Anda di halaman 1dari 16

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, gemilang

dan terbilang.
Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.

Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.

Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.

Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam

masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan. Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.

Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anakanak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.

Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak


. Keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah social yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon pokok tidak akan berliuk-lintuk tidak ditiup angin. Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga.

Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing kebanyak ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan metal. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebindaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung memberi impak negative terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.

Tambahan pula, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anakanak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal yang demikian mereka mestilah sentiasa bersikap penyanyang dan berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali dijadikan seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.

Disamping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka ibarat bapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Justeru itu, ibu bapa sewajarnya menginduktrinasikan pucuk-pucuk hijau ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan social dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anakanak akan tahu cara-cara untuk membezakan antara intan dan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.

Dalam nada yang berbeza, keluarga yang marem dan sakina turut merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anakanak yang ibarat berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.

Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara. Ibu bapa mestilah menjalankan peranan masing-masing agar tidak dijadikan seperti hangat-hangat tahi ayam. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak. Impian Perdana Menteri untuk membentuk sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dapat dimakbulkan, sekaligus menjadi negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.

Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan untuk mewujudkan kawasan rekreaksi di kawasan perumahan. Tindakan ini telah menerima sambutan baik masyarakat.Huraikan kesan-kesan positif yang timbul daripada pengenalan peraturan ini.
Taman rekreasi merupakan satu kawasan lapang yang penting terutama di kawasan perumahan. Usaha kerajaan mewajibkan setiap projek perumahan mempunyai taman rekreasi merupakan satu langkah bijak kerajaan. Tindakan ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu kerana kewujudan taman rekreasi memastikan pelbagai impak positif muncul. Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah taman ini menjadi tempat permainan kanak-kanak. Kita semua sedia maklum bahawa dalam dunia yang penuh cabaran ini, ibu bapa sibuk bekerja sehingga menyebabkan anak-anak bersendirian di rumah. Jadi, kewujudan taman rekreasi di kawasan perumahan menjadi satu medan untuk golongan kecil ini bergembira dan melepaskan perasaan mereka sebagai kanak-kanak. Hidup kanak-kanak terkongkong di rumah tetapi bebas di taman rekreasi. Malah, kewujudan taman rekreasi ini menjadi tempat berkumpul dan mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bermain di taman ini dan sementara menunggu anak-anak bermain, ibu bapa akan berbual dengan jiran-jiran yang turut menunggu anak-anak mereka. Interaksi ini memastikan hubungan antara masyarakat lebih mesra dan terjalin rapat. Malahan, taman rekreasi boleh dijadikan tempat untuk menjalankan sesuatu majlis yang bercorak kejiranan. Majlis seperti majlis perkahwinan, pesta kejiranan, dan rumah terbuka boleh dijalankan di kawasan taman rekreasi itu. Kawasannya yang luas dan selalunya di tengah-tengah kawasan perumahan memudahkan untuk semua pihak datang dan terlibat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama kos majlis mampu dikurangkan berbanding majlis yang diadakan di dewan serba guna atau dewan hotel.

Mungkin satu lagi kebaikan taman rekreasi ialah kawasan ini boleh menjadi tempat menghilangkan penat setelah bekerja. Suasananya yang tenang dengan kehijauan dan mungkin ada tasik di sekitarnya memberi satu perasaan hening yang diperlukan oleh manusia setelah penat bekerja di pejabat. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan di pejabat dan memastikan seseorang itu memperoleh tenaga untuk meneruskan kehidupannya. Akhir sekali, kawasan rekreasi ini memastikan wujudnya kawasan hijau di sesebuah kawasan perumahan itu. Kawasan hijau ini turut membuktikan kesegaran dan suasana nyaman masih wujud di kawasan perumahan tersebut. Tambahan pula, kawasan perumahan akan lebih menarik kalau mempunyai taman rekreasi. Habitat serangga yang kecil turut terhasil dengan kewujudan taman ini. Kesimpulannya, kawasan rekreasi bukanlah satu pilihan tetapi wajib dibina oleh pemaju perumahan. Kerajaan harus memantau perkara ini supaya pemaju perumahan tidak berdolak-dalih dalam pembinaannya. Kerajaan perlu bertegas dalam isu ini kerana sudah agak lama isu ini dibiarkan tanpa diberi perhatian oleh kerajaan. Malah, pemaju perumahan seharusnya menggunakan taman rekreasi sebagai unsur penting dalam mengiklankan projek perumahan mereka.

Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.
Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik. Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu. Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan. Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin dalam kuantiti yang

tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka. Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita. Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah. Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.

Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.


Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suarasuara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini? Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa ini memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya seperti peribahasa jauh panggang daripada api. Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran barangan kraf ini sahaja. Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi

alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh. Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara. Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau unik dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Kehadiran pendatang asing telah membawa pelbagai masalah kepada rakyat di negara ini. Cuma kesan-kesan ini turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pendatang asing ini.

Jelaskan kesan-kesan baik dan buruk yang timbul daripada kehadiran pendatang asing ini.
Tenaga kerja asing memang telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan kini. Ada masyarakat yang menganggap pekerja asing ini penting dan ada yang menganggap mereka sebagai pengacau yang harus dibuang jauh. Keadaan ini diburukkan dengan isu ini turut dimainkan oleh media massa yang memang menangguk di air keruh. Jadi, adakah pekerja asing hanya membawa kesan buruk atau memang ada hikmah disebalik kehadiran pekerja luar negara ini? Sememangnya kehadiran pekerja asing ini sama ada sah atau secara haram mampu memenuhi keperluan sumber tenaga buruh negara yang memuncak. Dalam proses mencapai sebuah negara maju, Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang tinggi sehingga menyebabkan pasaran buruhnya memerlukan pekerja yang ramai. Dalam masa yang sama penduduk tempatan tidak meminati sektor pekerjaan tertentu yang kritikal seperti perladangan dan pekerja asing datang memenuhinya. Malah, kehadiran pekerja asing itu turut menjadikan pekerja tempatan satu saingan yang menarik. Persaingan ini menyebabkan pekerja tempatan berasa mereka harus meningkatkan kemampuan diri mereka sebaik mungkin agar tidak diganti oleh

pekerja asing ini. Pekerja tempatan akan bekerja lebih baik, meningkatkan kemahiran mereka, mencari ilmu yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan masalah seperti mogok. Jadi, keadaan persaingan seperti ini menyebabkan ekonomi negera diminati oleh pelabur asing. Imej negara turut meningkatkan kerana sudah pasti masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kebanjiran pekerja asing ini kerana ekonomi negara yang mantap dan berkembang. Negara dilihat sebagai sanggup berkongsi kekayaan dengan negara jirannya. Negara akan dilihat sebagai contoh negara yang maju dalam ekonominya. Negara akan dianggap mempunyai pemimpin dan rakyat yang bersatu dalam mencapai cita-cita negara. Bukankah ini satu pandangan yang kita harapkan daripada negara luar terhadap keupayaan negara kita? Cuma, kehadiran pekerja asing terutama secara haram ini telah menyebabkan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat. Ada pekerja asing yang datang ke sini tidak mempunyai pekerjaan untuk tempoh tertentu dan jenayah menjadi tempat untuk mereka memperoleh sedikit wang bagi membiayai kehidupan diri dan keluarga. Jadi, semakin ramai pekerja asing semakin tinggilah kebarangkalian untuk meningkatnya jenayah di negara kita. Sudah pasti kejadian jenayah ini akan menyukarkan kehidupan rakyat biasa. Selain itu, pekerja asing yang bekerja di sini setiap bulan menghantar wang balik ke negara asal mereka. Keadaan ini menyebabkan wang itu tidak digunakan untuk membangunkan semula ekonomi negara secara efektif. Sebaliknya, wang negara digunakan untuk menjana ekonomi negara asal pekerja asing itu. Wang negara digunakan untuk membiayai kehidupan keluarga pekerja asing itu. Jadi, keadaan ini tidak sihat terutama untuk jangka masa panjang atau ketika negara dalam kegawatan ekonomi. Kesimpulannya, pekerja asing ini boleh memusnahkan dan menyelamatkan negara. Mungkin jawapannya bukan kepada jumlah pekerja asing tetapi cara mengawal kedatangan mereka, cara menentukan sektor pekerjaan untuk mereka dan mungkin tempoh bekerja untuk mereka di negara ini. Ringkasnya, masalah ini akan terus menghantui kita buat sekian lama.

Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.

Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.
Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini? Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah. Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit

yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita. Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah sakit. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil. Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini. Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam. Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini. Karangan F Negara kita telah memperkenalkan Dasar Penswastaan. Ada pelbagai impak dasar ini kepada negara walaupun mendapat bantahan pada peringkat awal pelaksanaannya.Terangkan kebaikan-kebaikan dasar ini. Dasar penswastaan telah dimulakan dalam era pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed pada pertengahan 80-an. Dalam dasar ini agensi kerajaan telah dijual kepada syarikat untuk diuruskan sebagai sebuah syarikat. Dasar ini walaupun telah menerima pelbagai kritikan pada peringkat awalnya telah menarik

perhatian masyarakat antarabangsa kerana kejayaannya dalam beberapa aspek terutama kewangan. Kebaikan dasar ini yang ketara ialah kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaannya dalam menguruskan negara. Peruntukan yang sepatutunya diberikan kepada agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu boleh disalurkan untuk kegunaan projek pembangunan lain yang lebih penting. Keadaan ini memastikan bebanan kewangan negara tidak menjadi satu alasan untuk tidak menjalankan sesuatu projek pembangunan. Dasar ini turut memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar. Malah, tahap perkhidmatan agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu akan meningkat dengan drastik. Peningkatan ini berkaitan dengan konsep keuntungan yang dipentingkan dalam pengurusan sesebuah syarikat. Agensi yang telah diswastakan itu akan memperoleh keuntungan jika prestasi pekerja dan perkhidmatan mereka ditingkatkan pada satu tahap yang jauh berbeza sebelum daripada dasar penswastaan dilaksanakan. Justeru itu, mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat akan meningkat dan menguntungkan mereka. Peningkatan tahap perkhidmatan ini secara tidak langsung telah menyebabkan wujudnya satu persaingan sihat antara pekerja dalam agensi yang baru diswastakan atau di dalam negara secara amnya. Persaingan ini akan menghasilkan satu budaya kerja yang luar biasa sehingga menyebabkan produktiviti sesebuah agensi yang sudah diswastakan itu bertambah dengan baik dalam masa yang singkat. Sememangnya, pekerja akan bersaing untuk memastikan mereka terus relevan di dalam agensi yang diswastakan tersebut. Tambahan pula, persaingan yang sengit ini sudah pasti menyebabkan peluang pekerjaan bertambah kerana sudah pasti lebih banyak peluang ekonomi terbuka dalam dunia yang penuh persaingan. Pelbagai idea baru turut terhasil melalui persaingan ini yang memerlukan satu tahap kemahiran kerja yang tinggi. Aspek ini mendorong pelbagai jenis pekerjaan baru terhasil di negara ini. Selain itu, dasar ini memberi satu suntikan baru kepada imej negara. Masyarakat luar akan melihat Malaysia sebuah negara yang cekap dan efektif terutama dalam menguruskan negara. Kemampuan negara terjelma melalui sistem pentadbiran yang sistematik, pengangkutan awam yang menyeluruh, kemudahan bertaraf antarabangsa, dan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan tinggi. Negara akan dianggap sebagai negara contoh dalam perbandingan pembangunannya. Secara amnya, memang dasar ini membawa kebaikan yang tidak terhingga. Syarikat seperti TELEKOM, TNB, dan POS MALAYSIA merupakan agensi kerajaan yang telah diswastakan dan telah menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan mereka. Perubahan ini dijangka akan terus berlaku dalam tahun-tahun mendatang kerana sudah pasti mereka akan bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang turut mahu mengaut keuntungan seperti mereka.

Anda mungkin juga menyukai