Anda di halaman 1dari 5

CONTOH FORMAT SYARAHAN

Kamu akan mewakili sekolah dalam satu pertandingan syarahan. Tajuk


syarahan tersebut ialah “Kepentingan disiplin kepada murid-murid”.
Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang arif lagi bijaksana barisan
panel hakim, Yang dikasihi guru-guru serta hadirin
sekalian. Kepentingan Disiplin Kepada Murid-murid”, itulah tajuk
syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini.

Hadirin yang dimuliakan,


Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan
Pustaka Malaysia, Disiplin bermaksud “ latihan pemikiran dan
kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada
tatatertib”. Daripada makna perkataan disiplin ini dapat kita
fahami bahawa disiplin sangat mustahak kepada murid-murid
untuk mencapai kejayaan.
Murid yang berdisiplin dapat mengawal tingkah laku mereka
ketika berada di sekolah Keadaan ini akan menyebabkan
mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap
pelajaran. Guru-guru juga dapat mengajar dengan sempurna.
Selain itu, murid yang mempunyai disiplin akan
bertanggungjawab terhadap pelajarannya. Mereka belajar
dengan bersungguh-sungguh dan menyelesaikan tugasan yang
diberi oleh guru dengan sempurna. Sikap sebeginilah yang akan
membawa kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Hadirin sekalian,
Disiplin juga amat penting untuk membentuk warganegara
yang baik dan berakhlak mulia. Murid-murid yang telah terasuh
daripada awal lagi dengan disiplin diri, akan dapat membentuk
jatidiri menjadi warganegara yang baik, bertatatertib dan
berakhlak mulia. Keadaan ini sangat bertepatan dengan
peribahasa Melayu, “Melentur buluh hendaklah dari rebungnya”.

Oleh yang demikian, suka saya tegaskan di sini bahawa


disiplin sangat penting bukan sahaja kepada murid-murid bahkan
kepada semua orang. Hanya orang yang berdisiplin sahaja
dapat mencapai kejayaan dalam semua bidang.

Sekian, terima kasih.


Karangan Jenis Syarahan.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Tajuk syarahan saya
pada pagi ini ialah "Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar".

Hadirin sekalian,

Antara langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah


menguatkuasakan undang-undang dan peraturan alam sekitar yang telah diperuntukkan.
Pihak berkuasa mestilah mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap pencemar
alam sekitar supaya mereka serik untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Selain itu, kempen penjagaan alam sekitar haruslah dipergiatkan. Kempen ini boleh
disiarkan melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio. Kempen-kempen
ini akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Hadirin sekalian,

Masyarakat mestilah diberikan kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab


menjaga alam sekitar. Aktiviti seperti ceramah dan gotong-royong dapat membantu orang
ramai menjadi lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Di samping itu, masyarakat juga perlulah bersikap perihatin dan bertanggungjawab.


Jika mendapati ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, mereka perlulah melaporkan
kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Hadirin sekalian,

Tanggunjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Alam


sekitar yang terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa
dan sihat.

Sekian, terima kasih.


Peranan ibu bapa membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak,
seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa,
anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa
mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga.
Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya
terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-
anaknya cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu
dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran?

Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang
dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah
tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan
abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan
selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan
anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu
bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan
pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah
tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak
sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana
mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa
bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan
ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan
pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal
ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir
sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga
mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk.
Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan
menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat
untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang
setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada
anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata
pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat
diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran.
Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama
dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil
lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai
kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama
dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang
berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka
juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan
mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil
didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan
didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran.

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-
anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa
perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu
bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak
akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar
anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang
lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu
bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak
belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke
pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara
tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh
menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut.
Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya
pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak
sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk
mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah
sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha
ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah
disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal
ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang
tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah
yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah
bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak
meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama
agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri
anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan
perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu,
jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka
dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat
pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan


peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak
sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap
masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan
mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu
bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak
khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Anda mungkin juga menyukai