Anda di halaman 1dari 8

KEPENTINGAN SUKAN DAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Memperkukuh keharmonian dan perpaduan Negara Memupuk semangat patriotisme Membangunkan masyarakat yang berdisiplin dan berdaya saing Mampu mengukuhkan perpaduan dan kekuatan mental dan fizikal rakyat Salah satu cabang integrasi nasional dan alat penyatuan kaum yang berkesan untuk membina semangat patriotik dan cintakan Negara Amalan gaya hidup sihat, memberi faedah kepada kecergasan fizikal yang seterusnya memanfaatkan diri, organisasi dan Negara Pekerja yang cergas dan aktif akan lebih sihat serta berdaya saing selain dapat meningkatkan prestasi kerja lebih produktif. Kesihatan mental akan lebih stabil di samping tekanan sentiasa dapat dikawal dan lebih motivasi serta berfikiran positif. Secara tidak langsung amalan sukan dan gaya hidup sihat dalam kehidupan mampu melahirkan masyarakat minda kelas pertama.

Faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan


By MAB on 7 September 2012

Pada tahun 2011, kerajaan telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan untuk memastikan semua murid terlibat dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan dalam kalangan murid. Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk suka-suka bagi mengisi masa lapang atau untuk beriadah. Pada tahun yang lalu kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, berenang, permainan bola sepak, tenis, badminton dan sebagainya. Persoalannya apakah faedahnya jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan? Antara faedah bersukan kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin murid. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri sendiri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatihnya. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turuk membentuk disiplin murid tersebut. Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalnya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang

sudah banyak berpeluh. Oleh itu murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran. Di samping itu, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pinggat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif. Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain computer game dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berplesiran di pusat beli-belah, menonton televisyen, dan seumpamanya. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat. Intihanya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawafaedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya hanya hangat-hangat tahi ayam.

Faedah Sukan
Sukan merupakan sejenis kegiatan yang memerlukan ketangkasan dan tenaga yang tertentu. Aktiviti sukan biasanya dapat dijalankan pada waktu pagi, petang atau malam. Terdapat pelbagai jenis sukan seperti acara balapan dan padang, bola keranjang, badminton, bola sepak, bola tampar dan lain-lain lagi. Kebanyakan pelajar mempunyai hobi bersukan dan aktif dalam pelbagai acara sukan. Setiap sekolah wajib mengadakan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan selama sejam pada setiap minggu untuk

menggalakkan pelajar menceburi bidang sukan dan permainan sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu 1Murid 1Sukan. Sebenarnya, sukan memberikan pelbagai manfaat dan faedah kepada golongan pelajar. Pertama-tama, pelajar-pelajar dapat mengisi masa lapang masing-masing dengan berfaedah. Hal ini dapat mengelakkan pelajar-pelajar daripada melibatkan diri dalam gejala sosial yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara seperti budaya lepak, vandalisme, gengsterisme, merokok, menyalahgunakan dadah dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga dapat mengelakkan diri daripada membazirkan masa kerana masa ibarat emas. Selain itu, pelajar-pelajar dapat mencungkil bakat dan kebolehan diri dalam bidang sukan. Melalui sukan, pelajar-pelajar dapat mengetahui dan mengembangkan potensi diri masing-masing. Pelajarpelajar juga dapat mempelajari dan menguasai kemahiran hidup yang berharga seperti bekerjasama dan bertoleransi melalui aktiviti sukan. Sikap-sikap tersebut bukan sahaja diwajibkan ketika bersukan malah juga amat diperlukan ketika pelajar-pelajar mengikuti sesi pembelajaran atau menjalani aktiviti bersamasama pelajar yang lain. Di samping itu, pelajar-pelajar dapat memperlihatkan kemajuan dari segi fizikal dan mental selepas bersukan. Pelajar-pelajar dapat mengekalkan kesihatan badan kerana berpeluh dapat membakar kalori dalam badan sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada penyakit-penyakit serius seperti obesiti, kencing manis dan sakit jantung. Pada masa yang sama, bersukan juga dapat mencerdaskan minda pelajar-pelajar dalam buana pendidikan. Seterusnya, pelajar-pelajar yang aktif dalam sukan dapat dipilih untuk menyertai pelbagai acara sukan sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan ataupun di arena antarabangsa. Dengan ini, pelajarpelajar dapat mengharumkan nama sekolah dan keluarga di persada sukan nasional dan antarabangsa seperti Datuk Nicole David. Pelajar-pelajar tersebut juga berkeupayaan untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dan berkelayakan untuk dia nugerahi Tokoh Pelajar dan olahragawan atau olahragawati di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa bidang sukan membawa faedah-faedah kepada golongan pelajar. Pihak sekolah perlu menganjurkan berbagai-bagai aktiviti di sekolah bagi mengalakkan pelajar bersukan. Ibu bapa juga harus bersikap prihatin akan minat dan kebolehan anak-anak dalam bidang kokurikulum, khususnya sukan dan permainan. Seorang pelajar yang cemerlang bukan sahaja perlu mahir dalam akademik malah juga perlu mengambil berat dan gemilang dalam bidang kokurikulum akademik dan sukan.

PENGENALAN Konsep sukan Sukan gerakan sosiobudaya. Sukan termasuklah acara olahraga dan permainan. Sukan dapat membina kesihatan tubuh badan dan mental. Sukan memupuk semangat kesukanan. Sukan mengharumkan nama ahli sukan dan negaranya. KEPENTINGAN Sukan melahirkan insan yang cergas dan cerdas Huraian: Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa sukan akan melahirkan insan yang cergas dan cerdas.Aktiviti sukan melibatkan pergerakan anggota badan.Senaman menguatkan sendi-sendi dan otot-otot tubuh.Lemak yang termendap dalam badan dapat digunakan untuk menjana tenaga.Aktiviti sukan juga dapat membantu proses perpeluhan dan menghilangkan panas badan.Dengan ini,seseorang akan dapat menghindarkan masalah penyakit kronik seperti sakit jantung dan diabetes.Dengan badan yang sihat,kita dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pekerjaan dan pelajaran.Lantas,kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara dapat dicapai. Sukan menawarkan peluang perniagaan dan pekerjaan Huraian: Sukan juga boleh mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.Kemajuan sukan akan meningkatkan permintaan terhadap peralatan sukan.Oleh itu,bidang pembuatan dan pengeluaran alat-alat sukan secara komersial berkembang pesat.Selain itu,usaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan prasarana sukan turut mendatangkan pulangan yang lumayan.

Misalnya,untuk membina stadium,kolam renang bertaraf antarabangsa,dan sebagainya,peluang perniagaan terbuka luas kepada kontraktor dan pembekal bahan binaan.Peluang-peluang pekerjaan juga diwujudkan.Hal ini bermakna industri sukan bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negara tetapi juga menjamin peluang-peluang baharu bagi rakyat mencari kerjaya yang sesuai. Sukan memupuk perpaduan Huraian : Sukan juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.Sebelum sesuatu pertandingan,para atlet atau pemain akan berkumpul di kem latihan.Di situlah mereka tinggal,makan,berehat,dan berlatih bersama-sama.Pergaulan dan interaksi atlet dan pemain pelbagai kaum akan melahirkan persefahaman yang erat.Ketika pertandingan atau permainan berlangsung,mereka akan bersatu hati,saling membantu untuk menjayakan misi negara.Rakyat jelata sebagai penyokong dan peminat sukan,juga membantu perpaduan negara.Misalnya,para penyokong pasukan negara menunjukkan semangat kebangsaan mereka dengan menyokong semua pemain yang terdiri daripada pelbagai kaum.Terdapat 15 000 orang rakyat berbilang kaum mendaftarkan diri sebagai sukarelawan untuk sukan Komanwel(SUKOM)1998.Mereka berganding bahu membuktikan Malaysia boleh dan mampu menjayakan SUKOM spenuhnya. Sukan mengangkat martabat negara Huraian: Sukan juga dapat mengangkat martabat negara ke mercu yang lebih tinggi.Pencapaian cemerlang dalam temasya sukan membolehkan nama Malaysia terukir dalam sukan antarabangsa.Contoh yang paling ketara ialah apabila Malaysia berjaya merampas Piala Thomas semula pada tahun 1992 setelah 25 tahun kehilangannya.Pasukan badminton Piala Thomas telah menjadikan nama Malaysia disebut-sebut di seluruh dunia.Dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 pula, Dato Lee Chong Wei mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat perak dalam sukan badminton.Pencapaian Ratu Skuasy Negara,Dato Nicol Ann David,lebih membanggakan.Beliau telah menjadi juara dunia dalam sukan itu sebanyak empat kali,iaitu pada tahun 2005-2006 dan 2008-2009 serta menduduki ranking pertama dunia sejak tahun 2006. Sukan juga dapat mengatasi masalah sosial Huraian: Sukan juga dapat mengatasi masalah sosial seperti lepak,bohsia,penyalahgunaan dadah, dan vandalisme yang melanda remaja kita.Masalah ini terjadi kerana remaja tidak mempunyai hobi yang sihat untuk mengisi masa lapang mereka.Aktiviti sukan merupakan salah satu hobi yang sihat dan membolehkan remaja mengisi masa lapang dengan bermakna.Selain itu,sukan juga dapat memupuk disiplin dan azam yang kuat yang membantu remaja menghindarkan diri daripada masalah sosial yang serius. LANGKAH-LANGKAH Peruntukan kewangan yang secukupnya kepada badan sukan penting Huraian: Kerajaan perlulah memperuntukkan wang yang secukupnya kepada badan sukan. Dengan wang yang cukup, pelbagai program latihan dapat dijalankan. Alatan latihan yang canggih dapat disediakan dengan secukupnya. Jurulatih yang bertauliah dan professional dapat diupah. Selain itu, atlet dan pemain juga dapat dihantar keluar negara untuk menjalani latihan. Lebih banyak pertandingan juga dapat di anjurkan. Atlet kita juga dapat ditaja untuk menyertai pertandingan antarabangsa. Pendedahan ini akan membolehkan mereka mengenal pasti kelemahan diri sambil belajar daripada jaguh sukan yang lain. Dengan itu, pastilah mutu sukan tanah air akan meningkat. Percaturan politik dalam persatuan-persatuan sukan harus dibanteras Huraian; Percaturan politik dalam persatuan-persatuan sukan juga harus dibanteras demi kemajuan sukan. Punca utama kemerosotan mutu sukan ialah kekurangan kerjasama antara Majlis Sukan Negara(MSN), Majlis Olimpik Malaysia(MOM), dan persatuanpersatuan sukan. Percaturan politik dalaman,seperti perebutan kuasa dan jawatan juga menjejaskan mutu sukan. Masa, tenaga, dan wang dibazirkan kerana perebutan yang sia-sia ini. Pemimpin tua memegang tampuk selama berpuluh-puluh tahun tanpa membawa sebarang perubahan dan kemajuan kepada bidang sukan tersebut. Mereka juga enggan memberikan laluan kepada orang baharu. Keadaan ini haruslah dibetulkan jika kita mahu memajukan sukan tanah air. Tegasnya, keutuhan persatuan sukan juga penting Ganjaran lumayan kepada ahli sukan Huraian: Ganjaran lumayan kepada ahli sukan juga penting dalam hal ini. Ganjaran wang yang lumayan akan memikat ahli sukan. Sebagai contohnya, pemenang pingat di peringkat antarabangsa diberikan insentif kewangan yang banyak. Tambahan pula, gaji tinggi boleh ditawarkan kepada ahli sukan profesional. Dengan demikian, mereka dapat menumpukan perhatiannya terhadap bidang sukan sepenuhnya. Peluang pendidikan dan pekerjaan juga boleh ditawarkan. Anugerah tertentu seperti olahragawan dan olahragawati juga diberikan. Dengan itu, ahli sukan tidak perlu merisaukan masa hadapan yang tidak menentu apabila prestasi mereka merosot nanti. Bakat perlu dicungkil ketika kecil Huraian:

Bakat ahli sukan juga perlu dicungkil ketika kecil. Pertandingan peringkat sekolah rendah dan menengah diutamakan. Dalam pertandingan sedemikian, Bakat muda yang berpotensi dapat dicungkil. Selanjutnya, bakat mereka dapat diasah pada usia yang kecil. Bimbingan dan latihan khusus diberikan, misalnya golongan yang berpotensi ini dihantar ke sekolah sukan. Maka lahirlah para pelapis ahli sukan negara yang dapat menyambung perjuangan negara dalm bidang ini. Jurulatih perlu ditambah Huraian: Jurulatih juga memainkan peranan yang penting. Lebih banyak jurulatih yang berpengalaman perlu diupah. Mereka dapat memberikan tunjuk ajar yang bernas kepada ahli sukan kita. Mereka juga menggunakan kaedah latihan yang terkini. Hal ini, dapat meningkat mutu sukan negara. Sebagai contohnya, jurulatih daripada negara China telah berjaya membantu pasukan badminton negara merampas Piala Thomas pada tahun 1992. Jurulatih renang yang diupah dari negara barat akhirnya berjaya melahirkan banyak perenang negara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, amatlah penting untuk kita mengupah jurulatih yang betul-betul berupaya dalam pelbagai bidang sukan. IMPLIKASI Bersukan dapat menyihatkan tubuh badan manusia Huraian : Bersukan dapat menyihatkan tubuh badan manusia.Segala kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan adalah untuk kegunaan setiap lapisan masyarakat.Apabila kemudahan sukan dimanfaatkan, kita dapat melahirkan rakyat yang sihat.Rakyat yang sihat akan mewujudkan tenaga kerja yang produktif untuk menggerakkan ekonomi negara. Kajian menunjukkan bahawa sukan dapat mengelakkan seseorang daripada serangan penyakit seperti strok, diabetes atau kencing manis, darah tinggi dan barah. Sukan dapat membantu meningkatkan pengaliran darah dalam tubuh manusia hatta menjadikan seseorang itu sihat dan bertenaga. Rakyat yang sihat penting untuk pembangunan ekonomi negara. Perkembangan sukan juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk Huraian : Perkembangan sukan juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk.Kemajuan sukan menyebabkan kewujudan syarikat-syarikat pengeluar barangan sukan seperti kasut, baju, stoking, raket, bola dan pelbagai produk sukan yang lain.Kedai-kedai sukan juga dibuka di setiap pelosok negara dan memberikan peluang kepada rakyat untuk berniaga. Peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada rakyat negara ini di kilang-kilang berasaskan produk sukan. Atlet sukan yang cemerlang seperti Shalin Zulkifli, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David dapat menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan melalui penajaan. Mereka juga boleh menjadikan sukan sebagai profesion. Pendapatan negara juga dapat ditingkatkan melalui sukan Huraian : Pendapatan negara juga dapat ditingkatkan melalui sukan. Penganjuran Sukan Komanwel Ke-16 pada tahun 1998 dahulu menguntungkan negara dari segi pendapatan.Kemasukan pelancong yang ramai menjana ekonomi negara.Hak penyiaran eksklusif melalui penganjuran sukan Formula 1 menguntungkan penganjur. Industri sampingan seperti pengangkutan, makanan , media dan pelancongan turut mendapat tempiasnya. Pelaburan asing juga dapat ditingkatkan dan Malaysia memperoleh keuntungan besar dari segi tukaran wang asing. Oleh itu, tidak hairanlah setiap negara bersaing untuk menjadi penganjur sukan bertaraf dunia seperti Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia, Sukan Olimpik, dan pelbagai kejohanan yang lain. Sukan sebagai alat perpaduan dan perpaduan antarabangsa. Huraian: Sukan sebagai alat perpaduan dan perpaduan antarabangsa. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Untuk mengeratkan hubungan antara kaum yang pelbagai itu, sukan merupakan salah satu wadahnya. Sukan juga dapat mengikis rasa buruk sangka dalam kalangan pemain dan penonton.Semangat kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan pemain.Pada peringkat antarabangsa, sukan dapat menjalin hubungan diplomatik dan perbezaan ideologi politik. Keamanan dunia dapat dicapai jika setiap negara mengutamakan sukan. Sukan dapat mengukuhkan perpaduan umat dan mengikis perasaan perkauman. Kegiatan sukan juga dapat mengurangkan kos perubatan untuk rakyat Huraian: Kegiatan sukan juga dapat mengurangkan kos perubatan untuk rakyat. Sukan menyihatkan rakyat,dan secara tidak langsung k erajaan dapat mengurangkan kos perubatan untuk merawat rakyat.Peruntukan yang tinggi untuk kesihatan rakyat dapat dialih kepada sektor-sektor lain yang lebihmemerlukan untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Rakyat yang sihat tidak perlu lagimemikirkan kos perubatan Rakyat juga dapat menjimatkan pendapatan untuk kesejahteraan keluarga seperti mendapatkan keperluan lain seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan melancong. KESIMPULAN Kerajaan berusaha memajukan sukan. Pelbagai program pembangunan dan galakan sukan telah dilaksanakan. Masyarakat kita juga boleh membantu dalam pelbagai cara. Langkah perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara. Kerjasama semua pihak penting dalam hal ini.

Kita sering diberitahu bahawa sukan itu adalah penting. Namun, apakah definasi bersukan? Menurut kamus Edisi Ketiga, sukan adalah segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga yang menyihatkan badan atau dilakukan secara hiburan. Contohnya, sekarang, acara yang paling gemuruh, Olimpik, telah menarik perhatian ramai orang untuk menonton pelbagai sukan yang diuruskan. Antaranya, berenang, lompat tinggi, badminton, tenis meja, bola dan lain-lain lagi. Sukan memang banyak faedahnya. Faedahnya yang pertama ialah bersukan dapat menyihatkan badan seperti yang dikatakan pada definasinya. Apabila kami mengeluarkan segala tenaga kami bermain sesuatu jenis sukan, badan kami berpeluh. Apabila, kami berpeluh, kami sebenarnya mengeluarkan toxin-toxin lalu membersihkan badan. Dengan proses pembersihan ini, badan kami akan rasa lebih segar. Badan orang sering bersukan pun banyak berotot dan tegap. Jika kami sering bersukan, kami tidak akan jatuh sakit semudah orang yang tidak bersukan dan gemar memakan makanan yang terlalu berminyak atau terlalu masin. Faedah kedua bersukan ialah ia membentukkan sesuatu pasukan supaya mereka boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih baik. Kerana mereka sentiasa terpaksa memikirkan strategi untuk permainan, mereka dapat bekerja dalam sesuatu kumpulan. Lagipun, lama-kelamaan, semua ahli pasukan akan merasa bahawa pasukan mereka seperti sebuah keluarga. Misalnya, jika mereka kalah dalam satu permainan, mereka akan menghiburkan hati satu sama lain dan mereka semua sentiasa menggalakkan satu sama lain untuk bermain dengan sepenuh hati dan bermain dengan sebaik mungkin. Akhirnya, faedah yang ketiga ialah bersukan mejaminkan jalan kehidupan yang sihat. Bersukan dapat mengurangkan berat badan seseorang dan risikonya menjadi gemuk dan menangkap pelbagai jenis kesakitan kerana gemuk akan berkurangan. Bersukan pun menyegerakan otak dan minda supaya dapat berfikir dengan jelas dan kami dapat menimbang dan berfokus dengan lebih mahir. Pengkajian pun menunjukkan bahawa bersukan dapat menolong melawan kemurungan dan perasaan terlalu khuatir. Berdasarkan faedah-faedah yang telah dibentangkan, kami dapat berpendapat bahawa sukan menyihatkan badan, membina sebuah pasukan dan menjamin jalan kehidupan sihat. Dengan ini, terbukti lah bahawa bersukan memang banyak faedahnya. Kami sepatutnya menggalakkan keluarga, teman-teman, jiran-jiran dan sesiapa lagi dan ingin dengar untuk rajin bersukan. Tentu dunia ini akan menjadi lebih sihat.

Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini. Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu

sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar ini. Jika kita singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini. Pada masa yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini. Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon

terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/sosial/1445-kepentingan-sukan-dan-amalan-gaya-hidupsihat.html http://guruselamanya.wordpress.com/2012/09/07/faedah-faedah-melibatkan-diri-dalam-aktivitisukan/

http://seriakses.blogspot.com/2010/07/kepentingan-sukan-dan-ko-kurikulum.html

http://bmssbj.blogspot.com/2013/07/normal-0-false-false-false-en-my-x-none.html

http://schazeewany.blogspot.com/2011/03/sukan-dalam-konteks-pembangunan-negara.html http://afiqekie.files.wordpress.com/2012/12/badminton-sr.pdf http://anelyza.blogspot.com/2012/11/manfaat-dasar-1-murid-1-sukan.html