Anda di halaman 1dari 2

Tajuk syarahan: Ke Arah Melahirkan Remaja Yang Berilmu Dan Berdisiplin.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada Pengerusi Majlis, Yang


Berbahagia Guru Besar, Encik Fakhrul Afif bin Mohd Fadzil @ Mohd Zamri, Puan
Norashekin binti Nazari selaku Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Ainul Anis Khairiya binti
Ismail selaku Penolong Kanan Kokurikulum, barisan para hakim yang adil lagi, guru yang
sentiasa memberi komitmen yang sepenuhnya dalam menjalankan tugas, rakan-rakan
seperjuangan, serta hadirin-hadirat yang disanjungi sekalian. Tampilnya saya selaku anak
nusa mengepal segenggam harapan, menjunjung seribu impian menerusi sentuhan rasa
topik syarahan saya yang berbunyi, Ke arah melahirkan remaja yang berilmu dan
berdisiplin.

Sidang hadirin yang dihormati,

Apa yang dipertekankan dalam konteks syarahan pada malam ini ialah mewujudkan
golongan berilmu dan berdisiplin di samping memperlihatkan dan mendedahkan kesan-
kesan langsung atau tidak langsung yang akan timbul daripadanya. Sesungguhnya
kesedaran merupakan benih utama yang mencambahkan keutuhan ilmu dan disiplin di
kalangan masyarakat, di mana kita harus bersama-sama memelihara dan menanam dalam
sanubari kita. Golongan pertama yang memainkan peranan ialah institusi keluarga. Justeru,
ibu bapalah selaku rabbi yang akan mencorakkan rasa kesedaran ini di kalangan anak-anak
mereka. Pendidikan secara tidak langsung yang diterima di rumah melalui pembentukan
rohani, emosi dan jasmani ternyata jelas membentuk satu asas ilmu dan disiplin di kalangan
anak-anak yang menjadi harapan mereka yang mempunyai pengetahuan melibatkan
keduniaan dan akhirat. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, hujah yang seterusnya ke arah melahirkan remaja yang berilmu dan
berdisplin adalah peranan institusi pendidikan. Dalam usaha ini, Kementerian Pendidikan
Malaysia dengan kebijaksanaannya telah melengkapkan KBSR dan KBSM, malah kini
Sekolah Bestari sudah mula diperkenalkan di seluruh negara. Selain itu, Bahagian
Pembangunan Kurikulum (BPK) yang merupakan nadi dalam merangka, menyusun,
menyemak semula dan melaksanakan kurikulum, akan memperkenalkan kurikulum baharu.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025 pula bercirikan futuristik dengan
harapan melahirkan modal insan yang dapat bersaing dengan generasi luar negara. Hal ini
penting berdasarkan cabaran yang akan dihadapi dalam era globalisasi. kerajaan Malaysia
dengan tradisi membela rakyatnya cuba mewujudkan msyarakat yang berpengetahuan dan
berdisiplin dengan melaksanakan berbagai-bagai dasar seperti Cintailah Bahasa Kita, dan
Dasar Pandang Ke Timur yang meliputi etika kerja dan kawalan mutunya ternyata berupaya
melahirkan masyarakat yang berilmu dan berdisiplin. Selain itu, kerajaan kita juga merangka
dan menjalankan program-program pembangunan diri seperti Rumahku Syurgaku, Rakan
Muda, Wawasan 2020, Koridor Raya Multimedia, dan internet. Sesungguhnya usaha murni
ini harus dipertingkatkan.

Para hadirin yang saya kasihi,

Seterusnya golongan yang memainkan peranan paling besar ialah masyarakat - ya


termasuklah saya, panel hakim dan anda semua. Oleh yang demikian, apakah yang harus
kita lakukan? Ya, dengan mencelikkan mata jiran tetangga, menyedarkan saudara-mara
dengan semangat cintakan negara agar kita dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan
berdisiplin. Seterusnya dapat mewujudkan rasa cinta mereka kepada ilmu dan disiplin -
bagaimana cintanya Dewi Sita kepada Dewa Rama dalam Hikayat Seri Rama.

Dengan adanya ilmu dan disiplin, rakyat Malaysia dapat menghindarkan dakyah-
dakyah beracun yang boleh menimbulkan konfrontasi. Suasana konflik dan suasana kritikal
ini akan mencemarkan status negara kita yang berdaulat dan meredeka. Demikianlah
sidang hadirin dan hadirat, betapa pentingnya peranan dan peraturan dalam mewujudakan
remaja yang berpengetahuan dan berdisiplin.

Natijahnya, setelah diteliti hingga ke akar umbi, dapat saya simpulkan peranan orang
rumah tersebut ditambah dengan prakarsa yang lain mampu untuk menjana dan
membentuk anak-anak yang berdisiplin diibaratkan anak sebagai sebatang pohon yang utuh
menggenggam tanah dirimbuni dedaunan hijau dan diwarnai buah lebat, tatkala dibaling
batu maka dibalas dengan buah.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai