Anda di halaman 1dari 6

Karangan Bahagian B Peranan Ibu

Bapa untuk Membantu Anak-anak


Mencapai Kejayaan yang Cemerlang
dalam Pelajaran
- January 06, 2018
  Kejayaan seseorang pelajar dalam bidang akademik bukanlah sesuatu yang dijadikan
sebagai angan-angan. Pernyataan ini dibuktikan apabila terdapat ramai pelajar sekolah
rendah, sekolah menengah mahupun mahasiswa telah meraih pencapaian yang cemerlang
dalam pendidikan mereka. Di sebalik kejayaan tersebut mempunyai usaha yang tidak
diketahui orang serta pelbagai cabaran dan dugaan yang telah diharungi untuk memperoleh
prestasi pada masa kini. Dua orang insan pula yang telah memberikan semangat dan
pimpinan sejak hari pertama kita menjejakkan kaki ke dunia ini juga amat berjasa terhadap
kehidupan kita yang menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Mereka bersusah
payah mencari rezeki setiap hari supaya mampu menampung kehidupan anak-anak.
Pendidikan oleh kedua-dua ibu bapa dapat membantu anak-anak yang diibaratkan
sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya, sama ada seindah warna
pelangi atau semalap masa hadapannya. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang
besar dengan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan berdoa untuk anak-anak supaya
mencipta kejayaan anak-anak. Mereka menjadi tonggak kepada anak-anak melalui
sokongan moral dan menyediakan keperluan asas anak mereka. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran? 

  Umum mengetahui bahawa peranan perdana yang dimainkan oleh kedua-dua ibu bapa
adalah mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan
damai. Ibu bapa hendaklah menyediakan tempat belajar yang kondusif untuk anak-anak
dengan semua buku rujukan supaya anak-anak dapat memfokuskan diri dalam pelajaran
dengan sepenuhnya. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap
saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Ibu bapa
berperanan mengekalkan keharmonian dan keceriaan rumah tangga supaya menjamin
anak-anak dapat membesar dengan gembira, selamat dan sihat. Ibu bapa hendaklah
membebaskan anak-anak daripada sebarang masalah dengan memberi dorongan, tunjuk
ajar, nasihat dan didikan agama sejak pada awal usia anak-anak lagi. Hal ini demikian
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus mengelakkan daripada
bergaduh atau bertengkar di hadapan anak-anak kerana akan memberikan tekanan dan
menakutkan mereka. Sekiranya perkara ini berlarutan, maka anak-anak tidak akan mampu
memberi perhatian terhadap pelajaran dan menyebabkan masalah psikologi. Perpecahan
keluarga juga menganggu kesejahteraan rumah tangga. Dalam pada itu, ibu bapa
memainkan peranan yang signifikan dalam menjamin kedamaian dan keharmonian antara
ahli keluarga agar mentaati konsep 'rumahku syurgaku' untuk kepentingan semua
anggota terutamanya anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa memikul
tanggungjawab yang besar dengan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain untuk
menjamin keamanan iklim rumah tangga. 

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa ibu bapa wajar mengambil inisiatif dalam
mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Rakan sebaya
anak-anak berperanan besar dalam mempengaruhi mereka dalam kehidupan harian. Anak-
anak selalunya akan memilih rakan yang mempunyai sifat, kelakuan dan identiti yang
hampir sama untuk bergaul. Oleh hal yang demikian, ibu bapa juga patut mengawal
pergaulan dan tingkah laku mereka dengan segera dan menjejaki tempat mereka pergi.
Rakan sebaya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak yang masih tidak dapat
membezakan yang mana intan, yang mana kaca dan menyebabkan mereka terjerumus
ke dalam kancah sosial. Janganlah menjadikannya seperti nasi sudah menjadi
bubur dan bertindak pada masa yang sesuai, bak kata pepatah ingat sebelum kena, jimat
sebelum habis agar tidak menyesal pada kemudian hari. Anak-anak hendaklah diawasi
sepanjang masa. Sekiranya ibu bapa mendapati mereka mengalami perubahan sifat atau
tingkah laku, maka tindakan yang tegas hendaklah diambil untuk memperbaiki akhlak
mereka. Ibu bapa haruslah meluangkan masa untuk menemani dan berbual-bual bersama
anak-anak mengenai masalah yang dihadapi dan menasihati mereka menjauhi rakan-rakan
yang bermasalah disiplin sehingga mampu menjejaskan masa depan anak-anak yang
cerah. Justeru, ibu bapa seyogianya mengambil tahu perkembangan dan keadaan anak-
anak di sekolah mahupun di rumah dan memastikan mereka menumpukan perhatian
terhadap pelajaran untuk menjamin masa depan yang cerah.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa patut memastikan anak-anak
mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Ahli fizikteori Albert Einstein
pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah
lumpuh. Hal ini memang membuktikan bahawa agama dan ilmu saling berkaitan antara
satu sama lain. Pegangan agama yang kukuh dapat membentuk sahsiah dan akhlak mulia
seseorang individu agar mendorongnya ke jalan yang tepat. Didikan agama hendaklah
didedahkan sejak awal usia anak-anak belasan tahun lagi kerana menjadi pedoman hidup
untuk mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan amalan yang membahayakan
kesihatan seoerti menghisap rokok, minum arak, membeli dadah dan merompak. Didikan
ini dapat membentuk keperibadian mulia seseorang untuk menyayangi diri dan alam serta
menjamin keharmonian hidup. Ibu bapa boleh mengambil pendekatan dengan
mendaftarkan anak-anak kepada program berkaitan dengan agama untuk mengisi masa
lapang anak-anak di samping memperoleh faedah daripadanya. Anak-anak juga akan
mengikut ajaran agama dengan berdoa supaya memperoleh kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah menjadi entiti mithali kepada anak dengan menuruti
ajaran agama, hal ini desebabkan ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Anak-
anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Oleh sebab itu, mereka harus menjadi
contoh yang baik seterusnya ingin mendidik anak-anak agar mempunyai pegangan agama
yang baik. 

  Pada hemat saya, sememangnya diakui bahawa ibu bapa haruslah menyediakan
kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah membeli buku-buku
rujukan dan buku latihan yang secukupnya kepada anak-anak supaya dapat membuat
ulang kaji secara sempurna dan menyeluruh. Tempat belajar juga hendaklah bersih dan
senyap, jauh dari sebarang bunyi yang boleh menjadi gangguan semasa anak-anak sedang
belajar. Latihan dan bahan rujukan yang lengkap dapat membantu anak-anak memahami
subjek-subjek yang diajar di sekolah dengan lebih jelas dan teliti. Ibu bapa juga haruslah
meluangkan masa untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak sekiranya menghadapi
masalah dalam bidang akademik. Lantaran itu, ibu bapa yang berkemampuan boleh
menghantar anak-anak ke kelas tuisyen atau kelas tambahan di sekolah. Hal ini demikian
kerana guru-guru tuisyen yang berpengalaman serta kelas-kelas dengan bilangan pelajar
yang kecil dapat menjamin pemahaman dan penguasaan pelajar berkaitan sesuatu topik.
Pelajar-pelajar juga berpeluang menanyakan soalan-soalan dan memperoleh penjelasan
secara terperinci. Mereka juga diberi latihan yang banyak untuk menyesuaikan diri dengan
teknik menjawab dan markah yang diperuntukkan supaya mampu menjawab kertas
peperiksaan dengan baik. Rentetan itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke
perpustakaan, kedai buku, pameran buku dan ceramah teknik menjawab soalan kertas
peperiksaan SPM agar memastikan pelajar memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam
setiap peperiksaan yang dihadapi. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan,
jelaslah bahawa ibu bapa memang berperanan penting dalam menyediakan pelbagai
kemudahan agar membentuk anak-anak yang berkeyakinan untuk meraih kejayaan dalam
pelajaran. 

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa hendaklah selalu berhubung dan
berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang
anak-anak. Ibu bapa hendaklah menggunakan peluang Hari Terbuka untuk mengetahui
perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka di sekolah bersama-sama guru
tungkatan anak-anak. Dengan ini, ibu bapa boleh mengambil tindakan untuk memperbaiki
kelemahan subjek anak-anak dan tingkah laku. Hari itu menjadi satu pentas supaya ibu
bapa meluangkan masa untuk lebih memahami anak-anak dan keputusan akademik
mereka. Selain itu, ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik dengan memahami
masalah. Ibu bapa juga boleh berbincang cara untuk meningkatkan prestasi anak-anak
bersama guru di sekolah. Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak untuk meluahkan
sebarang masalah yang dihadapi terhadap guru yang mengajar kerana malas bertanya
sesat jalan. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama-sama agar
perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-
anak. Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak yang bermasalah disiplin diberi amaran
dan hukuman yang sesuai agar mendisiplinkan mereka tekun menuntut pelajaran. Dengan
bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa melalui
perbincangan dengan pihak sekolah dapatlah membantu anak mencapai kecemerlangan
dalam pelajaran. 
  Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu
bapa perlulah memberikan perhatian yang setimpal dan berprihatin terhadap pelajaran
anak-anak. Anak-anak melalui kebanyakan masa di rumah dan ibu bapalah yang menjadi
dominan dalam rumah tangga. Ibu bapa wajar mengikuti perkembangan akademik anak-
anak di sekolah dan bertanggungjawab menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sahaja.
Ibu bapa tidak harus mementingkan kerja mereka sehingga mengabaikan pelajaran anak-
anak. Hal ini demikian kerana anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang serta
sokongan moral agar terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Mereka
patut menerapkan konsep kepentingan menuntut ilmu yang menjanjikan pekerjaan yang
lebih baik dan menyediakan mereka kepada realiti dunia ini. Ibu bapa boleh membantu
merancang aktiviti anak-anak dan memberi pendapat dan nasihat untuk mementingkan
bidang akademik serta tidak membuang masa melakukan perkara yang tidak berfaedah
sehingga menganggu prestasi anak-anak. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa tidak patut
memberi tekanan yang berlebihan terhadap prestasi mereka dan membebankan jadual
aktiviti harian dengan kelas tuisyen yang banyak. Hal ini disebabkan anak-anak juga
memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi untuk memulakan kerja pada kemudian hari.
Mereka juga perlu ruang tersendiri untuk melakukan perkara yang disukai untuk
melepaskan tekanan pelajaran. Maka, untuk menjamin masa depan anak-anak belasan
tahun agar dapat meraih kejayaan dalam pelajaran, ternyatalah bahawa ibu bapa
merupakan agen pertama dalam membantu anak-anak ke arah kejayaan.
 
Word count: 1430                  Markah: 89/100            Date: 9/4/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts
or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your
homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but
please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your
cooperation and happy reading. :) 

Comments

1.
Unknown23 July 2018 at 22:24

thanks deae

REPLY

2.

Unknown31 July 2018 at 22:54

Copy jap

Anda mungkin juga menyukai