Anda di halaman 1dari 3

KEJAYAAN demi kejayaan yang dicipta atlet negara dalam pelbagai acara sukan telah

banyak menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang tahun 2012.


Tidak kira pada peringkat mana sekali pun, atlet negara telah membuktikan kemampuan
mereka bersaing bukan sahaja untuk kepuasan peribadi tetapi yang lebih penting bagi
mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Mewarnai pencapaian yang membanggakan rakyat Malaysia ialah pungutan satu pingat
perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik 2012 di London menerusi Datuk Lee Chong Wei
(badminton) dan Pandelela Rinong Pamg (terjun).
Biarpun tidak banyak kilauan pingat diraih atau sasaran pingat emas pertama Malaysia pada
temasya sukan terbesar dunia itu tidak kesampaian, pencapaian tersebut adalah yang terbaik
jika dibandingkan dengan temasya sebelum ini.
Ini kerana, pada temasya Olimpik empat tahun lepas di Beijing, China, Malaysia hanya
meraih satu perak dan meskipun kejayaan kali ini menyamai pencapaian kontinjen negara
pada edisi 1996 di Atlanta, namun ia diraih dalam dua acara berbeza.
Jadi, ia pencapaian di luar jangkaan kerana sejak atlet negara menyertai temasya tersebut
pada 1956, hanya acara badminton yang menyumbangkan pingat buat Malaysia.
Malah, pencapaian menakjubkan Pandelela, gadis Bidayuh dari Bau, Sarawak yang mencipta
sejarah apabila meraih pingat gangsa dalam acara terjun, menjadikannya atlet wanita
pertama Malaysia merangkul pingat pada temasya Olimpik.
Sementara itu, pencapaian atlet paralimpik negara tidak kurang hebatnya apabila Malaysia
memenangi sebutir pingat perak menerusi pemanah, Hasihin Sanawi dan satu gangsa
menerusi Muhammad Ziyad dalam acara melontar peluru.
Kejayaan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik 2012 di London itu adalah
pencapaian terbaik atlet istimewa tersebut sejak mereka menyertai temasya berkenaan.
Jaguh badminton dunia, Chong Wei masih cemerlang di pentas antarabangsa walaupun dia
gagal menterjemahkan emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik selepas tumpas kepada
musuh ketatnya, Lin Dan dari China.
Kejayaannya merangkul beberapa gelaran sepanjang tahun ini meletakkan Chong Wei kekal
sebagai pemain No. 1 dunia, sesuatu yang jarang dilakukan pemain Malaysia untuk
memegang status itu bagi tempoh yang lama iaitu sejak 2008 walaupun adakalanya
rankingnya jatuh tetapi kembali ke nombor satu.
Selepas mengecap pelbagai kejayaan dalam arena badminton, Chong Wei, 30, menamatkan
zaman bujang dengan gadis pilihan hatinya yang juga bekas pemain wanita No. 1 negara,

