Anda di halaman 1dari 3

Diskriminasi ke atas peluang pekerjaan telah menimbulkan prasangka buruk dalam

kalangan masyarakat.

“ Antara punca awal bagaimana tersemat perasaan benci antara kaum di Malaysia mungkin
bermula dari dasar tenaga kerja yang diasaskan semasa zaman penjajahan British. Tetapi
kini, selain daripada sikap tokoh-tokoh politik yang menjadikan agenda kaum dan agama
sebagai modal politik mereka, diskriminasi ke atas peluang pekerjaan juga menyebabkan
perasaan benci di antara kaum itu terus berterusan tanpa kita menyelidik apakah masalah
dan isu pokoknya “

1. Kita perlu sedar dan teliti bahawa apabila seseorang individu itu mendapat kelebihan
hanya kerana dia datang dari kelompok kumpulan tertentu dan bukannya kebolehannya
yang menjadi ukuran, maka itu lah makna sebenar diskriminasi sama ada ianya berlaku
secara langsung atau pun tidak langsung. Meskipun pelbagai alasan yang diberikan oleh
mana mana pihak atau syarikat mengenai senario politik atau keadaan sebenar ekonomi
negara.

2. Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, diskriminasi yang berlaku ke atas pecari kerja
pada hari ini bukan sahaja melibatkan soal bangsa dan warna kulit semata-mata, malah
ianya juga melibatkan jantina, agama, ketidakupayaan dan bahasa seseorang. Buktinya,
susulan isu yang tular bagaimana sebuah syarikat hotel antarabangsa yang telah melarang
seorang pekerja wanita yang beragama Islam untuk memakai tudung.

3. Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara negara maju seperti
Amerika Syarikat juga turut berlaku sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang
terkenal “ I have a dream “ menyebut : “ I have a dream that my four little children one day
live in nation where they will not be judged by the colour of the skin but by the content of
their character. Itu sebagai salah satu bukti bagaimana diskriminasi atau kezaliman yang
berlaku di Barat hanya kerana berbeza budaya dan kaum.

4. Malah, di negara-negara timur tengah juga berlaku malah ianya lebih dahsyat. Kita lihat
bagaimana hanya berbeza bangsa dan negara, peperangan dan pergaduhan terus berlaku
tanpa memikirkan soal darah-darah rakyat yang tidak bersalah telah tumpah. Sementara itu,
Sayyid Qutb dalam menafsir ayat ke 13, Surat Al-Hujurat menyatakan penciptaan manusia
berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk
berkenalan dan bermuafakat.

5. Mengapa isu ini penting dan ianya merupakan kewajipan kepada kita untuk
mengetahuinya? Ini kerana diskriminasi terhadap peluang pekerjaan yang berasaskan
kaum dan bangsa semata-mata bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang
menjamin hak kesamarataan dan menolak sebarang bentuk diskriminasi dan ketidakadilan.
Secara tidak langsung, berlakunya peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan
siswazah kerana mereka terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang mereka selepas hak
untuk memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka telah dinafikan.

6. Kajian Dr Lee Hwok Aun dan Dr Mohammed Khalid pada tahun 2015 yang dimuatkan
dalam kertas bertajuk “ Degrees of Discrimination: Race and Graduate Hiring in Malaysia “
yang disiarkan di dalam Journal of the Asia Pacific Economy menyatakan penyelidik telah
menghantar permohonan yang sama kandungan dari segi kecemerlangan akademik dan
pencapaian lain, kemudian ianya diletakkan di bawah nama dan kaum yang berbeza. Hasil
dari kajian tersebut, nisbah panggil balik untuk temuduga ialah 5.3 orang pemohon Cina
dipanggil balik bagi seorang pemohon Melayu yang dipanggil balik.

7. Kita perlu mengetahui bahawa diskriminasi ini berlaku dalam dua bentuk iaitu secara
langsung dan tidak langsung. Diskriminasi yang berlaku secara langsung berlaku dalam
keadaan seorang pemohon kerja diberi layanan berbeza atas faktor kaum dan agama.
Sebagai contoh, gaji atau tempoh kenaikan pangkat bagi pekerja yang berbangsa Cina lebih
tinggi dan lebih cepat tempohnya. Manakala, diskriminasi secara tidak langsung berlaku
dalam keadaan tindakan atau layanan majikan dilihat seakan-akan sama, tetapi kesan yang
negatif akan diterima kepada kelompok kelompok tertentu. Sebagai contoh, seorang pekerja
dipecat atau diberhentikan atas kelewatannya memasuki bilik mesyuarat atas sebab
menunaikan kewajipan beragama.

8. Diskriminasi sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat secara


khususnya, malah ianya turut menjejaskan ekonomi negara. Centre for Governance and
Political Studies (Cent-GPS), sebuah pusat penyelidikan swasta menerusi kajian selidik
mereka mendapati bahawa hasil daripada diskriminasi peluang pekerjaan yang berasaskan
kaum dan agama telah menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat, ianya
berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia yang
menyatakan kadar pengangguran di Malaysia pada tahun 2018 adalah pada 3.3 peratus,
manakala pengangguran belia pada 10.9 peratus.

9. Sebuah firma rekrut, Hays Asia mendapati diskriminasi masih menjadi punca utama
rakyat Malaysia berasa terpinggir di tempat kerja dan bimbang dengan prospek pekerjaan
mereka. Hasil dari kajian mereka ke atas lebih 2,000 profesional di seluruh Asia antara
bulan April dan Mei 2019 mendapati 20 peratus responden mereka terpinggir atau kurang
dihormati disebabkan bangsa mereka. Ini memberi gambaran yang sangat membimbangkan
kerana angka itu melebih 17 peratus purata Asia. Manakala, satu pertiga daripada jumlah
keseluruhan responden menyatakan peluang pekerajaan mereka telah dinafikan akibat
daripada kezaliman yang berbentuk diskriminasi telah berlaku.

10. Terdapat beberapa langkah yang boleh dibincang dan dikongsikan dalam apa jua
bentuk dan platform. Antaranya, pindaan Akta Kerja 1955 perlu dilaksanakan atau
mewujudkan dan menggubal satu akta yang baru bagi menjamin keadilan dan hak kesemua
rakyat Malaysia tanpa melihat kepada latar belakang sosial, politik mahupun warna kulit
seseorang, malah kebolehan dan keupayaan dalam membantu syarikat atau majikan perlu
dititik beratkan melebihi aspek-aspek yang lain.

11. Asasnya ialah kesemua pemohon kerja dan pekerja hendaklah diberi layanan yang adil
bermula daripada proses permohonan pekerjaan sehingga dia diberhentikan atau berhenti
secara sukarela, baik di sektor awam atau swasta.

12. Jika polisi atau dasar ini diwujudkan oleh kerajaan, pasti ianya menimbulkan rasa kurang
senang khususnya di kalangan orang Melayu akibat hilangnya penguasaan mereka dalam
perkhidmatan awam. Apa yang lebih penting ialah, kita perlu sedar bahawa apabila masalah
ini ditangani, maka hak seseorang individu tidak kira bangsa atau agama yang dianuti tidak
akan dinafikan berdasarkan kebolehannya.

13. Bagi orang Cina dan India, ini peluang mereka untuk bekerja di dalam sektor awam
sekaligus membantu syarikat melalui bidang bidang kepakaran yang dimiliki. Begitu juga
orang Melayu yang tiada kesempatan sebelum ini untuk mendapat kerja di sektor swasta,
sekaligus memberi kesan positif dari sudut kerharmonian antara masyarakat, jurang
pendapatan dan juga aspek kesenjangan ekonomi.

14. Antara langkah lain juga, perlu diwujudkan satu indeks atau data yang menyatakan
kualiti pekerajaan pekerja yang dikeluarkan oleh syarikat dan majikan bagi menjamin
ketelusan dan kejujuran dalam urus tadbir. Di samping, kerajaan perlu mewujudkan satu
badan khas untuk menilai serta semak dan imbang dalam isu ini. Ini membolehkan syarikat
mengalakkan pekerja untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik kerana kualiti kerja
mereka akan dinilai dalam tempoh masa tertentu. Ini membolehkan pekerja
memperjuangkan hak mereka melalui proses mahkamah berdasarkan undang-undang jika
diberhentikan tanpa asas dan alasan yang kukuh.

15. Kesimpulannya, apabila kita bekerja bersama-sama, makan bersama-sama, berkawan


bersama, berkawan dengan rakan sekerja yang berlainan bangsan dan budaya akan
membentuk keharmonian kehidupan dan seterusnya memahami antara satu sama lain.
Kesilapan besar masyarakat di Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak
ialah apabila kita menghukum kesalahan individu sebagai kesalahan sebuah kaum dan
bangsa, ini yang menyebabkan sifat perkauman, dengki dan benci itu wujud dengan tebal.

Mohamad Firzan Hakimi


14 April 2020

Anda mungkin juga menyukai