Anda di halaman 1dari 2

Latihan 9 (Dimensi Keluarga)

Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak.  Oleh itu,


pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah.

Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

            Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama
bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai .
Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan
berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak
mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain
tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-
anak ?
            Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan
memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan
bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan
agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta
mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-
anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga
akan membesar dengan berpandukan ajaran agama. Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang
ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan
dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah
bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
            Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa dan adik-beradik yang lebih berusia seperti kakak atau
abang berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak atau adik-adik bagi memastikan anak-anak
mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang
mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain,
sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat
dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca dan  sentiasa
menunaikan solat, sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana sedemikian akan mencontohi
perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca dan mendirikan solat apabila masuk waktunya tanpa perlu
disuruh oleh ibu bapanya.  Walau ke mana-mana pun mereka pergi, amalan tersebut akan terbawa-bawa
kerana sudah sebati dalam jiwa. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang
baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi
penawar.  Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah
keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh
dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal.
Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-
anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba
melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
             Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih
sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan
sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu
menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-
anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi
anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga
perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima
bantuan.  Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan
kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan
terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang
berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat
melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
            Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu
bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak
perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju
dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja
yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur
dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah
agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-
anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana
sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu
dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi
masa depan yang berpandangan jauh.  Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat
dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab
.
            Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-
anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh
anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih
mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai
prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya
kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa
dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga .
Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa
agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum
habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah
pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi
gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu
bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap
ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini
penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa
harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan
yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.

Anda mungkin juga menyukai