Anda di halaman 1dari 4

Langkah-langkah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanakkanak

Soalan 3 Nilai-nilai murni boleh menjadi asas kepada pembentukan sahsiah seseorang individu. Bincangkan langkah-langkah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi. Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman. Persoalan yang menjadi percaturan minda adalah apakah prakarsa istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan suci in terus diamalkan? Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit. Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini kerana secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa merupakan warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing. Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan menyayangi haiwan. Mereka mestilah memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri. Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang. Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak rintik. Ikhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut, Hikayat Melayu disanjungi warisan, Menjadi wahana penglipur nestapa, Anak bersopan tonggak wawasan, Berkat usaha ibu dan bapa. Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan. Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam. Kendatipun, untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi anugerah Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guruguru dan berhemah tinggi sepanjang berada di sekolah supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain. Tambahan pula, para pendidik harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan. Hal ini kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan

berserak. Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan kemelut sosial yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi. Berikutan itu, kempen Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini. Pihak sekolah pula haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah, bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat. Selain itu, kempen tersebut haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek. Jelaslah menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang bersahsiah mulia. Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma kanak-kanak. Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat. Mereka akan tergila-gila kepada media baru. Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton. Malahan, drama-drama seperti Precious Babies, Three Pads, One Mom, Hwang Jin Yi, Next Stop, Happiness dan lain-lain lagi mengandungi babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak. Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk mengorak langkah yang afdal bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak agar memacu pembangunan negara untuk memakbulkan hasrat mencapai Wawasan 2020. Kita sedia maklum bahawa kekurangan nilai-nilai murni dalam diri individu akan menyumbang kepada pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat. Selaras dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-samalah kita memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak, bak rangkap sajak yang dipetik daripada sajak Seuntai Kata Untuk Dirasa karya A. Samad Said, Sekarang singkirkan semua bicara, Sekarang kumpulkan tenaga raksasa, Tiba saat berbunga merah, Serentak kita bersama.

Ringkasan: Kepentingan Nilai-nilai Murni dalam Kehidupan

Di bawah Kategori: Ringkasan , Soalan Ringkasan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Nilai-nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang supaya segala tindakan mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Nilai-nilai murni ini dapat melahirkan insan yang unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara. Sejajar dengan itu, subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan wujudnya nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kini, bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5 juta orang, jika tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa kelak. Hal ini kerana, nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia. Selain itu, perlu adanya nilai-nilai murni dalam kehidupan adalah untuk membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Kepatuhan kepada agama dapat membentuk insan mulia yang sentiasa patuh kepada Tuhan dan setia kepada negara. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam doktrin agama masingmasing ke dalam jiwa anak-anak. Tambahan pula, nilai-nilai murni yang berasaskan agama penting untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Di peringkat sekolah pula, didikan moral yang positif dan nilai murni yang diterapkan oleh guru, akan dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Bekas Perdana Menteri, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan subjek Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah adalah bertujuan memupuk nilai-nilai murni remaja sejak di bangku sekolah. Hal ini demikian kerana negara memerlukan generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, hemah tinggi, dedikasi, berfikiran luas serta positif. Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif boleh membantu para pelajar untuk mewujudkan nilai murni dalam diri mereka. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Sebagai contohnya, guru-guru yang menunjukkan sikap positif boleh menjadi role model kepada para pelajar. Tambahan pula, keadaan sekolah yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan pembelajaran dapat memudahkan para pelajar belajar dan seterusnya dapat memupuk sikap posif dalam diri mereka. Begitulah caranya sekolah dapat membantu para pelajarnya menjadi seorang yang memiliki nila-nilai murni dalam diri mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu materialistik dan mementingkan kemewahan. Oleh itu, tanggapan sesetengah pihak yang menganggap kononnya nilai kasih sayang yang boleh ditukar ganti dengan harta benda merupakan satu kesilapan besar. Sebenarnya, gejala sosial yang semakin berleluasa ini berpunca daripada

kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa terlalu sibuk dan tiada masa untuk menerapkan nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan, adab dan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, dalam usaha memupuk nilai murni dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap anak mereka bagi membina sebuah keluarga yang harmoni. Kesimpulannya, semua masyarakat di negara ini perlulah tahu dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kepentingan bagi nilai-nilai murni yang wujud dalam diri kita. Selain itu, terdapat banyak juga langkah untuk mewujudkan nilai-nilai murni ini. Sebagai hasilnya, negara akan memiliki rakyat yang produktif dan berkualiti.

Anda mungkin juga menyukai