Anda di halaman 1dari 14

FOKUS 1

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak,
seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa,
anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa
mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga.
Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai
dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal
yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya
cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh
ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran?

Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga
yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan
rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang
luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak
membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia
akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu
bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu
kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam
mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku
syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan
dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang
berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam
suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan
pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal
ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir
sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga
mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila
anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap
rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar.
Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya
anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada
setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum
kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan
tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah
mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan
anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan
agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak
kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan
agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk
kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan
yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan
memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan
ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah
memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-
anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa
perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu
bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak
akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-
anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap
untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa
juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak
belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke
pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara
tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh
menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut.
Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya
pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak
sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk
mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah
sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini
penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin,
ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-
anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi
oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi
pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka.
Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak
akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-
anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran
dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa
perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu
berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh
memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak
sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap
masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan
mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu
bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak
khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.
FOKUS 2
Usaha/inisiatif/cara pelbagai pihak untuk membuktikan rasa cinta akan negara.

Dalam meniti arus kemodenan yang semakin berkembang pesat, masyarakat kini semakin kurang
sifat cinta akan negara atau dikenali sebagai nilai patriotisme dalam diri masing-masing. Pihak-pihak
media massa sering membincangkan isu ini di corong-corong radio dan akhbar-akhbar tempatan.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad menyatakan rasa kesalnya
terhadap rakyat Malaysia yang semakin hilang jati diri dan semangat cinta akan negara dari semasa
ke semasa. Situasi ini pesis peribahasa Melayu yang popular iaitu biar mati anak jangan mati adat
yang dapat dikaitkan bahawa jangan sesekali sifat sayang akan negara menipis atau hilang dalam diri
seseorang. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk
membuktikan rasa cinta akan negara?

         Berakar umbi daripada persoalan yang dinyatakan di atas, antara usaha yang boleh dilakukan
oleh pihak media massa ialah menyebarkan informasi mengenai perjuangan wira terdahulu yang
membuktikan bahawa mereka telah berjuang sehingga titisan darah yang terakhir demi
mempertahankan negara yang mereka cintai dan sayangi. Usaha ini dilaksanakan demikian kerana
rakyat Malaysia sewajarnya cakna dengan sejarah perjuangan tokoh-tokoh Malaysia yang terkemuka
sekali gus menjadikannya sebagai iktibar dan panduan untuk mengekspresikan perasaan cinta akan
negara. Tamsilnya, pihak yang mengendalikan sistem radio boleh menceritakan tokoh terdahulu
seperti Tunku Abdul Rahman yang merentas samudera untuk menguruskan urusan kemerdekaan di
London demi melihat tanah airnya yang tercinta bebas daripada penjajahan asing. Kesan daripada
peristiwa tersebut, Malaysia dapat mencapai kemerdekaannya tanpa sebarang pertumpahan darah
dan pertelingkahan besar antara kaum-kaum di Malaysia pada ketika itu. Usaha yang dilaksanakan
oleh Tunku Abdul Rahman sangat bertepatan dengan peribahasa Melayu harimau mati
meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Tuntasnya, usaha untuk menunjukkan
perasaan cinta akan negara dapat dilakukan oleh pihak media massa yang kini semakin berkembang.

          Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, para belia yang menuntut di luar negara memakai baju
kebangsaan negara merupakan salah satu daripada usaha-usaha untuk membuktikan rasa cinta akan
negara. Hal ini dikatakan demikian kerana pemakaian baju kebangsaan negara dapat menunjukkan
dan memperkenalkan identiti negara kepada orang luar khususnya mereka yang tidak mengenali
Malaysia. Sebagai contohnya, seorang penuntut universiti di luar negara memakai baju Melayu
semasa menunaikan solat Jumaat di masjid dapat menarik perhatian penduduk tempatan sekali gus
memperkenalkan Malaysia. Kesannya, orang luar negara dapat mengetahui tentang negara Malaysia
yang kaya dengan adat dan budaya diwarisi sejak turun temurun bak kata pepatah tak lapuk dek
hujan tak lekang dek panas. Hasil daripada usaha penuntut universiti di luar negara ini akan
membuatkan Malaysia berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara-negara hebat yang
kaya dengan adat, budaya dan resam penuh dengan keunikkan tersendiri. Izharnya, penuntut
universiti luar negara dapat membuktikan bahawa mereka cinta akan negara walaupun menetap di
negara orang.

