Anda di halaman 1dari 7

1.

0 PENGENALAN
Menurut Ainon Mohd dan Abdullah Hassan (2006), bidang leksikografi atau perkamusan
tidak bermula dengan kamus-kamus bahasa moden tetapi dengan bahasa-bahasa lama
seperti Latin, Sanskrit, Yunani dan lain-lain. Leksikografi bermaksud penyusunan kamus dan
segala perkara berkaitan dengan kamus. Perkamusan juga merupakan cabang ilmu
linguistik terapan yang memusatkan pembahasannya kepada kaedah dan teknik
penyusunan kamus. Leksikologi ialah ilmu bahasa interdisiplin yang menyelidiki leksikon,
leksis, dan leksem.

Oleh itu, penulis berpendapat bidang perkamusan ini bersifat teoritis, manakala
leksikografi merupakan kaedah dan teknik menyusun kamus. Leksikografi dan leksikologi
mempunyai kaitan yang rapat dalam perkembangan perbendaharaan kata sesuatu bahasa.
Ini kerana, perakaman perbendaharaan kata dilakukan melalui penghasilan kamus. Tugas
ahli leksikografi adalah untuk menghasilkan sebuah kamus dan antara perkara yang
ditangani ialah makna perkataan yang sentiasa berubah. Tegasnya fungsi asas sebuah
kamus ialah memberikan makna kepada perkataan-perkataan atau item leksikal.

2.0 PERKAMUSAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA

2.1 Sejarah Perkamusan Di Malaysia

Leksikografi tidak bermula dengan kamus-kamus bahasa moden tetapi dengan bahasa-
bahasa lama terutama sekali bahasa-bahasa seperti Latin, Sanskrit, Yunani dan lain-lain.
Menurut al-Kassimi (1983), kamus bermula bukan sebagai alat teoritis tetapi sebagai alat
praktis. Ini disebabkan kemunculan leksikografi berbeza antara satu budaya dengan budaya
yang lain. Menurut Asmah Haji Omar (1986), kamus Melayu yang paling awal yang pernah
diketahui ialah senarai kata Melayu-Cina yang terdiri daripada 482 kata entri yang
dikumpulkan antara 1403M-1511M.

Daftar kata tertua dikatakan merupakan catatan daftar kata Itali-Melayu yang
dihasilkan oleh Pigafetta pada tahun 1521. Senarai kata ini dinamakan Daftar Kata Orang
Islam. Dalam buku ini terdapat sejumlah 426 kata atau frasa bahasa Itali yang mempunyai
450 padanan kata dalam bahasa Melayu. Inilah kamus bahasa Melayu yang pertama dapat
dikesan. Fungsi utama usaha ini adalah untuk kepentingan penyebaran agama Kristian dan
perdagangan. Kandungannya merupakan senarai nama barang, sukatan beras, perkapalan,
hasil bumi dan sebagainya.

1
Secara ringkasnya, perkembangan perkamusan telah bermula sebelum merdeka lagi. Para
pengiat bahasa telah menyedari kegunaan bahasa daripada awal lagi. Bidang perkamusan
dalam penggunaan bahasa bukan sahaja memudahkan urusan seharian mereka malah
memberi kemudahan dalam bidang pendidikan yang memerlukan penggunaan kosa kata.
Generasi kini seharusnya berterima kasih kepada tokoh-tokoh terdahulu yang telah
merangkumkan kosa kata dan dapat digunakan pada generasi kini serta tidak ketinggalan
walau sepatah perkataan yang pernah wujud walaupun sudah bertahun lamanya.

2.2 Teori dan Prinsip Perkamusan Bahasa Melayu

Menurut Arbak Othman (2000), tidak ada teori tertentu yang dikhususkan bagi maksud
penyusunan kamus. Perkamusan menggunakan pandangan tertentu oleh seorang
penyusun kamus sebagai panduan supaya kamus yang disusunnya mencapai mutu yang
baik dan termuat di dalamnya nilai-nilai kebahasaan, semantik dan semiotik, lengkap dan
dapat dipertanggungjawabkan. Maksud teori untuk perkamusan ialah kecenderungan
aplikasi ilmu linguistik, semantik, dan pragmatik selengkap mungkin dalam sesebuah kamus.
Tugas kamus adalah untuk memberi makna atau takrif kepada kata dan pemberian ini juga
menggunakan kata-kata.

Namun, tidaklah hanya menggunakan pandangan tertentu dalam penyusunan kamus


sebagai teori. Setiap kamus yang disusun turut mengutamakan beberapa prinsip
perkamusan sebagai panduan penyusunan kamus. Prinsip yang menjadi pegangan dalam
penyusunan kamus pula ialah keaslian, keperwakilan, kelayakan dan sumber. Keaslian
bahasa hendaklah betul-betul dikenal pasti bahawa bahasa tersebut digunakan oleh penutur
jati. Keperwakilan sesuatu bahasa hendaklah diketahui ruang lingkup khalayaknya.
Misalnya, bahasa untuk kanak-kanak. Penyusun juga perlulah mengklasifikasikan kelayakan
bahasa sesuai dengan tujuannya. Misalnya, kelayakan kamus ekabahasa tidak sama
dengan kamus dwibahasa. Selain itu, kelayakan sosial juga perlu diambil kira misalnya
bahasa, agama, dan adat istiadat pengguna kamus. Akhir sekali ialah sumber. Sumber bagi
kata masukan atau entri perlulah sumber yang layak diterima pakai berdasarkan penelitian
lapangan, iaitu sumber primer atau sumber sekunder berdasarkan rujukan kepustakaan.

Secara kesimpulannya, penulis merangkumkan, walaupun bidang perkamusan ini


tidak menggunakan sebarang teori yang khusus, bidang ini tetap disusun berteraskan
beberapa prinsip seperti yang tertera di atas. Pandangan penyusun diselarikan dengan
prinsip-prinsip yang telah ditetapkan supaya pandangan yang diberikan tidak terlalu tersasar

2
dengan panduan yang telah ditetapkan. Teori dan prinsip inilah yang telah digunakan
berzaman-zaman lamanya.

3.0 JUSTIFIKASI PERKAMUSAN DI MALAYSIA

Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu dan Institut Pengajian
Tinggi memainkan peranan yang penting dalam masa depan perkamusan. Salah satu usaha
Dewan Bahasa dan Pustaka ialah menubuhkan Bahagian Perkamusan yang diketuai oleh
Dr. Teuku Iskandar yang juga merupakan Ketua Editor Kamus Dewan Edisi Pertama (1970).
Seiring dengan salah satu tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu pengekodan
bahasa Melayu melalui penggubalan istilah bagi pelbagai ilmu pengetahuan dan
menyediakan manual tentang penggunaan bahasa melalui penghasilan kamus (Abdullah
Hassan, 1997). Oleh sebab itu, kerja-kerja penyusunan kamus kini berada di bawah tugas
Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika penulis membandingkan dengan sejarah perkamusan
terdahulu, tiada sebarang penubuhan atau persatuan ditubuhkan untuk mengambil tugas
perkamusan. Kebiasaannya, perkamusan dijalankan secara individu atau berkolaborasi
dengan beberapa individu. Namun, pada hari ini bidang perkamusan telah memiliki lebih
daripada 40 orang kakitangan dan menggunakan pakar dari luar negara untuk
menghasilkan kamus. Dengan menggunakan pemikiran penyusun yang ramai, pendapat-
pendapat yang diberikan akan semakin banyak. Seiring dengan teori perkamusan yang
menggunakan pandangan tertentu seorang penyusun kamus sebagai panduan. Oleh itu,
karya perkamusan yang dihasilkan akan menjadi lebih mantap serta mencapai mutu yang
terbaik.

Selain itu, melalui Bahagian Perkamusan ini jugalah terhasil beberapa jenis kamus
yang lain. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini telah dan sedang menghasilkan pelbagai
jenis kamus ekabahasa, kamus dwibahasa bahasa Melayu-bahasa asing dan bahasa asing-
bahasa Melayu, kamus dan glosari istilah pelbagai bidang ilmu di samping kamus khusus
seperti kamus peribahasa, dan kamus kebalikan. Penulis membandingkan dengan sejarah
perkamusan terdahulu yang turut mempunyai tiga jenis kamus yang utama iaitu kamus
dwibahasa, kamus aneka bahasa dan kamus ekabahasa (Shamsul Aizuwani Nawi, 2020).
Bezanya zaman kini, pada pendapat penulis, bidang perkamusan ini semakin diperluas.
Misalnya, wujudnya glosari istilah pelbagai bidang ilmu, kamus peribahasa dan kamus
kebalikan yang merupakan salah satu Projek Perkamusan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penghasilan kamus yang pelbagai ini, menurut penulis dapat memanfaatkan pakar dari luar
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang membantu dalam bidang perkamusan ini seperti

3
pakar rujuk pelbagai bidang ilmu, pakar rujuk tatabahasa, pakar fonetik, pakar etimologi,
pakar dialek, budayawan, sasterawan dan sebagainya dalam penghasilan kamus.

Pada hari ini, terdapat pelbagai kamus yang berbentuk dwibahasa. Kamus dwibahasa ialah
kamus yang menghubungkan kosa kata dua bahasa melalui terjemahan padanan.
Contohnya, Kamus Tamil Melayu Dewan (KTmMD). Kamus ini disusun khusus untuk
meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asli bahasa tamil di
Malaysia. Kamus ini merupakan salah satu kamus yang telah dilaksanakan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP). Kamus ini dihasilkan melalui gabungan ahli-ahli penutur jati
bahasa Tamil dan bahasa Melayu daripada kalangan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus
ini merupakan salah satu bukti prinsip penyusunan kamus yang telah digunakan pada masa
kini iaitu keaslian. Hal ini demikian kerana, Kamus Tamil Melayu Dewan (KTmMD) ini
memuatkan bahasa yang ada bukti bahawa bentuk tersebut benar-benar digunakan oleh
penutur jati seiring dengan konsep prinsip keaslian.  Prinsip ini turut digunakan pada sejarah
perkamusan terdahulu. Misalnya, Daftar Kata Itali-Melayu. Pengumpulan kata bagi kamus ini
telah dilakukan oleh Antonio Pigafetta yang merupakan penutur jati Itali (Nor Hashimah
Jalaluddin, 1995). Pada pendapat penulis, prinsip keaslian ini telah wujud sekian lama.
Bukan sahaja pada masa kini, tetapi telah digunakan pada zaman terdahulu. Bukti
penciptaan Daftar Kata Itali-Melayu yang telah dicatat sendiri oleh penutur jati bahasa Itali
membuktikan kamus terdahulu turut menekankan bahasa penutur jati dalam sesebuah
kamus.

Selain itu, kamus-kamus kini mempunyai pelbagai jenis kamus. Malah, Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) kini masih dalam operasi memperbanyakkan jenis kamus untuk
memperluaskan lagi perkamusan pada era ini. Seiring dengan prinsip perkamusan
keperwakilan. Keperwakilan bergantung kepada format kamus yang ditentukan oleh
pengguna yakni khalayak. Kamus perlu memuatkan bahan yang benar-benar mewakili
ruang lingkup khalayak. Sama seperti usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah
menghasilkan kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, glosari pelbagai bidang, kamus
peribahasa, kamus kebalikan dan banyak lagi. Lingkup khalayak sesuatu bahasa itu
dibahagikan kepada beberapa kamus. Pada pendapat penulis, prinsip keperwakilan ini tidak
digunakan dalam sejarah perkamusan. Pada zaman dahulu, terdapat beberapa kamus yang
merangkumkan beberapa bahan dalam satu buku. Misalnya, Kitab Pengetahuan Bahasa
yang telah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Dalam kitab ini terdapat pelbagai bahagian. Kitab ini
mengandungi keterangan tentang tatabahasa bahasa Melayu, peribahasa bahasa Melayu,
pantun, dan syair (Nik Safiah Karim, 2013). Kitab ini juga mempunyai banyak perkataan
yang bersifat loghat Kepulauan Riau-Lingga dan bahasa Bugis. Jika dinilai, pelbagai

4
bahagian yang terdapat dalam kitab ini. Tidak seperti zaman kini yang mengkhususkan satu
bahagian sahaja dalam satu kamus bagi memudahkan generasi kini membuat rujukan.

Di samping itu, Institut Pengajian Tinggi yang merupakan pusat keilmuan telah
memainkan peranan yang lebih dominan dalam pengembangan bidang perkamusan Melayu
pada masa kini berteraskan prinsip perkamusan. Contohnya, telah ditubuhkan pengajaran
bidang perkamusan di Institut Pendidikan Guru sendiri pada peringkat Sarjana Muda
(Shamsul Aizuwani Nawi, 2020). Pembelajaran bidang ini membuka peluang kepada
generasi kini untuk lebih mengenali bahagian-bahagian yang terdapat dalam bidang
perkamusan seterusnya memahirkan lagi mereka dalam bahagian-bahagian tersebut. Oleh
hal yang demikian, kelayakan dapat dibentuk dalam diri pelajar untuk menjadi salah satu
keperluan dalam penyusunan kamus. Seiring dengan prinsip kelayakan yang menjadi
pegangan dalam penyusunan kamus. Kelayakan didefinisikan penyusun kamus harus
memastikan bahawa hasil kerjanya sesuai dengan tujuan perkerjaannya. Misalnya, dalam
sejarah perkamusan sendiri ramai tokoh yang mahir dalam bahasa mereka melibatkan diri
dalam perkamusan bahasa mereka sendiri. Fredick de Houtman yang telah menghasilkan
satu senarai kata yang bertajuk Spoeken De Woorden boek in de Malaische en de
Madagaskar Talen. Senarai kata ini mengandungi kata-kata dan dialog yang dikumpulkan
daripada bahasa Melayu. Senarai kata ini diterjemahkan oleh Agustine Spalding ke dalam
bahasa Inggeris. Agustine Spalding merupakan tokoh yang berasal daripada England dan
sememangnya pakar dalam bahasa Inggeris kerana negara berkenaan mempunyai ramai
penutur jati bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, Agustine Spalding mempunyai
kelayakan yang tinggi untuk membuat terjemahan bahasa Melayu tersebut kepada bahasa
Inggeris kerana memenuhi keperluan kamus tersebut. Oleh itu, pada pendapat penulis,
prinsip kelayakan ini telah lama diamalkan oleh para penyusun kamus untuk menjadikan
kamus yang dihasilkan lebih bermutu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menghasilkan sebuah kamus yang
dinamakan Kamus Thai-Melayu Dewan (KTMD) yang merupakan kerjasama antara DBP
dengan Prince of Songkla University (PSU) Thailand. Dalam penghasilan kamus ini, draf
entri disediakan oleh penyusun dari PSU dan dibengkelkan bersama-sama dengan pakar
perkamusan dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang hanya menguasai bahasa Melayu
untuk memastikan ketepatan dengan padanan bahasa Melayu. Bertepatan dengan prinsip
pegangan dalam penyusunan kamus iaitu sumber. Pihak DBP telah menjalankan kerjasama
dengan pihak Thailand untuk mendapatkan sumber yang tepat dalam penyusunan kamus
tersebut. Sudah tentu sumber yang diperoleh itu merupakan sumber yang layak dan
diterima pakai. Hal ini demikian kerana, sumber yang diperoleh merupakan daripada penutur
bahasa Thai sendiri dan mereka telah membuat perbandingan dengan penutur bahasa

5
Melayu sendiri. Seterusnya, ditambah lagi perbincangan kedua-dua pihak menjadikan
sumber yang diperoleh benar-benar sahih. Pada pendapat penulis, prinsip ini telah
diamalkan pada zaman dahulu lagi. Terdapat beberapa pengarang seperti Shellabear yang
menghasilkan A Malay-English Vocabulary. Shellabear merupakan seorang tokoh yang
pernah menetap di Tanah Melayu pada sewaktu ketika dahulu (Ahmad Jelani Halimi, 2008).
Kata entri yang diperoleh dalam kamusnya ialah hasil daripada penelitian lapangan yang
dijalankan ketika berada di Tanah Melayu.

4.0 PENUTUP

Secara kesimpulannya, perkamusan pada masa kini dan terdahulu tidak banyak mempunyai
perbezaan. Malah lebih banyak persamaan. Pelbagai prinsip yang diamalkan pada masa
dahulu turut menjadi pegangan dalam bidang perkamusan pada masa kini. Namun, pihak
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menambah beberapa prinsip yang lain untuk
menambah baik mana-mana bahagian yang didapati lemah untuk menguatkan lagi bidang
perkamusan pada masa kini. Teori yang dipegang iaitu pendapat penyusun kamus tetap
digunakan pada masa kini tetapi pada masa kini pendapat penyusun kamus akan lebih
bermutu kerana dibincangkan dengan bilangan ahli yang lebih ramai dari DBP. Penulis
berharap agar pihak seterusnya yang mengendalikan bidang perkamusan ini turut
menjadikan teori dan prinsip serta mengambil iktibar daripada sejarah perkamusan supaya
perkamusan pada masa akan datang lebih bermutu tanpa keraguan.

6
RUJUKAN

Abdullah Hassan. (1997). Terjemahan era selepas DBP baharu. Dewan Bahasa, 7(3), 50-
52.

Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications.

Ainon Mohd dan Abdullah Hassan. (2006). Teori dan Teknik Terjemahan. Kuala Lumpur:
PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

al-Kassimi. (1983). Lingusitics and bilingual dictionaries. Saudi Arabic:University of Riya

Arbak Othman. (2000). Teori Perkamusan. Seri Kembangan: Penerbit Weng Seng Sdn.
Bhd.

Asmah Haji Omar. (1986). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim. (2013). Sepintas lalu perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Nor Hashimah Jalaluddin. (1995). Leksikologi dan Leksikografi Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsul Aizuwani Nawi. (2020). Perkamusan, Peristilahan dan Penterjemahan Bahasa


Melayu. Kuala Lumpur: Dolphine Press International Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai