Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan Cara Atau Langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya Pendahuluan Dasawarsa ini,

sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin
gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh kes-kes kemalangan jalan raya
yang meragut sejumlah nyawa yang membimbangkan. Situasi ini menjadi lebih tragis apabila musim
perayaan di mana semua rakyat hendak pulang ke kampung berjumpa dengan sanak saudara untuk
meraikan hari perayaan tetapi tidak kesampaian kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya. Tragedi
ini telah menjadi sinonim dengan masyarakat kita sehinggakan Polis Trafik perlu menjalankan operasi
setiap kali perayaan bagi memastikan pengguna jalan raya tidak memandu secara berbahaya. Lumrah
manusia untuk melakukan kesilapan tetapi kita mampu untuk mengurangkannya dengan mengamalkan
perkara-perkara tertentu. Oleh itu, kita seharusnya mengenali cara-cara menangani kemalangan jalan
raya agar tidak berlaku kepada kita di waktu kelak. Isi 1 Prakarsa utama dalam mendepani isu
kemalangan jalan raya adalah dengan memastikan sikap setiap pemandu itu sentiasa berhemah dalam
pemanduan dan beristirahat sekiranya berasa letih dan mengantuk. Kita tidak boleh sangkal, kebanyakan
kes kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian pemandu itu sendiri. Maka, setiap pemandu
harus sedar dan sentiasa berwaspada dalam pemanduan. Penumpang atau keluarga yang menemani
ketika pemanduan juga bertanggungjawab untuk sentiasa melihat dan peka akan keadaan pemandu
samada pemandu tersebut memberikan perhatian atau berasa letih kerana telah memandu lama dan
jauh. Kemudahan perhentian rehat dan rawat telahpun disediakan di setiap lebuhraya bagi pemanduan
jarak jauh. Bagi pengguna jalan raya di kawasan bandar pula, penggunaan telefon pintar ketika
memandu sangat tidak digalakkan. Ia berpotensi besar untuk pemandu melakukan kecuaian kerana
terleka walaupun sedetik apabila melihat telefon pintar. Sebaiknya jika ingin menggunakan telefon pintar,
minta bantuan penumpang disebelah ataupun menggunakan mod “hands free” yang dapat memastikan
tangan kita sentiasa berada di stereng kenderaan. Jika semua pemandu di jalan raya berhemah, sudah
pasti risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan Isi 2 Selain itu, cara terbaik dalam menangani kes
kemalangan jalan raya adalah dengan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Kita boleh
lihat, ramai di antara pengguna jalan raya mempunyai saman dan liat untuk mereka menyelesaikannya.
Apabila pihak polis memberikan diskaun kepada saman barulah mereka tergesa-gesa untuk
membayarnya. Perkara ini kurang memberi kesan kepada pesalah jalan raya. Sistem dimerit yang telah
sedia ada wajar dikuatkuasakan dengan lebih ketat dimana jika mereka telah disaman sebanyak tiga kali,
mereka akan ditarik semula lesen memandu mereka seterusnya kos untuk mengambil semula lesen
memandu digandakan. Begitu juga bagi pemandu-pemandu pengangkutan awam seperti bas ekspress
dimana mereka wajar ditanggung daripada pekerjaan mereka jika terlibat dalam salah laku jalan raya
dengan kerap. Justeru, setiap daripada kita hendaklah sentisa mematuhi peraturan bukan sahaja di jalan
raya malah di setiap perkara dan aspek kehidupan yang kita jalani. Bangsa yang berjaya adalah bangsa
yang patuh dan menghormati kedaulatan undang-undang seperti mana yang terkandung dalam Rukun
Negara. Isi 3 Pada masa yang sama, pihak bertanggungjawab juga perlu memastikan seluruh jaringan
jalan raya samada di kawasan bandar mahupun luar bandar diselenggara dengan baik. Hal ini dapat
membantu pengguna jalan raya menikmati pemanduan yang selesa dan selamat. Terdapat juga kes
kemalangan jalan raya yang berlaku kerana terperosok dalam lubang yang terhasil daripada pembinaan
jalan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Penyelenggara sewajarnya tidak bersikap seperti
melepaskan batuk ditangga dimana mereka melakukan kerja menggunakan kos yang minima dan
meminta peruntukan yang maksima hanya kerana ingin mendapat keuntungan yang tidak jujur.
Intihannya, pihak berkuasa perlu sentiasa memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pemberian
peruntukkan dan penyelenggara melakukan kerja mereka dengan amanah dan mencapai tahap kualiti
yang terbaik. Tambahan pula, jika lantikan penyelenggara dilakukan dengan betul, kontraktor tersebut
juga perlu memastikan jalan raya mempunyai ciri-ciri keselamatan terbaik seperti lampu-lampu di selekoh
berbahaya dan bonggol di kawasan yang memerlukan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan.
Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada pengurangan risiko terhadap kemalangan jalan
raya. Isi 4 Seterusnya, kita juga boleh lihat polemik yang kian merunsing masyarakat hari ini dengan
dimensi lain iaitu penyelenggaraan kenderaan. Sebagai pemilik kenderaan, kita bertanggungjawab untuk
memastikan kenderaan kita sentiasa dalam keadaan yang baik. Tamsilnya, pemandu kenderaan yang
ingin membelok tidak dapat menyalakan lampu isyarat membelok kerana lampu isyarat tersebut rosak,
akan menimbulkam kekeliruan pada pemandu lain. Kemalangan akan berlaku sekiranya pemandu di
belakang tidak mengetahui bahawa kenderaan di depannya ingin membelok. Begitu juga dengan
pemandu motorsikal yang sering kali tidak sedar bahawa lampu belakang mereka tidak menyala
sekaligus menyukarkan pemandangan pemandu dibelakang untuk mengetahui kehadiran motorsikal
tersebut. Dengan aplikasi dan kecanggihan teknologi hari ini, kita boleh menggunakan aplikasi yang
memberi peringatan kepada kita akan waktu untuk membawa kenderaan ke bengkel untuk diselenggara.
Jika mempunyai kesukaran dalam menyelenggara kenderaan, anda dinasihatkan untuk menggunakan
pengangkutan awam supaya lebih selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain
Penutup Kesimpulannya, pelbagai cara telah dibincangkan bagi menangani kes-kes kemalangan jalan
raya yang kian membarah hari ini. Setiap pihak terutamanya kerajaan dan media massa mempunyai
obligasi yang mustahak dalam memupuk kesedaran pengguna jalan raya tentang keselamatan dan
langkah terbaik untuk mengatasi kemalangan daripada berlaku. Peribahasa Melayu ada berkata, sudah
terhantuk, baru terngadah yang boleh didefinisikan apabila kita sudah terkena kemalangan barulah kita
sedar dan terlambat untuk melakukan apa-apa. Semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur
dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika kemalangan
jalan raya dapat diatasi dan dikurangkan kadarnya, tidak mustahil untuk imej negara menjadi sanjungan
di mata dunia kerana kemampuan rakyat kita mematuhi peraturan dan berhemah tinggi apabila
menggunakan jalan raya.

Anda mungkin juga menyukai