Anda di halaman 1dari 3

Pendidikan di Malaysia telah berkembang dengan pesat sekali.

Panduan utama
pendidikan di Malaysia ialah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
FPK digubal untuk memberi panduan atau arah tuju untuk menentukan haluan, asas dan
inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Sebagai negara
yang sedang membangun, aspek utama yang ditekankan oleh kerajaan ialah pembangunan
modal insan. Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan
sesebuah negara. Dalam hal ini pendidikan memainkan peranan yang amat penting bagi
merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju pada abad ini. Penekanan yang
diberikan untuk menjana pembangunan modal insan yang seimbang ialah dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek sepertimana yang terkandung dalam FPK. Namun, tanpa disedari
terdapat beberapa ciri atau elemen FPK yang dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Timur.

Antara ciri FPK yang dipengaruhi adalah mewujudkan modal insan yang seimbang
dari segi intelek dan rohani. Hal ini mirip dengan aliran pendidikan yang dibawa oleh
Konfucius, di mana beliau menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian. Menurut Ahmad
Fakhrurrazi dan Mahfuzoh (2014), di antara kesemua elemen yang ditekankan dalam
falsafah pendidikan tersebut, aspek rohani adalah paling utama dalam menentukan
kemenjadian insan baik. Tambahan lagi, aspek perkembangan rohani sangat berkait rapat
dengan pembangunan sahsiah pelajar (Sidek Baba, 2003). Malah, agamawan juga
mentafsir frasa “modal insan” yang terdapat dalam FPK adalah merujuk kepada seseorang
manusia yang mempunyai ciri-ciri mulia serta mempunyai tahap pengetahuan dan
kemahiran yang bersifat bersepadu antara dunia dan akhirat (kerohanian). Oleh itu, kerajaan
Malaysia telah menetapkan pembangunan rohani secara holistik sebagai antara teras utama
dalam matlamat FPK. Pembangunan secara menyeluruh ini amat penting kerana cabaran
pada hari ini dan masa hadapan bukan hanya bersifat intelektual dan saintifik sahaja tetapi
cabaran lain yang menunggu juga adalah besifat emosi dan rohani. Hasrat FPK ini telah
direalisasikan oleh Bahagian Dakwah dan Kepimpinan (BDK) Jabatan Pendidikan Islam dan
Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia, sebuah badan yang yang bertanggungjawab
memastikan penghayatan islam dan moral dalam kalangan pelajar. Hal ini kerana,
penghayatan agama dilihat mampu memberikan input kerohanian kepada para pelajar
(Rahimin & et. al, 2011).
Selain itu, konsep Ravindranath Tagore yang menitikberatkan pelaksanaan aktiviti ko-
kurikulum, selain daripada pembelajaran intelek adalah sedikit sebanyak bersamaan dengan
matlamat yang dibawa oleh FPK. Menurut Falsafah Pendidikan Negara, dalam usaha
melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani dan intelek, aktiviti
kokurikulum sememangnya menyumbang besar untuk melahirkan pelajar yang seimbang
dari semua segi tersebut. Menurut Mohd Sofian, Aminuddin & Borhan (2002) kokurikulum
merupakan suatu pelengkap kepada kehendak dan keperluan kurikulum di mana ia
menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukur dan
mengamalkan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai yang telah dipelajari semasa
pembelajaran di bilik darjah. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) telah menyatakan
bahawa semua pelajar hendaklah digalakkan supaya mengambil bahagian yang lebih aktif
dalam aktiviti kokurikulum. Setiap pelajar perlu menyertai satu badan beruniform, satu sukan
atau permainan dan satu kelab atau persatuan di sekolah. Antara tujuan aktiviti kokurikulum
diadakan di sekolah ialah untuk memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar yang akan
membantu mereka dalam mencapai kehidupan yang sempurna. Tambahan lagi,
berdasarkan beberapa kajian seperti J.M. Stuber, (2009) dan R. Iucu, & M. Platis (2012),
didapati bahawa aktiviti ko-kurikulum membuatkan murid lebih bermotivasi dan berupaya
mengurangkan masalah disiplin ke tahap yang minima.

Tagore dan Konfucius telah berpendapat bahawa guru hanyalah berperanan sebagai
fasilitator serta pemangkin bagi menggerakkan perbincangan murid dan penjana idea
bernas dalam kalangan murid. Pegangan idea ini telah diaplikasikan dalam sistem
pendidikan Malaysia. Kerajaan telah mewujudkan FPG untuk menghasilkan guru yang
berkualiti dan berupaya mencapai kecemerlangan pendidikan. Konsep yang diketengahkan
Tagore dan Konfucius menetapkan guru hanyalah bertindak sebagai rujukan pelajar
sekiranya mempunyai masalah. Kesannya, proses pengajaran dan pembelajaran akan
menjadi proses komunikasi dua hala dan berkesan. Malah, Pengarah Pendidikan Putrajaya
Roaini Jaafar berkata, penerapan konsep tersebut dapat mengelakkan para pelajar menjadi
seorang yang pasif di dalam kelas (Harian Metro, 2017). Hal ini kerana, konsep tersebut
merupakan teras atau elemen dalam pendidikan yang berpusatkan pelajar. Pendidikan
berpusatkan pelajar menggalakkan murid untuk membina penerangan serta kefahaman
sendiri tentang sesuatu fenomena. Ini membolehkan murid mengguna pembinaan
pengetahuan baru untuk bidang pembelajaran lain. Fokus utama kaedah pendidikan ini ialah
murid sebagai pelajar dan bukannya semata-mata berfokuskan kepada isi kandungan.
Selain itu, kaedah pendidikan ini juga membolehkan penguasaan ilmu dalam kalangan
murid dapat diterapkan dengan lebih baik dan bukannya semata-mata belajar untuk
peperiksaan (Harian Metro, 2017).
Akhir sekali, prinsip yang dipegang oleh Falsafah Pendidikan Timur iaitu
menekankan keilmuan yang merangkumi pencapaian secara menyeluruh mempunyai
kemiripan dengan matlamat yang dibawa FPK. Matlamat tersebut adalah untuk menjana
pembangunan modal insan yang seimbang ialah dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek
( Akta Pendidikan 1996, Akta 550). Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2002), bagi
mencapai matllamat FPK ini, mata pelajaran Pendidikan Jasmani telah digubal dengan
menekankan gaya hidup yang sihat dan aktif. Pendekatan yang dicadangkan adalah
pembelajaran melalui kegiatan Pendidikan Jasmani yang merangkumi tiga aspek penting
iaitu, kesukanan, kecerdasan dan juga kesukanan yang mencakupi aspek keselamatan,
pengurusan, kerjaya, dan etika. Selain itu, sesuai dengan matlamat FPK yang turut
menekankan pembangunan emosi, elemen kecerdasan emosi telah disisipkan secara
langsung dalam beberapa mata pelajaran seperti pendidikan moral, pendidikan etika
profesionalisme, kenegaraan dan ketamadunan dalam sistem pendidikan di sekolah.
Seterusnya, dalam konteks FPK, intelek ini merupakan unsur yang penting untuk dicapai
selain daripada jasmani,emosi dan rohani. Hasrat FPK adalah supaya pelajar dapat
menguasai 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Justeru, FPK
sememangnya dilihat menitipkan pembangunan pelajar bukan sekadar atau bertumpu
kepada suatu segi sahaja tetapi ianya adalah satu pembangunan pelajar yang menyeluruh
dan bersepadu di mana tumpuan perkembangannya bersifat pelbagai.

Anda mungkin juga menyukai