Wong Mew Choo selepas 11 tahun mengharungi pelbagai cabaran sebagai pasangan
kekasih.
Mereka mula bersua muka ketika bersama-sama di kem badminton kebangsaan 2001 di
Kuala Lumpur apabila menjadi pemain pelapis bagi skuad negara dan pada tarikh 9
November lepas, mereka disatukan sebagai suami isteri pada satu majlis yang disifatkan
sebagai Wedding Of The Year.
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David juga terus memahat nama sebagai pemain 'luar
biasa' dalam sukan skuasy apabila kekal sebagai pemain wanita No. 1 dunia, gelaran yang
diraihnya sejak 2006.
Walaupun rankingnya ada kalanya jatuh, Nicol tetap unggul sebagai pemain skuasy wanita
terbaik dunia dengan pelbagai gelaran juara dalam genggamannya tahun ini.
Malaysia juga boleh meletakkan harapan kepada pelumba Moto3 negara, Muhammad
Zulfahmi Khairuddin untuk menaikkan nama Malaysia di gelanggang sukan pemotoran dunia
apabila dia turun beraksi dalam saingan MotoGP 2013.
Kejayaan pelumba Air-Asia-SIC-Ajo itu meraih dua podium, masing- masing di GP Malaysia
dan GP Valencia memperlihatkan dia antara pelumba yang perlu diberi perhatian dalam
saingan MotoGP musim depan.
Ini terutamanya selepas dinobatkan sebagai 'Pelumba Paling Meningkat 2012' pemilihan
untuk anugerah itu dilakukan oleh laman rasmi Kejuaraan MotoGP Dunia, www.motogp.com
menerusi program pemilihan After the Flag setiap tahun.
Muhammad Zulfahmi bukan saja melakar kemenangan dengan meraih tempat kedua di
Sepang dan ketiga di Valencia tetapi musim 2012 juga menyaksikan dia berjaya mencatat
tiga masa terpantas di GP Belanda, GP Malaysia dan GP Valencia, sekali gus memberi
gambaran betapa musim depan amat dinanti-nantikannya.
Kecemerlangan jaguh boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek menjulang kejuaraan Piala
Dunia QubicaAMF di Wroclaw, Poland awal Disember ini pula melengkapkan koleksi gelaran
utama pemain boling kebangsaan pada peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, Malaysia pernah mengecapi kejayaan dalam semua saingan peringkat tertinggi
termasuk Kejohanan Dunia, namun gelaran juara Piala Dunia tidak pernah terjangkau oleh
mana-mana pemain negara.
Dalam arena sukan tempatan, saingan bola sepak Liga Malaysia mencetuskan fenomena
baharu apabila Kelantan dinobatkan sebagai juara trebel.

Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) 2-1 pada perlawanan akhir turut unggul sebagai juara Liga Super serta Piala
FA dan kejayaan itu menyamai pencapaian Kedah yang melakukannya pada 2007 dan 2008.
Namun, kegagalan skuad Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan bola sepak Piala
Suzuki AFF 2012 apabila terkandas pada peringkat separuh akhir selepas tumpas kepada
Thailand, ternyata mengecewakan peminat sukan tempatan.
Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal itu gagal mengekalkan kejuaraan yang dimenangi
mereka dua tahun lepas apabila tumpas 1-3 secara agregat kepada Thailand.
Meskipun pelbagai kejayaan dicipta, tahun 2012 juga tidak sunyi daripada kontroversi.
Pada April lepas, peminat bola sepak tanah air terutama penyokong Kelantan dikejutkan
apabila Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa
digantung dua setengah tahun.
Hukuman ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan itu oleh Jawatankuasa Tatatertib
FAM kerana membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara
dan ini melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014.
Penggantungan ke atas Annuar itu menjadikan beliau individu ketiga menjadi 'mangsa'
hukuman FAM selepas dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Datuk Raja Ahmad
Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang digantung kerana
mengkritik FAM.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sering dilanda masalah terus mencetuskan
kontroversi semasa proses pemilihan pucuk pimpinan baharunya pada September lepas.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim gagal mempertahankan
jawatan Presiden KOM apabila ia kini disandang Zainal Abidin manakala Timbalan Presiden
KOM, Datuk Karim Ibrahim turut kecundang mengekalkan jawatan itu apabila ia kini dipegang
Datuk Wan Hisyam Wan Salleh.
Dalam keghairahan negara meraih pengiktirafan dalam bidang sukan pada peringkat
antarabangsa, Malaysia kehilangan beberapa tokoh sukan tersohor seperti Tan Sri Hamzah
Abu Samah, Datuk Punch Gunalan dan legenda bola sepak negara, Tan Sri Abdul Ghani
Minhat. - Bernama

Artikel
Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?
y=2012&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3Y2XBvftq
Hakcipta terpelihara

Anda mungkin juga menyukai