         Melalui perspektif yang berbeza, setiap inidividu yang menetap di Malaysia perlulah membeli
produk tempatan untuk membuktikan bahawa mereka cintakan tanah air. Melalui usaha kecil ini
dapat membuktikan sumbangan terhadap produk keluaran tempatan dan menunjukkan bahawa
rakyat Malaysia menyokong seterusnya menggalakkan lagi pengeluaran produk-produk tempatan
terutamanya yang dikeluarkan oleh pengusaha industri kecil sederhana (IKS). Tamsilnya, rakyat
digalakkan untuk membeli produk beras berjenama 'Faiza' dan rempah ratus berjenama 'Adabi' yang
dihasilkan oleh usahawan tempatan. Natijahnya, perkara ini dapat menyumbang kepada ekonomi
negara dan membuktikan rasa cinta kepada negara Malaysia yang bertuah ini. Seringkali produk
tempatan dipandang rendah tetapi yang kecil jangan disangka anak, yang besar jangan disangka
bapa kerana kualitinya mampu menandingi produk-produk import yang lain. Oleh itu, individu
mampu membuktikan perasaan cinta akan negara dengan membeli produk-produk keluaran
tempatan.

          Jika diperhalusi dengan lebih teliti, antara usaha yang dapat dilakukan oleh pihak ibu bapa
untuk membuktikan rasa cinta akan negara adalah dengan menyuburkan semangat patriotisme
dalam setiap diri anak-anak. Hal ini harus dilaksanakan supaya generasi akan datang lebih
menghargai dan mencintai tanah air mereka iaitu Malaysia. Usaha ini mampu merangsang generasi
muda umtuk belajar bersungguh-sungguh dalam bidang masing-masing untuk mengharumkan nama
Malaysia di peringakat antarabangsa. Ibu bapa boleh memupuk semangat ini dalam diri permata hati
mereka dengan menceritakan perjuangan tokoh kemerdekaan dan penderitaan yang terpaksa dilalui
oleh orang-orang dahulu semasa era penjajahan. Kesannya, anak-anak akan mendapat gambaran
bahawa betapa teruknya keadaan negara jika dibawah penaklukan seterusnya menjadikan mereka
rakyat lebih menghargai dan mencintai negara serta berazam untuk membangunkannya. Situasi ini
persis peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya supaya mereka mencintai
negara sendiri dari kecil dan bukannya negara luar. Tegasnya, peranan ibu bapa yang dimainkan
dengan baik boleh membuktikan rasa cinta akan negara dengan menyalurkan semangat patriotisme
itu kepada anak-anak mereka.

        Seterusnya, salah satu usaha untuk membuktikan rasa cinta akan negara mampu dilakukan oleh
masyarakat setempat atau komuniti dengan mengadakan kempen cinta akan negara. Langkah ini
diambil supaya masyarakat lebih menyedari kepentingan untuk mencintai negara sendiri. Tambahan
pula, melalui kempen yang dijalankan dengan menarik dan mesra mampu untuk menarik minat
golongan remaja untuk menabur bakti kepada negara melalui inisiatif mereka sendiri. Kempen
disarankan untuk dilaksanakan pada hari yang boleh dihadiri oleh semua lapisan masyarakat seperti
hari cuti am. Selain itu, kempen yang dilaksanakan perlulah dipenuhi dengan program yang dapat
memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Impaknya, masyarakat akan menghargai
dan mencintai negara serta mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kepentingan cintakan
negara Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, kempen cinta akan negara amat penting dalam usaha
masyarakat untuk membuktikan rasa cinta akan negara.

Konklusinya,semua pihak harus bekerjasama dalam usaha untuk menyemaikan rasa cinta akan
negara, masyarakat perlulah berganding bahu untuk memajukan negara dan setia berbakti kepada
negara sendiri bak kata pepatah "hujan emas di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri". Semangat
dan rasa cinta akan negara sangat penting dalam diri supaya rakyat lebih menghargai negara dan
berusaha mempertahankannya daripada ancaman-ancaman anasir luar yang mampu memusnahkan
negara Malaysia yang bertuah ini. Oleh itu, inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak mampu
mengubahnya.
FOKUS 3
Peranan / Tanggungjawab / Tindakan setiap ahli keluarga dalam menangani implikasi negatif
media sosial dalam kalangan anak-anak.

Media sosial merupakan salah satu medium perhubungan dan penyebaran maklumat serta menjadi
tarikan segenap lapisan masyarakat khususnya golongan remaja. Di dada-dada akhbar tempatan
terutamanya Berita Harian sering mengutarakan rencana berkaitan implikasi negatif media sosial
kepada penggunanya. Dalam sidang media baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia yang keenam,
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengatakan bahawa ibu bapa sebagai ahli
keluarga yang paling rapat dengan anak-anak perlu memainkan peranan dalam menangani implikasi
negatif media sosial dalam kalangan anak-anak. Hal ini bertujuan untuk melahirkan modal insan yang
dapat menerajui pucuk kepemimpinan negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah peranan
setiap ahli keluarga dalam menangani implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak?

     Berakar umbi daripada persoalan tersebut, antara peranan ahli keluarga dalam menangani implikasi
negatif media sosial dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa memberikan didikan agama yang
secukupnya kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Hal ini amat signifikan kerana anak-anak
ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Ibu bapa boleh mengajar dan mendidik anak-
anak untuk membezakan antara perkara yang hak dan batil. Sebagai contohnya, ibu bapa menjelaskan
tentang pengaruh Barat yang disiarkan menerusi 'Youtube' dan menjadi ikutan ramai tetapi
bertentangan dengan nilai moral masyarakat Timur. Benarlah pepatah Melayu yang menyatakan
melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan didikan
agama sejak mereka kecil supaya tidak terjerumus dengan gejala negatif berkaitan media sosial.
Tuntasnya, didikan agama yang secukupnya merupakan salah satu peranan ahli keluarga iaitu ibu
bapa untuk mengatasi implikasi negatif media sosial dalam kalangan anak-anak.

     Dalam perspektif yang sama, ibu bapa berperanan mengehadkan tempoh anak-anak untuk melayari
media sosial seperti 'Facebook', 'Twitter', dan 'Instagram' memerlukan penggunaan akses Internet. Ibu
bapa mempunyai hak untuk menyekat akses Internet tersebut dan mengawal tempoh penggunaannya
agar anak-anak akan lebih menghargai masa. Sebagai tamsilnya, ibu bapa menetapkan bahawa anak-
anak hanya boleh menggunakan Internet sehingga pukul sepuluh malam kerana anak-anak perlu
mendapatkan tidur yang berkualiti supaya tidak mengganggu proses pembelajarannya pada esok hari.
Perkara ini persis peribahasa Melayu , berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit
dahulu bersenang-senang kemudian agar mereka mendapat manfaat daripada usaha mengehadkan
masa penggunaan Internet yang dilaksanakan oleh ibu bapa. Izharnya, tempoh untuk anak-anak
melayari media sosial perlu dihadkan oleh ibu bapa untuk mengelakkan implikasi negatif media sosial
menular dalam diri anak-anak.

     Jika dilihat pada peranan ahli keluarga yang lain, kakak boleh menasihati dan membimbing adik
menggunakan laman sosial secara berhemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kakak lebih
mengetahui buruk baik media sosial dan tutur katanya sering dipatuhi oleh adik. Kakak perlu
memberitahu adik mengenai bahana penyalahgunaan media sosial terhadap adik-adik dan menegur
mereka. Hal ini akan menjadikan adik-adik lebih berdisiplin dan menggunakan media sosial secara
efektif seperti melayari laman web yang berkaitan dengan pendidikan di sekolah. Situasi ini persis
peribahasa Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya kerana apa yang diajarkan kepada adik-adik,
perkara itulah yang akan diturutinya. Tegasnya, peranan kakak dalam menangani implikasi negatif
media sosial amat penting kerana kakak adalah orang yang paling rapat dalam ahli keluarga.
       Di samping itu, seorang abang perlu memasang aplikasi yang boleh menyekat laman sesawang
yang tidak berfaedah. Hal ini supaya adik-adik mereka terutamanya tidak terdedah dengan perkara
yang tidak elok. Uswahnya, abang memuat turun aplikasi gempur-organisasi yang boleh menyekat
sebarang aplikasi negatif seperti didigames.com. Adik-adik akan terhindar daripada pengaruh negatif
dalam media sosial dan terjebak dengan jenayah siber. Oleh yang demikian, adik-adik akan lebih
positif dalam kehidupan seharian sekali gus dapat melahirkan modal insan yang berguna kepada
negara dan agama. Izharnya, sebagai seorang abang yang bertanggungjawab perlulah mengambil
inisiatif dengan menyekat laman sesawang yang memudaratkan.

      Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, antara peranan ibu bapa dalam menangani implikasi
negatif media sosial dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa mengawasi penggunaan media sosial
anak-anak. Ibu bapa perlu mengetahui laman web dan media sosial yang dilayari anak-anak. Hal ini
bertujuan mengelakkan anak-anak daripada melayari perkara yang tidak elok seperti laman kongsi
gelap dan pornografi. Sebagai contohnya, ibu bapa memeriksa telefon pintar anak-anak supaya
mereka tidak terlibat dengan perkara yang negatif dan boleh mengundang musibah. Tindakan ini
membolehkan ibu bapa mengelakkan anak-anak daripada terpengaruh dengan perkara negatif. Sudah
terang lagi bersuluh, ibu bapa perlu mengawasi penggunaan media sosial anak-anak supaya implikasi
negatif media sosial dapat ditangani.

      Konklusinya, keluarga memainkan peranan yang sangat penting untuk menangani implikasi
negatif media sosial dalam kalangan anak-anak. Hal ini kerana keluarga merupakan guru pertama
anak-anak di dunia ini. Hal ini supaya generasi yang lebih bermoral dan berwawasan dapat dilahirkan
jika tidak terpengaruh dengan implikasi negatif media sosial yang akan menaikkan dan
mengharumkan nama negara. Perkara ini persis peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung
manakan dapat sagunya. Oleh yang demikian, penggunaan media sosial perlu dikawal dan ditapis
bahannya daripada perkara yang boleh menjerumuskan ke arah gejala negatif yang berkaitan dengan
media sosial.
FOKUS 4
Peranan pemimpin sekolah atau pengawas di sekolah.

Marcapada, tugas membentuk kalangan pelajar bermoral, bersahsiah dan berdisiplin tinggi amat
mencabar minda pentadbiran sekolah akibat pelbagai kerenah dan masalah pelajar yang timbul
sekarang. Selalunya masyarakat terutama ibu bapa beranggapan tugas membentuk sikap dan altitud
moral dan sahsiah pelajar terletak di pundak pentadbir sekolah dan juga guru-guru. Seyogia,  tugasan
membentuk kemenjadian pelajar juga harus digalas oleh ibu bapa dan pemimpin sekolah sebagai
pembantu serta pelengkap usaha membentuk disiplin dan sahsiah terpuji pelajar. Kebejatan  isu salah
laku disiplin dalam kalangan pelajar sering menjadi buah mulut orang ramai malah sudah menjadi isu
basi yang meniti daripada mulut ke mulut jagatraya ini. Statistik menunjukkan bahawa lebih daripada
53 peratus remaja Malaysia mengalami kebejatan moral yang kritikal dan kerap kali menyumbang
kepada peratus salah laku yang kian meningkat dari hari ke hari. Tambahan pula, dengan kehadiran
gajet atau peranti moden seperti telefon pintar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan melitupi
minda pelajar kerana secara langsung dunia tanpa sempadan mempengaruhi akhlak mereka dan
meningkatkan lagi pidana salah laku dalam kalangan pelajar. Kesedaran tentang peranan- peranan
penting yang perlu digemblengkan oleh pihak sekolah dan guru-guru, menyebabkan peranan
pemimpin sekolah amat ditagih kerana tanpa kolaborasi mereka, objektif utama pihak sekolah untuk
melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang, dan terbilang tidak akan kesampaian. Tambahan pula,
remaja sekolah kini masih leka dengan fantasi dunia modenisasi mereka sehingga mengabaikan nilai 
moral yang positif dan mengutamakan nilai hedonisma dan terdapat juga segelintir pelajar melakukan
vandalisme dalam kehidupan mereka. Seyogia, peranan pemimpin sekolah seperti pengawas sekolah
memang diperlukan untuk membantu pihak sekolah dalam membanteras salah laku disiplin rakan-
rakan sebaya di sekolah. Persoalannya, apakah peranan pemimpin sekolah atau pengawas di sekolah
mayapada?

                Pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak sekolah serta guru- guru memantau dan
menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sekolah agar sekolah sentiasa dalam keadaan yang
terkawal sama ada dari segi disiplin mahupun keceriaan sekolah. Pengawas sekolah kebiasaanya
dilantik oleh guru-guru dalam kalangan pelajar yang berdedikasi, bertanggungjawab dan dihormati
dalam kalangan pelajar sekolah. Pada masa yang sama, mereka perlu mengungguli setiap
kecemerlangan di sekolah, sama ada dalam kurikulum, mahupun kokurikulum dan yang paling
penting pengawas sekolah perlu menjalankan tugasan mereka penuh amanah dan bertanggungjawap.
Dengan cara ini, pemimpin sekolah iaitu barisan pengawas sekolah dapat membantu pihak sekolah
mengurangkan salah laku disiplin dan seterusnya melaksanakan setiap arahan sekolah agar keadaan
sekolah sentiasa kondusif dan terkawal serta pembelajaran pelajar di sekolah akan sentiasa berlaku
dalam keadaan ceria. Contohnya, jika  keadaan kelas tidak bersih, sampah sarap berteraburan sama
ada di dalam atau luar kelas, pengawas sekolah boleh melaporkan situasi berkenaan kepada pihak
pentadbir sekolah agar tindakan yang setimpal dapat diambil kepada kelas berkenaan atau jika ada
terdapat dalam kalangan pelajar yang terlibat menyebabkan situasi berkenaan berlaku. Hal ini mampu
untuk memudahkan guru dan pelajar menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih
sempurna dan kondusif. Sekiranya, pengawas sekolah mampu memainkan peranan mereka
menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah sudah pasti disiplin pelajar terkawal dan
pelajar akan dapat menumpukan tanggungjawab mereka memastikan kebersihan kelas sentiasa ceria
dan paling utama tanggungjawab mereka terhadap keluarga untuk menjadi pelajar cemerlang dalam
pelajaran. Sebaliknya, pengawas yang gagal menjalankan peranan mereka sebagai wahana dan
pemangkin untuk melahirkan pelajar cemerlang,gemilang dan terbilang, sudas pasti keadaan sekolah
akan huru hara dan objektif sekolah untuk melahirkan kemenjadian pelajar  cemerlang, gemilang dan
terbilang tidak akan kesampaian. Tegasnya, pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak
sekolah serta guru-guru menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sekolah agar disiplin pelajar
sentiasa dalam keadaan yang terkawal.

                Selain itu, pengawas sekolah berperanan sebagai ikon atau idola  yang membawa pengaruh
positif kepada rakan sekolah sebaya kerana gerak geri atau perbuatan mereka sama ada  cara
percakapan, cara berpakaian, cara belajar dan apa sahaja tingkah laku mereka menjadi ikutan pelajar.
Hal ini demikian kerana rakan pelajar amat teruja dengan sifat kepimpinan positif yang diperaga oleh
mereka dalam kehidupan.  Menurut kata Dr. Ary Ginanjar Agustian, seorang motivator yang berasal
dari Indonesia dalam salah satu programnya, “salah satu faktor menjadi ketua dan menghapuskan
yang bathil ialah seseorang itu haruslah berpengaruh”. Berdasarkan ungkapan beliau berkenaan
terbukti bahawa sifat keyakinan diri serta sifat terpuji pengawas sekolah mampu membawa pengaruh
positif kepada rakan pelajar terutama dalam kalangan pelajar yang nakal atau rosak akhlaknya sekali
gus mendorong mereka  berubah menjadi pelajar yang mampu menjadi benih yang baik dicampak ke
angkasa menjadi kejora, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke daratan menjadi penawar.
Walaupun begitu bukan mudah untuk melaksanakan usaha dan tugasan membentuk kemenjadian
pelajar cemerlang, namun sehari selembar benang lama- lama menjadi kain. Sekiranya sifat terpuji
pengawas sekolah menjadi ikon, dan idola pelajar sudah pasti impian pentadbir sekolah dan guru-guru
untuk melahirkan pelajar sebagai insan berguna dalam kalangan masyarakat akan menjadi kenyataan.
Sebaliknya, pengawas yang tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diharapkan dan
diteladani oleh para pelajar, sudah pasti kehadiran mereka tidak memberi apa-apa kesan kepada rakan
pelajar dan menghampakan pihak pentadbir dan guru-guru. Sudah terang lagi bersuluh, pengawas
sekolah berperanan sebagai ikon atau idola  yang membawa pengaruh positif kepada rakan sebaya.

                Di samping itu, saya juga keberadaan pengawas sekolah mampu menurunkan bilangan kes
salah laku disiplin dalam kalangan rakan sebaya. Hal ini kerana sebagai pengawas sekolah yang
berkaliber dan bertanggungjawab serta berpengaruh, mereka seharusnya mampu mendekatkan diri
dan menasihati rakan pelajar yang bergelumang dengan kebejatan moral marcapada seperti ponteng
sekolah, merokok, membuli rakan pelajar yang lemah, melakukan vandalisme seperti merosakkan
harta benda sekolah dan sebagainya. Menurut hadis Rasulullah S.A.W. , “nasihat- menasihati akan
menjadi kurang pada akhir zaman”. Oleh sebab itu, sebagai pengawas sekolah yang prihatin dan
bertanggungjawab mereka perlu menegakkan yang hak dan menghapuskan yang bathil melalui
peranan dan tanggunjawab mereka menasihati menasihati rakan sebaya rosak akhlaknya. Sebagai
contoh, apabila terdapat dalam kalangan pelajar sekolah merosakkan harta benda sekolah seperti
menconteng dinding bangunan sekolah, merosakkan tandas sekolah sekolah, merosakkan paip air
sekolah dan pengawas  sekolah perlu menasihati mereka dengan menjelaskan bahawa perbuatan
mereka tersebut telah memburukkan imej sekolah serta merugikan mereka sendiri dan orang lain
sebagai pengguna kerana kemudahan yang disediakan adalah untuk kemudahan mereka gunakan
seharian.  Pabila kemudahan awam yang disediakan rosak sudah pasti mereka sendiri dan rakan
pelajar yang lain memerlukan kemudahan berkenaan akan menghadapi masalah sekali gus  kehidupan
mereka sebagai pelajar akan terganggu dan pembelajaran kondusif tidak akan berlaku. Sekiranya,
pengawas sekolah berjaya membanteras tingkah laku negatif segelintir rakan sebaya yang melakukan
perbuatan vandalisme berkenaan, sudah pasti  pelajar akan dapat belajar dengan kondusif dan imej
sekolah akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Tegasnya, keberadaan pengawas sekolah mampu
menurunkan bilangan kes salah laku disiplin dalam kalangan rakan sebaya.

                Bukan itu sahaja, pengawas sekolah yang bertanggungjawab juga berperanan membantu
program sekolah yang dianjurkan oleh guru kaunselor untuk membentuk tingkah laku terpuji dalam
kalangan rakan sebaya. Segelintir pelajar melakukan kesalahan disiplin  berpunca daripada
permasalahan keluarga, permasalahan hubungan dengan rakan-rakan dan ada juga akibat masalah
peribadi. Hal- hal sedemikian telah memberi tekanan kepada mereka dan akhirnya mereka melakukan
kesalahan disiplin dan melanggar peraturan sekolah kerana budaya hendonisme dan vandalisme yang
melingkari kehidupan mereka. Seyogia, pengawas sekolah yang prihatin dan bertanggungjawab perlu
menawar diri untuk membantu guru kaunselor berbekalkan simpati yang mengusik sanubari.
Kolaborasi pengawas dan guru kaunseling membanteras dan menasihati rakan sebaya merupakan
contoh yang terbaik untuk membantu rakan sebaya untuk tidak terus bergelumang dengan budaya
hedonisme dan vandalisme yang akhirnya menyebabkan kes salah laku dan disiplin  meningkat.
Contohnya, rakan sebaya yang melakukan vandalisme seperti menconteng sekolah, merosakkan
kemudahan sekolah, dan merosakkan paip air sekolah. Perbuatan yang mereka lakukan hanya untuk
keseronokkan yang tidak bertempat akibat budaya hendonisme dan vandalisme mencemari akhlak dan
budi kehidupan mereka tanpa memikirkan natijah yang akan berlaku selepas perbuatan tersebut
dilakukan, dan impaknya kepada pengguna yang lain yang akan menghadapi masalah. Pabila
pengawas dengan bantuan guru kaunselor menasihati golongan pelajar yang melakukan perbuatan
tidak senonoh ini diharapkan mereka tidak mengulanginya lagi demi kesejanteraan pelajar-pelajar
yang lain. Tegasnya, pengawas sekolah yang bertanggungjawab juga berperanan membantu guru
kaunselor membentuk tingkah laku terpuji dalam kalangan rakan sebaya

                Akhir sekali, pengawas sekolah perlu sentiasa berbincang dengan  pentadbir sekolah agar
undang- undang sekolah boleh diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Undang- undang yang
luwes dan tidak dikuatkuasakan sepenuhnya tidak akan dapat mengurangkan kesalahan disiplin
pelajar, malah penguatkuasaan yang tidak dijalankan secara berterusan atau dalam erti kata lain tidak
dikuatkuasakan hanya akan menyumbang kepada peratusan salah laku pelajar yang meningkat naik
saban tahun. Sekolah yang terbilang diukur pada undang- undangnya yang ketat dan sentiasa
dikuatkuasakan. Tamsilannya, pelajar yang melakukan kesalahan berat seperti membuli, dan merokok
di kawasan sekolah dan kesalahan berat yang lain, haruslah dikenakan tindakan buang sekolah.
Seyogia,  kaedah perdana ini mampu mengurangkan salah laku pelajar kerana dengan tindakan seperti
demikian akan menyebabkan pelajar akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan-kesalahan
berkenaan. Sekiranya pihak pentadbir sekolah tidak ambil pusing permasalahan pelajar dan tidak
menguatkuasakan undang-undang atau peraturan sekolah, sudah pasti para pelajar yang rosak
akhlaknya akan terus bermahajarela dan akan mengulangi perbuatan terkutuk mereka tanpa
menghiraukan kesan akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab bagai duri dalam daging
yang akhirnya menimbulkan beban kepada pentadbir sekolah dan kepada pelajar-pelajar lain.
Sebaliknya, dengan adanya penguatkuasaan undang-undang secara berterusan sudah pasti keadaan
disiplin pelajar akan terkawal dan peratusan salah laku di sekolah akan dapat dikurangkan. Sudah
terang lagi bersuluh, pengawas sekolah perlu sentiasa berbincang dengan  pentadbir sekolah agar
undang- undang sekolah diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

                Deduksinya, kesemua peranan pengawas sekolah seperti pengawas sekolah berfungsi untuk
membantu pihak sekolah serta guru-guru menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang 
dilaksanakan di sekolah, pengawas sekolah berperanan sebagai ikon atau idola  yang membawa
pengaruh positif kepada rakan sekolah sebaya, pengawas sekolah yang bertanggungjawab juga
berperanan membantu program sekolah yang dianjurkan oleh guru kaunselor, pengawas sekolah perlu
sentiasa berbincang dengan  pentadbir sekolah agar undang- undang sekolah diperketat dan
dikuatkuasakan sepenuhnya antara prakarsa yang perlu diambil kira dan diaplikasikan agar disiplin
pelajar sentiasa dalam keadaan yang terkawal dan mampu membantu pihak sekolah dalam menangani
kes salah laku disiplin pelajar sekolah dan seterusnya  mampu menjadikan sekolah- sekolah di
Malaysia menjadi cemerlang, gemilang terbilang. Semua pihak hendaklah bahu-membahu agar
masalah ini dapat kita bendung bersama supaya aspirasi negara dan harapan pemimpin untuk
mengejar kemajuan dan ketamadunan negara tidaklah sekadar angan- angan Mat Jenin.
FOKUS 5
Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat
menjamin masa hadapan mereka. 

Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah
menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di
Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di
sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal
oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu
memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya
impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau
pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam
kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan
kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang-
layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil dikemudian hari.
Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan
sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang
kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?  

Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di
bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara
saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang
pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).   Oleh sebab itu,
ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama
ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk
meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang
diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian
di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka
menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan
pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar
berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu
utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.

Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan
dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan
lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal
ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang
akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan
payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang
berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Pada zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi
keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi
keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar  memilih
kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau
pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk
menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan
mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka
minati.

          Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau
idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang unik,
seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang
arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di  Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne
University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran
tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk
menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya
menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia.
Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang
arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan,
kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di
Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya
idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
      
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja
dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua
ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai
minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya,
sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa
sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan
harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh
memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai
buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama
ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha
anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak akan
kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam
merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti
utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting
dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan
sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal.
Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi
kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan
kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen.
Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk
memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika
seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam
bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan
kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur
umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah
dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa
supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 
FOKUS 6
Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di
belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama,
mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan
menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara.
Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti
gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu
dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan
lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa  “tak kenal
maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya.
Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan
perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan
dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan
bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini,
semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah
yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun
Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan
acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu
muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga
jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam
botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan
terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah
diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang
berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara
tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang
terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan
semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat
seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung,
Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-
kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat
aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam
kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat


sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat,
kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan
kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita
mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau
kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi
bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha
kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan
dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita
itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam
era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin
menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan
menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan
teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan
sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai