Anda di halaman 1dari 4

PENGUKUHAN JATI DIRI GENERASI MUDA TANGGUNGJAWAB

BERSAMA

Persoalan tentang kekukuhan jati diri dalam kalangan generasi muda sering
kali menjadi kebimbangan masyarakat. Jati diri ialah ciri atau sifat yang
melambangkan dan mewakili seseorang itu dari pelbagai segi seperti adat, agama,
bahasa dan budaya. Jati diri amatlah penting untuk mengelakkan diri dari melakukan
perkara-perkara yang negatif. Perkara tersebut menjadi polemik masyarakat
memandangkan generasi muda lazimnya terkenal dengan sifat-sifat seperti ingin
mencuba suatu yang baru dan mudah terikut-ikut. Generasi muda juga merupakan
generasi harapan bangsa yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.
Dalam mendepani zaman modenisasi kini, isu kerapuhan jati diri dalam kalangan
generasi muda semakin hari semakin diabaikan. Sanggupkah kita melihat generasi
kita kelak akan hanyut? Bidalan kata pernah bersabda, padang perahu di lautan,
padang hati difikirkan. Pemantapan jati diri penting dalam diri remaja kerana remaja
pada zaman ini mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan unsur negatif. Siapakah
yang harus memikul amanah dalam usaha memantapkan jati diri generasi muda ini
demi memastikan keunikan dan keistimewaan negara berdaulat ini akan terus
bertahan?

Jati diri yang ampuh bermula dengan memartabatkan adat dan adab budaya.
Cara untuk memastikan perkara ini dapat dijayakan ialah ibu bapa perlulah
menunjukkan dan mengajar anak-anak berkaitan adat dan adab budaya turun-
temurun. Profesor DiRaja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah
merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor
pertama bagi mereka. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap
ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah
anak-anak. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan orang yang paling hampir
dengan anak-anak. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memberikan didikan adab,
menjunjung nilai budaya kepada anak-anak sejak kecil lagi, persis kata peribahasa,
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesannya, anak-anak akan mengetahui adab
yang perlu diamalkan ketika bergaul dengan persekitaran di luar dalam masa yang
sama adat budaya terus dijunjung tinggi. Misalnya, anak-anak akan menghormati
orang yang lebih tua dengan tidak bercakap kasar kerana telah diasuh untuk menjaga
adab oleh ibu bapa. Peranan besar ibu bapa juga tidak harus dinafikan dalam
menjaga pergaulan anak-anak ketika di luar rumah. Dalam hal ini, ibu bapa perlu
memantau aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak yang boleh mencemarkan nama
baik keluarga seterusnya menjatuhkan nilai jati diri mereka. Tindakan ini dapat
mengelakkan anak-anak daripada terjebak dengan pengaruh negatif yang boleh
menghanyutkan diri mereka dari melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya.
Sesungguhnya, mendahulukan ajaran adab dan memantapkan adat budaya amatlah
penting agar dapat melahirkan remaja yang berakhlak seterusnya seiring dengan jati
diri sebagai orang Melayu dapat dipertahankan.

Beralih kepada perspektif seterusnya, jati diri yang kuat dalam diri seorang
remaja dapat dilihat dari segi amalan berbahasa yang baik dan teratur khususnya
dalam bahasa Melayu. Pihak sekolah hendaklah memberi didikan dan asuhan
tentang penggunaan bahasa yang baik kepada remaja di sekolah. Pelbagai cara boleh
dilakukan oleh pihak sekolah demi mencapai matlamat dalam memberikan didikan
bahasa kepada remaja. Hal ini terjadi demikian kerana, sekolah merupakan medan
atau platform bagi remaja untuk menimba ilmu sejak sekolah rendah hingga tamt
sekolah menengah. Jati diri seseorang itu dapat dilihat apabila seseorang tahu
menggunakan bahasa mengikut konteks. Dengan itu, guru-guru haruslah
bertanggungjawab sebagai tenaga pengajar yang berkredibiliti tinggi di sekolah
untuk menyampaikan ilmu. Sebagai contoh, guru mengamalkan perbualan bersama-
sama dengan pelajar menggunakan bahasa yang baik di sekolah, terutamanya dalam
bahasa Melayu. Semua pelajar tanpa mengira kaum dan bangsa diwajibkan
menggunakan bahasa Melayu ketika berada di sekolah kerana bahasa Melayu
merupakan bahasa kebangsaan negara kita. Cara ini bukan sahaja dapat memberi
pelajaran kepada remaja tentang bahasa malah dapat memantapkan lagi penggunaan
Bahasa Melayu. Bahkan program-program tahunan yang dianjurkan di sekolah
seperti Bulan Bahasa, Minggu Bahasa Melayu dapat memupuk semangat cinta akan
bahasa Melayu dan berbangga menggunakan bahasa Melayu walau di mana-mana
mereka pergi hingga ke hujung dunia sekalipun kerana bahasa jiwa bangsa. Hal ini
selaras dengan Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara sejak merdeka. Penguasaan bahasa Melayu
yang mantap bagi semua kaum di Malaysia adalah satu manifestasi betapa kukuhnya
jati diri khususnya generasi muda yang rata-ratanya telah mendapat pendidikan
formal berbahasa Melayu di sekolah. Jelaslah bahawa pendidikan formal yang
diperoleh di sekolah-sekolah kerajaan seharusnya menjadi medan terbaik untuk
belajar dan mempraktikkan jati diri kebangsaan.

Jati diri yang ampuh dapat dilihat dalam amalan beragama tidak kiralah
anutan agama masing-masing. Lemahnya pegangan agama dalam kalangan remaja
kerana kurang didikan agama dan tidak mengetahui hukum-hakam menyebabkan
mereka cenderung melakukan perkara yang tidak baik tanpa mengetahui balasan
pada hari akhirat kelak. Di sinilah tertanggung di pundak para ibu bapa untuk
menanamkan pengetahuan tentang agama dalam diri seorang remaja. Dalam ajaran
Islam contohnya, ibu bapa merupakan guru pertama anak-anak kerana seawal-awal
ajaran adalah mengenal Allah dan Rasul. Sudah pastinya anak-anak tidak akan
melakukan perkara yang tidak baik kerana takut akan balasan Allah. Pihak sekolah
juga boleh membantu dalam menambahkan dan memantapkan ilmu agama kepada
remaja dan peranan ini harus dicakna oleh guru Pendidikan Islam. Gandingan yang
mantap antara ibu bapa dan guru untuk memantapkan jati diri remaja khususnya
dalam amalan beragama ini sudah pastinya akan melahirkan generasi yang terbilang,
bahkan jika tercampak di bumi asing, jati diri yang kuat berpaksikan pegangan
agama yang kukuh menjadi benteng paling kukuh untuk kekal sebagai orang yang
Melayu dan masih mengenal ajaran Tuhannya. Sememangnya, pendidikan agama
amatlah penting untuk memantapkan jati diri seorang remaja malah bagi melahirkan
individu yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Sebagai penghias bicara akhir, benarlah bahawa pengukuhan jati diri generasi
muda amatlah penting bagi merealisasikan impian untuk melahirkan remaja atau
individu yang produktif yang dapat memimpin negara pada masa depan kelak.
Tanggungjawab untuk memantapkannya dan mengukuhkannya tidak harus
dipandang enteng dan hanya sekadar bermain di bibir. Kesimpulannya, pemantapan
jati diri dalam kalangan generasi muda harus menjadi agenda utama negara buat
masa ini agar terus bertahan dengan ledakan pembangunan yang boleh meruntuhkan
tembok jati diri jika terus lalai dan leka kerana sesungguhnya pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara

Anda mungkin juga menyukai