Anda di halaman 1dari 9

CARA-CARA MEPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi
sehingga negara kita mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan
dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan disisihkan oleh
masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan
perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam
kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah
kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan lenyap di bumi kita ini?
Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari
pendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan tradisional di
negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di situ
cendawan tumbuh. Oleh itu, prakarsa untuk mempopularkan permainan
tradisional ini patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk
mengangkat martabat permainan tradisional ini.

Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah


satu alternatif yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional ini di
negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa,
terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak
televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk
memperkenalkan permainan tradisional di negara kita, seperti wau, gasing,
congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak
media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan
tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan
sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan
peraduan poster dan sebagainya. Bak kata peribahasa,tak kenal maka tak
cinta lantaran itu, golongan muda pasti menghargai dan berminat terhadap
permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia perlu


menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah.
Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan menubuhkan kelab atau
persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional
seperti Kelab Wau Bulan, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat
permainan, cara bermain dan syarat-syarat permainan. Setelah disuntik ilmu itu,
pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional
tersebut. Hakikatnya, generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi
pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Justeru, penglibatan
pelajar secara langsung dalam permainan tradisional pasti dapat memajukan
permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus
lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di
situ ada jalan maka atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang
berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan

tradisional untuk melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah yang sangat


bermanfaat.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk


mempopularkan permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian
kerana, sebagai fitrah manusia memang suka bertanding dan berlaga.
Seterusnya agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti
pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan
Malaysia boleh bergabung dengan badan korporat seperti Proton, TM Net dan
Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah,
daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Salah satu contoh
yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor.
Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat permainan
tersebut dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Hal ini berjaya
mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong
asing, selaras dengan peribahasa, sambil menyelam minum air.

Sebagai intiha bicara, permainan tradisional harus dilestarikan supaya


tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap
acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita
pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa,sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi untuk
mempopularkan permainan tradisional ini agar dapat dilestarikan sampai bilabila dan menjadi satu alat permainan yang mesti dimainkan oleh generasi pada
masa akan datang.

KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL


Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan
dan pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang
kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda.
Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup
yang moden ini ialah permainan tradisional kita yang terdiri daripada congkak,
wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu, generasi muda perlu disedarkan tentang
kepentingan permainan tradisional kepada bangsa dan negara.
Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini
merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana
permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan
ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional tidak boleh disamakan
dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan tradisional
juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul. Sebagai
contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni yang dilukis dan
digunting dengan cantik nian. Jika permainan tradisional kita telah lenyap di

bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita?
Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan
yang signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan
alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita,
para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni.
Lantaran itu, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong yang
melawat ke Malaysia. Seperti peribahasa, Tak kenal maka tak cinta, setelah
diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat dan turut
bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada
itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka di negara
kita patut menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong
asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi
juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada bangsa lain, seperti peribahasa,
serampang dua mata. Ternyata, permainan tradisional merupakan salah satu
tarikan dalam industri pelancongan.
Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan
masyarakat kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan
duniawi. Dengan adanya permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam
masyarakat kita dapat bermain bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya,
terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain
layang-layang. Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersamasama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak . Mereka juga berkongsi
idea dan pendapat tentang lelayang mereka. Tidak hairanlah akan tercetusnya
suasana yang muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Mereka turut melegakan
tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri. Senario ini
jauh lebih baik daripada individu yang asyik bermain permainan komputer di
kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.

Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang


tidak ternilai. Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan
khazanah ini daripada generasi kepada generasi, seperti peribahasa, Tak lapuk
dek hujan, tak lekang dek panas. Walaupun zaman beredar, tetapi segala
warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar
sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa terhanyut oleh arus
globalisasi.

USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL (CONTOH


SPM)
Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia
kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada
pembangunan yang pesat.
Berkait rapat dengan perkembangan tersebut,
generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan
komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan
pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang
enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat.
3

Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa


kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah kita
membiarkan anak watan berterusan meminggirkan budaya mereka? Dalam hal
ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang
pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita
bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut
diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan
tradisional di nusa tercinta ini.
Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan
memperkenalkan serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi
muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan
ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu
bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak
kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi
tujuan memupuk minat
bermain permainan tradisional. Mereka boleh
membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena
hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana pencapaian cemerlang dalam
akademik di sekolah.
Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan
permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan
secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat
memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian
untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan
layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha tersebut secara
tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan tradisional serta
mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata
peribahasa sambil menyelam minum air.
Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah
menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di
sekolah.
Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan
menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional.
Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab
Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan
mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional.
Setelah
mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat
untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam
minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang
yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa
hadapan, justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan
tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tersebut di Malaysia
daripada pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa,
tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar puteraputeri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan
permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi
peperiksaan.
Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan
tradisional merupakan
satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan
permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan
4

Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan


kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan
televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk
memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing,
congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak
media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan
permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus
dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran,
peraduan melukius poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan
tradisional boleh menjadi lebih popular di merata-rata tempat bersesuaian
dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan
kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti
permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi
baru.
Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh
dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut
dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan
berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka
pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli
keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak
langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa
dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai
permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perkara
yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang bertindak sebagai
medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional
kepada pelancong asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus
aktiviti seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat
penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para
pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan
dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara
negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha
kerajaan mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.
Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan
merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan permainan
tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan
semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan
mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah
manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan
sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan
kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net
dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat
sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam
konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang
Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan
kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan
layang-layang tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layanglayang dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Terbukti di sini,
penganjuran pelbagai pertandingan berjaya memperkenalkan permainan

tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong


dalam dan luar negara.
Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya
mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana
warisan tersebut ialah khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Walaupun
Malaysia sedang mengorak langkah serta bersedia melakukan pecutan akhir ke
arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti
kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul dengan mengabaikan
peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap
teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi
terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi
sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak
watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak
berganti beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana
Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI KRAFTANGAN


Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, pepatah Melayu ini
merupakan gambaran tepat yang dapat merumuskan mengenai stigma
masyarakat Malaysia seolah-olah memandang sepi produk kraf tangan buatan
tempatan. mentaliti masyarakat Malaysia yang lebih mendewa-dewakan produk
kraf tangan moden dan berjenama antarabangsa, dilihat ancaman terbesar bagi
industri kraftangan tempatan. Rentetan kelesuan permintaan dalam pasaran
tempatan ini, telah menyumbang kepada kesuraman industri kraf tangan negara
yang boleh diibaratkan seperti hidup segan mati tak mahu. Sorotan daripada
kesuraman iklim ekonomi dunia yang kian meruncing dewasa ini, industri kraf
tangan negara bergelut untuk terus bernafas. memburukkan lagi keadaan dikala
industri kraftangan negara dilihat terumbang-ambing untuk kekal bertahan.
Kerajaan seakan-akan terlepas pandang akan potensi industri ni. Apa yang lebih
membimbangkan ialah pengusaha kraf tangan tempatan bukan sahaja terdesak
untuk mencari peluang perniagaan malah terpaksa berdepan masalah
permintaan domestik yang kurang memberangsangkan. Senario ini jelas sekali
mengecewakan banyak pihak. Oleh yang demikian, pelbagai pihak perlulah
mencari formula atau mekanisme berkesan untuk memajukan industri kraf
tangan di Malaysia.
Dalam usaha memajukan industri kraftangan di Malaysia, kerajaan melalui
agensinya telah berusaha untuk mempromosikan industri kraf tangan di
peringkat antarabangsa. Pihak kerajaan perlu melakukan pelbagai inisiatif
termasuk promosi yang diadakan melalui kempen-kempen, pakej-pakej
pelancongan dan percutian di Malaysia. Dengan majunya industri pelancongan,
secara tidak langsung perusahaan kraf tangan akan semakin menggalakkan
kerana di mana ada gula di situ ada semut. Selain itu, pihak kerajaan boleh
memberi
peluang
kepada
pengusaha
industri
kraf
tangan
untuk
mengkomersialkan hasil keluaran mereka. Pihak kerajaan juga boleh memberi
pinjaman kewangan kepada mereka yang mengusahakan industri kraf tangan.
Industri kraf tangan membuka banyak peluang pekerjaan apabila permintaan
hasil kraf tangan meningkat seperti batik memerlukan pengeluaran yang
6

banyak. Dengan itu, pihak kerajaan dapat membantu meningkatkan industri kraf
tangan untuk terus berkembang maju.
Selain itu,peranan media massa amat penting dalam usaha kita
mengekalkan industri kraf tangan ini. Media massa bertanggungjawab
mempromosikan industri kraf tangan kepada seluruh warga Malaysia. Sejajar
dengan kepesatan arus pemodenan, peranan media massa dalam usaha
mengekalkan indusrti kraf tangan amat penting sekali. Media massa seperti
media elektronik amat sesuai dengan pemikiran generasi muda sekarang, maka
media ini memegang amanah mempromosikan dan menyebarkan maklumat
tentang keunikan barangan kraf tangan. Contohnya rancangan yang dipaparkan
di TV1 iaitu kesenian kraf tangan Malaysia menunjukkan penghasilan kraf tangan
dari segi pembuatan, penyediaan dan pelbagai lagi proses perusahaan membuat
barangan kraf tangan. Selain itu, wartawan rancangan Majalah 3 juga tidak
ketinggalan melaporkan kepelbagaian seni kraf tangan seperti seni anyaman,
seni ukir kayu, seni sulaman, hasil kraf tembikar dan perusahaan membuat
barangan logam. Oleh itu, peranan media massa menerusi promosi hasil kraf
tangan sememangnya tepat kerana kewujudan media elektronik sebagai
medium untuk mempromosikan kraf tangan adalah selari dengan gaya hidup
moden generasi muda pada alaf baru ini. Lagipun, kebanyakan rakyat Malaysia
mempunyai televisyen di rumah masing-masing.
Di samping itu, sekolah juga merupakan salah satu organisasi bagi
memajukan industri kraf tangan. Pihak sekolah haruslah mendedahkan kepada
para pelajar dengan lebih mendalam lagi tentang kesenian kraf tangan supaya
industri kraf tangan tidak ditelan zaman. Sebagai contoh pihak sekolah
menganjurkan pameran dan mengadakan pertandingan hasil kraf tangan, secara
tidak langsung pelajar akan terdedah dengan industri kraf tangan. Hal ini kerana
pelajar masa ini lebih cenderung memilih barangan moden dan berjenama. Pihak
sekolah juga haruslah menubuhkan kelab warisan yang lebih menerapkan
kesenian kraf tangan. Dengan adanya kelab-kelab sebegini industri kraf tangan
tidak lenyap ditelan zaman. Secara tidak langsung, pelajar dapat menonjolkan
bakat yang terpendam dan kreativiti mereka untuk menghasilkan kraf tangan
mengikut imaginasi serta acuan mereka sendiri akan terlaksana.
Seterusnya, perihal masyarakat dewasa ini, suka akan barang yang
mempunyai reka bentuk moden. Hal ini menyebabkan barangan tradisional
khususnya barangan daripada hasil kraf tangan di Malaysia semakin dipandang
lesu oleh segenap lapisan masyarakat. masyarakat seharusnya mengetepikan
persepsi negatif terhadap hasil kraftangan yang dihasilkan oleh pengusaha
tempatan. Masyarakat itu sendiri perlulah memberikan sambutan yang
menggalakkan terhadap industri kraf tangan dengan cara membeli barangan
tradisional seperti bakul anyaman, wau, hasil ukiran tangan dan hasil sulaman.
Dengan cara ini akan menaikkan lagi taraf industri kraftangan di negara kira.
Masyarakat haruslah melibatkan diri dalam industri kraf tangan itu sendiri
dengan cara mengadakan atau menubuhkan kelas serta kelab yang melibatkan
industri kraf tangan di Malaysia. Justeru, jelaslah bahawa komitmen di kalangan
pelbagai lapisan masyarakat diperlukan dalam usaha memartabatkan lagi
industri kraf tangan di negara kita.
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Jelas menunjukkan
bahawa untuk mendapatkan sesuatu yang membuahkan hasil , seseorang itu
7

haruslah mencari inisiatif bagi memberi nafas baru terhadap usaha mereka.
Dalam nada pendekatan lain ini juga, sebenarnya seseorang individu dapat
mendimensikan industri kraf tangan mengikut acuan dan dinamik mereka
sendiri. Hal ini , secara tidak langsung dapat mengangkat martabat industri kraf
tangan negara ke satu tahap yang lebih membanggakan. Dalam hal ini,
pengusaha kraf tangan perlulah memvariasikan corak, nilai estetika dan keaslian
produk kraf tangan yang dihasilkan bagi menjana pertumbuhan industri kraf
tangan negara. Selaras itu, usaha bersepadu ini dilihat sebagai formula yang
dinamik ke arah meningkatkan daya saing produk tempatan yang dinamik ke
arah meningkatkan daya saing produk tempatan khasnya di peringkat
antarabangsa. Selain itu, pengusaha kraf tangan haruslah bijak mencari peluang
dan platform dalam usaha mempromosikan atau mengkomersialkan produk
mereka di peringkat domestik mahupun global. Sekiranya pengusaha kraftangan
mengaplikasikan pendekatan global dalam mencari peluang perniagaan, maka
tidak hairanlah saru hari nanti produk kraf tangan negara mampu duduk sebaris
dengan produk kraftangan antarabangsa, bak kata pepatah duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi. Tuntasnya pengusaha karaf tangan haruslah lebih berinisiatif
dan kreatif dalam memanipulasikan teknologi ICT agar industri kraftangan dapat
bersaing secara kompetitif di peringkat global.

Konklusinya, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi


memartabatkan lagi industri kraf tangan di Malaysia. Semua pihak tidak harus
memandang sebelah mata terhadap industri kraf tangan ini dan lebih malang
lagi terdapat segelintir masyarakat yang menganggap industri kraf tangan
seperti hidup segan mati tak mahu. Oleh itu , marilah sama-sama kita
berganding bahu menyedarkan masyarakat yang dibuai mimpi dalam arus
pemodenan dunia pada hari ini. Jelaslah bahawa kraf tangan merupakan inisiatif
bagi menyelamatkan ekonomi negara dan sekali gus akan tercapai hasrat
Malaysia yang ingin menjadikan negara maju menjelang wawasan 2020.
Sekiranya terdapat kerjasama daripada semua pihak, kesenian kraf tangan yang
diwarisi daripada nenek moyang kita ini pasti tak lapuk dek hujan, tak lekang
dek panas. Peribahasa biar mati anak jangan mati adat seharusnya dijadikan
prinsip hidup masyarakat agar dapat menjayakan usaha yang suci murni ini bagi
mengekalkan industri kraf tangan yang kita warisi turun temurun.

KEPENTINGAN INDUSTRI KRAFTANGAN


Industri kraf tangan bukanlah antara kegiatan ekonomi gergasi di Malaysia. Hal
ini menyebabkan industri kraf tangan negara kian lenyap ditelan zaman.
Mengapakah keadaan ini berlaku? Sesetengah berpendapat bahawa kurangnya
perhatian kerajaan terhadap industri ini menjadikan masalah ini berlarutan.
Kurangnya pengusaha-pengusaha muda juga menyumbang kepada isu ini. Oleh
itu, orang ramai seharusnya sedar akan kepentingan industri ini meskipun
industri ini berskala kecil.
Mari kita fokuskan minda kita kepada perkara yang pertama iaitu industri kraf
tangan dapat menjadi sumber kewangan kepada penduduk luar bandar. Seperti
mana yang kita sudah sedia maklum, terdapat jurang ekonomi yang besar
antara penduduk bandar dan penduduk luar bandar. Kegiatan industri kraf
8

tangan pula sering dijalankan oleh penduduk luar bandar. Apabila penduduk luar
bandar mula menceburi bidang ini, maka penduduk luar bandar dapat menjual
produk ini dan mendapat keuntungan yang berlipat-ganda.
Mari kita lensakan skop pemikiran kita kepada perkara yang seterusnya iaitu
kehadiran industri kraf tangan dapat mempelbagaikan kegiatan ekonomi yang
terdapat dalam negara. Industri kraf tangan bukanlah industri yang setanding
dengan industri pertanian atau pelancongan. Namun, jika hasil industri kraf
tangan dieksport ke luar negara, hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil
pendapatan negara, malah dapat menjadi suatu keunikan di Malaysia.
Sementelahan itu, industri kraf tangan juga dapat membentuk masyarakat yang
kreatif, inovatif dan mempunyai daya semangat yang tinggi. Hal ini kerana
persaingan dalam industri kraf tangan amat sengit. Sesebuah hasil kraf tangan
hendaklah mempunyai nilai komersial dan reka bentuk yang mampu menarik
perhatian pembeli. Untuk menjadi pengusaha yang terbaik, maka pengusaha
tersebut haruslah mempunyai kualiti seperti kreatif dan mampu berdaya saing.
Mari kita luaskan takrifan minda kita kepada perkara yang seterusnya iaitu
industri kraf tangan dapat memperbanyak peluang pekerjaan dalam kalangan
masyarakat khususnya masyarakat desa. Tenaga kerja sememangnya diperlukan
bagi menghasilkan kraf tangan yang diperlukan bagi meningkatkan kadar
pengeluarannya. Kraf tangan membuka peluang kepada para remaja serta belia
untuk mengenali kraf tangan secara lebih mendalam melalui berbagai-bagai
peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang ini. Selain itu, tenaga kerja
yang terlatih juga diperlukan bagi berkongsi ilmu tentang penghasilan sesuatu
produk kraf tangan. Hal ini dapat mewujudkan peluang bagi mereka yang hanya
berkemahiran dalam bidang tersebut khususnya penduduk desa yang
kebanyakannya hanya memperoleh kemahiran yang diturunkan oleh generasi
terdahulu.
Ayuh kita maju ke hadapan dengan perkara yang terakhir iaitu industri kraf
tangan dapat mengekalkan warisan dan budaya Melayu serta menyemai
perasaan cinta akan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat. Arus
pemodenan telah menenggelamkan budaya tradisional masyarakat Melayu
dalam diri remaja pada masa kini. Oleh itu, peluang haruslah diberi kepada
setiap lapisan masyarakat untuk mengenali warisan dan budaya tersebut melalui
konsep rekaan sesuatu kraf tangan yang menggunakan bahan tempatan sebagai
ramuan utama. Budaya masyarakat Melayu juga dapat dipromosikan kepada
negara-negara luar kerana kraf tangan itu sendiri sudah melambangkan identiti
negara yang masih mengekalkan warisan unik secara turun-temurun.
Konklusinya, suatu jaringan kolaborasi haruslah diwujudkan untuk memajukan
industri kraf tangan negara.

Anda mungkin juga menyukai