Anda di halaman 1dari 5

Nama :Lim Ting Qian

No. Tempat duduk : 08


Kelas: S2SK
Tajuk: Peranan Ibu Bapa untuk Menangani Masalah Sosial dalam Kalangan
Remaja

Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah “Peranan Ibu
Bapa untuk Menangani Masalah Sosial dalam Kalangan Remaja”.
Hadirin yang dihormati,
  Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai  masalah sosial yang mampu
meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-
akhir ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap
terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian
antara unsur-unsur kebudayaan sesebuah masyarakat  yang membahayakan
kehidupan kelompok sosial sesebuah komuniti. Sebagai contoh, gejala sosial
tersebut ialah vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah dan
merempit.  Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani
gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam
sesebuah bangunan. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi
menghalang buah hati pengarang jantung mereka daripada terjebak dalam
kebejatan sosial. Kepentingan tanggungjawab keluarga ini bersesuaian dengan
kata-kata tokoh terkenal Eropah, Dale Camagie “Satu sebab kegagalan adalah
kerana kurang memberi perhatian.” Persoalannya,apakah peranan ibu bapa
dalam menangani gejala sosial dalam kalangan anak-anak mereka?
                   Sebenarnya, peranan dominan yang perlu dilaksanakan oleh ibu
bapa di luar sana dalam menangani kebejatan sosial dalam kalangan anak-anak
ialah ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang seteguh tembok
China dan seindah Taj Mahal kepada anak-anak. Didikan agama merupakan
panduan hidup seorang mukmin selain merupakan indikator yang sangat
penting serta mampu membantu seseorang individu menangkis segala anasir
negatif yang mendorong ke arah kebinasaan diri. Oleh hal yang demikian, ibu
bapa hendaklah menerapkan asas-asas ketakwaan dalam diri anak-anak sejak
kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak pada hari ini
terlalu mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang mendorong ke
arah keburukan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang membawa
maksud  anak-anak diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapanyalah  yang
bertanggungjawab mencorakkannya. Secara tersirat baginda menegaskan
bahawa ibu bapa hendaklah mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan
di atas kain putih yang bersih itu sama ada seindah warna pelangi atau
semalap masa depannya. Memetik kata-kata pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadhilah
Kamsah, beliau mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu
agama kepada putera puteri mereka kerana ilmu agama merupakan benteng
kepada mereka dalam menempuh arus modenisasi ini. Dengan kata lain, ibu
bapa seyogianya perlu mendedahkan anak-anak dengan nilai murni berkaitan
dengan cara hidup Islam yang sebenar, contohilah ketokohan Luqmanul Hakim
yang berjaya mendidik  anak-anaknya berorientasikan al-Quran dan al-Hadis.
Sekiranya ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka kerana terlalu sibuk
mengejar harta dunia, maka tidak menjadi perkara pelik jika anak-anak hanyut
dalam hiburan dan keindahan dunia yang penuh kepalsuan ini. Tegasnya,
mendidik anak-anak dengan ilmu agama sejak dari kecil lagi mampu memberi
impak positif yang besar dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja
berfikiran kelas minda pertama malah mempunyai akhlak yang mulia.
Hadirin yang saya hormati,
          Warga dewan yang dikasihi,
                                               Rahmohan Ghandi pernah berkata, "Keruntuhan
keluarga telah melahirkan generasi yang lemah." Kata-kata hikmat ini jelas
menekankan kepentingan sesebuah institusi keluarga dalam menghasilkan
individu yang cemerlang. Mengapakah hal ini berlaku?  Di manakah kebenaran
bagi pernyataan ini?  Kasih sayang, terutama sekali daripada ibu bapa, akan
menyebabkan anak-anak berasa bahawa dirinya dihargai. Anak-anak perlu
sedar bahawa mereka merupakan aset yang berharga, bukan sahaja kepada
keluarga mereka sendiri malahan kepada agama, bangsa dan negara. Apabila
mereka menyedari tentang hakikat ini, mereka akan berusaha ke arah
merealisasikan idea itu. Hal ini akan memberikan hala tuju yang jelas kepada
anak-anak sekali gus menghalang mereka daripada terjebak ke dalam aktiviti
yang tidak berfaedah yang akan menjadi batu pemberat bagi mereka untuk
mencapai kecemerlangan diri.  Selain itu, apabila mereka berasa dihargai
mereka akan menjadi lebih berkeyakinan tinggi dan rasa hormat kepada diri
sendiri akan tertanam di dalam diri mereka.  Keyakinan diri memainkan
peranan yang konkrit dalam menghasilkan generasi yang madani. Hal ini
demikian kerana, kecemerlangan tidak hanya tertakluk kepada kejayaan dari
segi akademik sahaja malahan dari segi sosial dan psikologi. Mereka juga tidak
akan mengalami kesukaran ketika ditemu duga bagi tawaran kerja dan
sebagainya. Seperti yang masyarakat sedia maklum, pelajar-pelajar pintar
berbondong-bondong membanjiri institusi pengajian tinggi pada zaman
kecanggihan teknologi maklumat. Namun begitu, masih ramai yang kekok
untuk bercakap di hadapan khalayak. Anak-anak yang penuh dengan keyakinan
diri akan cemerlang dalam kehidupan mereka selepas zaman persekolahan. Di
samping itu, kepercayaan yang tinggi oleh anak-anak kepada ibu bapa juga
akan terhasil daripada curahan kasih sayang yang mencukupi oleh ibu bapa.
Hubungan erat yang terjalin akan menyebabkan anak-anak berasa yakin untuk
berkongsi masalah dengan ibu bapa dan tidak akan mencari wahana lain bagi
meluahkan perasaan mereka. Wahana yang diragui boleh menyuntik idealogi
songsang dalam minda anak-anak sekali gus menghalang kecemerlangan
mereka dari segi sahsiah.  Tegasnya, ibu bapa haruslah memberikan kasih
sayang yang secukupnya kepada anak-anak bagi memastikan kecemerlangan
mereka kelak sekali gus melahirkan generasi intelek yang bakal menerajui
negara, bangsa dan agama dengan penuh dedikasi dan kredibiliti.
 Saudara sekalian, 
                        Saya teruskan syarahan ini dengan membawa polemik yang lebih
menarik iaitu mengupas peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya
terhindar daripada gejala sosial ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang
baik terhadap anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa seyogianya
membetulkan kekhilafan diri sebelum membetulkan anak-anak agar tidak
seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan
senget. Anak-anak yang masih kecil atau kebiasaannya remaja sememangnya
masih lagi jahil dan tidak mengenali dunia mereka yang sebenar, kejahilan
inilah yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan terikut-ikut untuk
melakukan sesuatu perbuatan tanpa berfikir sejenak atau kesannya kelak.
Biasanya remaja lebih mementingkan hiburan dan bertindak sesuka hati
kerana menurut kajian ahli psikologi hedonisme merupakan sifat semula jadi
remaja. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan sikap dan tingkah laku yang baik
di hadapan anak-anak mereka, bak kata pepatah bagaimana rupa begitulah
bayangnya kerana anak-anak akan mengikut perbuatan ibu bapa mereka.
Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian anak-anak ,ibu bapa hendaklah
menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak mereka seperti
budaya menghormati warga yang lebih berusia, memberi salam kepada jiran,
menjauhi sikap biadap dan mengamalkan budi bahasa yang sempurna . Kita
sudah sedia maklum bahawa kadang-kadang nasihat dan teguran oleh ibu
bapa diibaratkan seperti mencurahkan air ke daun keladi tetapi jika ibu bapa
tekad dan sentiasa menunjukkan sikap yang baik di hadapan mereka sudah
pasti lama- kelamaan anak-anak mereka mampu menjadi seorang yang bukan
sahaja cemerlang dari aspek akademik tetapi sahsiah juga. William Siegel
pernah berkata,”Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi mereka gagal
untuk merancang”. Jadi, ibu bapa perlulah  sentiasa merancang aktiviti
seharian anak-anak mereka dan beringat-ingat dalam setiap hal yang mereka
lakukan kerana anak-anak mereka sentiasa memerhati dan mencontohi
perilaku mereka. Seandainya usaha ibu bapa sebagai idola yang baik kepada
anak-anak tercapai, sudah pasti harapan mereka untuk melihat permata hati
mereka berjaya di dunia dan di akhirat turut menjadi kenyataan. Nyatalah
bahawa, usaha ibu bapa untuk menangani masalah kebejatan sosial dalam
kalangan anak-anak dapat diatasi jika ibu bapa menunjukkan contoh yang baik
kepada anak-anak mereka sekali gus dapat melahirkan remaja yang
mempunyai sahsiah dan pekerti yang cemerlang.
Warga dewan yang saya hormati,      
         Saya akhiri syarahan saya pada hari ini dengan merumuskan semula
bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengekang gejala sosial
yang semakin serius dalam kalangan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa
khususnya  perlulah bijak memahami tingkah laku anak-anak yang semakin
agresif selain kerjasama daripada semua pihak amat ditagih dalam
menyelesaikan masalah sosial. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah
bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anak tetapi tidak
terlalu memanjakan mereka dengan kemewahan dunia seperti menatang
minyak yang penuh. Sebaliknya, ibu bapa mestilah bertindak dengan lebih
tegas kerana sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-
tangankan. Sebagai remaja, saya berharap agar kita perlu mempunyai
keinsafan dan kesedaran yang tinggi  serta bijak menghargai segala
pengorbanan yang telah disumbangkan oleh ibu bapa. Jika ibu bapa masih leka
dan mengabaikan tanggungjawab mereka maka janganlah melatah sekiranya
anak-anak mereka pada suatu hari nanti juga terjebak dengan kemelutan sosial
ini. Bersesuaian dengan kata-kata nasionalis India iaitu Mahatma Gandhi
“Berfikirlah untuk hari ini namun bertindaklah pada hari esok.” Sudah terang
lagi bersuluh, masalah gejala sosial ini perlu ditangani daripada peringkat akar
umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama
negara di persada antarabangsa. Sebelum saya mengakhiri syarahan saya pada
hari ini, izinkan saya berpantun.
Beras ditanak membawa pelita,
Bersimpuh sopan mencari geliga,
Kasihkan anak bersengkang mata,
Sanggup berkorban jiwa dan raga.

Anda mungkin juga menyukai