Anda di halaman 1dari 5

TUGASAN

DUA
1.0 PENDAHULUAN
Pengalaman Berasaskan Sekolah kali ini dijalankan di SK Taman Kota Jaya, Kota
Tinggi. Setelah berbincang dengan Guru Besar dan juga Guru Penolong Kanan 1, saya
diberi keizinan untuk memerhati dan berbincang mengenai pendekatan, strategi, kaedah
dan teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tahun 3 Bestari dan Tahun 3
Cemerlang. Selain itu, saya juga telah diberi guru mentor iaitu guru major Bahasa
Melayu di sekolah tersebut. Oleh hal yang demikian, untuk setiap waktu, saya diberi
kebenaran untuk membuat pemerhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran
yang dijalankan.

2.0 PEMERHATIAN DAN PERBINCANGAN DENGAN GURU BAHASA MELAYU


Berdasarkan pemerhatian saya terhadap dua kelas tersebut, saya dapati cara
pengajaran yang digunakan oleh guru tersebut adalah berbeza. Saya dimaklumkan
bahawa murid Tahun 3 Bestari ialah murid yang dikategorikan lemah iaitu kelas terakhir
manakala murid Tahun 3 Cemerlang merupakan murid kelas pertama bagi Tahun 3.
Teknik didik hibur digunakan dalam kedua-dua kelas. Didik hibur ialah satu teknik
dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti
permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang
(Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad, 2007). Lagu Rasa
Sayang dinyanyikan bersama-sama sebagai sesi induksi guru tersebut bagi menarik
perhatian murid untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya. Lagu ini
digunakan untuk memberi gambaran kepada murid tentang pantun Melayu yang
terdapat di dalam lagu tersebut. Kebetulan ketika saya menjalankan pemerhatian,
kedua-dua kelas ini sedang mempelajari tajuk yang sama.
Di kelas Tahun 3 Bestari, guru menggunakan pendekatan berasaskan bahan iaitu
buku latihan sekolah tersebut. Setiap murid tersebut telah diwajibkan untuk membeli
buku tersebut bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Namun, buku
tersebut hendaklah diuruskan oleh guru sendiri iaitu murid tidak dibenarkan membawa
buku tersebut pulang ke rumah. Hal ini demikian kerana, menurut guru tersebut, murid
selalu tertinggal atau lupa membawanya ke sekolah. Situasi ini sangat menganggu sesi
pengajaran dan pembelajaran guru.
Berbeza dengan kelas 3 Cemerlang yang merupakan kelas pertama bagi Tahun 3
ini, Sungguhpun pendekatan yang digunakan adalah sama iaitu berasaskan bahan
tetapi murid dibenarkan untuk membawa pulang buku tersebut. Hal ini demikian kerana,
latihan peneguhan akan diberikan kepada murid bagi menguji kefahaman mereka
tentang perkara yang telah dipelajari.
Selain itu, guru tersebut menggunakan pendekatan komunikatif iaitu perbincangan di
dalam kelas. Namun, pendekatan ini lebih berpihak kepada guru kerana kebanyakan
muridnya tidak dapat menyatakan idea dengan betul. Setelah beberapa kali perkara
yang sama dibincangkan, barulah murid tersebut dapat menyatakan semula jawapan
dengan betul. Walau bagaimanapun, menurut Abu Talib Putih, Siow Heng Loke, & Lee
Siew Eng (2005), pendekatan ini digunakan oleh guru bukan semata-mata untuk murid
menguasai pembelajaran tersebut, tetapi adalah untuk meningkatkan kemahiran
berbahasa mereka. Menurut guru tersebut, murid di dalam kelas ini, tiada keyakinan
menonjolkan suara mereka di dalam kelas terutamanya untuk menyatakan pendapat.
Oleh hal yang demikian, dengan menggunakan pendekatan ini, kemahiran berbahasa
dan keyakinan mereka dapat diasah.
Pendekatan induktif digunakan di Tahun 3 Bestari. Menurut Mohd Razak Mohd
Nordin (2014), pendekatan induktif bermula dariapada spesifik kepada umum. Antara
prinsip-prinsip penggunaan pendekatan induktif adalah menggunakan contoh-contoh
yang relevan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah sebagai rujukan
kepada murid untuk lebih memahami perkara yang cuba disampaikan oleh
guru. Contohnya, guru mengajar murid tentang penanda wacana. Beberapa contoh yang
mudah diperkenalkan oleh guru kepada muridnya seperti “selepas itu”, “seterusnya” dan
“akhir sekali”. Guru meminta muridnya untuk memberikan contoh yang lain. Kemudian,
guru menerangkan tentang maksud dan fungsi penanda wacana kepada murid.
Selain itu, guru tersebut menggunakan teknik tunjuk cara. Kaedah ini dipilih
terutamanya sebagai satu cara untuk membiasakan murid dengan prosedur yang perlu
diikuti oleh mereka semasa membuat aktiviti (Hasan Haji Muhammad Ali, 2006).
Contohnya, untuk membina ayat berdasarkan gambar, guru menunjukkan dan
membulatkan gambar yang tertentu untuk membina kata kerja. Guru juga menerangkan
tentang susunan ayat yang betul iaitu kedudukan subjek dahulu, kemudian barulah
predikat. Kemudian, guru menanyakan semula kepada murid untuk mengenal pasti
seberapa fahamnya murid tentang pengajaran yang telah diajar sebelumnya.
Seterusnya, guru juga menggunakan teknik latih tubi. Menurut Naapie Mat (2006),
teknik latih tubi bertujuan untuk menyediakan latihan dan peneguhan secukupnya
kepada murid tentang sesuatu pembelajaran spesifik supaya mereka secara automatik
boleh menyebut atau memperingati semula maklumat apabila disuruh berbuat
demikian. Menurut guru Bahasa Melayu ini, sungguhpun mereka ini murid cemerlang,
peneguhan harus diberikan untuk mengelakkan berlakunya proses lupaan terhadap
sesuatu pengajaran. Guru akan memberi latihan berkenaan tajuk tersebut selepas
melakukan teknik tunjuk cara kepada murid tersebut.
Menurut guru tersebut, kebiasaannya, bagi murid Tahun 3 Cemerlang, satu masa iaitu
setengah jam sudah memadai untuk menyelesaikan satu atau dua soalan latihan di
dalam buku tersebut tetapi tidak bagi kelas Tahun 3 Bestari. Satu masa tidak cukup
untuk menyelesaikan satu soalan. Hal ini demikian kerana, bimbingan daripada guru
sangat diperlukan oleh mereka untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Oleh itu guru
haruslah bijak merancang masa sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran.

3.0 PENUTUP
Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, penggunaan pendekatan, strategi, teknik dan
kaedah adalah berbeza bagi setiap kelas. Guru hendaklah mengenal pasti kemampuan
murid bagi setiap kelas untuk memilih pendekatan, strategi, teknik dan kaedah yang
sesuai. Hal ini demikian bukan sahaja untuk kebaikan kelancaran sesi pengajaran dan
pembelajaran, malah untuk penguasaan murid terhadap mata pelajaran yang telah
dipelajari.
RUJUKAN

Abu Talib Putih, Siow Heng Loke, & Lee Siew Eng. (2005). Pedagogi Merentas Kurikulum.
Selangor: PTS Professional.

Hasan Haji Muhammad Ali. (2006). Smart Learning: teknik belajar berkesan & efektif.
Selangor: PTS Litera Utama.

Mohd Razak Mohd Nordin. (2014). Pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu. Selangor: PTS Publication.

Naapie Mat. (2006). Teknik mengajar KOMSAS komponen sastera. Selangor: PTS
Professional.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi: strategi
dan teknik mengajar dengan berkesan. Selangor: PTS Professional.

https://www.slideshare.net/kaswatitukino/didik-hibur-dalam-pengajaran-dan-pembelajaran -
diakses pada 8 September 2018

https://pomizipedagogy.wordpress.com/kaedah/latih-tubi/ - diakses pada 8 September 2018

http://duniapendidikanipg.blogspot.com/2014/07/pendekatan-induktif-deduktif-eklektik.html -
diakses pada 8 September 2018

Anda mungkin juga menyukai