Anda di halaman 1dari 28

Karangan :- 

      Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti
pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata
ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan
amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah
tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa
memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat
sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya ,
apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada
pendapat saya, jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga
terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam
melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

             Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak
dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering
menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan
bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak
dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif .
Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk
perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan
perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh
untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan
dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan
akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes,
rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting
untuk membentuk sahsiah anak-anak.

         Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-
anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-
anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan
orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih
tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak
kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .
Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak
yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar
membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh
ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar. 
Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah
keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang
boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di
peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah
pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang
baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau
menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak.

               Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama
dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu
bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak
yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu
meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi
anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih
sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-
anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu
bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan
kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan
seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga
sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang
dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling
menghormati.

             Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan
bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak
lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh
baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar
supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal
ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang
dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar
anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja .
Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai
seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara.
Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa
balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. 
Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa
mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . 

             Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak
khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu
mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang
rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh
yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai
dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya
kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu
bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang
di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap
anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah ,
beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan
siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan
balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak
dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-
anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak
yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab mereka untuk
mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri
mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan
sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan
diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah
tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah
mulia. Rumahku, Syurgaku

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak
dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini
menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik
anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.
 
Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak
mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak
menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan
teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan
ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan
baik.
 
Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang
berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan
menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang
menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar
keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak
mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting
kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah
hidup.
 
Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikankasih sayang kepada anak
mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan
memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak
mereka perlu diberipeluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan
penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya.Maka, ibu
bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.
 
Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja.
Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa
remaja banyak juga dihabiskan di sekolah.Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh
pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi
yang mulia pula.Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-
sama ibu bapa.
 
Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak
anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga
akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu
terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah
bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.
 
Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka
umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar.
Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan
lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita
semua. Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya membuktikan betapa didikan
ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka
kelak.
Peranan ibu bapa dalam mendidik anak

Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika
merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan gerangan
anak-anak pada masa hadapan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai
keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan hasrat hati
mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan
wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak
mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan
kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang
berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.

        Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar seribu mancis
tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat
menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil
oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan
memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun. Solat
merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-
anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak
telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti
luhur, sudah pasti segala apa-apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti.
Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan
diri mereka sudah cukup teguh, segala apa-apa yang dirancang pasti menjadi nyata.       

      Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat
anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain tarik tali dengan anak-anak.
Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih
sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu
memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam
keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus
berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak
menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak
bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak.
Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud
sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka.
Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu
bapa yang tercinta, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa
tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.       

      Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya
terlebih dahulu.Begitulah juga halnya dengan hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna.Impian mereka tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja
yang bertungkus lumus menggembleng tenaga tetapi sebaliknya pula bagi anak-anak. Dalam
konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan
sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu.
Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama
jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi melancarkan pergerakannya. Apabila minyak
pelincir sudah dituang, maka akan lancarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua
belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan
perjalanan hidup mereka.       

      Tun Dr Mahathir pernah berkata, banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap
manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang untuk
melepaskan diri daripada sebarang musibah. Oleh yang demikian langkah drastik yang boleh
diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah
dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. Umpama menarik rambut dalam tepung,
rambut tidak putus tepung tidak berselerak, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati
anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan
dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada menurut
kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan
merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai
mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan
memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah, apabila situasi ini
berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang
diikendong berciciran.  Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala
tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza
dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut usah
direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan
bumi sedia di tapak kaki.       

      Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan
apa-apa yang dihajati oleh mereka, asalkan tidak menyimpang dan tersasar jauh ke lembah
kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak
boleh terlalu mengongkong anak-anak,tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak
mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-
kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli
Falsafah Pascal mengungkapkan kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-
kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus.
Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan
mendorong anak-anak untuk berjaya kerana anak umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman,
yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam
memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali anak-anak.       

      Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya
menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, anak-anak ibarat
simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan. Justeru, ibu bapa perlu berhati-
hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang. Usaha
yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu
ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir
kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah
terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk
meningkatkan prestasi.

Secara literalnya, menabung dapat ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang di


bank, di dalam tabung dan yang seumpamanya
Secara literalnya, menabung dapat ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang di
bank, di dalam tabung dan yang seumpamanya. Masyarakat lebih gemar menghabiskan
wang yang ada daripada menabung. Stigma yang negatif ini sememangnya sudah lama
berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Walaupun pihak kerajaan pernah memerah keringat
untuk menggalakkan rakyat menabung, khususnya anak-anak, tetapi usaha murni tersebut
telah menemui jalan buntu, seperti hujan di atas pasir.. Dalam usaha menjayakan amalan
menabung, ibu bapa memainkan peranan yang paling penting untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak-anak.

Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih yang tanpa tompok, terpulanglah kepada
ibu bapa untuk mencorakkannya. Ibu bapa seyogia melakukan anjakan paradigma untuk
memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, seumpama peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya.Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus menjadikan diri sebagai suri
teladan untuk anak-anak. Pada usia yang muda, anak-anak tidak dapat berfikir dengan
rasional dan matang serta tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Kesannya,
mereka akan mencontohi pelakuan dan tingkah laku ibu bapa. Bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. peribahasa yang sering terngiang-ngiang di telinga kita ini masih dapat dibuktikan
kebenarannya sehingga hari ini. Memandangkan anak-anak akan mencontohi apa-apa jua
tindakan dan gelagat ibu bapa, ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung. Antaranya,
ibu bapa harus menyimpan wang yang berlebihan di dalam tabung. Ibu bapa juga harus
membuka akaun bank untuk menyimpan wang. Kontranya, sekiranya ibu bapa membazir
wang mereka, anak-anak tidak mungkin akan menabung. Gambaran di atas
memanifestasikan peranan ibu bapa sebagai suri teladan untuk memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak.

Mutakhir ini, pihak bank telah memberikan galakan kepada masyarakat untuk
membuka akaun bank. Pihak bank juga menyediakan pelbagai insentif yang menarik, seperti
kadar faedah yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang membuka akaun bank untuk
menambat hati masyarakat. Lantas ibu bapa harus memanfaatkan peluang ini untuk
membuka akaun bank bagi anak-anak mereka. Amalan menyimpan wang di dalam bank
dapat dicerminkan dengan peribahasa, “ menyediakan payung sebelum hujan”. Hal ini
berlaku demikian kerana wang yang akan disimpan di dalam bank dapat digunakan semasa
kecemasan. Dengan membuka akaun bank, anak-anak berpeluang didedahkan dengan
kepentingan amalan menabung. Anak-anak juga akan mengambil iktibar bahawa menabung
merupakan amalan kudus yang harus disemai. Ibu bapa juga harus mengambil inisiatif tanpa
mengenal penat dan lelah untuk membawa anak-anak ke bank dua bulan sekali. Usaha
untuk menyimpan wang di bank harus dilakukan secara istiqamah dan konsisten, bukan
sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ilustrasi di atas menggambarkan bahawa ibu bapa
harus mengorak langkah yang proaktif untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan
anak.

Semasa meraikan hari ulang tahun kelahiran anak-anak, ibu bapa gemar
menghadiahkan hadiah yang mahal-mahal kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang
terhadap anak-anak. Sebagai misalan, terdapat segelintir ibu bapa yang akan
menghadiahkan komputer, alat permainan video dan sebagainya kepada anak-anak sebagai
bukti mereka telah menatang minyak yang penuh. Pernahkah terlintas dalam jalur fikiran
anak-anak tentang impak negatif pemberian hadiah-hadiah sedemikian kepada anak-anak?
Kesan yang paling ketara ialah anak-anak akan bersifat hedonistik. langkah yang paling
afdal ialah ibu bapa sewajarnya menghadiahkan tabung kepada anak-anak sempena
ulang tahun kelahiran anak-anak. Hal ini bukan sahaja dapat menyerlah kasih sayang ibu
bapa terhadap anak-anak, malah dapat menanam amalan menabung dalam hati nurani
anak-anak. Ibu bapa digalakkan menghadiahi anak-anak tabung yang cantik dan bercorak
menarik agar anak-anak akan beristiqamah untuk menabung. Anak-anak juga akan
menyedari kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian. Deduksinya, memang
tidak ada sesiapa yang berupaya menyangkal bahawa tindakan ibu bapa memberikan
tabung sebagai hadiah adalah sangat wajar untuk memupuk amalan menabung dalam
kalangan anak.

Prakarsa seterusnya, ibu bapa harus memberikan penerangan kepada anak-anak


untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Alternatif ini dapat diibaratkan
sebagai perisai yang ampuh kerana dengan adanya penerangan, anak-anak akan dapat
meluaskan horizon mereka tentang kepentingan amalan menabung. Sebagai contoh, amalan
me
nabung dapat menggarap nilai berjimat-cermat dan mengikis sikap membazir anak-
anak. Anak-anak juga berupaya menguruskan kewangan dengan lebih efektif untuk
mengelakkan pembaziran. Pada masa yang sama, ibu bapa harus memberitahu anak-anak
tentang kesan-kesan negatif sekiranya amalan menabung tidak dipraktikkan dalam
kehidupan seharian. Antaranya, anak-anak akan dikuasai sifat boros. Penerangan harus
diberikan secara berhemah dan lemah lembut supaya lebih mudah diterima oleh anak-anak.
Ibu bapa juga wajar menjadikan cerita, teka-teki dan tayangan video sebagai saluran untuk
menyampiakan informasi tersebut kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana media-media
tersebut amat mujarab untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Sebagai
penalinya, ibu bapa harus menggembleng tenaga dan mendukung obligasi untuk membentuk
generasi masa hadapan yang menyemai amalan menabung dalam sanubari.

Setiap tahun, pihak kerajaan akan bahu-membahu dengan organisasi bukan kerajaan
(NGO) untuk menganjurkan “Kempen Menabung”. Matlamat utama aktiviti tersebut
dianjurkan adalah untuk mempraktikkan amalan menabung dalam kalangan anak. Dalam
majlis pelancaran Kempen Menabung, pelbagai aktiviti yang menarik akan diadakan, seperti
sayembara menulis esei, kuiz pengetahuan am dan pertandingan melukis. Hadiah-haidah
yang lumayan telah disediakan untuk pemenang-pemenang. Oleh itu, ibu bapa harus
membawa anak-anak untuk memeriahkan majlis tersebut serta memberikan kerjasama
yang padu untuk menjayakan kempen tersebut. Usaha pihak kerajaan yang bekerjasama
dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah seperti sambil menyelam minum air. Hal ini
demikian, usaha yang murni ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan,
tetapi juga dapat memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Anak-anak memang
akan memperoleh kemaslahatan yang banyak sehingga tidak dapat dihitung oleh jari.
Antaranya, anak-anak akan diperkenalkan kepada teknik menabung yang berkesan. Anak-
anak juga dapat menghabiskan masa dengan berfaedah. Natijahnya, ibu bapa berperanan
untuk membawa anak-anak ke Kempen Menabung agar dapat memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak.

Akhirulkalam, seluruh strata masyarakat khususnya ibu bapa harus melangkah


sederap dengan pihak-pihak ataupun agensi-agensi yang lain untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak. Amalan menabung merupakan nadi pembangunan dan
kesentosaan negara. Justeru, jangan meranapkan impian Wawasan 2020 yang lantang
diuar-uarkan oleh mantan perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammah.
Bersama-samalah kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadinegara yang maju
yang dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara moden di seantero dunia.
Hal ini kerana salah satu elemen kearah kemajuan negara ialah amalan menabung. Biar
matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gilang-
gemilang di persada antarabangsa hingga kekal abadi. Semoga dengan saranan-saranan
pragmatik di atas menjadi kenyataan, fajar sidik 2020 yang akan menyingsing nanti akan
membawa sinar baru kepada masa hadapan anak watan Malaysia. “ Nik kasa nir jaya”.
Ungkapan berirama Sanskrit ini mencerakinkan bahawa kejayaan tidak mungkin dibuahkan
tanpa usaha yang padu dan konkrit daripada ibu bapa untuk memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak, seperti juga yang digambarkan dalam rangkap puisi berikut:

Kulit upih dihiris mayang,


Bersarang ulat di tepian kolek,
Yang pipih tidak datang melayang,
Yang bulat tak datang bergolek.

LIM HARN CHIENH (5SCB)

Anda mungkin juga menyukai