Anda di halaman 1dari 2

Rangka Karangan

Pendahuluan
- antara bidang yang penting di negara kita - aktiviti sukan mendatangkan
banyak faedah
Isi-isi
i. memberikan galakan dengan cara membeli peralatan sukan
ii. menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan
dengan aktif
iii. memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka
ke tempat latihan
iv. membelikan anak-anak majalah sukan
Penutup
- peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan ibu bapa perlu
memainkan peranan yang sepatutnya
Karangan Contoh
Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara
kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang
banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak yang
bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan
yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa.
Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti
matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan
tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ
pasti ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan
digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam
bidang sukan.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan
memberikan galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka
peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang
lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk
bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak
mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan
yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash
dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan
sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka
diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan
nama sekolah, daerah, negeri dan negara.
Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri
dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak
supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti
sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan
menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang

berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah


melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang
cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku
sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama
negara di persada dunia.
Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan
menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan
tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih
bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka
juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka
berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan.
Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam
kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu
permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya,
mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada
peringkat yang lebih tinggi lagi.
Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang
diminati oleh mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih
berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius.
Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam
bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu,
kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah
sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi
kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.
Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh
dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan.
Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan
peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak
ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek
kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan
sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan
akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu
negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika
pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi
amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

Anda mungkin juga menyukai