Anda di halaman 1dari 6

Perkara : Kuiz KPF 5012 (Falsafah dan Perkembangan Pendidikan Malaysia).

No. Soalan : 2, Merujuk kepada mata pelajaran pengkhususan anda, huraikan bagaimanakah
anda dapat mengaplikasikan proses pengembangan potensi pelajar secara
menyeluruh dan bersepadu bagi 1 unit pengajaran yang dilaksanakan.

No. Soalan : 3, Bincangkan implikasi pemansuhan UPSR dan PMR terhadap pendidikan sebagai
wahana untuk membangunkan insan secara berimbang dan harmoni.

Nama : Ng Fei Er
No. Matrik : L20101005946
Program : Pendidikan Moral
Kursus : Falsafah dan Perkembangan Pendidikan Malaysia
Kod Kursus : KPF 5012
Kuliah : 8.00 – 10.00 a.m. (Khamis) Sesi 2010/2011
Nama Pensyarah : En. Zaini Abdullah

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


No. Soalan : 2

Mata pelajaran pengkhususan saya ialah Pendidikan Moral. Dalam proses mengembangkan potensi
pelajar secara menyeluruh dan bersepadu adalah perlu untuk guru-guru menumpukan perhatian dalam
memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan pelajar melalui penghayatan dan amalan-amalan mereka
dalam kehidupan seharian. Akhirnya dapat melahirkan manusia yang bermoral. Justeru itu, mereka
akan menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam
mengaplikasikan proses pengembangan potensi pelajar adalah perlu berlandaskan Model Insan
Menyeluruh yang merangkumi tiga aspek moral yang saling berkaitan iaitu pemikiran moral, emosi
atau perasaan moral dan tingkah laku moral. Guru perlu membantu pelajar dalam memahami nilai-nilai
moral, menerimanya serta menunjukkan komitmen dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka
(Kementerian Pelajaran Malaysia). Dengan gabungan ketiga-tiga aspek moral ini, kematangan moral
dan kesedaran hati nurani pelajar dapat dipertingkatkan.

Di samping penekanan kepada modul-modul akademik yang dipelajari oleh pelajar, usaha-usaha
lain juga perlu diberi penekanan agar wujud keseimbangan di antara pemikiran moral, perasaan moral
dan tingkah laku moral. Contohnya, menganjurkan program derma darah. Ini dapat memupuk nilai-
nilai murni seperti sikap tolong-menolong, kerjasama, keberanian, kenegaraan serta nilai moral yang
lain di kalangan pelajar. Sebagai guru Pendidikan Moral yang berkesan, dalam mengajarkan nilai
moral, guru perlu mendedahkan pelajar tentang definisi dan contoh-contoh amalan nilai tersebut,
seterusnya perlu mewujudkan suasana sebenar dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Salah satu contoh
ialah menganjurkan program derma darah. Dalam memupuk sikap saling membantu dan bekerjasama,
guru boleh mengaplikasikannya dengan menyediakan satu pelan tindakan bagi mengadakan projek
kemasyarakatan seperti program derma darah di kawasan tempat kediaman tertentu. Secara
kesimpulannya, pemikiran moral pelajar tentang sikap tersebut dapat diberikan di dalam bilik darjah
manakala perasaan dan tingkah laku moral pula dapat dibentuk berdasarkan kepada program tersebut.
Dan akhir sekali kematangan dan kesedaran moral juga dapat dibentuk. Ini bermakna, pelajar dapat
memahami keperluan untuk berbuat baik kepada masyarakat dan rasa bersalah apabila melakukan
sesuatu yang buruk.
Selain daripada program derma darah, program-program lain juga boleh dilaksanakan oleh guru
Pendidikan Moral dengan kerjasama pihak sekolah, bimbingan dan kaunseling serta PIBG sekolah.
Contohnya program sambutan hari kemerdekaan ke 53 pada 31 Ogos 2010, seminar kepimpinan,
motivasi dan komunikasi, program pembangunan sahsiah dan model insan, dan lain-lain lagi. Seperti
yang telah disarankan dalam KBSM, guru perlu menyerapkan unsur-unsur tertentu dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah penting kerana selain daripada menguasai isi kandungan
sesuatu mata pelajaran, kita hendak juga mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi
intelek, emosi, rohani dan jasmani serta membina akhlak yang mulia. Guru perlu menerapkan unsur
tersebut serta memastikan pelajar menghayati unsur itu supaya mereka akan mengamalkannya di dalam
kehidupan seharian. Saranan ini memang bertepatkan dengan matlamat Pendidikan Moral dalam
melahirkan Model Insan Menyeluruh.

