Anda di halaman 1dari 2

Keselamatan jalan raya

Kemalangan jalan raya sudah menjadi satu fenomena yang menghantui masyarakat
di negara kita. Hal ini dapat dibuktikan melalui media massa yang sering memaparkan
berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayat hati. Sebenarnya, punca utama
berlakunya kejadian kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian dan
sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Sekiranya kita mengubah sikap dan
mengamalkan nilai-nilai murni dalam semua aspek kehidupan, kemalangan-
kemalangan yang berlaku di atas jalan raya dapat dibendung.

Sebagai seorang pemandu, kita haruslah mengamalkan nilai hemah tinggi. Kita patut
beradab sopan dan berbudi pekerti mulia semasa memandu di atas jalan raya.
Malangnya, ramai di antara kita menunjukkan sikap tidak sabar dan dikuasai oleh
emosi yang tidak stabil sewaktu berada di atas jalan raya. Ramai pemandu yang
gemar memandu secara laju dengan alasan kereta yang dinaiki cukup canggih untuk
menderum di atas jalan raya. Ramai juga pemandu yang tidak sabar untuk memintas
apabila terdapat pemandu lain yang memandu secara perlahan di hadapan mereka,
walaupun keadaan jalan raya tidak menggalakkan mereka berbuat demikian.
Kesilapan kecil yang dilakukan oleh pemandu boleh menyusahkan pengguna jalan
raya yang lain dan juga menyebabkan kehilangan nyawa.

Selain itu, kita haruslah mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah
ditetapkan tanpa mengira sesiapa sahaja dan di mana kita berada. Kita sepatutnya
faham bahawa undang-undang yang dikuatkuasakan itu adalah untuk menjamin
keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Banyak kemalangan maut yang
berlaku di negara kita melibatkan kesalahan-kesalahan seperti tidak memakai tali
keledar, tidak mematuhi lampu isyarat, tidak mematuhi had laju yang ditetapkan, serta
memotong di garis berkembar. Sekiranya semua pengguna jalan raya mematuhi
peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, jalan raya di negara kita akan menjadi
satu tempat yang selamat dan selesa.

Seterusnya, kita mestilah mengamalkan nilai toleransi semasa berada di atas jalan
raya. Kesanggupan kita untuk bertolak ansur, sabar dan mengawal diri dalam pelbagai
situasi akan menyelamatkan nyawa kita dan juga pengguna-pengguna jalan raya
yang lain. Nilai toleransi ini semakin penting apabila berlakunya kesesakan jalan raya
dan juga semasa memandu di jalan-jalan yang sempit di luar ibu kota. Kesanggupan
kita memperlahankan kenderaan dan memberi ruang kepada pemandu lain untuk
memotong dengan selamat ataupun menukar haluan, dapat mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya.

Kita juga perlu mengamalkan nilai bertanggungjawab dalam memastikan


keselamatan di jalan raya sentiasa terpelihara. Sebagai seorang pemandu yang
bertanggungjawab, kita perlu memastikan keadaan kenderaan sentiasa selamat untuk
dipandu. Pihak berkuasa, seperti jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula perlu
melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membuat pemeriksaan terhadap
kenderaan yang menggunakan jalan raya dan hanya membenarkan kenderaan yang
baik sahaja beroperasi di jalan raya. Sementara itu, pihak polis juga perlu
melaksanakan kewajipan mereka dengan menyaman kenderaan yang dipandu
melebihi had laju yang ditetapkan dan juga lori-lori yang membawa muatan melebihi
had yang ditetapkan.

Akhir sekali, semua pengguna jalan raya mesti mengamalkan nilai rasional. Kita mesti
berupaya untuk berfikir dan membuat pertimbangan yang wajar. Pengguna jalan raya
yang berfikir secara rasional mampu membezakan antara yang baik dengan yang
buruk. Anak muda yang berfikir secara rasional tidak akan menjadikan jalan raya
sebagai gelanggang perlumbaan haram. Disebabkan ingin menang, para pelumba
haram akan memandu selaju mungkin dengan melupakan keadaan motosikal mereka
dan kenderaan orang lain, serta lupa akan keluarga dan nyawa sendiri. Ramai di
antara mereka menyesal apabila sesuatu yang buruk menimpa diri mereka. Namun
begitu, kita sepatutnya sesal dahulu pendapatan kerana sesal kemudian tidak
berguna. Tuntasnya, dengan kerjasama semua pihak dan pengamalan nilai-nilai
murni dalam kehidupan seharian, kadar kemalangan jalan raya sudah tentu dapat
dikurangkan.

Anda mungkin juga menyukai