam yang melarang melakukan penindasan, penipuan, ketidakadilan dan berbagaibagai unsur yang tidak sihat. Selain itu, terdapat juga prinsip pemuliharaan alam semula jadi dalam aspek kantin. Kantin di sekolah tersebut bersih dan ceria. Pekerja kantin juga selalu mengemaskan meja-meja di kantin dan murid-murid juga bertanggungjawab dalam membersihkan kantin. Murid-murid dididik supaya sensitif dengan kebersihan dan keceriaan alam sekitar bermula dengan latihan berwuduk, menjaga kebersihan sekolah, kawasan persekitaran serta di mana sahaja mereka berada, di tempat-tempat awam atau di tempat-tempat persendirian. Sikap bertanggungjawab ke atas alam sekitar merupakan ciri akhlak mulia bagi mengekalkan keseimbangan alam sekitar dan memahami segala bentuk perlakuan yang boleh mengundang risiko kepada alam dan manusia. Di sekitar kantin juga mempunyai hiasan-hiasan seperti pokok bunga yang menerapkan murid-murid dengan prinsip memulihara alam semula jadi. Di sekitar kantin, terdapat juga banyak taman-taman yang memberi konsep kepada murid bahawa alam semula jadi amat penting kepada kita. Contohnya, taman sains, taman bunga dan taman SPBT. Semua taman ini dipenuhi dengan pelbagai jenis tanam-tanaman yang menyegarkan udara di kantin sekolah. Murid-murid akan berkunjung ke taman semasa masa rehat dan memastikan ia sentiasa bersih. Justeru, prinsip keutuhan budaya dan moral dapat juga dilihat di kantin sekolah tersebut. Murid-murid beratur semasa membeli makanan dan mereka menunjukkan sikap dan nilai yang baik semasa bertutur dengan pekerja kantin. Ini amat dititikberatkan oleh guru besar sekolah tersebut kerana dia berasa nilai

hormat-menghormati dan ketinggian akhlak ini mestilah dipupuk sejak kecil lagi. Penyemaian akhlak dan sahsiah di kalangan murid penting supaya menjadi suatu pembudayaan dalam kehidupan apabila besar kelak. Guru-guru di sekolah tersebut memastikan murid-murid menyemaikan sikap dan nilai yang baik di kantin dengan menugaskan pengawas untuk mengawasi sikap-sikap murid. Budaya dan moral murid perlu diperkukuh dan dipertahankan seiring dengan kepesatan pembangunan negara. Malah kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa sewajarnya diiring dengan keluhuran budaya, ketinggian akhlak, kemurnian budi pekerti dan nilai-nilai murni yang disuburkan di tengah-tengah kemajuan negara ini. Keutuhan budaya dan ketinggian moral adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang akan menyumbang kepada kebudayaan tinggi. Akhlak mulia adalah tunjang dalam pembentukan masyarakat di dunia ini. Sekolah yang saya menjalani Pengalaman Berasakan Sekolah ini amat menitikberatkan sikap dan nilai-nilai murni murid. Menurut guru besar, matlamat utama pendidikan nilai adalah untuk mempertahankan kehidupan yang baik dan membentuk individu yang bertanggungjawab. Dasar-dasar negara yang mementingkan masyarakat yang mempertahankan nilai-nilai baik akan dapat mengukuhkan kualiti sosial dan moral anggota masyarakat. Kemerosotan nilai-nilai murni menyebabkan berlakunya gejala keruntuhan moral dalam masyarakat. Pengaruh kebendaan yang tidak seimbang dan nilai liberal akan menyebabkan berlakunya krisis moral. Nilai-nilai kerohanian dan akhlak mulia perlu dipupuk bagi menguatkan ketahanan moral diri sebagai langkah menghadapi pengaruh negatif yang melanda masyarakat. Keutuhan budaya dan moral adalah prinsip yang memberi penekanan kepada penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi yang menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan masyarakat majmuk, akhirnya menjadi bangsa yang dihormati dan disegani. Prinsip keimanan dan ketaqwaan kepada Allah adalah asas yang kukuh bagi membina generasi yang memiliki sahsiah mulia.

Antara nilai-nilai murni yang telah diterapkan dan ditanamkan dalam diri murid bagi membentuk sahsiah dan personaliti di samping memiliki ketahanan diri dan moral yang tinggi agar mampu mengatasi masalah dan mampu menghadapi cabaran globalisasi ialah beriman, bertaqwa, amanah, jujur, bertanggungjawab, rajin, ikhlas, tertib, berdisiplin, mengutamakan masyarakat melebihi diri sendiri, kesanggupan berkorban, tidak tamak, berpandangan jauh, bermoral, berkelakuan baik, kesederhanaan, bersih, bekerjasama, toleransi, berbudi pekerti mulia, bersyukur, bersopan santun, berilmu, kreatif, inovatif, adil, hormat-menghormati, kasih sayang, sabar, berjimat cermat, bertimbang rasa dan sebagainya seharusnya menjadi sifat-sifat keperibadian yang dapat membentuk jati diri. Dalam masa yang sama mereka dididik supaya tidak mengamalkan segala bentuk amalan yang negatif yang bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan. Tujuan utama penerapan nilai dalam proses pendidikan di sekolah adalah untuk membina dan menimbulkan kesedaran tentang soal-soal kemoralan, akhlak, etika dalam amalan kehidupan harian. Semua sikap dan nilai-nilai yang ada pada seseorang murid jelas dilihat semasa mereka berada di kantin. Saya telah mengawasi mereka selama seminggu tentang sikap mereka semasa mereka membeli makanan, pertuturan terhadap pekerja kantin dan kebersihan di kantin. Murid-murid di sekolah tersebut memang mengikut peraturan dengan beratur semasa membeli makanan dan juga menghormati pekerja kantin dengan menggunakan pertuturan yang sopan. Selain itu, mereka juga menjaga kebersihan di kantin dengan membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan selepas makan. Semua ini diawasi oleh pengawas di sekolah tersebut. Jika ada sesiapa yang telah menunjukkan sikap atau nilai yang tidak baik, tindakan akan diambil oleh guru. Inilah cara guru sekolah tersebut untuk memastikan murid-murid mengamalkan nilai-nilai murni yang baik. Kesimpulan Semua aspek yang telah diperjelaskan di atas telah memperlihatkan keberkesanan 10 prinsip Islam Hadhari dilaksanakan di peringkat sekolah.

Pembinaan sahsiah secara penyerapan dan merentasi kurikulum bagi semua mata pelajaran dalam kurikulum kebangsaan melalui pendekatan Islam hadhari bukanlah suatu impian yang tidak boleh menjadi kenyataan. Pelaksanaan nilainilai murni merentas kurikulum sudah pun dilaksanakan di peringkat sekolah. Tiada suatu bangsa yang dapat membangun dalam acuan bangsa orang lain, dan tiada suatu negara pun dapat bangun acuan negara lain. Cabaran hari ini perlu ditangani dengan memahami reality masa kini tetapi penuh berprinsip dan berdasarkan kepada falsafah yang utuh. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kita mengubah apa yang ada pada diri setiap kaum tersebut. Islam Hadhari diperjelaskan kepada umat Islam dan bukan Islam di Malaysia sebagai satu kaedah penyelesaian pembangunan dunia yang membawa kebaikan ke akhirat. Secara amnya, pendekatan Islam Hadhari ke arah pembangunan sahsiah murid cemerlang dapat dilaksanakan secara langsung melalui pendidikan formal dan tidak formal sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah secara gabung jalin, penerapan dan perentasan dan boleh dilaksanakan oleh semua mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Anda mungkin juga menyukai