Anda di halaman 1dari 7

UNIT 2: AMBANG REMAJA (TINGKATAN 4)

BAHAGIAN A

Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara memupuk
nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda. Panjangnya huraian anda hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.  

RANGKA KARANGAN

1. Pendahuluan:

- kaca televisyen mahupun dada akhbar sering mempamerkan budaya


hiburan yang bercorak komersial dan hedonistik - semua pihak sewajarnya
berusaha memupuk nilai-nilai murni.

2. Isi-isi penting:

2.1 Kempen Budi Bahasa Budaya Kita dan Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) - melahirkan citra jati diri bangsa yang berhemah tinggi, berdikari
dan bersifat cinta akan negara - kerajaan memainkan peranan yang dominan
dalam menguar-uarkan kempen - melentur buluh biarlah dari rebungnya.

2.2 Ibu bapa sebagai suri teladan - tanggungjawab mereka untuk


membesarkan insan yang kaya dengan budi bahasa dan berpekerti mulia
2.3 Institusi pendidikan sewajarnya memupuk nilai-nilai murni seperti cinta
akan negara - melahirkan jiwa kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam
kalangan generasi muda.

2.4 Media massa ialah medium yang berkesan - memupuk nilai-nilai mulia
dalam nurani generasi muda - memaparkan adegan dalam drama atau
rancangan yang bertemakan kekeluargaan dan dipenuhi dengan nilai-nilai
kemanusiaan.

3. Penutup:
- pelbagai pihak perlu berganding bahu bagi merealisasikan cita-cita
memupuk nilai murni - seiring cabaran Wawasan 2020.

KARANGAN LENGKAP

Kita acapkali tersentak apabila melihat di kaca televisyen mahupun dada akhbar
yang sering mempamerkan budaya hiburan yang bercorak komersial dan hedonistik. Hal
ini secara tidak langsung akan mencetuskan keruntuhan institusi kekeluargaan,
peningkatan gejala negatif dan terhakisnya adat dan budaya bangsa yang didukung sejak
zaman-berzaman. Oleh itu, semua pihak sewajarnya berusaha memupuk nilai-nilai murni
dalam benak generasi muda hari ini.

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita dan Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) dilihat berupaya menjadi wadah bagi melahirkan citra jati diri bangsa yang
berhemah tinggi, berdikari dan bersifat cinta akan negara. Pihak kerajaan memainkan
peranan yang dominan dalam menguar-uarkan kempen yang menggalakkan penglibatan
masyarakat secara total. Bagi memastikan usaha murni ini terlaksana dengan berkesan,
pihak lain juga perlu memainkan peranan dalam memupuk nilai-nilai murni ini. Sebagai
contoh, pihak sekolah boleh membantu kerajaan dengan mengadakan kempen dan
aktiviti yang berupaya memupuk nilai murni. Pendek kata, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Usaha ini perlu dilakukan secara berterusan agar dapat menzahirkan generasi
yang bersahsiah tinggi.

Anak-anak diibaratkan seperti kain putih maka ibu bapalah yang menjadi
pencoraknya. Bertepatan dengan ungkapan tersebut, jelaslah ibu bapa sebagai suri
teladan yang harus dicontohi oleh anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa
merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak, justeru sudah menjadi
tanggungjawab mereka untuk membesarkan insan yang kaya dengan budi bahasa dan
berpekerti mulia agar dapat mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat seterusnya
ibu pertiwi. Ibu bapa juga berperanan mengawasi perilaku anak-anak dan mengenal pasti
rakan-rakan mereka. Sesungguhnya, ibu bapa diamanahkan untuk menjadi arkitek
pembangunan anak-anak agar segala anasir negatif dapat ditangkis dengan berhemat.

Institusi pendidikan sewajarnya memupuk nilai-nilai murni seperti cinta akan


negara, kerjasama dan tolong-menolong menerusi kurikulum dan kokurikulum. Hal ini
bertujuan melahirkan jiwa kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam kalangan generasi
muda. Institusi pendidikan menerusi prasekolah dan sekolah bukan sahaja dibina sekadar
tempat melimpahkan ilmu pengetahuan, malah berperanan sebagai tempat untuk
membangunkan generasi bersahsiah mulia. Mata pelajaran Pendidikan Moral,
Pendidikan Islam serta Sivik dan Kewarganegaraan dilihat sebagai batu loncatan untuk
menyuntik nilai patriotisme dalam lubuk hati generasi muda dari peringkat awal lagi.
Jelasnya, institusi pendidikan haruslah menerapkan nilai-nilai terpuji sebagai perisai
segala kebejatan sosial.

Media massa seperti televisyen, radio dan akhbar serta Internet merupakan
medium yang berkesan dalam memupuk nilai-nilai mulia dalam nurani generasi muda.
Hal ini demikian, media elektronik haruslah memperluas pengaruhnya dengan
memaparkan adegan dalam drama atau rancangan yang bertemakan kekeluargaan dan
dipenuhi dengan nilai-nilai kemanusiaan seperti Program Jejak Kasih. Selain itu, akhbar-
akhbar perdana boleh menyiarkan kempen- kempen dan berita-berita semasa berkaitan
nilai kemanusiaan dalam masyarakat. Dengan ini nilai kasih sayang sesama manusia
dapat dipupuk. Hakikatnya, media massa memikul tanggungjawab sosial terhadap
generasi muda agar golongan ini dapat menghayati nilai- nilai murni dalam sanubari
masing-masing.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berganding bahu bagi merealisasikan cita-


cita memupuk nilai murni agar menjadi kenyataan seiring cabaran Wawasan 2020 untuk
mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan
warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika
paling tinggi. Oleh itu, generasi muda haruslah mengamalkan sikap positif bagi
melahirkan modal insan kelas pertama yang menjulang kejayaan serta menjunjung mercu
kecemerlangan bangsa di sarwajagat.
BAHAGIAN B

Ibu bapa memainkan  peranan  penting  dalam  mencorakkan  kehidupan anak-


anak.  Oleh  itu, pendidikan  anak-anak  sebenarnya  bermula  dari  rumah.

Berikan  pendapat  anda  tentang  peranan ibu bapa dalam  pembentukan  sahsiah  anak-


anak.

TUGASAN

Murid dapat memberikan pendapat tentang peranan ibu bapa dalam pembentukan sahsiah
anak-anak.

FORMAT

Tidak berformat

RANGKA KARANGAN

1. Pendahuluan:

- ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-


anak di rumah – mereka bertanggungjawab mencorakkan kehidupan anak-
anak sejak kecil.

2. Isi-isi penting :

2.1. ibu bapa bertanggungjawab memberikan kasih sayang - memberikan


tumpuan dan meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak - dapat
mengeratkan hubungan silaturahim

2.2. ibu bapa memberikan didikan awal kepada anak-anak - mendidik anak-anak
sejak kecil lagi - anak-anak dapat terdedah dengan ilmu pengetahuan lebih awal
dan akan memahami ilmu pengetahuan dengan lebih mapan

2.3. ibu bapa perlu menjadi suri teladan - menunjukkan contoh yang baik kepada
anak-anak - anak-anak gemar meniru perkara-perkara yang dilihat oleh mereka

2.4. ibu bapa memberikan nasihat kepada anak-anak - motivator dalam keluarga -
memberikan nasihat, motivasi dan kata-kata semangat kepada anak-anak
setiap masa

2.5. ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak - di rumah ataupun di


sekolah
3. Penutup:
- ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan sahsiah diri
anak- anak - tenaga orang muda diperlukan untuk meraih kemajuan
negara

KARANGAN LENGKAP

Pada zaman pascakemerdekaan ini, gejala sosial semakin berleluasa di negara kita. Hal
ini dikatakan demikian kerana remaja semakin bebas bergaul dan mudah terpengaruh
dengan ajakan orang. Remaja akan bergiat dalam aktiviti-aktiviti kebobrokan sosial
seperti berlumba haram, mengambil dadah dan lain-lain. Perdana Menteri Malaysia,
YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menjelaskan bahawa gejala sosial ini
akan mendatangkan masalah yang banyak kepada negara kerana remaja merupakan aset
penting dalam pembangunan negara. Pendidikan remaja yang dangkal kini menyebabkan
mereka mudah terpengaruh. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan
kehidupan anak-anak kerana pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah. Oleh
itu, terdapat pelbagai peranan ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Salah satu peranan yang boleh diambil ialah ibu bapa hendaklah memberikan
kasih sayang. Kasih sayang yang secukupnya perlu diberikan kepada anak-anak agar
mereka berasa dihargai dan disayangi. Ibu bapa harus memberikan tumpuan dan
meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak. Ahli keluarga boleh meluangkan
masa bersama dengan melakukan aktiviti beriadah atau permainan dalaman. Ahli
keluarga bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim malah dapat mengisi
masa lapang selaras dengan peribahasa menyelam sambil minum air. Ibu bapa tidak
seharusnya mementingkan kerjaya semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-
anak yang menghadapi masalah hubungan dengan ibu bapa pastinya akan mengalami
masalah sahsiah diri dan sering terlibat dengan gejala sosial. Anak-anak yang tidak
mendapat kasih sayang yang cukup ini akan bertindak dalam melakukan perkara-perkara
negatif sebagai penunjuk perasaan. Namun begitu, jika ibu bapa terlalu memanjakan
anak-anak, mereka juga akan berani melakukan aktiviti-aktiviti itu. Mereka akan
merasakan mereka bebas dalam menjalani kehidupan. Jadi, ibu bapa perlu berhati-hati
dan sentiasa mengambil tindakan yang berbeza dalam memberikan kasih sayang kepada
anak-anak supaya anak-anak akan lebih selesa.

Selain itu, ibu bapa mestilah memberikan didikan awal kepada anak-anak. Ibu
bapa perlu mendidik anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Hal ini disebabkan oleh anak-anak dapat terdedah dengan ilmu
pengetahuan lebih awal dan akan memahami ilmu pengetahuan dengan lebih mapan
apabila mereka meningkat dewasa kelak. Misalnya, ibu bapa mesti mendedahkan ilmu
ukhrawi kepada anak-anak terlebih dahulu sebelum ilmu duniawi. Dengan ilmu
ukhrawi,iaitu ilmu agama, ibu bapa dapat mencorakkan anak-anak dengan sahsiah yang
lebih utuh. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang buruk dengan yang baik
bahkan dapat mengenal pasti dosa sert apahala. Ilmu duniawi pula sebagai tambahan bagi
memantapkan sahsiah anak-anak. Nilai-nilai murni hendaklah diterapkan dalam diri
anak-anak. Contoh nilai murni ialah rasional. Dengan nilai tersebut, anak-anak dapat
berfikir secara matang dan tidak mengambil keputusan serta jalan yang mudah dalam
memilih haluan hidup. Pasti semua sudah tahu, kita bukan sahaja mengejar kejayaan di
dunia malahan di akhirat juga. Jelaslah, ilmu sangat penting dalam usaha melahirkan
individu yang terampil dan berakhlak mulia.

Di samping itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang unggul. Ibu bapa
patut menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan mengikut
jejak ibu bapa ibarat peribahasa bapa borek anak rintik. Sementelahan lagi, sikap anak-
anak yang gemar meniru perkara-perkara yang dilihat oleh mereka membuatkan mereka
mudah terpengaruh tanpa memikirkan baik mahupun buruk. Tamsilnya, apabila ibu bapa
bergiat dalam salah laku seperti merokok, minum air alkohol dan sebagainya, anak-anak
juga akan terikut-ikut sama. Bagi mereka, perkara yang dilakukan oleh ibu bapa, pastinya
perkara yang baik-baik belaka. Lebih-lebih lagi anak-anak belajar daripada perkara yang
dilihat. Jika ibu bapa menunjukkan sifat egoistik, individualistik, materialistik dan sifat-
sifat buruk lain, sudah tentu ibu bapa akan mencanai generasi muda yang tidak berakhlak
dan berbudaya sumbang. Ringkasnya, semua ahli keluarga harus menjadi yang terbaik
untuk melahirkan individu yang berakhlak mulia.

Seterusnya, peranan ibu bapa dalam memberikan nasihat kepada anak-anak juga
penting bagi mencorak sahsiah mereka. Ibu bapa harus menjadi motivator dalam
keluarga. Ibu bapa boleh memberikan nasihat, motivasi dan kata-kata semangat kepada
anak-anak pada setiap masa agar anak-anak tidak akan lupa. Contohnya, ibu bapa boleh
berpesan kepada anak-anak agar belajar bersungguh-sungguh sebelum mereka ke sekolah
atau pun turun dari kenderaan yang dinaiki. Kata-kata yang diberikan oleh ibu bapa
perlulah mengandungi unsur-unsur semangat. Hal ini bersangkut-paut dengan diri anak-
anak sebagai remaja. Kata-kata itu juga mampu menjadi penyuntik semangat dan
pendorong kepada anak-anak supaya terus berusaha dan menjadi seorang yang
berketerampilan tinggi. Tegasnya, setiap individu memerlukan motivator untuk
memberikan kata-kata semangat seperti yang dikatakan oleh Davey John Schwartz,
“yang paling kita perlukan dalam hidup ialah adanya seseorang yang selalu memberikan
semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan”.

Seperkara lagi, pemantauan dan pengawasan hendaklah dilakukan oleh ibu bapa.
Ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak dalam semua situasi dan keadaan.
Tingkah laku anak-anak harus dipantau sama ada di rumah ataupun di sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana pengaruh luar seperti pengaruh media massa, pengaruh rakan
sebaya dan sebagainya dapat mengancam diri anak-anak untuk lebih cenderung dalam
mencuba gejala yang buruk. Contoh gejala sosial ialah anak-anak terlibat dalam
perlumbaan haram, pengambilan dadah, melepak dan lain-lain. Ibu bapa seharusnya arif
tentang aktiviti seharian anak-anak serta mengetahui latar belakang rakan-rakan mereka.
Hal ini sebagai langkah berhati-hati agar anak-anak tidak salah memilih kawan dan
mengenal pasti aktiviti yang kurang sihat untuk anak-anak. Dengan cara ini, ibu bapa
dapat membentuk sahsiah anak-anak dengan lebih baik.
Akhirulkalam, sudah tentu keluarga memainkan peranan penting dalam
mencorakkan sahsiah diri anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana tenaga orang
muda diperlukan untuk meraih kemajuan negara apatah lagi orang muda merupakan aset
penting bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri iaitu dapat mencapai Wawasan 2020.
Jadi, ahli keluarga terutamanya ibu bapa perlu berganding bahu dalam melaksanakan
langkah-langkah yang pragmatik untuk melahirkan individu yang cemerlang sert atidak
melibatkan diri dalam gejala sosial. Jika keluarga tidak memainkan peranan mereka,
anak-anak akan terpengaruh dan memilih gejala sosial sebagai haluan hidup. Oleh itu, ibu
bapa perlu mengamalkan peribahasa seperti aur dengan tebing agar masalah sosial dapat
dibanteras.

     

Anda mungkin juga menyukai