Anda di halaman 1dari 4

010926-07-0053

1.0 PENGENALAN

Terdapat dua komponen yang penting dalam dunia pendidikan pada abad ini, iaitu sosial
dan budaya. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua (2008), sosial bermaksud segala hal
yang berkaitan dengan masyarakat. Menurut Jacobus Ranjabar (2013) pula, konsep sosial
dalam masyarakat adalah segala hal atau perkara yang bertalian dengan sistem hidup
bersama atau hidup bermasyarakat daripada orang atau kelompok orang yang memiliki
struktur, organisasi, nilai-nilai sosial, dan aspirasi hidup serta cara mencapainya.

Bagi istilah budaya pula, jika dilihat dari segi asal usul bahasa, istilah budaya
dalam bahasa Inggeris ialah ‘culture’ yang berasal daripada perkataan bahasa Latin yang
berbunyi ‘colere’. Ia bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara dan
mengerjakan pelbagai tindakan yang boleh menghasilkan tindakan budaya (Suwardi
Endraswara, 2006:4). Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), budaya juga
didefinisikan sebagai perkara-perkara berkaitan dengan budi dan akal. Mengikut Rohana
Yusof (2010), istilah budi membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang
sempurna manakala daya pula dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan.

Merujuk kepada penulisan Najeemah Md. Yusof (2006), pendidikan ialah aktiviti
perkembangan dan penyuburan pemikiran serta kuasa-kuasa semula jadi melalui
pembelajaran yang sudah dirancang, meliputi pendidikan formal dan pendidikan tidak
formal. Pendidikan formal adalah jalur pendidikan yang berstruktur terdiri atas
pendidikan dasar, pendidikan menengah dan pendidikan tinggi , manakala pendidikan
tidak formal pula merujuk kepada jalur pendidikan di luar pendidikan formal yang dapat
dilaksanakan secara berstruktur (Prof. Chomaidi dan Salamah, 2018). Maka bolehlah
dikatakan di sini secara ringkas bahawa pendidikan adalah pengajaran dan ia melibatkan
semua perkara atau perihal yang berkaitan mendidik atau mengajar.

1
010926-07-0053

Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di Malaysia adalah suatu


usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Dalam hal ini , Kementerian Pelajaran Malaysia berusaha melahirkan rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Di sini dapat
disimpulkan bahawa pendidikan di Malaysia berkait rapat dengan sosial dan budaya
kerana selain meletakkan usaha dalam perkembangan intelek, pendidikan negara kita
turut menitikberatkan perkembangan kebudayaan dan sosial iaitu perkembangan dari segi
jeri (jasmani, emosi, rohani dan intelek) dalam diri setiap individu, bukannya sekadar
mementingkan pencapaian kemajuan dalam setiap bidang.

Sejajar dengan misi dan visi setiap sekolah yang menitikberatkan pencapaian
cemerlang murid-murid dari segi kurikulum, kokurikulum dan perkembangan
sahsiah , salah satu program ke arah kecemerlangan pelajar yang merupakan tonggak
negara pada masa akan datang telah diperkenalkan iaitu Program Mentor Mentee.

Program mentor mentee mengandungi dua elemen penting iaitu mentor dan
mentee. Perkataan mentor membawa maksud seorang rakan yang boleh dipercayai dan ia
biasanya ditujukan kepada orang yang berpengetahuan dan mempunyai pengalaman di
dalam sesuatu bidang. Mentee pula bermaksud individu yang dipandu dan yang dipimpin
(Prof. Madya Dr. Ismail Baba, 2007).

Selain sekolah kerajaan, institusi sekolah swasta atau institusi dalam pelbagai
bidang juga mempunyai program mentoring yang tiada perbezaannya dengan program
mentor mentee. Sistem mentoring ini bukanlah satu perkara yang baharu, malah ia telah
diaplikasikan dengan sangat meluas merentasi pelbagai bidang seperti perniagaan,
kesihatan dan pendidikan. Malah, program mentoring ini dikatakan telah lama menjadi

2
010926-07-0053

perhatian utama oleh ahli-ahli akademik dan industri sebagai satu program untuk
pembangunan profesional dan peribadi individu (Rekha dan Ganesh, 2012).

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, program mentor mentee telah


dilaksanakan bermula daripada peringkat sekolah hinggalah ke peringkat pengajian
tinggi. Di peringkat sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyenaraikan
program mentor mentee sebagai salah satu langkah dalam membentuk pembangunan
modal insan. Menurut Azizi Ahmad (2018), program ini dilihat sebagai satu proses
interaksi antara individu atau kumpulan, di mana mentor bukan sahaja menitikberatkan
individu (mentee) dan perhubungan psikologi mentinya, tetapi mentor juga
bertanggungjawab untuk membimbing, memberi penghargaan, kasih sayang dan
mengasah kemahiran-kemahiran lain seperti membuat keputusan, menghadapi masalah
atau mengatasi tekanan dan berusaha membimbing mentinya menjadi individu yang
berguna kepada masyarakat dan negara. Pelaksanaan program ini sangat penting bagi
memenuhi ‘konsep pementoran’ iaitu bagi memudahkan guru-guru membimbing para
pelajar dalam kumpulan yang lebih spesifik.

Menerusi program ini, pelajar-pelajar (mentee) akan didampingi dengan lebih


rapat oleh mentor mereka. Kelaziman, semua guru (mentor) akan diberikan kumpulan
mentee tersendiri di dalam kelas yang diajar dan biasanya perjumpaan program mentor
mentee akan dijalankan pada waktu perhimpunan rasmi pada hari isnin secara tidak tetap.
Walau bagaimanapun, tarikh-tarikh tersebut mungkin akan dipinda dan tertakluk kepada
keutamaan aktiviti-aktiviti sekolah. Oleh itu, mentor bolehlah memainkan peranan bagi
mengadakan perjumpaan mentor-mentee di luar waktu PdP sekolah, pot luck, tea talk,
ziarah dan sebagainya dengan bergantung kepada keperluan mentee masing-masing.
Maka,rumusan yang dapat kita peroleh berdasarkan idea di atas ialah program mentor
mentee mendukung peranan yang penting dalam pembentukan pelajar cemerlang dari
setiap aspek seperti pemikiran, fizikal, akademik, sahsiah, mental dan sebagainya.

3
010926-07-0053

Akhir kata, sejajar dengan usaha kerajaan untuk melahirkan pelajar cemerlang
yang seimbang dalam setiap aspek, pengkaji telah membuat satu kajian iaitu
keberkesanan program mentor mentee terhadap pembentukan pelajar cemerlang di SMJK
Krian. Kajian ini bertujuan meninjau dan menyelidik keberkesanan program mentor
mentee ke atas pembentukan pelajar berkualiti dari setiap aspek di SMJK Krian. Rasional
pengkaji membuat kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan program mentor mentee
dalam pembentukan pelajar cemerlang melalui aktiviti yang dilaksanakan serta kesan
dalam pembentukan pelajar dari aspek jeri (jasmani, emosi, rohani, intelek) agar
berupaya untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai