Anda di halaman 1dari 11

1.

0 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu dan Perkamusan di Malaysia

Mengikut C.O. Blagden dalam tulisannya bertajuk ‘A Chinese Vocabulary of Malacca


Malay Word and Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511’, sejarah perkembangan
perkamusan Melayu telah bermula sejak awal abad ke-15 lagi. Kamus terawal tersebut
berupa senarai kata Melayu-Cina yang berjumlah sebanyak 582 butiran (Liang Liji, 1994).
Manakala senarai kata kedua tertua yang diketahui ialah senarai kata Melayu-Itali yang
berjumlah sebanyak 426 kata entri yang telah disusun oleh Pigafetta. Sesudah senarai
Pigafetta itu muncul, banyak lagi senarai kata dan kamus dwibahasa bahasa Melayu dengan
bahasa-bahasa lain seperti bahasa Perancis, Inggeris dan Belanda. Manakala dalam abad
ke-20 kamus dwibahasa Melayu yang terbanyak diterbitkan ialah kamus bahasa Melayu
dengan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan bahasa Arab.

Sejarah perkembangan perkamusan Melayu dikatakan mempunyai sedikit


perbezaan berbanding dengan sejarah perkembangan perkamusan di Barat. Menurut
Asmah Hj. Omar (1987:4) sejarah lahirnya perkamusan Melayu dalam bentuk dwibahasa
dan bukan ekabahasa. Ini menunjukkan kepada kita bahawa faktor yang mendorong
lahirnya kamus Melayu ialah keinginan mengetahui bahasa Melayu dan ini tentunya oleh
orang-orang asing yang mengembara ke sini. Keinginan mengetahui bahasa yang lain itulah
juga yang merupakan dorongan lahirnya kamus pada amnya.

Keadaan ini berbeza dengan perkembangan di Barat kerana ada pendapat yang
mengatakan bahawa tradisi penyusunan kamus bermula dengan kamus ekabahasa atau
monolingual dictionary dan selepas adanya kamus-kamus ekabahasa tersebut barulah
penyusunan kamus berbentuk dwibahasa atau bilingual dictionary dibuat. Namun walau apa
tanggapan sekalipun, ternyata tradisi perkamusan di Barat melalui transisi yang agak lama
sehingga mampu melahirkan pelbagai jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa yang jauh
lebih banyak dan mempengaruhi arah perkembangan leksikografi dunia (Ibrahim Ahmad,
1994:4).

Di Malaysia dan Indonesia sejarah perkamusan Melayu dibuktikan bermula dengan


penyusunan kamus-kamus dwibahasa terlebih dahulu disebabkan kecenderungan para
sarjana Barat untuk menguasai bahasa Melayu bagi tujuan perdagangan dan penyebaran
agama pada ketika itu. Di antara kamus-kamus dwibahasa utama yang terdapat di Malaysia
pada hari ini ialah Kamus Dwibahasa (Inggeris-Bahasa Melayu) susunan Khalid M. Hussein
dan rakan-rakan, Kamus Sistem Bahasa Malaysia-Inggeris, Kamus Pustaka Melayu-Arab,
Kamus Inggeris-Melayu Dewan dan lain-lain lagi.
2.0 Teori, Prinsip dan Jenis-Jenis Perkamusan Bahasa Melayu

2.1 Teori dan Prinsip Perkamusan Bahasa Melayu

Menurut Arbak Othman (2000), tidak ada teori tertentu yang dikhususkan bagi
maksud penyusunan kamus. Apa yang berlaku dalam perkamusan ialah pandangan
tertentu yang digunakan oleh seorang penyusun kamus sebagai panduan supaya kamus
yang disusunnya mencapai mutu yang baik dan termuat di dalamnya nilai-nilai
kebahasaan, semantik dan semiotik, lengkap dan dapat dipertanggungjawabkan.
Maksud teori untuk perkamusan ialah kecenderungan aplikasi ilmu linguistik, semantik,
dan pragmatik selengkap mungkin dalam sesebuah kamus. Tugas kamus adalah untuk
memberi makna atau takrif kepada kata dan pemberian ini juga menggunakan kata-kata.
Dengan kata lain, dalam perkamusan kita terpaksa memberi makna kepada sesuatu
lambang dengan menggunakan lambang itu sendiri. Lambang ini ialah lambang
linguistik.

Oleh itu, setiap kamus yang disusun mestilah mengutamakan prinsip


kesarjanaan sebagai asas penyusunan kamus. Pandangan ahli linguistik perlu
dipertimbangkan selain daripada keperluan pengguna kamus. Menurut Arbak Othman,
penyusun kamus hendaklah memastikan bahawa makna yang dibuat dalam pemerian
sebaik-baiknya berdasarkan sumber rujukan yang berbentuk teks supaya makna
perkataan yang digunakan daripada teks tersebut dapat diasingkan menurut jenisnya
sama ada kerana gayanya yang berbeza, situasi penggunaannnya atau sifat-sifat
pragmatiknya yang berbeza.

Beberapa prinsip perlu dijadikan pegangan dalam penyusunan kamus iaitu:

i. Keaslian
Kamus haruslah memuatkan bahasa yang ada bukti bahawa bentuk
tersebut benar-benar digunakan oleh penutur jati.
ii. Keperwakilan
Bergantung kepada format kamus yang ditentukan oleh pengguna yakni
khalayak, kamus perlu memuatkan bahan yang benar-benar mewakili
ruang lingkup khalayak misalnya bahasa untuk kanak-kanak.
iii. Kelayakan
Penyusun harus pasti bahawa hasil kerjanya sesuai dengan tujuan
pekerjaannya. Keperluan bagi kamus ekabahasa tidak sama dengan
kamus dwibahasa. Selain itu, kelayakan sosial juga perlu diambil kira
misalnya bahasa, agama, dan adat istiadat pengguna kamus.
iv. Sumber bagi kata masukan atau entri perlulah sumber yang layak
diterima pakai berdasarkan penelitian lapangan, iaitu sumber primer atau
sumber sekunder berdasarkan rujukan kepustakaan.

2.2 Jenis-Jenis Perkamusan Bahasa Melayu

2.2.1 Kamus Ekabahasa

Kamus ekabahasa dikenali juga dengan nama kamus monolingual dan


bahannya dalam satu bahasa sahaja. Entri disusun menurut abjad dan bentuk dasar
kata dijadikan entri kamus manakala bentuk peluasannya dicatat sebagai subentri,
yang dalam kamus dicetak dalam huraian satu entri dasar yang sama. Makna yang
dihuraikan berbentuk pemerian yang panjang dan mungkin kompleks untuk
mencapai maksud sejelas-jelasnya. Takrifan makna ke atas kata-kata berdasarkan
makna yang diberikan dalam contoh ayat yang mengandungi kata-kata berkenaan.
Pendekatan ini menggunakan pembuktian data korpus. Sinonim juga digunakan
sebagai unsur pilihan tambahan kepada pemerian makna. Contoh bagi kamus
ekabahasa ialah Kamus Dewan.

2.2.2 Kamus Dwibahasa

Kamus dwibahasa dikenali juga dengan nama kamus bilingual yang


menggunakan dua bahasa dan bertujuan untuk mendapatkan bentuk terjemahan
daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain atau dalam teks bukan bahasa
asli pengguna, atau kedua-dua bukan dalam bahasa asli. Entri disusun dinamakan
bahasa sumber yang bentuk padanannya ditentukan setelah diterjemahkan ke dalam
bahasa sasaran. Contoh bagi kamus bilingual ialah Kamus Dwibahasa Oxford Fajar
(Inggeris-Melayu, Melayu-Inggeris).

2.2.3 Kamus Aneka Bahasa

Kamus aneka bahasa dikenali juga dengan nama kamus multibahasa yang
menggunakan sekurang-kurangnya tiga bahasa atau lebih. Contoh bagi kamus
multilingual ialah Kamus Melayu-Cina-Inggeris susunan Yuen Boon Chan pada
tahun 2004.

2.2.4 Kamus Ensiklopedia

Kamus besar yang memuatkan leksikal, keterangan atau maklumat


ekstralinguistik disusun mengikut urutan kata-kata atau satuan leksikal sebagai
acuan bahagian daripada dunia ekstralinguistik. Kamus ini mempunyai persamaan
dengan kamus ekabahasa dari segi urutan kata. Hartmann mendefinisikan kamus
ensiklopedia sebagai “a comprehensive summary of knowledge in a given field or
branch of science.”

2.2.5 Kamus Etimologi

Kamus yang menumpukan perhatian kepada asal-usul kata dalam tradisi


tekstual. Kamus ini menerangkan asal usul perkataan dan makna asalnya. Kamus
etimologi yang besar cenderung menjadi kamus komparatif.

2.2.6 Kamus Diakronik

Kamus ini menumpukan kepada aspek pensejarahan. Dalam huraian entri,


satuan leksikal diperlihatkan aspek perkembangannya sama ada bentuk atau makna
diberikan perhatian dalam huraian kata.

2.2.7 Kamus Sinkronik

Kamus ini disusun bertujuan untuk menggarap penyediaan leksikal pada


sesuatu bahasa pada masa tertentu atau pada satu tahap perkembangan yang
singkat atau sezaman.

2.2.8 Kamus Umum

Kamus umum memuatkan segala kata dalam sesuatu bahasa disertakan


dengan maknannya. Ia merangkumi semua kata dengan segala kemungkinan dari
segi makna yang digunakan dalam sesuatu bahasa.

2.2.9 Kamus Istilah

Kamus ini memuatkan istilah khusus mengikut bidang ilmu pengetahuan


tertentu sahaja. Fungsinya adalah untuk kegunaan ilmiah. Kamus ini memuatkan
entri istilah khusus diikuti dengan pemerian makna atau definisi dan keterangan
tambahan termasuk ilustrasi dan gambar rajah.

2.2.10 Kamus Sinonim

Kamus yang memuatkan bentuk padanan yang mempunyai makna yang


hampirhampir sama, atau pada istilah yang mempunyai hubungan semantik.
Kadangkala padanan antonim dimasukkan sebagai unsur bantuan untuk makna
sinonim yang pertentangannya perlu untuk mendapatkan makna yang jelas dan
nyata serta jelas sebagaimana yang digunakan dalam bahasa.

2.2.11 Kamus Tesaurus

Kamus yang menerangkan maksud sesuatu perkataan dengan memberikan


kata-kata seerti sahaja. Kamus adalah untuk membantu penulis mempelbagaikan
penggunaan diksi. Tesaurus memusatkan perhatian kepada kata-kata yang
berhubungan secara semantik dalam kelompok yang tersusun secara onomasiologi
dan struktur nosional

3.0 Prinsip-Prinsip Penterjemahan

Penterjemah adalah pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Ini kerana


penterjemah yang tidak bersungguh-sungguh akan membuatkan pembaca keliru dan
mungkin akan menimbulkan salah faham pembaca terhadap maksud pengarang teks
sumber. Proses penterjemahan perlu dilakukan dengan berpandu kepada prinsip berikut:

3.1 Tidak Mengubah Maksud Pengarang Teks Asal

Prinsip ini jelas untuk para penterjamah. Pada praktikalnya para penterjemah
sukar untuk mengelakkan diri untuk mengubah maksud pengarang secara 100% kerana
pasti ada faktor perbezaan budaya dan bahasa. Walaupun ada penterjemah yang
berpegang teguh pada prinsip ini dan langsung tidak mengubah maksud pengarang teks
asal dengan sengaja, namun sebagai penterjemah, kita perlu bijak memilih sama ada
perkara yang diterjemah itu sesuai dengan budaya dan latar belakang masyarakat
ataupun tidak.

3.2 Menghasilkan Terjemahan Yang Mudah Difahami Pembaca

Penterjemahan adalah sebahagian daripada komunikasi. Karya terjemahan


sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan
pengarang asal dapat dicapai.

3.3 Menghormati Tatabahasa Penerima.

Dalam proses penterjemahan, tatabahasa bahasa penerima perlu dihormati. Ini


bermaksud tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksakan ke dalam teks terjemahan.

3.4 Menterjemah Makna Bahasa Bukan Menterjemah Bentuk Bahasa


Dalam proses penterjemahan, makna perlu diberi fokus. Penterjemah tidak
seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan
terjemahan yang berbelit-belit dan sukar difahami.

4.0 Manuskrip
Refleksi

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana tugasan ini dapat disiapkan dengan jayanya
mengikut masa yang telah ditetapkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara
langsung mahupun tidak langsung. Jika dianalisis mengikut teknik SWOT, terdapat
beberapa coretan yang mungkin saya boleh garapkan bagi penulisan refleksi kali ini
sepanjang pelaksanaan tugasan.

Jika dilihat pada aspek strength atau kekuatan, apa yang saya perolehi menerusi
tugasan ini sangatlah banyak. Antaranya ialah mengenal dan mengetahui asal-usul bahasa
Melayu dengan dua buah hikayat iaitu Sejarah Melayu Versi Abdullah Munsyi dan Versi
Shellabear. Walaupun kedua-duanya menceritakan berkenaan Sejarah Melayu, namun
penggunaan bahasa Melayu Moden dan Klasik menggambarkan perbezaan yang cukup
ketara. Sebagai contoh Versi Shellabear yang mengandungi pantun dalam menerangkan
asal-usul Sejarah Melayu.

Selain mengetahui Sejarah Melayu, menerusi tugasan ini juga, saya berpeluang
membaca dan mengkaji kamus. Hal ini kerana, sepanjang mengenal sebuah kamus, saya
langsung tidak peduli segala maklumat yang terkandung di halaman hadapan termasuklah
tatacara penggunaan, singkatan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, pelaksanaan
tugasan ini memberikan ilmu yang sangat berguna terutamanya dalam memahami
kandungan sebenar kamus dan kisah disebalik penterjemahan sesebuah perkataan.

Manakala bagi weakness atau kelemahan sepanjang tugasan ini ialah keupayaan
membahagikan masa. Saya sangat kecewa dengan pembahagian masa yang tidak teratur
sehingga memakan diri sendiri. Tugasan yang diberikan lebih awal tidak dimanfaatkan
sebaiknya menyebabkan saya agak kekalutan terutamanya dalam menyiapkan kerja-kerja
akhir. Kelemahan lain juga yang saya dapati ialah keupayaan untuk mendapatkan bahan
rujukan. Mungkin pergerakan yang agak lambat menyebabkan saya berputih mata untuk
mendapatkan kamus di perpustakaan.

Di samping itu, kelemahan lain ialah kesukaran dalam memahami isi kandungan
Sejarah Melayu. Bahasa yang digunakan membuatkan saya agak terpinga-pinga dan
terpaksa membacanya berulang kali untuk memahami maksud sebenar penulis. Tetapi saya
tetap bersyukur kerana kesungguhan yang telah dicurahkan dibayar dengan sebuah
tugasan yang telah siap tersedia ini.

Bagi aspek opportunity atau peluang pula saya dapati tugasan ini akan memudahkan
lagi tugasan saya di sekolah kelak. Sudah tentu, pengalaman daripada tugasan ini akan
membantu saya dalam mendidik murid terutamanya membaca dan memahami kamus
dengan betul. Tidak kurang juga, dengan teknik-teknik tertentu, mungkin masa pencarian
sesuatu perkataan akan menjadi lebih singkat dan makna yang diperoleh lebih tepat. Sama
seperti ejaan dan sebutan yang betul, penggunaan kamus yang efisyen akan dapat
meningkatkan kedua-dua kemahiran tersebut.

Begitu juga dengan perkembangan Sejarah Melayu. Dengan hasil analisis daripada
kedua-dua hikayat ini, saya yakin akan mampu memahamkan dan mengajarkan situasi
sebenar perkembangan bahasa Melayu kelak. Secara tidak langsung akan membantu
memperkembangkan lagi bahasa Melayu di mata dunia dan mengembalikan semula
sejarahnya yang kian terkubur.

Akhir sekali, threat atau ancaman bagi seorang guru ialah pelaksanaan pengajaran
dan pembelajaran. Mungkin dengan unit terhad bagi kamus contohnya agak menyukarkan
pengajaran guru di sekolah nanti. Tidak kurang juga dengan masa yang agak mendesak.
Justeru, kajian yang mendalam harus dilakukan untuk membolehkan segala yang patut
diajar dan dipelajari oleh murid dilaksanakan sepenuhnya. Dengan pelaksanaan ini, maka
akan lahirlah insan yang mempunyai pakej lengkap terutamanya bagi bahasa ibunda ini.

Sekian saja. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Moga Allah
memberkati usaha kalian. Moga tugasan ini juga memberikan manfaat yang tidak terhitung
kepada kita semua.
Kesimpulan

Perkamusan atau leksikografi hari ini semakin maju. Sekiranya kita melawat laman-
laman internet yang berkaitan dengan perkamusan, kita akan menemui pelbagai maklumat
berkenaan dengan ilmu perkamusan. Bahkan, penawaran kursus-kursus perkamusan juga
boleh kita dapati dengan hanya merujuk kepada internet. Laman-laman web yang
memuatkan maklumat tentang perkamusan tersebut bukan melibatkan bahasa Inggeris
sahaja, beberapa laman web perkamusan bahasa lain seperti bahasa Belanda, Cina,
Peranchis dan lain-lain juga boleh dilawati. Ini menunjukkan bahasa bidang perkamusan
sudah menjadi satu bidang yang diminati di kalangan penyelidik antarabangsa, dan secara
tidak langsung menunjukkan bahawa perkamusan bahasa Melayu tidak harus diabaikan
begitu sahaja di kalangan para ilmuan Melayu.

Perkamusan Melayu juga telah melangkah jauh ke hadapan dalam memenuhi


keperluan bidang ilmu yang pelbagai, dan telah menjadi wahana perkembangan bahasa
Melayu dalam memenuhi cita-cita memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia.
Kecanggihan teknologi terkini secara tidak langsung turut mempengaruhi dunia perkamusan
Melayu. Haji A. Aziz Deraman (1994) dalam kata-kata aluan Seminar Perkamusan Melayu
pernah mengatakan bahawa dalam konteks negara Malaysia, ilmu perkamusan boleh
dikatakan masih muda. Justeru itu, sesuai dengan hasrat kita untuk menjadikan bahasa
Melayu sebagai sebuah bahasa maju yang mampu hidup berganding bersama-sama
bahasa lain di dunia, kemasukan teknologi maklumat dalam dunia perkamusan tidak harus
dipandang sepi.

Membicarakan tentang perkamusan, banyak perkara yang boleh dibincangkan.


Perkamusan bukan sahaja bersangkut paut dengan kamus, bahkan merangkumi ruang
lingkup yang sangat luas. Bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan kamus memerlukan
penelitian dan kajian yang mendalam. Kamus bukan sahaja mengungkap makna, bahkan
berguna bagi menjelaskan kerumitan dalam bidang-bidang tertentu. Selain daripda bahasa,
kamus juga berkaitan dengan bidang sains dan teknologi, begitu juga dengan bidang-bidang
ilmu yang lain. Boleh dikatakan semua bidang ilmu berhubung secara langsung dengan
kamus. Ingin mengetahui makna tentang istilah undang-undang, orang akan merujuk
kamus, ingin mengetahui makna tentang perubatan juga orang akan merujuk kepada
kamus, (selain merujuk kepada doktor), ingin mengetahui tentang bahasa juga orang akan
merujuk kamus, jadi kamus mempunyai tugas yang sangat besar, lebih-lebih lagi dalam era
teknologi maklumat ini.
Rujukan

Abdullah Hassan. (1987). 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Munshi. (1966). Hikayat Abdullah II. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Ainon Mohd, Abdullah Hassan. (2000). Teori dan Teknik Terjemahan. Kuala Lumpur:
Persatuan Penterjemahan Malaysia.

Anwar Ridhwan et.al. (2008). Kamus Daya. Seri Kembangan, Selangor: Penerbitan Minda
Sdn Bhd.

Arbak Othman. (2000). Teori Perkamusan. Seri Kembangan: Weng Seng Sdn. Bhd.

Asmah Haji Omar. A Descriptive and Critical Account of the Development of Malay
Lexicography dlm. Essays on Malaysian Linguistics. Dewan Bahasa dan Pustaka:
Kuala Lumpur. Hlm. 339-350.

Asmah Haji Omar. (1969). Perkamusan Melayu. Bahasa, Oktober 1969: 78-87.
Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1998). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Asmah Hj. Omar. (1987). Perkamusan Melayu: Satu Penilaian. Kertas Syarahan
Memperingati Ulang Tahun Kesepuluh Koleksi Kebangsaan, Perpustakaan Universiti
Malaya.

Hartmann R.R.K. (1993). Leksikografi: Prinsip dan amalan (Penterjamah:Zainab Ahmad)


(Teks asal: Lexicography: Principles and Practice (1983).

Juan C.Sager. (1995). Kualiti dan Piawai--Penilaian Penterjemahan dlm Panduan


Penterjmahan. Catriona Picken(pny). Bashir M.M Basalamah(pntj). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan (Edisi Baru). (1989). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan (Edisi Ketiga). (1994). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan (Edisi Keempat). (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Malkiel,Y. Lexicography dlm. Reed, C.E. (1971). The learning of language. Appleton:
Century Crafts. Hlm. 363-387.
Noresah Baharom et.al. (2009). Kamus dan Perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

W.G. Shellabear. (1975). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Yusuf Hitam. Kamus Melayu Sejak Tahun 1511 dlm. Jurnal Dewan Bahasa No. 4 dan No. 5.
Vol. 1961. hlm. 151-161. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Za’ba. (1949). Difatur Ejaan Melayu: Jawi-Rumi. Kuala Lumpur: Jabatan Perseketuan Tanah
Melayu.

Zahari A.Rashid. (2012). Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi. Selangor Darul Ehsan:IBS


Buku Sdn Bhd.

Zgusta, Ladislav. (1971). Manual of lexicography. The Hague: Mouton

Anda mungkin juga menyukai