Anda di halaman 1dari 3

d) Aspek Guru

Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara
menyeluruh dan bersepadu yakni insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani.

Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah
lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator,
pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan
pembaharuan.

Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-
murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya ditimbulkan terlebih
dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku dengan lebih
cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran itu.
Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara seperti
menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan (role playing),
mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah bilik
darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua, langkah ketiga
dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-murid mendapat
faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang menjalankan tugas mengatur setiap
langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang
terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-
objektif pelajaran, bahan-bahan dan alat-alat mengajar seharusnya dipertimbangkan.
Pengajaran yang dirancangkan dengan baik akan membawa faedah yang besar kepada murid-
murid.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru
seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk
membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-
perkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya padat
serta jelas. Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan dan graf
dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong murid-murid
mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang konkrit dan bermakna. Idea yang abstrak
boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan carta dan alat bantu mengajar lain.
Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga
pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan menjalankan
berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh manakah objektif pengajaran
dan pembelajaran telah tercapai.

Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan
bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan
menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

e) Aspek disiplin

Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab
untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran
sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dari aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin
murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.
Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru
disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting
bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah
jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa
ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau
disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat
masalah disiplin.

Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas daripada pihak
sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku pengasingan dan
perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.
Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula
sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan
kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai
masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru
bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa/
penjaga murid-murid yang mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau
pihak polis.
Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah tersebut
seperti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur, keberkesanan
pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi, murid-murid menjadi lebih produktif jika
mereka berdisiplin, keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat
mematuhi peraturan-peraturan sekolah, kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah
dapat dikurangkan, segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat dan
sebagainya.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran sekolah
yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri murid ke
arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara yang menekankan
usaha pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai