Anda di halaman 1dari 8

SULIT 1103/2

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
penganjuran pesta buku dan cara-cara menarik minat pengunjung ke pesta buku.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Saban tahun banyak pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang telah menganjurkan
pesta buku. Contoh terbaharu ialah penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sepanjang pesta itu diadakan, kita melihat semangat kecintaan terhadap buku yang luar biasa.
Mungkin yang kita lihat itu gambaran luaran semata-mata, tetapi sekurang-kurangnya kita
dapat melihat manusia dari semua peringkat datang berbondong-bondong ke tempat pesta itu
diadakan. Dianggarkan lebih daripada sejuta pengunjung telah membanjiri premis pesta
berkenaan. Hal ini memberi petunjuk kejayaan dan kepentingan penganjurannya.
Dalam pesta buku, pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam
pelbagai jenis bidang dan sub bidang ilmu. Namun sebaik sahaja pesta buku berakhir,
peluang tersebut tidak muncul lagi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar
bandar tetapi bagi mereka yang tinggal di bandar besar mereka boleh memilih ke kedai buku
mega di gedung-gedung beli-belah untuk mendapatkan buku. Oleh itu, wajar sekali pesta
buku dalam skala tertentu terus diadakan dari semasa ke semasa, bergerak dari sebuah bandar
kecil ke sebuah bandar kecil yang lain. Tempoh pusingan setahun, sehingga munculnya Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan datang mampu meningkat dan mengekalkan
momentum minat membeli dan membaca dalam kalangan masyarakat kita.
Pesta buku biasanya turut menawarkan potongan harga yang luar biasa bagi menarik
minat orang ramai membeli buku dan membacanya. Pelbagai acara yang dianjurkan dalam
pesta buku juga secara tidak langsung akan memperkenalkan penulis, penerbit, pengkritik
dan personel lain yang terlibat dalam bidang ini. Acara-acara ini mendekatkan dunia industri
pembukuan, kepengarangan dan apresiasi karya kepada khalayak. Malangnya selepas pesta,
jarang-jarang kita mendengar adanya acara-acara seperti ini. Penganjuran acara-acara ini dari
semasa ke semasa di pelbagai tempat yang strategik akan membantu menyuburkan dunia
pembukuan dan yang lebih penting daya intelektual masyarakat dapat ditingkatkan Industri
penerbitan yang merupakan tunjang kepada kejayaan penganjuran sesuatu pesta buku
bukanlah semata-mata berfokus kepada keuntungan material, tetapi lebih kepada cara ilmu
pengetahuan dapat disebarkan, dihidupkan dan dimanfaatkan oleh anggota masyarakat.
Akhir sekali, pesta buku akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota
masyarakat kita untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu sama ada dari
dalam atau luar negara. Penyertaan penerbit atau pempamer dari luar negara akan turut
mengangkat prestij Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan seterusnya mengekalkan
momentum perkembangan minat membeli dan membaca dalam kalangan masyarakat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada, Pesta Buku Galak Minat


Membaca Masyarakat, oleh Dr. Anwar Ridhwan,
dalam Berita Minggu, 20 Mei 2014)

1
SULIT 1103/2

Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2 (a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata memberi petunjuk kejayaan.


[2 markah]

(ii) Apakah fokus industri penerbitan yang merupakan tunjang kepada kejayaan
penganjuran sesuatu pesta buku? [3 markah]

(iii) Minat membaca dalam kalangan remaja belum mencapai tahap yang memuaskan.
Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa mampu memupuk budaya membaca
dalam kalangan anak-anak? [4 markah]

