Anda di halaman 1dari 4

LATIHAN 4

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya


hidup sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya
hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko
penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia
mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok.
Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi
seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan
senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko
penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan
sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara
umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang
melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah
peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak mereka?

Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan
pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang
mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu
karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah
sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa
digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak,
sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa
kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh
anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan
mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk
minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah
bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah
hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti
bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar
sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya,
anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan
penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan
tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging,
berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa
yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu
petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan
beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak
kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan
aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat
dapat dipupuk.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat


pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu
bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan
kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih
di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi
moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan
ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan
mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa
mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa
mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang
penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan.
Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk
amalan gaya hidup sihat.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan
kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada
sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian
bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti
mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik
agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih
semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek
berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur
sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang
sihat apabila mereka dewasa kelak.

Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan,
ibu bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan
persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya
hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa
menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung
minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga
boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan
dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-
agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat
pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun
tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara
demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak
mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang
itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang
lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka
bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan
masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi
dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra
bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan
biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh
gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi
berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan
ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.

..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh
seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran
yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang
melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang
penuh cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan
satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada
pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana
tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi,
semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang
mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan
pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran
merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak,
ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-
mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula
dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya
anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya
membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia.
Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat
melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri
pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi
orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib
orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan
sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya
anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan
sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat
lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu
bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.

Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu
memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh
badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk
mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah
mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari
untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih
suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan.
Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak
bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi
mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh
diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak
masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat
yang secukupnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa


memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan
rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-
langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi
akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit
seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat
dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang
dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia
yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Anda mungkin juga menyukai