Anda di halaman 1dari 3

PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET

Marcapada, Internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan pada masa
yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya
Internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had
kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya
tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan Internet bukanlah suatu isu baharu.
Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan Internet untuk memuaskan nafsu diri demi
kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka
tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu
perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses Internet, termasuklah ibu bapa.
Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan Internet manakala sebahagian kecilnya
tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari
secara khusus berkenaan dengan Internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ Internet, maka
dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari Internet dan secara tidak
langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan Internet.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan Internet pada
hari ini?

Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu
mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegelapan namun, cahaya keimanan pasti dapat
menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil
oleh ibu bapa untuk merealisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan
didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang
paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi.
Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan
dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari
laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali
gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu
sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan Internet untuk menjejaskan keamanan dan
keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan
Internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah
diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang
tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka
dapat menggunakan Internet dengan baik dan bijak.

Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan
Internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan
dengan Internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan
Internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan Internet secara bijak.
Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih
bijak dalam menggunakan kemudahan Internet pada masa-masa akan datang bak kata
pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu
sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak
mengenai penggunaan Internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat
moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan Internet terhadap
anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa.
Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan
kemudahan Internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu Internet ini mempunyai keburukannya.
Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-
laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak
rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil
yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air
yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah
mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di Internet yang semakin hari semakin
berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber,
yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang
termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam
memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet dapat mendidik mereka dalam
memanfaatkan kegunaan Internet.

Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan Internet
oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal Internet dengan menyekat laman-laman sesawang
yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna Internet mengakses laman-
laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua
alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan
Internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang
berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah
tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan Internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat
menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman
berunsurkan negatif seperti yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa
masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa
tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton
warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa
ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan Internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar
mereka menggunakan Internet secara lebih bijak.

Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
menggunakan Internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-
medium pembelajaran menerusi Internet. Seperti yang ditegaskan, Internet sememangnya
memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan Internet juga
selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-
dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari Internet. Oleh hal yang demikian,
adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang
berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman
sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan Internet, namun
malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna Internet masa kini. Sebaik-
baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangnya mereka akan mula
memanfaatkan penggunaan Internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau
sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari Internet mahupun menghadap peranti
pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman
pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini
bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui Internet kepada
anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan Internet.
Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh
anak-anak memanfaatkan penggunaan Internet. Perkhidmatan Internet sememangnya memberikan
manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang
demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik
anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan Internet dalam kehidupan seharian. Walaupun
demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah
tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam
memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di
bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa Internet sangat penting kepada semua.
Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan
tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya
ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang membantu kerajaan melahirkan generasi yang
celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya
jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah penyalahgunaan Internet dan jenayah siber
yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah diungkai, dan secara tidak langsung matlamat negara
untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia pada tahun 2020 tidak
akan kesampaian.

Anda mungkin juga menyukai