Anda di halaman 1dari 6

Hubungan antara Taraf Pendidikan dan Pembangunan Kerjaya : Satu tinjauan awal Nafsah binti Mohd Shah (P66399)

Universiti Kebangsaan Malayia

Abstrak Memang tidak dapat dinafikan bahawa taraf pendidikan seseorang individu akan mempengaruhi corak pembangunan kerjaya individu tersebut. Hal ini adalah disebabkan, pendidikan merupakan sesuatu aspek yang mampu mengubah tingkah laku dan cara pemikiran seseorang individu yang dikatakan mempunyai pendidikan. Bukan itu sahaja, pendidikan juga merupakan satu proses yang bertujuan untuk mengembangkan lagi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Oleh itu, tidak hairanlah apabila seseorang yang berjaya dalam pendidikan akan turut mengecapi kejayaan dalam mencari peluang kerjayanya. Semakin tinggi taraf pendidikan seseorang, semakin cerahlah peluangnya dalam membangunkan kerjayanya dalam kehidupan seharian. Justeru itu, kertas kerja ini akan cuba untuk membincangkan apakah hubungan yang terdapat antara taraf pendidikan dan juga pembangunan kerjaya seseorang? Perbincangan ini juga akan fokus terhadap kesan pendidikan ke atas ekonomi dan sosial seseorang serta faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya pelajar di Malaysia.

Kata Kunci : Pendidikan, ekonomi, sosial, faktor pemilihan kerjaya pelajar.

Pendahuluan Pendidikan merupakan satu perkara penting yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang inginkan kejayaan. Sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi, aspek pendidikan amat dititikberatkan dalam kehidupan kerana ia dilihat mampu untuk memberi kesan ataupun nilai yang baik dalam diri setiap insan. Pendidikan merupakan satu elemen penting dalam kehidupan kerana ia akan membantu dalam merealisasikan pertumbuhan ekonomi yang mapan (Naziatul Aziah, 2012a). Proses pendidikan menjadi faktor utama dalam mencorak dan menggerakkan manusia. Pendidikan juga dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam menyediakan tenaga mahir. Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan di Malaysia sentiasa diperbaiki dan disemak mengikut kepentingan dan keperluan semasa bagi memastikan setiap individu menerima pendidikan yang seimbang dari aspek rohani, jasmani dan fizikal (Naziatul Aziah, 2012b). Hal ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara dari pelbagai aspek terutamanya ekonomi.

Stratifikasi masyarakat moden sekarang hidup dalam kelas sosial masing-masing yang mempunyai perbezaan antara satu sama lain sama ada dari aspek kehidupan, ekonomi dan juga pendidikan. Setiap kelas sosial ini yang bermula dari kelas bawah sehinggalah kelas atas mempunyai jurang yang agak ketara terutamanya dari aspek ekonomi dan juga pendidikan. Keadaan ini menunjukkan bahawa kelas yang berada pada kedudukan yang tinggi dikatakan mempunyai kehidupan yang lebih baik dan selesa. Justeru itu, ahli masyarakat sentiasa bersaing antara satu sama lain untuk mencapai kedudukan dan mobiliti sosial yang lebih baik. Hal ini juga dikatakan mempunyai kaitan dengan pencapaian seseorang individu dalam pendidikan. Sehubungan dengan itu, taraf pendidikan seseorang juga boleh mempengaruhi corak pemilihan dan juga pembangunan kerjaya individu tersebut. Semakin tinggi taraf pendidikan seseorang, semakin tinggi peluang untuk memperoleh kerjaya yang lebih baik dan selesa. Bukan itu sahaja, pendidikan dikatakan mampu untuk menghasilkan tenaga kerja yang bermutu tinggi, cara pemikiran yang kreatif dan kritis (Satrio, 2010). Justeru itu, pembentukan modal insan yang cemerlang dan berpaksikan pengetahuan hanya dapat dicapai melalui penjanaan pendidikan. Ini kerana, pendidikan adalah wadah utama bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti untuk membangunkan dan mengembangkan ekonomi negara melalui pemilihan kerjaya yang sesuai dengan taraf pendidikan yang dimiliki. Pendidikan juga merupakan saluran utama dalam membawa transformasi kepada sesebuah masyarakat.

Definisi Pendidikan dan peranannya Pendidikan dilihat sebagai satu proses bagi tujuan untuk mengembangkan lagi tahap jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial (Hussin et al., t.th). Sehubungan dengan itu, pendidikan merupakan satu elemen yang mampu untuk membantu dan menjadikan seseorang individu agar lebih mengenali serta mengetahui matlamat hidupnya sendiri. Kenyataan ini turut disokong oleh Abdul Fatah Hassan (2003) menyatakan bahawa pendidikan mengajar dan mendidik manusia untuk berfikir dengan lebih rasional, bebas, baik serta mampu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa pendidikan menjadi salah satu medium yang penting dan bertanggungjawab untuk menghasilkan seseorang individu agar berfikir dengan lebih kreatif serta tahu untuk membezakan perkara yang baik mahupun negatif.

