Anda di halaman 1dari 9

1.

0 PENGENALAN

Makyung atau Mak Yong merupakan sejenis tarian Melayu tradisional. Drama tari Mak
Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-
unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita
dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipersembahkan terutamanya
di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau-Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak
Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan
Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini
dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana
seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Menghadap Rebab" diikuti
dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi
beberapa amalan dalam siri persembahan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung,
ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga
sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab,
gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya
berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan
dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui
nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

Mak yong diasaskan di Kerajaan Patani yang kini merupakan sebahagian daripada
Thailand. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, usia sebenar Mak Yong
tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar
menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi.
Menurut Hikayat Patani Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia
berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.

Kebiasaannya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang
tetapi yang lain mempercayai ia dicipta oleh makhluk digelar Semar. Para pengkaji sejarah
tidak pasti sama ada Mak Yong berasal dari tradisi rakyat atau teater istana. Sungguhpun
begitu ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi,
berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit.
2.0 ULASAN KRITIS TEATER TRADISIONAL MAKYUNG
Pada 2 Mac 2018 (Jumaat) waktu 8.30 malam, satu persembahan teater tradisional
Makyung telah diadakan di Auditorium Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia, Pulau
Pinang. Persembahan teater tradisional Makyung ini adalah dipersembahkan oleh Seri
Makyung USM.

Saya bersyukur kerana telah berpeluang menonton persembahan teater tradisional


Makyung ini dengan rakan sekelas saya yang berasal dari 6PISMP Pendidikan Muzik. Cerita
yang dipersembahkan dalam teater pada hari itu ialah Raja Besar Maha Gading yang
berkaitan dengan kisah seorang putera bongsu yang dikhianati oleh 6 putera lain kerana
hanya putera bongsu yang dapat menggantikan Raja Besar pada masa akan datang. Teater
tradisional Makyung telah dipersembahkan selama 2 jam. Berikut adalah ulasan kritis
berkaitan dengan teater tradisional Makyung yang ditonton pada hari tersebut.

2.1 WATAK
Jumlah watak yang telah saya dapati sepanjang persembahan dijalankan ialah
16 watak yang termasuk Raja besar atau Pakyung, Permaisuri Teliput Layu, Putera
Sulong, Putera Tengah, Putera Bongsu, Putera Muda, Putera Alang, Putera ke-5,
Putera ke-6, Mak inang, Inang-inang, Peran Tua, Peran Muda, Tok Wak Nujum Raja,
Tok Peraih Sireh dan Adik Terbus Bodor.

Dalam persembahan teater tradisional Makyung ini, Raja Besar ataupun


Pakyung yang memainkan watak utama merupakan Raja Besar Negeri Maha Gading
yang mempunyai 7 orang putera. Dalam kisah ini Raja Besar berazam untuk
menentukan seorang putera yang sesuai dan layak untuk menggantikan baginda. Raja
Besar Negeri Maha Gading ini merupakan seorang raja yang mempunyai sifat kasih
sayang dan sifat peramah. Baginda amat menyayangi 7 puteranya sehingga dapat
mengampunkan maaf putera sulong yang telah melakukan perkara yang buruk iaitu
berniat membunuh putera bongsu yang berkelayakan untuk menggantikan Raja Besar.

Seterusnya watak Permaisuri Teliput Layu merupakan isteri kepada Raja


Negeri Maha Gading dan juga merupakan bonda kepada 7 orang putera. Permaisuri
Teliput Layu bersifat kasih sayang terutamanya terhadap putera bongsu yang berusia
kecil. Permaisuri telah menyanyikan Lagu Mengulit untuk menidurkan putera bongsu
yang letih. Selain itu, terdapat 7 orang putera dalam kisah ini. Antara putera yang
mempunyai masa on-screen yang lebih banyak ialah Putera Sulong dan Putera
Bongsu. Putera Bongsu telah memainkan watak protagonis dalam teater ini manakala
Putera Sulong pula memainkan watak antagonis. Putera-putera lain memainkan watak
sampingan dalam teater ini.

Dalam kisah Raja Besar Negeri Maha Gading ini terdapat 2 watak peran iaitu
Peran Muda dan Peran Tua. Peran tua telah memainkan watak pelawak dan bertindak
sebagai orang suruhan raja. Peran muda pula memainkan watak kelakar dalam teater.
Kedua-dua orang peran telah memainkan watak protagonis yang bersifat taat setia
kepada raja dan negara.

Watak seterusnya yang terdapat dalam teater ini adalah Tok Wak Nujum Raja.
Beliau merupakan watak yang taat setia kepada Raja Besar dan menurut segala
perintah yang diberi oleh Raja Besar. Dalam teater ini, Tok Wak Nujum Raja
bertanggungjawab untuk membantu raja besar untuk memastikan putera yang dapat
menggantikan baginda.

Selain itu, Tok Peraih Sireh dan anaknya telah merupakan watak yang penting.
Mereka memainkan watak protagonis yang telah membantu putera bongsu yang telah
tercedera akibat dibuli oleh putera-putera lain. Tok Peraih Sireh juga memainkan
peranan sebagai bapa kepada putera bongsu semasa putera bongsu memerintah
negerinya sendiri.

Mak inang dan inang-inang merupakan watak sampingan dalam teater ini.
Mereka telah berperanan sebagai pengiring nyanyian dan juga telah melibatkan diri
mereka dalam tarian serta nyanyian besar-besaran. Contohnya mereka telah
melibatkan diri dalam bahagian Menghadap Rebab dan bahagian Pertabalan Raja
Bongsu.

Semua watak dalam teater ini telah memainkan peranan penting masing-
masing dan telah menjayakan persembahan ini dengan aliran persembahan yang
lancar dan hampir sempurna.
2.2 PAKAIAN
Bersesuaian dengan cerita yang dipersembahkan, Pak Yong selaku teraju
utama dari golongan raja-raja dilengkapi dengan pakaian yang indah iaitu pakaian
yang dipakai oleh golongan raja-raja. Pakaian ini diperbuat daripada kain yang mahal
harganya, berkualiti dan dilengkapi dengan perhiasan batu permata tiruan yang
berkilauan. Raja besar memakai baju sutera berwarna kuning, kemas, tidak berkolar
dana berlengan pendek. Selain itu, terdapat ‘Lai’ atau hiasan dari manik-manik dan
mutu manikam yang labuhnya hingga hampir ke pinggang dipakai di atas baju. Raja
besar juga memakai sampin dan mempunyai sebilah keris di pinggang. Selain itu, Pak
Yong turut dibekalkan dengan ‘pemiat’, iaitu tujuh bilah rotan halus atau bilah buluh
yang diikat dalam satu ikatan. Pak Yong memegang pemiat ini di tangan kanannya.
Pemiat ini bertujuan untuk memukul peran atau sebagai alat untuk menghukum
mereka yang engkar arahan raja.

Mak Yong iaitu watak permaisuri dalam persembahan turut dihiasi dengan
pakaian yang indah dan menonjolkan ciri seorang permaisuri. Mak Yong memakai
pakaian kebaya sutera yang diperbuat daripada kain yang bermutu dengan
kerongsang emas dan permata disebat di bahagian dada. Sarung sutera diikat dengan
tali dan berkerongsang emas dan permata. Watak ini juga dilengkapi dengan gelang
tangan, gelang kaki, sepasang subang dan lain-lain yang melambangkan kemewahan.
Mak Yong turut memakai pemeleh dahi yang dihiasi dengan warna emas. Sehelai kain
sibar bertekat emas tergantung di bahu kiri, diselitkan pada pending dan panjangnya
hingga ke paras lutut.

Selain daripada itu, watak Peran pula memakai baju pendek biasa, kain sarung
dan sepasang seluar biasa. Peran telah disolek dengan solekan muka yang
melucukan. Selain itu, peran mempunyai sehelai kain tuala di leher. Tuala tersebut
digunakan sebagai kain lilit kepala dan mengelap peluh. Peran juga memakai kopiah
atau songkok di kepala mereka. Mereka juga dilengkapkan dengan overcoat yang
tidak berlengan yang bercorak kotak-kota dan baju yang beraneka warna. Selain itu,
peran juga memegang parang tumpul.

Putera-putera dalam persembahan telah memakai baju Putera Raja iaitu baju
kerabat diraja. Manakala Mak inang dan Inang-inang pula memakai kebaya dan
sarung sutera tetapi tiada berpending atau kain sibar. Mereka memakai sanggul dan
bungar melur diikat pada sanggul.
2.3 ALAT MUZIK

Alat-alat muzik yang telah digunakan dalam teater Makyung ini adalah alat
muzik tradisional Malaysia iaitu rebab, serunai, gendang, tetawak, kesi dan canang.
Rebab yang berasal dari keluarga alat muzik kordofon digunakan sejak bahagian
pembukaan iaitu Menghadap Rebab dimainkan oleh ahli muzik yang terpenting dalam
kumpulan muzik Makyung. Pemain rebab ini juga dikenali sebagai Tok Minduk dan
merupakan ketua serta pemimpin kumpulan muzik. Seterusnya alat muzik keluarga
membranofon iaitu 2 pasang gendang ibu dan anak telah digunakan dalam teater ini.
Terdapat juga tetawak yang digunakan untuk mengiringi lagu dan memperbanyakkan
ton dalam kumpulan muzik. Selain itu, kesi dan canang telah digunakan terutamanya
dalam lagu perjalanan untuk mengiringi perjalanan watak-watak. Ketiga-tiga alat muzik
ini adalah berasal dari keluarga idiofon.

Selain itu, alat muzik keluarga aerofon iaitu serunai telah dimainkan untuk
menggantikan alat muzik rebab pada Babak 9. Hal ini kerana babak ini merupakan
klimaks dalam kisah Raja Besar Maha Gading di mana Putera Sulong merancang
untuk membunuh Putera Bongsu. Bunyi serunai dapat membawa suasana yang
tension dan menegang serta membawa emosi penonton mengikut jalan cerita teater.

Kesimpulannya, alat muzik yang digunakan dalam teater ini adalah mengikut
standard tradisi teater tradisional Makyung.
2.4 STRUKTUR PERSEMBAHAN

Persembahan teater Makyung ini bermula dengan Mengadap Rebab. Tarian


ini diiringi dengan muzik rebab dan nyanyian yang mempunyai lirik. Gabungan tarian,
nyanyian dan muzik pada bahagian ini dapat saya melihat kesatuan yang padu antara
ketiga-tiga unsur ini. Pak Yong sebagai watak utama dalam persembahan teater ini
telah mengetuai para pelakon iaitu Mak Yong, Inang-inang dan para putera dalam
tarian ini. Mereka duduk dengan tertib mengadap Rebab sambil menyanyi dan menari
serta menggerakkan badan, tangan, jati dan mata dengan pergerakan lemah gemalai.

Seterusnya, Pak Yong selaku watak utama dalam persembahan telah


memperkenalkan dirinya, negaranya, dan asal usulnya dan seterusnya berdialog
dengan Makyung. Lagu Sedayung Makyung telah dinyanyikan oleh Mak Yong untuk
menceritakan pesanan Mak Yong kepada Pak Yong yang hendak keluar berjumoa
pengasuhnya Peran tua.

Lagu ‘Barat Cepat’ pula telah dinyanyikan oleh Peran Tua untuk membalas
panggilan Pak Yong yang meminta Peran Tua keluar berjumpa dengannya.

Seterusnya, Peran Tua telah menyanyikan ‘Lagu Saudara” semasa perjalanan


pergi mendapatkan temannya kerana Peran Tua diberi tugasan oleh Raja Besar. Lagu
Barat Anjur pun dinyanyikan semasa Peran Tua dan Peran Muda pergi mengadap
Raja Besar.

Di samping itu, berlakunya dialog antara pengasuh dengan Tok Wak Nujum
semasa memberitahu bahawa Raja Besar menitahkan wak Nujum mengadap baginda.

Dialog antara Raja Besar, Peran-peran dan Tok Wak Nujum Raja telah
mengisahkan kekeliruan Raja Besar untuk memilih satu di antara tujuh orang
puteranya yang layak menggantikan baginda.

Persembahan turut diteruskan dengan nyanyian Lagu Mengulit kepada Putera


Bongsu yang penat bermain. Seterusnya, dialog antara Putera Sulong dan Raja Besar
mengisahkan Putera Sulong meminta izin membawa Putera Bongsu ke padang luas
untuk bermain di sana. Raja besar bersetuju lalu membenarkannya.

Pada bahagian klimaks, berlakunya Putera Bongsu ditipu, dipukul dan


dicampak ke dalam telaga. Putera Sulong dan adik-adiknya balik ke istana dengan
berpura-pura memberitahu bahawa adiknya Putera Bongsu telah mati dimakan
harimau.
Seterusnya, Lagu Mengambul dinyanyikan oleh Putera Bongsu untuk
menceritakan keadaan yang dihadapinya pada Babak 11. Cerita teater diteruskan
dengan nyanyian Tok Peraih Sireh semasa dia dalam perjalanan dengan anaknya.
Tok Peraih Sireh pun menyelamatkan Putera Bongsu yang tercedera dalam telaga
dan membawanya balik ke rumah.

Cerita teater diteruskan dengan setting masa pada 15 tahun kemudian. Raja
Besar Maha Gading mendapat berita bahawa ada raja baharu lalu menyuruh
pengasuhnya menjemput raja baharu untuk berkenalan dengan lebih dekat lagi. Raja
Baharu bersetuju untuk ke istana Raja Besar dan memanggil Tok Peraih Sireh pergi
bersamanya. Raja Besar terkejut apabila mendapati Raja Baharu itu adalah anaknya,
Putera Bongsu. Setelah Raja Besar mengetahui tentang kebenaran perkara 15 tahun
alu, baginda begitu murka. Namun Putera Bongsu merayu agar ayahandanya jangan
menjatuhkan hukuman kepada abang-abangnya. Raja Bongsu telah memaafkan
kesalahan abang-abangnya dengan syarat beliau sahaja yang boleh memerintah
Negeri Maha Gading.

Seterusnya, bahagian ‘tutup panggung’ dijalankan dengan para pelakon keluar


bernyanyi dan menari mengikut iringan muzik rebab. Para pelakon menari mengikut
iringan muzik dengan pergerakan yang lemah lembut dan juga menghasilkan satu
bulatan sebelum mereka meninggalkan pentas.
3.0 KESIMPULAN

Dari apa yang telah diulaskan di atas, jelas dapat dilihat berapa elemen-elemen
seperti watak, pakaian, alat muzik dan struktur persembahan dapat digabungkan dan
menjadikan satu persembahan yang berjaya menonjolkan nilai-nilai estetik pada teater
tradisional Makyung ini. Gabungan elemen-elemen ini berjaya menonjolkan suasana dan
peristiwa yang pelbagai sehingga menjadi satu kesatuan yang berjaya menarik minat dan
mencuit emosi pelakon dan khalayak. Oleh yang demikian dalam setiap persembahan
Makyung, elemen-elemen di atas adalah sangat penting dan perlu diberi perhatian yang serius
agar dapat wujud satu persembahan yang tinggi mutunya.

Sebagai seorang guru kita hendaklah dapat mempelajari ilmu baharu daripada setiap
persembahan yang ditonton contohnya persembahan Makyong ini. Hal ini demikian kerana
kita berkebolehan untuk menilai dan mengulas kekuatan dan kelemahan sesuatu
persembahan supaya menjadi bahan untuk meningkatkan mutu persembahan sekolah. Oleh
itu, seseorang guru perlu mempunyai sikap yang terbuka semasa menonton sesuatu
persembahan supaya guru dapat mendapat ilmu pengetahuan dan pengalaman baru.
LAMPIRAN

Gambar: Persembahan Teater Tradisional Makyung oleh Seri Makyung USM.

Gambar: Pensyarah dan penonton dari 6PISMP Pendidikan Muzik IPGKTB.

Anda mungkin juga menyukai