Dalam aspek aplikasinya, contohnya bagi unsur pendidikan alam sekitar. Matlamat pendidikan
alam sekitar adalah untuk membentuk pelajar supaya peka terhadap isu-isu alam sekitar serta
memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan komitmen dalam usaha ke arah penyelesaian isu-isu
alam sekitar. Guru boleh menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan
rohani dan moral, penyerapan dan berpusatkan pelajar. Guru boleh mengadakan kerja-kerja amal
seperti aktiviti membersihkan hutan, pantai, taman dan sebagainya. Melalui aktivit seperti ini, pelajar
dapat mengembangkan potensi masing-masing secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek JERI
dan juga akhlak moral. Ilmu terhadap pendidikan alam sekitar adalah aspek intelek, perasaan cintakan
alam serupakan aspek perasaan/emosi, aktiviti-aktiviti pembersihan pula merupakan aspek jasmani
manakala kesedaran tentang ciptaan alam adalah dari aspek rohani. Akhir sekali dari segi akhlak moral,
pelajar dapat berbakti kepada alam sekitar serta mengamalkan nilai-nilai moral seperti menyayangi dan
menghargai alam sekitar, keharmonian antara manusia dan alam sekitar, kemapanan alam sekitar, dan
peka terhadap isu-isu alam sekitar yang terkandung dalam bidang pengajaran Pendidikan Moral ketiga
iaitu nilai berkaitan dengan alam sekitar.

Selain daripada penganjuran program, aktiviti-aktiviti di dalam bilik darjah juga dapat
mengaplikasikan nilai moral tersebut dalam mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh.
Contohnya, proses main peranan, kaedah bermain dan bercerita, kaedah nyanyian dan lakonan,
perbincangan, kaedah lawatan dan projek, kaedah tunjuk cara dengan bantuan guru, kaedah pameran,
kaedah penyelesaian masalah, kaedah penyelesaian konflik (brainstorming), kaedah penyelidikan dan
lain-lain lagi.
No. Soalan : 3

Secara umumnya, terdapat dua implikasi pemansuhan UPSR dan PMR terhadap pendidikan dalam
membangunkan insan yang seimbang dan harmoni. Ini kerana semua tindakan yang manusia lakukan
adalah tidak sempurna 100 % maka, wujudnya kesan baik dan buruk. Walaubagaimanapun, saya lebih
menyokong kepada pemansuhan ini. Terlebih dahulu, marilah kita tinjau sudut implikasi positifnya.
Dengan pemansuhan UPSR dan PMR, akan dapat mengubah sistem pendidikan negara kita yang
berorientasikan peperiksaan. Pada masa depan, individu-individu yang hanya berorientasikan
peperiksaan dapat diatasi/dielakkan dan matlamat kerajaan dalam melahirkan model insan yang
berterampilan tinggi dapat dicapai. Dengan ini, matlamat sekolah untuk menuntut ilmu, melahirkan
pelajar yang kreatif serta holistik juga dapat dicapai. Selain itu, masalah guru yang terlalu menfokuskan
kepada pencapaian akademik dan pelajar yang terlalu menekankan kepada kecemerlang akademik juga
dapat dielakkan. Akhir sekali, langkah kerajaan dalam membentuk kurikulum baru di peringkat sekolah
dapat dilaksanakan supaya kurikulum yang baru ini dapat membangunkan insan secara seimbang dari
aspek JERI (Falasfah Pendidikan Kebangsaan) dan harmoni.

Dengan pemansuhan ini, hasrat kerajaan dalam melaksanakan satu sukan satu pelajar juga dapat
dijalankan dengan lebih lancar kerana ibubapa dan pelajar itu sendiri mempunyai masa yang lebih
dalam melibatkan diri dalam kokurikulum. Aspek jasmani adalah sangat penting kerana hanya badan
yang sihat dapat membentuk minda yang cergas. Dalam agama Islam itu sendiri telah menggariskan
bahawa seseorang pemimpin itu mesti sihat tubuh badan. Dengan aktiviti bersukan ini juga dapat
membina semangat berpasukan, sikap kerjasama dan tolak ansur. Perasaan cintakan negara dan
kaum/bangsa yang berlainan juga dapat dipupuk. Ini adalah sangat penting bagi negara kita yang
berbilang kaum/bangsa/agama, sekali gus memberikan kesan positif kepada keseluruhan cara
pendidikan pelajaran untuk melahirkan pelajar yang menyeluruh dan bersepadu. Kurikulum yang akan
dilaksanakan nanti akan memberi lebih peluang untuk mencungkil bakat daripada bidang-bidang lain
serta pihak sekolah dapat menilai dengan lebih tepat lagi tentang tahap kecemerlangan seseorang
pelajar.

Dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, unsur-unsur kecerdasan seperti
kecerdasan emosi dan rohani perlu diterapkan di peringkat sekolah lagi supaya pelajar dapat
mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial. Ini menjurus kepada kelahiran pelajar yang
cemerlang pada masa depan. Pelajar masa kini masing-masing mempunyai pemikiran tersendiri di
tambah pula dengan dunia yang serba moden, mereka boleh mengetahui apa-apa sahaja daripada
internet ataupun rakan sebaya. Oleh yang demikian, pelajar zaman kini perlu didedahkan dengan
aktiviti-aktiviti yang berkonsepkan situasi sebenar dengan penglibatan yang tinggi terutamanya dalam
aktiviti di luar bilik darjah supaya mereka dapat didedahkan dengan situasi sebenar dan tidak menyalah
tafsirkan maklumat-maklumat yang diperolehi daripada internet mahupun daripada rakan sebaya.

Pemansuhan ini juga akan memberikan lebih masa kepada guru untuk mengajar dengan
berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan. Seterusnya, masalah mengejar sukatan pelajaran
dapat dielakkan. Dengan ini, guru dapat menumpukan perhatian kepada kualiti pengajaran supaya
setiap pelajar dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru juga dapat
memberikan tumpuan yang lebih kepada bahagian yang susah dan kepada pelajar yang belum
menguasai mata pelajaran tersebut. Secara kesimpulannya, pemansuhan UPSR dan PMR akan
mengurangkan tekanan pelajar, ibubapa dan guru yang selama ini berorientasikan peperiksaan. Dengan
ini, guru dan pelajar dapat menjayakan hasrat sistem pendidikan negara dalam melahirkan insan yang
seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani. Selain itu, konsep membezakan di antara pelajar
cemerlang dengan pelajar tidak cemerlang juga dapat dihapuskan kerana ciri kecemerlangan adalah
sangat luas dan meliputi banyak aspek daripada kehidupan manusia.

Dari sudut implikasi negatifnya pula, pemansuhan UPSR dan PMR akan memberi kesan kepada
industri tuisyen dan penerbitan buku dan secara tidak langsung memberikan kesan kepada ekonomi
negara. UPSR dan PMR secara tidak langsung telah mendidik pelajar untuk berdisiplin dan rajin
belajar dalam mencapai kecemerlangan. Oleh itu, pemansuhannya boleh memberi impak terhadap
prestasi dan sistem pendidikan negara. Ini kerana pelajar tidak bermotivasi dan kurang bersaing untuk
kecemerlangan diri. Daripada iktibar sejarah lalu, kerajaan memansuhkan Penilaian darjah lima (DPL)
tetapi kerajaan telah mewujudakan UPSR bagi menggantikan PDL kerana masalah yang
ditimbulkannya. Ini seumpama menjadikan pelajar sebagai bahan eksperimen dan masa depan mereka
boleh terjejas.

Secara kesimpulannya, penyelidikan yang teliti dan menyeluruh dengan mempertimbangkan


kesan baik dan buruknya perlu dibuat jika pemansuhan UPSR dan PMR hendak dilaksanakan. Selain
itu, alternatif-alternatif penambahbaikan dan langkah-langkah mengatasi perlu disediakan terlebih
dahulu supaya dapat mencegah masalah yang akan timbul jika kesan daripada pemansuhan ini
memberikan impak negatif.
Rujukan :

Abd. Shatar Bin Che Abd. Rahman. (2007). Pengetahuan kandungan dan pedagogi guru Pendidikan
Moral tingkatan empat di sebuah sekolah. Latihan ilmiah yang tidak diterbitkan : Universiti Malaya.

Munirah Bt Ahmad Masduki. (2004). Penerapan nilai-nilai murni KBSM dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di kalangan guru-guru Sains di lapan buah sekolah menengah di Daerah Jitra,
Kedah. Latihan ilmiah yang tidak diterbitkan : Universiti Teknologi Malaysia.

Nor Hayati Hj. Alwi. (2005). Ke arah pembentukan model pembangunan insan Sains seimbang dalam
Pendidikan Sains. Jurnal teknologi, 77 – 93.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah. (2010). Implikasi dasar pemansuhan UPSR & PMR. Dipetik (atas
talian) www.perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/.../implikasi-dasar-pemansuhan-upsr-pmr.htmal

Wan Farah Aida Bt Wan Abdullah. (2009). Program pembangunan Insan di Politeknik Jeli. Dipetik
(atas talian) www.pjk.edu.my/artikel/index2.php?id=10

Anda mungkin juga menyukai