Menurut Syed Naquib al-Attas (1987), pendidikan juga merupakan satu proses untuk menitiskan ilmu ke dalam diri seseorang individu. Ini menunjukkan betapa pentingnya seseorang individu untuk memiliki dan meningkatkan taraf pendidikan untuk memperolehi kehidupan yang diinginkan. Bukan itu sahaja, berdasarkan kepada maksud yang diberikan oleh Syed Naquib al-Attas, jelas menunjukkan bahawa pendidikan berperanan untuk membawa seseorang individu tersebut agar lebih maju dengan mencakupi pelbagai sudut seperti ilmu, ekonomi dan seterusnya moral ataupun akhlak yang begitu penting dalam diri setiap ahli masyarakat. Jika diteliti maksud pendidikan itu sendiri, sebenarnya ia tidak dapat dipisahkan daripada nilai-nilai akhlak dan moral. Sehubungan dengan itu, dalam Islam kalimah tadib merupakan salah satu istilah pendidikan yang digunakan untuk menerangkan dengan lebih tepat mengenai maksud pendidikan. Tadib yang kata dasarnya addaba adalah bermaksud mendidik dan mengajar adab atau akhlak. Asmawati Suhid (2005) menjelaskan bahawa Al-Ghazali turut menerangkan maksud pendidikan ialah menanam perangai baik dalam diri kanak-kanak supaya mereka dapat menilai antara yang benar dan yang salah. Hal ini disokong pula oleh pandangan Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1980) yang menegaskan bahawa pendidikan merupakan proses penerapan adab ke dalam diri seseorang. Tegasnya juga, menurut perspektif Islam, pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang berakhlak dan bermoral. Sehubungan itu, pendidikan merupakan satu medium yang begitu penting untuk membangunkan modal insan yang berkualiti. Taraf pendidikan yang dimiliki akan membawa kepada pembangunan kerjaya yang dapat meningkatkan ekonomi individu tersebut malahan turut memberi sumbangan dalam menambahkan lagi pendapatan serta aset negara. Bukan itu sahaja, taraf pendidikan seseorang juga merupakan salah satu faktor yang mempengarhui seseorang dalam pemilihan kerjaya yang bersesuaian. Namun, sejauhmana kebenaran penyataan tersebut akan dibincangkan dalam kertas kerja ini yang juga merupakan salah satu perkara yang menjadi fokus kajian bagi pengkaji. Justeru itu, dalam kertas kerja ini akan membincangkan mengenai taraf pendidikan seseorang dan pembangunan kerjaya. Adakah terdapat hubungan antara kedua-dua aspek tersebut dan saling mempengaruhi?.

Teori Modal Insan/Teori Fungsionalisme

Kesan pendidikan ke atas taraf ekonomi dan sosial seseorang Berdasarkan konsep pendidikan itu sendiri yang telah dibincangkan sebelum ini, nyata menunjukkan bahawa pendidikan mempunyai kaitan dan kesan ke atas hidup seseorang individu. Hal ini adalah disebabkan salah satu peranan pendidikan ialah untuk mengembangkan idea dan pengetahuan yang tentunya kritikal bagi ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy) pada masa kini (H.Osman, 2007). Individu yang berpengetahuan tinggi amat diperlukan dalam sesuatu bidang pekerjaan yang akan memberi hasil pulangan atapun pelaburan terhadap individu itu sendiri dan juga negara.

Faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya pelajar di Malaysia (mini kajian)

Cabaran

Rujukan Asmawati Suhid(2005). Pemantapan komponen akhlak dalam pendidikan Islam bagi menangani era globalisasi. Jurnal Kemanusiaan. Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, 6 : 95-103. Universiti Teknologi Malaysia. Satrio Adi Setiawan (2010), Pengaruh Umur, Pendidikan, Pendapatan, Pengalaman Kerja dan Jenis Kelamin Terhadap Lama Mencari Kerja Bagi Tenaga Kerja Terdidik di Kota Magelang, Fakultas Ekonomi, Universitas Diponegoro, Semarang. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1980). The concept of education in Islam. KualaLumpur. ABIM. H.Osman Rani (2007), Pendidikan dan Pembentukan Modal Insan dlm. Asan Ali Golam Hassan (2007), Hala Tuju dan Cabaran Pembangunan Sektoral dan Sumber Manusia dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, Universiti Utara Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai