Anda di halaman 1dari 2

TEMA 3 : PERMAINAN TRADISIONAL – USAHA-USAHA

Tajuk : Cara-cara Mempopularkan Permainan Tradisional

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga
negara kita mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu,
permainan tradisional turut dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita
daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer
dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita
sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan
lenyap di bumi kita ini? Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita
perlu mencari pendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan
tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di situ
cendawan tumbuh. Oleh itu, prakarsa untuk mempopularkan permainan tradisional ini
patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat permainan
tradisional ini.

Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif


yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional ini di negara kita. Kempen ini
perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-
besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media
elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan
dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita,
seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara
bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan
tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena
kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster
dan sebagainya. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta lantaran itu, golongan
muda pasti menghargai dan berminat terhadap permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menjadikan


permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan
itu, pihak sekolah harus digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan permainan
tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional seperti Kelab Wau Bulan, pelajar
boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan syarat-syarat
permainan. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam
permainan tradisional tersebut. Hakikatnya, generasi muda merupakan tunjang yang
bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Justeru,
penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional pasti dapat memajukan
permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap
dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan maka atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam
medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk
melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah yang sangat bermanfaat.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk


mempopularkan permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana,
sebagai fitrah manusia memang suka bertanding dan berlaga. Seterusnya agensi-agensi
kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti pihak Kementerian Kebudayaan dan
Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Malaysia boleh bergabung dengan badan
korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan
tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang
Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik
peminat-peminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian.
Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada
pelancong asing, selaras dengan peribahasa, sambil menyelam minum air.

Secara intihanya/Sebagai intiha bicara, permainan tradisional harus dilestarikan supaya


tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak
acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap
di bumi kita. Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi untuk mempopularkan permainan
tradisional ini agar dapat dilestarikan sampai bila-bila dan menjadi satu alat permainan
yang mesti dimainkan oleh generasi pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai