Anda di halaman 1dari 4

CORONA: TAUTAN KASIH

Oleh: Intan Suhaili Sanip

Terpaku Hakim meneliti keindahan di kota Venice. Dirinya seperti berada di dunia fantasi.
Kemeriahan warna-warni dinding yang di cat dengan sekata sangat sesuai dengan air
sungainya yang kebiru-biruan menampakkan lagi kecantikan kota itu. Hakim dan
keluarganya sedang menikmati cuti persekolahan seminggu bersama-sama ibu dan
ayahnya. Hakim sangat disayangi ibu dan ayahnya. Dirinya yang merupakan anak tunggal
dalam keluarga tersebut sangat dihargai dan sering dikatakan sebagai anugerah terindah
dalam keluarga tersebut.

Pemandangan kota Venice itu tidak akan sama sekali dilupakan oleh Hakim sebagai
pelancong yang baru pertama kali menjejakkan kaki di bumi Itali. Dia mengelap badannya
dengan tuala setelah mandi. Setelah menyidai tualanya di penyangkut pada almari di hotel
itu, dia duduk bersebelahan dengan ibunya, Puan Roziah yang sedang menonton
televisyen. Sungguh takjub Hakim dengan televisyen di hotel ini. Walaupun berada di bumi
Itali, tidak semua siaran menyiarkan cerita Itali. Siaran di Malaysia turut ada pada televisyen
ini. Dapatlah dia menonton kartun kegemarannya. Matanya kemudian melilau di sekitar
ruang tamu tersebut untuk mencari alat kawalan televisyen. Kemas. Itulah perkataan yang
sesuai untuk susun atur perabot di dalam bilik itu. Ayahnya keluar mencari makanan di kedai
bawah hotel tersebut sebagai makan malam keluarga kecil ini. Sedang dia sibuk menonton
kartun Naruto pada kaca televisyen itu, tiba-tiba muncul pengumuman bertulis pada sudut
bawah siaran itu. Dia meneliti setiap huruf yang bergerak untuk mendapatkan mesej yang
cuba disampaikan dalam pengumuman itu. Dadanya berdegup kencang menanti perkataan
terakhir dalam pengumuman itu. Ah! Dia menepuk peha ibunya lalu menghalakan jari
telunjuknya pada kaca televisyen itu. Sebagai tanda mahu ibunya turut melihat apa yang
dilihat pada televisyen itu. “ITALI MENCATATKAN 1043 KEMATIAN KERANA COVID-19”
Puan Roziah terus mencapai telefonnya serta mendail nombor telefon suaminya, Encik
Zakir. Hakim sendiri pernah mendengar tentang Covid-19. Satu virus yang akan
merosakkan sistem pernafasan dan boleh menyebabkan kematian pada perumah virus itu.
Dia tidak tahu sama sekali bahawa virus itu telah merebak sejauh itu. Keluarganya juga
telah mengetahui tentang virus ini. Puan Roziah mengeluh kuat. Dia rasa bersalah kerana
memaksa suaminya untuk meneruskan percutian ini. Sedangkan pada awalnya, Encik Zakir
hendak membatalkan sahaja percutian ini kerana wabak ini yang semakin menyebar. Puan
Roziah hendak meneruskannya kerana ingin memberi pengalaman kepada Hakim yang
berusia 12 tahun tidak pernah bercuti di negara orang. Namun, keinginannya ini sebenarnya
merisikokan keluarganya ini.
Encik Zakir mengeluh berat. Keluarganya sepertinya tersekat di bumi wabak ini. Dia
ingin membawa keluarganya pulang ke tanah air tercinta tetapi kedutaan Malaysia
mengenakan syarat untuk kuarintin diri mereka selama 14 hari sebelum pulang ke rumahnya
sekiranya tidak positif wabak itu. Dirinya sendiri sudah merasakan syarat itu berat apatah
lagi anak kesayangannya, Hakim. Namun, dia tetap bertekad membawa keluarganya pulang
ke Malaysia.

Setibanya mereka di Lapangan Kapal Terbang Kuala Lumpur (KLIA), mereka terus
diperiksa oleh sekumpulan orang yang memakai pakaian plastik berwarna biru serta topeng
yang menutupi hidung dan mulut mereka. Mereka turut mengenakan kaca mata jernih yang
menutupi mata mereka. Hakim dan keluarganya diperiksa oleh mereka. Sesuatu yang
panjang seperti batang yang berwarna putih dimasukkan dalam hidung Hakim sehingga
terlekat sesuatu cecair pada batang itu lalu dikeluarkan dan dimasukkan di dalam bekas
kecil dan diletakkan namanya. Sekali lagi batang tersebut dimasukkan namun bukan di
hidung tetapi di mulutnya sehingga ke tekak. Pemeriksaan seperti itu juga turut dijalankan
pada ibu dan ayahnya. Setelah mereka selesai diperiksa, mereka dibawa oleh sebuah bas
ke Hospital Kuala Lumpur. Bagasi mereka dikeluarkan dan mereka diiring pergi ke wad. Di
hadapan wad itu terdapat papan tanda besar “KUARINTIN PESAKIT SARINGAN COVID-
19” Satu beg plastik diberikan kepada Hakim, Puan Roziah dan Encik Zakir. Di dalamnya
terdapat sepasang baju berwarna putih berjalur-jalur biru, peralatan mandi dan sepasang
kasut getah. Hakim sekeluarga telah ditempatkan dalam satu bilik. Panas. Tiada kipas atau
penghawa dingin yang dibuka hanya angin daripada tingkap yang dibuka sahajalah yang
akan menyejukkan ruang kecil itu. Empat buah katil tersusun rapi. Satu katil telah
berpenghuni manakala tiga katil lagi masih kosong menandakan itulah katil buat mereka
sekeluarga. Hakim menapakkan kakinya ke arah katil bersebelahan dengan katil yang telah
berpenghuni itu. Mata dia memandang penghuni kecil katil itu sambil berjalan. Dia
merasakan penghuni katil itu seusia dengannya kerana saiz badannya yang agak sama
dengan penghuni katil itu. “Hakim.” Hakim menghulurkan salam kepada budak kecil yang
seusia dengannya. Namun, dia menarik semula tangannya ke dada sambil menundukkan
sedikit kepalanya. Dia hampir terlupa akan pesan jururawat yang mengiringi mereka tadi
supaya tidak bersalaman dengan mana-mana pesakit di dalam wad. “Aiman” penghuni kecil
itu bersuara memperkenalkan dirinya. Puan Roziah dan Encik Zakir hanya memerhatikan
sahaja gelagat dua orang anak kecil itu sambil melambaikan tangan mereka kepada Aiman.

Jam di dinding menunjukkan jam 12 tengahari. Hari ini merupakan hari ketiga Hakim
sekeluarga di sini. Namun, keputusan saringan mereka masih belum dikenal pasti. Doktor
memaklumkan, keputusan akan sedikit lambat kerana ramai pesakit saringan daripada
kalangan pesakit di Kuala Lumpur serta pesakit yang baru pulang daripada melancong
daripada luar negara. Hubungan Hakim dan Aiman semakin akrab. Banyak cerita yang telah
mereka kongsi bersama. Sejak itu, Hakim mengetahui yang Aiman merupakan pengemis
jalanan yang mempunyai simptom-simptom dan datang ke hospital dengan berjalan kaki lalu
membuat pemeriksaan. Ibu dan bapa Aiman telah meninggal dunia akibat kemalangan.
Aiman telah dihantar ke rumah anak yatim oleh pakciknya.

“Tapi Allah telah mengatur jalan hidup aku. Hidup di sana tetap tidak memberi
kebahagiaan kepada aku.” kata Aiman. “Aku dibuli, dipukul, tanpa belas kasihan oleh
sekumpulan anak-anak yatim di sana. Aku penat, Kim dibuli. Satu malam aku kemas
barang-barang aku dan aku lari dari rumah itu. Malam itu pula hujan lebat tidak hentinya.
Aku tidur bawah jambatan bersama-sama pengemis lain beralaskan kotak yang aku kutip di
kedai-kedai. Kelaparan itu biasa untuk aku. Untung engkau Hakim. Ibu dan ayah engkau
sayang akan engkau. Sentiasa menjaga kebajikan engkau.” sambung Aiman. Hakim
terpukul dengan kata-kata Aiman. Selama ini dia menganggap semua itu biasa kerana
dirinya sememangnya telah dibaluti dengan kasih sayang dan kelengkapan daripada ibu dan
ayahnya sejak lahir lagi. Dia tidak sesekali merasakan kesempitan dalam kehidupan. Hingga
dia terlupa untuk bersyukur tentang itu. “Walaupun selepas wabak ini. Aku akan masih
menjadi pengemis jalanan. Aku lebih rela hidup dalam wad ini yang dijaga makan
minumnya.” Teringat dia akan perbualannya dengan Aiman yang meninggalkan kesan yang
mendalam dalam hatinya. Sungguh dia akui Aiman lebih matang daripadanya. Mungkin
kerana dia telah banyak mengharungi dugaan hidup menjadikan dia lebih ke depan
daripada dirinya.

Sudah menjadi rutin setiap hari, pesakit yang dikuarintin akan dibawa keluar
daripada wad untuk berjemur di tengah panas. Langkah ini dikatakan dapat membantu
membunuh virus dalam badan. Waktu inilah Hakim dan Aiman gunakan untuk bermain
bersama-sama. Itulah yang mengeratkan hubungan mereka. Setelah 15 minit berlalu,
semua pesakit akan dimasukkan semula ke dalam wad dan menjalani rutin seperti biasa.
Setelah berjemur, makanan tengah hari akan dihidangkan kepada semua pesakit yang
dikuarintin.

Pintu diketuk, perawat yang memakai baju berwarna biru itu masuk ke dalam bilik
Hakim dan keluarganya. Di sebalik pakaian dan topeng itu, hanya mata perawat itu sahaja
yang dapat dilihat. Mata bulat itu tiba-tiba menjadi sepet menandakan dia tersenyum.
“Alhamdulillah Puan, Encik. Semua dalam bilik ini negatif Covid-19”. Terduduk Puan Roziah
kerana terlalu bersyukur dengan apa yang diberitakan oleh perawat itu tadi. Puan Roziah
dipeluk oleh Encik Zakir. Betapa gembiranya mereka. Hakim dan Aiman bersorak-sorak
gembira selepas diumumkan keputusan saringan mereka. Perawat turut menyatakan
mereka boleh keluar daripada wad petang ini tetapi tidak boleh keluar rumah sepanjang
tempoh 14 hari ini. Ucapan kesyukuran kepada Allah tidak putus-putus keluar daripada
mulut Puan Roziah dan Encik Zakir. Kali ini Hakim terdiam. Termenung seketika. Dia
terfikirkan Aiman yang akan kembali kepada rutin asalnya di jalanan. Aiman hanya terdiam
seperti memikirkan sesuatu. Dia mengambil langkah untuk pergi ke tandas,

“Ibu, ayah. Nanti Aiman duduk mana? Tak boleh ke dia duduk dengan kita?” Hakim
mengambil kesempatan untuk berbincang dengan ibunya selepas melihat kepergian Aiman
ke tandas. “Abang, boleh ke kita nak ambil Aiman bersama? Jadi anak angkat kita. Lagipun
saya berkenan dengan Aiman itu. Bolehlah dia jadi peneman Hakim nanti.” tanya Puan
Roziah kepada suaminya. “Kalau ikutkan prosedur, kita kena daftar dulu Aiman itu. Tapi,
sekarang tengah Perintah Kawalan Pergerakan. Jadi banyak pejabat yang tutup untuk
daftarkan perkara ini. Tak mengapalah. Kita bawa dulu Aiman ke rumah kita. Nanti abang
cuba selesaikan dengan kawan abang di Jabatan Pendaftaran Negara. Hakim! Bagi tahu
Aiman ya. Suruh dia siap-siap.” Encik Zakir bersuara. Perintah Kawalan Pergerakan
mengehadkan rakyat Malaysia daripada berkeliaran di luar rumah bagi mengelakkan
penularan wabak Covid-19 ini daripada tersebar. Betapa gembiranya Hakim. Dia melompat
kegirangan dan terus berlari mendapatkan Aiman di dalam tandas. Dia mengetuk pintu
tandas sambil memanggil nama Aiman. Aiman keluar daripada tandas. Mendengar berita
itu, Aiman terus memeluk Hakim dan mengucapkan terima kasih kepada Puan Roziah dan
Encik Zakir.

Seminggu kemudian, berkat usaha Encik Zakir dan Puan Roziah, pendaftaran anak
angkat untuk Aiman telah berjaya dibuat secara online. Dokumen-dokumen yang sepatutnya
akan diselesaikan selepas Perintah Kawalan Pergerakan ini ditamatkan. Puan Roziah dan
Encik Zakir turut menyayangi Aiman seperti anak mereka sendiri. Hakim dan Aiman kini
menjadi teman dan adik beradik angkat yang sangat akrab.

Anda mungkin juga menyukai