Anda di halaman 1dari 8

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup
bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain ,
namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu
memegang pada kekuatan jata negara, yakni “Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan
kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.

Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk


memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk
bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat
lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya
bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati
pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang
berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat
berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus
dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah
terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling
memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu
menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan
kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan
langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari
keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat
hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat,
pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang
berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati
antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara
kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-
anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak
mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan
semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa
rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di
Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak
telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk
perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih
lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah
mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa
semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti,
bukannya fantasi semata-mata.

Hasil karangan murid


Tai Wen Liang, SMK USJ12
Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk
masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bincangkan.
Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam
membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bincangkan.

Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu
diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus
sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita
dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang
diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah
bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat
bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.

Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat
mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula
menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman
yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun,
saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan
berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.

Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi
mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak
dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi
peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-
anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-
undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam
mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.

Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri
anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa
bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan
kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni
mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan
kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran
yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang
berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi
berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana
nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan
tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan
ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat
keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi
sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.

Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh
sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang
tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan
menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang
mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal
yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri
sendiri berjalan senget.

Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa
amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh
ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa
dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan
terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam
pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah
kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging
masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.
Kebaikan Bergotong- royong

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada
ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang
dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas.
Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh
masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini
hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini
melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah
yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada
golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal
yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-
royong ini.

Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal


merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal
kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan
kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong kita
dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam.
Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa
bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan
akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan
bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan
mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan
bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa,
bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak
diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang
penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat
begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah lebih baik
daripada mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti
diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai
aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada
amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan
tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang
demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh
dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan
peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang
dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar
dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan
bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan
seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing kerana
masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan
bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama diri.
Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .

Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini
dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa
dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam
diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen
bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan
mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga
mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat.
Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan
berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan
terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan
semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu .
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin
dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah
kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan
membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".
Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini,
bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana,
amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti
kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian.
Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.
Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam
kehidupan.

“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai” “


“sungai di Pahang telah teruk dicemar”.

Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar
tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada akhbar-
akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama
dunia.

Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia
di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan
pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin
daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat
cendawan tumbuh selepas hujan, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang dimaksudkan
dengan “pencemaran sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat,
“pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga
keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya
kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang
menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai tirai bicara dibuka.

Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap
oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai.
Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh
dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat
telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang
dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang
membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal
mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada
kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil
jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan
mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu
mempunyai bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.

Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam
sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai
tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan kehidupan akuatik. Hal ini
dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan seseorang itu
mungkin terjejas dan yang memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini
sama sekali. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar
tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan
Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam
sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke
dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut
ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai enau
di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.

Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku
di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi
kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di
permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam
sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada
sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran
tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara
lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut
kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.
Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa sungai
memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah
sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada
sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat.
Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan
dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem
pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga
pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat
direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara
gergasi yang lain di persada dunia.

Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia.
Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah
tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti
yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan,
ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari
ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut
laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan
udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan
habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan
kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.

Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam
daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam
negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita
bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita
haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah
terhantuk baru tengadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan
2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.
Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin
terhakis. Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk
mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]

Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “tak basah dek hujan, tak lekang dek panas”.
Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan
diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku sekarang, kemasukan
budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara. Budaya “punk” dan “gortik” umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam
kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah.
Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa
ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain
permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti
saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat
Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek
moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali
berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam
persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat
memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak
cinta”. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita
dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan
permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi
kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena
sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalannya. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini
diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk
pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya.
Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada
amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang
larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung
rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap
sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri
kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu,
warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita
berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri
dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana.
Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat
dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan
mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah
dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai
pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional
seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah
kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional.
Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu
berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam
bara api, biar sampai jadi arang.
Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa
kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang
terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat
kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta
makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi
ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan
mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau
datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai,
jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja
lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan


golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan
muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan
mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau,
congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat
anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang
kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun
pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan
zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur
tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi
mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh
hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati
diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan
daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek
moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan
menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar?
Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang
murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus
berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu
Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh!

Anda mungkin juga menyukai