Anda di halaman 1dari 2

Faedah-faedah bersukan kepada masyarakat.

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang
atau sebagai riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh
yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan
sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat.
Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan
professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan.
Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat
menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja tetapi juga boleh
menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu dan keluarga. Sekiranya aktiviti
sukan menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja mereka dapat mengakrabkan
hubungan sesama masyarakat, malah kesihatan badan mereka juga sentiasa sihat serta kepada
mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang sukan mampu pula menjana ekonomi untuk
membantu mengurangkan kos sara hidup keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah
bersukan kepada maasyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu
mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak
menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional
pada alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi diri dan keluarga
sehingga mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut.
Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan
mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan
sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan langkah
awal bak kata peribahasa Melayu“sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti,
penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat
membantu mereka yang menghidap penyakit untuk kembali pulih. Bahkan juga penglibatan
masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan
bebanan mental terutama kalangan pelajar yang . Sesungguhnya kegiatan sukan dapat
melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan
jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh
badan. Sekiranya, aktiviti bersukan menjadi amalan masyarakat, sudah pasti bilangan
pesakit kronik negara dapat dikurangkan kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan
otak yang cerdas. Seyogia, mencegah lebih baik daripada mengubati Tegasnya,
penglibatan masyarakat dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan
masyarakat yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa lapang
sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan
diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas ,
walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga . Masa lapang ini sangat
bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan
ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat
menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala
vandalism serta hedonisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat
dalam pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah
memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesannya amat jelas kerana dengan
bersukan sukan ahli sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah
gagah dengan yakin sehingga ke peringkat antarabangsa walaupun terpaksa melalui ranjau
pidana dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah
sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet negara bertaraf dunia yang mampu
mengharumkan nama negara tercinta. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan
masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

Di samping itu, bersukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan
hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian
kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih
kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan
kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu,
hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang
sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan
kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui
penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya, amalan bersukan menjadi budaya
masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan masyarakat akan terjalin dan
masalah perkauman akan dapat dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat
bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan
secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh
menjadikan sukan sebagai kerjaya dan boleh meningkatkan ekonomi mereka. Penganjuran dan
pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar.
Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana
keuntungan melalui kadar tukaran wang asing kepada negara. Seiring dengan itu, industri
hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan
hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan
sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain
badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan
badminton dan bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan menjadi budaya
masyarakat bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah mereka dapat meningkat
sara hidup yang kini kian meningkat serta memperkenalkan negara di mata masyarakat
dunia. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat dalam
menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah


kepada masyarakat. Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua
jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu,
berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara
di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan
negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai