Anda di halaman 1dari 3

Anak-anak ataupun digelar sebagai remaja ini mampu membangunkan sesebuah negara

jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini sering menjadi
bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Dalam era milineum yang
kian mencabar ini, pelbagai episod sedih dan malang terpapar di dada-dada akhbar malah
sering kita terdengar di corong-corong radio. Acapkali kita tersentak dengan masalah kebejatan
akhlak remaja yang berlaku di negara kita. Ada yang sanggup merogol remaja wanita kerana
perasaan cemburu butanya sehingga remaja malang tersebut meninggal dunia akibat dikelar
oleh manusia yang bersifat kebinatangan ini. Isu-isu seumpama ini sudah tentu akan
merencatkan ketamadunan bangsa malah akan turut mencemarkan imej negara di mata
dunia. Masalah ini tidak seharusnya dipandang enteng. Langkah-langkah pencegahan perlu
diambil demi kesejahteraan hidup sejagat dan menjamin pembangunan negara. Oleh itu, semua
pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi.

Salah peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan menjadi suri
teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak.
Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contoh, ibu bapa perlulah bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami
isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan
berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai
suri teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah, “bagaimana acuan, begitulah
kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa
mereka. Dengan ini, usaha untuk merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan
lahirnya remaja yang bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk
melalui sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi baik,
manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut bersikap buruk.

Selain itu, ibu bapa juga dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan dirikan
agama yang mantap kepada golongan remaja. Allahyarham Tan Sri P. Ramli ada
menegaskan bahawa irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka
pincanglah karya tersebut. Hal ini bertepatan dengan konsep remaja dan didikan agama.
Mereka akan pincang sekiranya ibu bapa memandang enteng dalam soal memberikan didikan
agama kepada remaja. Pembentukan sahsiah remaja ini akan telus dan lancar jika mereka diberi
didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan didikan agama yang
utuh, anak-anak akan dapat membezakan antara intan dengan kaca, antara batu dengan
permata serta mampu untuk menangkis segala hasutan manusia yang bertopengkan syaitan.
Sebagai contoh, remaja akan sentiasa mengamalkan akhlak terpuji dan bertindak mengikut
hukum syariat Islam mahupun mengikut kefahaman agama masing-masing tanpa paksaan atau
menerima tempias masalah sosial yang kian membarah seperti kes pembuangan bayi.
Sekiranya remaja memiliki nilai kegamaan yang teguh maka teguhlah pembangunan sesebuah
negara itu. Jelaslah bahawa suntikan didikan agama ke dalam jiwa setiap remaja kerana
kedangkalan didikan agama akan melahirkan remaja yang bersikap negatif dan tersasar dari
landasan ibarat kapal hilang nakhoda, karam di tengah laut.

Jika dilihat dari dimensi yang berbeza, pihak kerajaan juga berperanan dengan
mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan
kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang
sebaik mungkin. Kempen seperti ‘Kami Prihatin’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ haruslah
dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan
menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Kempen yang dirangka dengan baik dan
dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri
masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahaga akan kesedaran sejati
itu. Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di
desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi.
Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh
pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini.
Oleh itu, peranan pihak kerajaan untuk mengadakan kempen ini dapat memastikan golongan
yang disandarkan harapan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini akan terus
dibasahi sahsiah-sahsiah yang mulia segali gus dapat membangunkan negara pada masa
hadapan.

Seperkara lagi, guru juga memainkan peranan yang penting dalam usaha melahirkan
remaja yang bersahsiah mulia untuk membangunkan negara. Kebanyakan remaja kita
merupakan golongan pelajar. Mereka banyak menghabiskan masa di sekolah selain di rumah.
Guru juga merupakan ibu bapa mereka di sekolah. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan guru
mampu membentuk sahsiah seseorang remaja itu. Guru perlu mengajar murid tentang
kepentingan bersahsiah mulia. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka
sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar
dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu
menitikberatkan aspek pembentukan insan yang kamil dan holistik di dalam kelas di samping
menekankan kepentingan berperibadi mulia untuk membangunkan negara. Mata pelajaran
Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian
aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya objektif yang dirancang tidak tersasar.
Izharlah bahawa peranan yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat
melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.

Bukan itu sahaja, sebagai anggota masyarakat, kitajuga tidak harus mengambil
langkah lepas tangan untuk memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah remaja yang
syumul. Kita seharusnya peka terhadap keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak,
ponteng, penagihan dadah yang dilakukan oleh remaja kita. Ada masanya kita harus menjaga
tepi kain orang dalam usaha untuk mewujudkan golongan remaja yang lebih baik seperti
menegur tingkah laku yang kurang memuaskan serta melaporkan gejala sosial yang serius
kepada pihak yang sepatutnya agar hal ini tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah
dalam masyarakat kita. Sifat ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat
yang mendokong nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti
menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan
berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh
budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan
keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak
lapuk dek hujan. Ringkasnya, dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak
komuniti maka golongan remaja kita dapat membangunkan negara sekiranya mereka memiliki
sahsiah yang mulia.

Sebagai intihanya, bayang kian jelas bahawa semua pihak berwajib perlulah memikul
dan melaksanakan obligasi masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada
satu pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk
sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah
dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk melahirkan remaja yang bersahsiah mulia
akan menjadi sia-sia seperti membuang garam ke laut. Oleh itu, setiap lapisan rakyat perlu
bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing untuk membangunkan negara. Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya
kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan
dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Ayuh, singkirkan semua bicara, kumpulkan tenaga raksasa, tiba saat berbunga merah,
serentak kita bersama ke arah masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni.

Anda mungkin juga menyukai