2
SULIT 1103/2

Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Ahmad Mutawakkil, sudah jarang-jarang benar balik ke kampung. Perjuangan parti


meruntun waktunya dihabiskan di bandar. Tahun 1952, dalam usia 24 tahun, dia dipilih
menduduki kerusi pemimpin nombor dua parti di peringkat daerah.
Tidak cukup dengan tanggungjawabnya ke sana sini untuk berceramah, Ahmad
Mutawakkil turut menulis dalam surat khabar. Dia juga terkenal sebagai wartawan.
Tulisannya banyak merangsang orang Melayu untuk bersiap sedia mengisi kemerdekaan.
Jangan nanti selepas merdeka, kita jadi macam kera mendapat bunga. Untuk
merdeka, katanya, perjuangan bukan setakat mendesak Inggeris berundur.
Malah, demi mengisi kemerdekaan, kita juga perlu mendesak diri sendiri, mengikis
semua tabiat buruk bangsa kita. Kita pasti akan merdeka, dan untuk itu, kita perlu berjuang
mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa kita ....
Akhirnya, selepas berbulan-bulan lamanya Ahmad Mutawakkil menghilang, satu hari,
pecahlah berita tentang kepulangannya. Oleh sebab namanya sebagai wartawan masyhur
disebut orang di sana sini, Tuan Booth mahu meraikan kejayaannya itu.
Seperti biasa, kami dijemput sama. Di majlis itulah, seorang daripada kami secara
tidak sengaja terdengar perbualan Ahmad Mutawakkil dengan anak gadis Orang Putih itu.

Dipetik daripada cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil


oleh Zainal Rashid Ahmad
dalam antologi Sejadah Rindu,
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Mengapakah Ahmad Mutawakkil jarang-jarang pulang ke kampung? [2 markah]

(ii) Media massa memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat


kepada masyarakat.
Pada pendapat anda, selain melalui akhbar, bagaimanakah sesuatu berita dapat
disebarkan kepada umum? [3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Ahmad Mutawakkil yang terdapat dalam petikan
cerpen di atas dan satu perwatakan lain Ahmad Mutawakkil daripada cerpen
tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]

3
SULIT 1103/2

Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Tradisional


Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syahadan, maka kedengaran di Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya
muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sultan Muzaffar Syah mendengar
khabar itu, maka titah baginda, Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah Keramat.
Maka beberapa puji baginda akan Tuan Sidi Arab itu dan dianugerahi baginda dengan
sepertinya.
Setelah empat puluh dua tahun lamanya Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka
baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda yang bernama Raja Abdullah itulah
menggantikan kerajaan ayahanda baginda, gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Muzaffar
Syah, umur baginda tatkala naik raja itu dua puluh tujuh tahun. Dan baginda beristerikan
anak Seri Nara Diraja yang bernama Tun Putih Nur Pualam; dan ada beranak dengan gundik
baginda seorang perempuan bernama Puteri Bakal. Adapun Sultan Muzaffar Syah itu terlalu
baik parasnya, serta dengan adilnya lagi pemurah; seorang pun raja-raja di dalam alam ini
tiada sepertinya pada zaman itu.
(Dipetik daripada
Burung Terbang Dipipiskan Lada
dalam antologi Sejadah Rindu,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berdasarkan petikan di atas, apakah punca yang menyebabkan Cau Pandan mati?
[2 markah]

(ii) Gambarkan sifat Sultan Muzaffar Syah seperti yang terdapat dalam petikan di
atas. [3 markah]

(iii) Tuan Sidi Arab telah berjasa kepada sultan.


Sekiranya anda sultan, nyatakan tindakan anda agar Tuan Sidi Arab terus kekal
berkhidmat dengan kerajaan anda. [3 markah]

4
SULIT 1103/2

Soalan 2 (d) - Petikan Puisi


Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

AKU MEMBACA LAGI

Aku mendongak langit


membaca garis dan titik
menaakuli kebesaran-Mu
di bawahnya gumpalan mega
hembusan bayu dan banjaran gunung.

Kuselusuri alam
kicauan burung
desiran ombak dan wajah pelangi
mewarnai kehidupan umat-Mu.

Aku mendongak lagi


membaca langit
di dalamnya pohon-pohon kayan rapuh
dahan dan ranting terkulai
daun-daun berguguran
helai demi helai
di lantai tanah airku yang makmur.

Aku membaca lagi


kutemui
bulan dan bintang menangis
meratapi luka nasib bangsa.

Aku mendongak lagi


menitis air mata langit
membasahi bahasa Melayuku
yang berdarah.

Razali Mohd. Yussof


dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Berdasarkan rangkap pertama sajak di atas, apakah yang dilakukan oleh penyajak
ketika dia mendongak ke langit? [2 markah]

(ii) Dalam sajak di atas, penyajak ada menyentuh persoalan nasib bahasa Melayu
yang semakin terpinggir.
Pada pendapat anda, apakah punca-punca bahasa Melayu dipinggirkan?
[3 markah]

(iii) Kemukakan dua nilai yang terdapat dalam sajak di atas. [4 markah]

5
SULIT 1103/2

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa


[30 markah]
Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda
faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,
menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama
khas.
(i) memotong
(ii) menebas
(iii) menebang
(iv) mencantas
(v) menuai
(vi) meraut
[6 markah]

(b) Nyatakan pola bagi ayat-ayat di bawah sama ada ayat tersebut berpolakan Frasa
Nama + Frasa Nama (FN+FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN+FK), Frasa Nama +
Frasa Adjektif (FN+FA) dan Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN+FSN).
(i) Pemuda itu pemain badminton negara.
(ii) Anugerah pelakon terbaik itu dimenangi oleh Amir Khan.
(iii) Kedua-dua pekerja itu lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia.
(iv) Pelakon muda itu berasal dari Indonesia.
(v) Kediaman pembesar itu mewah sekali.
(vi) Rantai mutiara ini untuk ibu.
[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap
ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu
kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Bahan buangan domistik dan industri merupakan faktor utama yang
menyebabkan mencemari sungai.

(ii) Masyarakat moden yang berdapatan tinggi lebih cenderung mengunjungi


pasaraya ternama untuk mendapatkan barangan berjenama.

(iii) Atlet paralimpik Malaysia telah ditempa kejayaan yang memberansangkan


dalam pertandingan sukan pada peringkat antarabangsa.

[6 markah]

6
SULIT 1103/2

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan
penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu
menyalin ayat itu semula.

(i) Hidangan rebus ubi yang empuk itu amat enak dirasai pada waktu petang.

(ii) Pengetua telah mengurniakan sijil pencapaian cemerlang kepada semua murid-
murid yang aktif dalam kegiatan kokurikulum.

(iii) Filem yang dilihat oleh mereka itu berkisah terhadap kepentingan penjagaan
alam sekitar.

[6 markah]

(e) Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian kemukakan tiga peribahasa yang
sesuai berdasarkan situasi berikut.

Peraturan sekolah yang menetapkan para murid supaya datang awal ke sekolah
tepat pada masanya bertujuan untuk melatih murid dalam aspek pengurusan masa.
Amalan ini kemudiannya akan menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka, iaitu
membahagikan masa untuk menelaah pelajaran dan menjalankan aktiviti lain. Segala
kerja sekolah yang diberikan akan diselesaikan dengan sempurna dan mereka sentiasa
memotivasikan diri sendiri untuk mencapai keputusan terbaik.
[6 markah]

7
SULIT 1103/2

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib

(ii) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin [Tingkatan 4]

(iii) Pantai Kasih karya Azmah Nordin

(iv) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor

(v) Tirani karya Beb Sabariah

(vi) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip [Tingkatan 5]

(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop

(viii) Silir Daksina karya Nizar Parman

(a) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan watak
utama dalam novel tersebut. [7 markah]

(b) Setiap novel mengandungi latar masyarakat yang dapat dicontohi pembaca.
Jelaskan tiga peristiwa yang dapat dikaitkan dengan latar masyarakat dalam sebuah
novel yang anda pelajari. [8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Anda mungkin juga menyukai