Anda di halaman 1dari 52

MS 6

Peribahasa berusaha tangga kejayaan perlu dijadikan pegangan sesiapa sahaja yang ingin mengecapi kejayaan
dalam hidup ini. Seseorang pelajar yang ingin berjaya perlu berusaha dengan gigih bagi merealisasikan impiannya.

Terdapat banyak faktor yang menentukan kejayaan seseorang pelajar. Antaranya ialah sifat
bertanggungjawab, disiplin diri, kebijaksanaan pelajar membahagikan masa, dorongan serta galakan keluarga,
ketenangan emosi dan kekuatan minda seseorang pelajar.

Sifat bertanggungjawab dalam diri seseorang pelajar merupakan faktor yang amat penting bagi menentukan
kejayaannya. Sifat bertanggungjawab ini boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu sebagai anak dan
pelajar. Sebagai seorang anak, seorang remaja perlu menghormati orang tuanya serta tahu menjaga diri di mana
sahaja dia berada sepanjang waktu. Sebagai anak yang bertanggungjawab, dia pastinya akan sentiasa mahu
membahagiakan orang tuanya dan memastikan dia tidak akan menconteng arang ke muka keluarganya. Sebagai
seorang anak yang bertanggungjawab juga, seorang remaja tahu mengambil hati orang tuanya seperti dengan
membantu ibu melakukan kerja-kerja rumah tanpa disuruh terutama sekali jika ibu bapa keluar bekerja. Pastinya
apabila keadaan rumah bersih dan teratur, ibu bapa yang penat sehari suntuk bekerja mencari nafkah akan berasa
tenang dan senang apabila mereka pulang dari tempat kerja. Kedamaian yang wujud dalam sesebuah keluarga akan
membuat pelajar berasa tenang dan gembira di rumah kerana rumahku, syurgaku.

Seorang pelajar yang bertanggungjawab tahu kewajipannya sebagai seorang pelajar. Dia akan memberi
sepenuh perhatiannya kepada pengajaran guru di kelas dan bertanya jika dia tidak faham. Dia juga akan
mengulangkaji pelajaran secara konsisten. Oleh sebab itu, pelajar yang berjaya sudah bersedia menghadapi
peperiksaan dan tidak akan kelam-kabut atau bersengkang-mata demi menyiapkan dirinya untuk menduduki
peperiksaan. Seorang pelajar yang bertanggungjawab juga dapat menilai antara sesuatu yang baik dan salah.
Dengan demikian, pelajar tersebut dapat menolak pelawaaan teman-temannya sekiranya mereka mengajaknya
melakukan sesuatu yang kurang berfaedah.

Selain sifat bertanggungjawab, seorang pelajar yang berjaya perlu ada disiplin diri. Disiplin diri seseorang itu
dapat memastikan pelajar tersebut dapat mengatur dan mengimbangi masanya dengan baik antara pelajaran,
kegiatan luar darjah dan beriadah bersama kawan atau keluarga. Dengan disiplin diri, seseorang pelajar itu berupaya
mengelakkan dirinya daripada melakukan pekerjaan yang tidak berfaedah. Aktiviti yang tidak bermanfaat adalah
seperti bersembang di pusat-pusat membeli-belah atau taman, merokok dan berfoya-foya di kelab-kelab.

Galakan serta dorongan keluarga juga merupakan faktor yang penting dalam melahirkan pelajar yang
cemerlang. Ibu bapa serta ahli keluarga ialah orang yang paling rapat dengan pelajar. Jika seseorang pelajar
mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa, dia akan berasa selesa di rumah dan
dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajaran. Ibu bapa yang prihatin akan kebajikan serta pelajaran anak-
anak mereka juga akan memberikan perhatian serius kepada emosi, minda serta pemakanan anak-anak mereka.

Pelajar yang berjaya juga tahu menjaga kesihatan mereka dengan menjaga pemakanan serta beriadah atau
bersenam dengan kawan-kawan atau ahli keluarga bagi menenangkan fikiran mereka. Ini kerana otak yang sihat
terletak pada badan yang sihat.

Kejayaan yang dikecapi seseorang pelajar itu pastinya hanya dapat diraih sekiranya pelajar tersebut
berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.


Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda telah mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun 2010.
Pada hari Sabtu bersamaan 6 Februari 2010, telah diadakan larian merentas desa yang mendapat
sambutan yang amat menggalakkan. Acara larian merdeka yang bermula dari kawasan sekolah itu telah
melalui beberapa batang jalan.
Acara merentas desa ini diadakan bertujuan untuk memastikan murid-murid supaya aktif dari segi fizikal
dan juga mental ini bertujuan agar murid-murid mempunyai pencapaian yang seimbang dalam bidang
akedamik dan juga kokurikolum dan juga memperatkan silaturahim diantara murid-murid dan guru-
guru yang terlibat sepanjang aktiviti ini berlaku.
Acara ini telah dimulakan pada tepat pukul 7.30 pagi. Acara ini dimulakan dengan bacaan doa dan acara
diteruskan dengan ucapan perasmian oleh pengetua sekolah Puan Hajah Wan Lijah Bt. Wan
Daud ,kemudian beliau telah melepaskan para pelajar perempuan acara merentas desa bermula dari
pagar utama sekolah . Selepas itu, diikuti dengan pelepasan pelajar lelaki.Setiap kilometer telah diadakan
9 perhentian dan disediakan minuman oleh pelajar dan guru yang terlibat.
Acara merentas desa ini telah dilaksanakan sempurna dan berjalan mengikut masa yang ditetapkan .
Keseluruhannya peserta-peserta begitu gembira dan bersemangat untuk menamatkan larian
mereka.Walaupun peserta perempuan telah dilepaskan terlebih dahulu, namun peserta lelaki berjaya
menamatkan larian bersama peserta perempuan.Sepanjang perjalanan acara ini, tidak ada kecederaan
atau kecemasan yang serius berlaku.Namun terdapat murid terpaksa menaiki ambulans bulan sabit
merah Malaysia kerana tidak dapat menamatkan larian mungkin kerana masalah kesihatan.
Acara penyampaian hadiah telah diadakan sebaik sahaja tamat larian.Sebelum pulang, pelajar telah
diberikan makanan dan air mineral untuk menghilangkan dahaga.Semoga acara ini dapat diteruskan lagi
ditahun akan datang.Tahun hadapan mungkin jarak larian akan ditambahkan supaya ia akan memberi
lebih cabaran kepada murid.Ramai pelajar yang terlibat berharap agar larian merentas desa diadakan lagi
pada tahun hadapan.
Laporan disediakan oleh,
Siti Maisarah..
(SITI MAISARAH BT.MOHAMED YUSRI)

Kertas 1 Bahagian B - Peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit
jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyatMalaysia mempunyai berat badan
berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan
rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari
makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan.
Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkangaya hidup sihat.
Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang
melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu
bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-
anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan
dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat.
Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-
anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan
penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan
tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan
pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan
apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar
untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan
anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-
anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa
dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup
sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama
toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap
serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan
tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal,
berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini
boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja.
Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri dari
aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah
melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk
membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali
ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan
sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan
dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan
mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati
anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan
doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja,
ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada
masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan
memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan
diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan


asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup
juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit,
mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan
seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak
dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera.
Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa
padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat
membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu
mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang
bersih perlu dijadikan amalan dan gayahidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap
hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh
membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong ditaman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih.
Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk,
lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah
seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun
ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gayahidup yang positif dalam diri anak-
anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka
yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih
bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan
keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan
komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup
yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli
keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-
masing akan memberi impak psikologi yang positif.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu
bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik
tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di
pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat
kita.Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan
bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana
tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera,
menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu
bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan
keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke
arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga
mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga
ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa
sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian
kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa
perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang
mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat
melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu
untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan
sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama
anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan
bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat
mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh
ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan
dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi
anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam
sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka
tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka
tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak
juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah
satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk
anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini
adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam
keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang
menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti
kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam
jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan,
sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya,
tidak hendak seribu dalih.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:36 AM 2 comments:
Kertas 1 Bahagian B - Peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah
membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu
Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada
masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan.
Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun,
masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan
kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat
kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh
pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya.
Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara
kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat
patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama
dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya,
ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat
pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan
minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan
seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah
seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan
sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai
serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi
juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke
tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa
sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah
atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui
lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi
kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa
dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa
haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang
tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat
patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut
hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila
anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca
kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora
dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada
anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah
sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh
mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan
terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan
sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri
tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak
kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak
menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium
Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang
dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu
bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang
berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-
peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi
muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita
mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman,
Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa
bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita
dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah
pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet
untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak.
Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan
setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar
sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa
perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau
berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan
berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang
pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan
tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan
negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, HariMalaysia pada 16 September dan
sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat
disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama
mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang
kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat
sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan
sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan
seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan
nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan
menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan
daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung,
perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari
Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk
dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis
Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh
seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat jelas
membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan
personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:32 AM No comments:
Kertas 1 Bahagian B - Peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri
atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun
kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan
pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita
sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga
menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita.
Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak
ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati
jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih
sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa Jiran Sepakat Membawa Berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran
kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu
dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi
pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat, semakin
meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah
untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-
langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat
majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini
tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti
gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa
boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong,
semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang
akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan
berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati
budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah
Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang
boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan
hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara
bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-
aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga
dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan masing-
masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang
sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti
gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu
bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama di daki,
ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai
keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti
mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil
berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau
mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang
dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang
ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga
pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan
bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu
memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital,
memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan
nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa
terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.
Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah
terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan
hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam
majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih
dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya
khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan
lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh,
majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari
Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama
ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak
mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-
menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-
majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat
untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam
kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan
dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-
anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita
akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh
diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni
walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa
anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke
hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat
membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan seperti enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh
pada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-
kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak
langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut
mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu
bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk
semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga
untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan
sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak
bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu
bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam
masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau
pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini,
banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga ,
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan
sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan
berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan
sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang
mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam
kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya
melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan
dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan
mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal,
kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon
bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan
senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka
kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-
baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata Jiran Sepakat
Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa
susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah
kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat
kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita
mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya
negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-
mengenali.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:30 AM No comments:
Kertas 1 Bahagian B - Langkah-langkah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya
murid-murid berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam
peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai
azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini
sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa
hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan
disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata
orang tua-tua sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Oleh sebab itu, saya
sebagai salah seorang murid, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik
darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah
sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang
pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah
disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan
pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran
dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria
supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-
apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya
juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih
memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru
sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu
kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-
pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan
soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka.
Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala
kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan
jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual
waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka
akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih
menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual
waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana
peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan
pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal.
Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka
membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa yang lalu tidak
akan kembali maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba
peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk
membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang
akan saya duduki nanti.
Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan
membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan.
Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, practice makes perfect. Kalau
ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, praktis
asas kecemerlangan. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau
seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam
hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji
sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung
saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga akan
membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama
menjadi kain dan sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan belajar bersungguh-
sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan
ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya
membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti
saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di
sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya
juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak
kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Malahan, jika saya
tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya
bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu
topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu
topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah diajar di pusat tuisyen
terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti program
di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan.
Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti
Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi.
Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya
akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam
peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-
kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus
asa. Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama
dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara
kerana saya berpegang pada prinsip, gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Saya
juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang
ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah
memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang
akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya
tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat
penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk
memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya
dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, Tuhan hanya akan
menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa, Kenyataan ini pasti benar
kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada
nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu.
Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu,
saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan
dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak
mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan
dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada
Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu
merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya
juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya
tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa
depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan
adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-
gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita,
kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-
sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar
sampai jadi arang.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:29 AM No comments:
Kertas 1 Bahagian A - Usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah

Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan. Banyak bahan
bacaan dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita,
majalah, surat khabar dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk
bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di
pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual,
dan sebagainya. Murid akan memperoleh pelbagai manfaat jika memaksimum
penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah. Persolannya, apakah usaha-usaha yang boleh
dilakukan untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah?

Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS)
adalah dengan memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah
dikunjungi oleh murid-murid. Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah
atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga
perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan pengunjung memberi tumpuan
terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua
orang. Hal ini memudahkan pengunjung untuk mengunjungi PSS. Bangunan tersebut perlulah
dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid
untuk mengunjungi dan meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta. Selain itu, suasana di dalam pusat sumber perlulah
kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca dan membuat rujukan yang
selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat
memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku yang
terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu
ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang
kaji.

Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah perlu menghebahkan perkhidmatan
dan kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh
dilakukan semasa perhimpunan mingguan. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui
maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat
sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan komputer dan
sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga
dihebahkan untuk menarik murid mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku
dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas
untuk rujukan murid. Selain itu, murid-murid dan persatuan-persatuan yang ingin mengadakan
mesyuarat di PSS juga dialu-alukan agar mereka dapat memanafaatkan sepenuhnya penggunaan
PSS. Mereka perlulah menempah bilik tersebut terlabih dahulu agar tidak berlaku pertembungan.
Pihak PSS juga boleh menampal jadual penggunaan bilik mesyuarat di papan notis. Jelasnya,
melalui hebahan tersebut, murid-murid dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat
sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS
perlu mengadakan Program Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus
digiatkan lagi agar murid akan sentiasa mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan
membuat bacaan di pusat sumber. Program NILAM merupakan satu pendekatan untuk
penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha berkekalan
murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu
merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan
mengesahkan rekod bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku
yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar
murid juga dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak
kata pepatah jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah
pengetahuan. Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di
pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat
sumber sekolah dalam kalangan murid.

Akhir sekali, pelbagai pertandingan dan aktiviti boleh dijalankan dalam usaha menarik
pengunjung mengunjungi PSS. PSS boleh mengadakan pelbagai pertandingan sempena minggu-
minggu tertentu seperti Minggu Bahasa Melayu, Minggu Bahasa Inggeris dan Minggu Patriotik.
Pertandingan seperti Menulis Ulasan Buku/Novel, Menulis Esei, Menulis Cerpen, Pertandingan
Debat, Forum Remaja dan sebagainya boleh diadakan di PSS. Hal ini membolehkan murid-
murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan akan meminjam buku-buku daripada
perpustakaan sebagai rujukan. Selain itu, murid-murid lain yang tidak mengambil bahagian akan
hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian.
Secara tidak langsung, murid-murid yang terlibat dalam aktiviti atau pertandingan di PSS, dapat
mengetahui kemudahan yang di sediakan di PSS. Mereka akan terus mengunjungi PSS pada
masa yang lain untuk meminjam buku-buku di PSS. Tegasnya, pelbagai pertandingan dan
aktiviti di PSS mampu meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan
mengikut peredaran zaman. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan murid dan
menarik mereka untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi
nadi utama murid dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita
miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan lautan yang luas. Oleh itu, manfaatkan masa
dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:26 AM 1 comment:
Kertas 1 Bahagian A - Faedah-faedah bersukan kepada masyarakat

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang
atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring
dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang
sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat
dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat
dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang
sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan
kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga
dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan
negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan
tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal
dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai
kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan
merupakan langkah awal seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan dalam
mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan
sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih.
Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan
meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah,
mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan
dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang
sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya
amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam
bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas ,
walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat
bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan
ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan
diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa
sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik
masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas
ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke
peringkat antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini.
Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih
bermakna.


Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan
hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat
melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu
juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana
pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat
melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat
berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai
perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan
melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru ,
kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan
hubungan.
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara
individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan
sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan
juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di
peringkat glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing.
Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi.
Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat
dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara
professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-
masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi
kerjaya yang baru kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada
masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan.
Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan
berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada
antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang
lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara.
Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:25 AM 7 comments:
Kertas 1 Bahagian A - Kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini
menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri
pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan
pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara
yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam
memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor
pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat
pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang
boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat tempat
bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga
boleh bermain sambil melawat tempat tempat bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa
sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi,
bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan
seperti di Kota A Famosa. Di Kota A Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan
ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar
Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat tempat ini sesuai
untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor
pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita.
Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita.
Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang
mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu,
masakan Cina dan masakan India. Negara negara Barat seperti England cuma mempunyai satu
jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai
masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma
mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai
jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina,
rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum
India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan.
Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka
menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat
dipromosikan melalui sektor pelancongan.
Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri
kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu
bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia
yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi
reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli
belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain lain
sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing
ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi
periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat
dimajukan melalui sektor pelancongan.
Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi
istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang
berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain.
Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan
istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan
warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong
yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian
tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka
juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang,
congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat
daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh
pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan
menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita.
Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor
pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat
penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara
kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di
dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri
daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta
kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat
manusia kerana muafakat.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:22 AM 3 comments:
Kertas 1 Bahagian A - Usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah runtuh

Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh
yang meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak
mengalirkan air mata rakyat Malaysia. Peristiwa ini menuntut masyarakat membenamkan mata
fikir dalam akal yang waras untuk mencari penyelesaian bukan hanya polemik di media-
media dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang terjadi. Secara
implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca kemurkaan alam kepada
kita. Justeru, adalah wajar semua pihak membuka mata serta mengorak langkah bagi
mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
mengelakkan kejadian tanah runtuh di Negara ini?
Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini ialah kerajaan
menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan.
Usaha murni tersebut merupakan langkah terbaik untuk menjaga cerun-cerun dan kawasan
yang dibangunkan daripada terdedah kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga
dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan
bukit ditarah atas nama pembangunan. Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada
ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan telah melonggarkan ikatan
tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan
menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok
besar yang berakar dalam dan tanaman tutup bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan
kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu
menyekat pergerakan tanah daripada dibawa aliran air bawah tanah yang menggelonsorkan
cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan, dapat
memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang
berlaku di Kondominium Highland Tower dan Bukit Antarabangsa misalnya, masih lagi
menjadi igauan rakyat akibat tidak mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan
kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh, kerajaan perlulah menanam
semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh ialah
kerajaan membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting
untuk membolehkan air hujan dari cerun bukit mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau
sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya
banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan
tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di
lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah di lereng
bukit. Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di
kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui
tanah sehingga struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah
seperti berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan tanah runtuh. Rakyat Malaysia tidak pernah
melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang mengorbankan begitu banyak
nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan sangat
berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan sistem
perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang
dapat dilakukan untuk mengurangkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Kerajaan perlu
mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan
sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan
pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat,
mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan tidak dapat
dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena
yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan,
perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka
panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman dan
laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan
tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh yang tidak
diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk melaksanakan
pembangunan di lereng-lereng bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju
perumahan perlu mewujudkan Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas apabila
mengesan tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat
simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang
terancang dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti tanah runtuh.
Akhirnya sekali, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak
kejadian yang boleh meragut nyawa. Penguatkuasaan yang tegas dapat mencegah sesetengah
pihak yang melaksanakan projek pembangunan seperti melepaskan batuk di
tangga. Penguatkuasaan tanpa pilih bulu dapat mencegah perbuatan yang tidak
bertanggungjawab. Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di
negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk
penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen
dan konsesi pembalakan perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki Kediaman dan
pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian
yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman
yang setimpal seperti hukuman penjara atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak
mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan
Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya,
penguatkuasaan yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan
tanpa menghiraukan kebajikan sosial.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk
mengelakkan kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan agar kejadian tanah
runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang
enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat
merenung kata-kata Chief Seattle bahawa kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek
monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita. Oleh itu , kita perlu
menjaga sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan dengan keadaan yang masih
baik.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:21 AM No comments:
Kertas 1 Bahagian A - Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada
berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat
hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat
hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip Rukun Negara. Perpaduan
yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan
pentingnya perpaduan bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang
dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem
pendidikan berteraskan kebangsaan. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada
setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu
membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di
peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi,
usaha untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan
dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul ,
bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti
kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan
bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah
dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam
kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan
perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan
perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut
oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan
rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun
Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang
berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat
resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan
saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita sedia menerima
adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat
mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita
bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum tetapi juga dapat memeriahkan suasana
rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan dapat memupuk
perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk
menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi
kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan
masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama
kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan
berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat
perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang
dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi
dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa
berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat
mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi
kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang
penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza,
namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud
prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau
menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti
tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian
piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India.
Persembahan kebudayaan yang unik ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong
asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di
negara kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak
kenal maka tak cinta.
Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu diberi penekanan di negara
kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak
perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya,
rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti yang
disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia. Bersatu teguh, bercerai roboh.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:19 AM 3 comments:
Kertas 1 Bahagian A - Punca-punca yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik

Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, Ilmu
apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang.
Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seharian
kita terutamanya murid-murid sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat
penting kerana mereka merupakan bakal pemimpin kita pada masa hadapan. Remaja yang
cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara. Hal ini bertepatan dengan
ungkapan Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara . Persoalannya, apakah faktor-
faktor yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?
Faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah
melalui tumpuan ketika guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan
pembelajaran (p&p). Sekiranya seseorang murid itu menumpukan perhatian semasa guru
mengajar di bilik darjah, sudah tentu pelajaran tersebut lebih cepat diserap masuk ke dalam
minda murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, lima puluh peratus kejayaan
murid dalam akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran
dan pembelajaran di bilik darjah. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik adalah
terdiri daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada guru-guru sekiranya
terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru mengajar. Selain itu, murid-murid yang
sering berjumpa dan berbincang dengan guru-guru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang
cemerlang. Dalam hal ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk
bertanya apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah
menyatakan, malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga
perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar dengan segera
kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid juga turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik
darjah secara proaktif bagi membantu mewujudkan proses pengajaran guru yang menarik dan
berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah
merupakan faktor utama kecemerlangan murid dalam akademik
Selain itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut
menyumbang kepada kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang diadakan
ialah pelancaran Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan program
ini, murid-murid dapat memupuk minat mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa, pihak
sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjek-subjek tertentu .
Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid dapat mengetahui kelemahan
mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-
murid berkaitan teknik untuk menjawab soalan peperiksaan sebenar dengan betul. Hal ini
bertujuan untuk menjadikan murid-murid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan
dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi
dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai motivasi dan
membentuk keperibadian yang luhur. Program Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada
setiap tahun juga turut memberi motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-
sungguh. Jelasnya, program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor
kecemerlangan murid dalam akademik.
Seterusnya, saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih
kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan
saya untuk sama-sama berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang
difahami. Selain guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan
perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman murid
tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama rakan perbincangan
juga, saya akan membuat lebih banyak latihan terutamanya Matematik, Fizik, Prinsip Akaun dan
subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan selalu mengunjungi
perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan
menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan
perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar. Murid-murid
yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia dan berkeyakinan ketika
menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid dalam kumpulan perbincangan guga
merupakan antara faktor kejayaan murid dalam akademik.
Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan
dorongan daripada kedua-dua ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat
menjadikan seseorang murid itu rajin dan gigih berusaha untuk mencapai kecemerlanagn. Hal
ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu sumber inspirasi kepada anak-anak.
Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup dengan adanya dorongan,
motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa juga boleh
menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke perpustakaan atau
menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan
menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi kepada diri mereka sendiri. Bak kata
peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Salah satu cara ibu bapa
memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk
anak-anak menghadiri kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di
rumah. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya
membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan
kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat penting untuk anak-anak
mencapai kecemerlangan dalam akademik.
Kesimpulannya, banyak faktor penentu kecemerlangan murid dalam akademik. Untuk
mencapai kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan tumpuan ketika
pembelajaran di bilik darjah. Murid-murid juga hendaklah menyertai program-program
akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain menyertai kumpulan perbincangan di sekolah.
Kecemerlangan murid dalam akademik juga adalah berpunca daripada sokongan dan dorongan
daripada ibu bapa. Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik bergantung pada
keazaman seseorang murid itu untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan
hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:16 AM 1 comment:
Saturday, December 8, 2012
Permainan Tradisional

Definisi
Permainan yang dimainkan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi masa senggang.
Merupakan satu cara masyarakat pada zaman dahulu berhibur kerana pada masa tersebut tiada
media elektronik yang boleh menghiburkan mereka.
Terdiri daripada gasing, wau, dam haji, galah panjang, ketingting bulu ayam, tarik upih, konda
kondi

1. Kegilaan terhadap permainan yang menggunakan teknologi moden menyebabkan permainan tradisional
terus terpinggir.
2. Sikap segelintir generasi pada masa kini yang menganggap permainan tradisional adalah ketinggalan
zaman dan hanya wujud pada zaman puntung asap sahaja haruslah dikikis.
3. Kecanggihan permainan moden melekakan generasi pada masa kini yang telah menjadi kera sumbang
kerana asyik terperap di dalam kamar sahaja.
4. Sikap acuh tak acuh sesetengah pihak dalam mengembalikan kegemilangan permainan tradisional ini
menyebabkan permainan ini semakin terus dilupakan.
5. Warisan nenek moyang ini akan luyput ditelan zaman jika tiada usaha untuk menggemilangkan kembali
tradisinya.
6. Tiada lagi deraian ketawa jiran tetangga dan rakan taulan yang mengiringi setiap langkah permainan
seperti gasing dan wau.
7. Jangan kita biarkan nostalgia nenek moyang hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang dikuburkan
sendiri oleh cucu-cicitnya yang tidak tahu menghargai warisan bangsa.
8. Kecenderungan masyarakat moden untuk hidup seperti enaun dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing menyebabkan permainan tradisional ini hanya tinggal dalam buku-buku dan majala-
majalah sahaja.
9. Sepatutnya generasi pada masa kini tampil sebagai pewaris pusaka tradisi nenek moyang yang terbilang.
10. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempopularkan warisan ini kerana permainan
tradisional ini merupakan satu daripada warisan silam yang perlu dipertahankan.
11. Permainan tradisional merupakan sumber hiburan utama masyarakat silam tetapi kini perkembangan
teknologi moden telah merubah segala-galanya.
12. Permainan tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri dan merupakan warisan budaya bangsa
Malaysia. Hilang budaya, maka lenyaplah sesuatu bangsa.
13. Sudah tiba masanya langkah-langkah konkrit diambil bagi mempertahankan permainan-permainan
tradisional ini. Jika tidak permainan-permainan ini akan lenyap ditelan zaman.
14. Kita tidak harus membiarkan sahaja warisan bangsa dibawa oleh angin lalu kerana sejarah yang berlaku
banyak mengajar kita akan erti kehidupan yang sebenar. Justeru, hubungan yang renggang dapat
dieratkan dengan adanya permainan tradisional seperti congkak, konda kondi, dan ketinting bulu ayam
ini.
15. Kita tidak mahu anak bangsa kita menjadi manusia robotik yang hanya tahu menggunakan mesin sahaja
tetapi tandus dalam hubungan sosial dengan masyarakat.
16. Kita perlu mewujudkan acuan sendiri dan tidak terikut-ikut dengan budaya hedonisme masyarakat barat.
17. Kita tidak mahu menjejaskan ikatan kemesraan jika hanya tinggal di dalm mahligai indah tanpa bergaul
dengan masyarakat sekitar akibat terlalu asyik dengan permainan komputer.
18. Kita tidak harus bersikap dingin terhadap warisan bangsa kita hingga meminggirkan khazanah yang
amat berharga dan menjadi daya tarikan pelancong asing ke negara kita.
19. Janganlah kita menjadikan asakan pengaruh video, televisyen, internet dan pawagam sebagai alasan
untuk tidak mempopularkan permainan ini kepada golongan muda.
20. Biar sebagus mana sekalipun permainan moden, permainan tradisional tidak patut sekali-kali
dipinggirkan.

-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan bergelandangan
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-alaf baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani
-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis
-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:43 AM No comments:
Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang remaja.

Soalan
Peribadi seseorang remaja amat penting dalam menentukan kemampuannya menghadapi cabaran hidup.
Beri pendapat anda tentang faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang remaja.

Rangka Karangan
Pengenalan :
Menurut ahli psikologi yang terkenal Norm Chomsky, alam remaja merupakan alam
transisi daripada alam kanak-kanak ke alam dewasa.
- berlaku perubahan fizikal dan tingkah laku.
- remaja cuba membentuk peribadi dan personaliti masing-masing.
- peribadi berkait dengan cabaran mengemudikan hidup
- terdapat pelbagai faktor yang turut mempengaruhi hal tersebut.


Isi 1: Keluarga mempunyai pengaruh yang besar.
- alam kehidupan remaja bermula dari sebuah keluarga.
- ibu bapa mampu mencorakkan anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih.
- sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia akan dapat membentuk anak-anak yang berperibadi mulia
- bertanggungjawab,bersopan dan saling menghormati satu sama lain.
- keluarga yang pincang pula akan mempengaruhi remaja dari sudut yang negatif.
- bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
- ibu bapa sebagai ketua keluarga perlu menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak- anak
- anak-anak akan membesar dengan peribadi mulia.

Isi 2: Rakan sebaya juga boleh mempengaruhi perkembangan peribadi remaja.
- Lumrah remaja untuk berkawan.
- memilih rakan yang boleh dipercayai.
- berkongsi masalah dan rahsia.
- terikut-ikut akan perlakuan rakan.
- jika rakan baik peribadi remaja juga akan baik.
- jika terpilih rakan yang negatif, mereka akan membentuk peribadi yang negatif.
- ibu bapa perlu peka akan perubahan pada anak- anak.
- sayangkan anak, tangan-tangankan perlu tahu latar belakang anak-anak mereka.

Isi 3 : Masyarakat
- masyarakat positif dapat membentuk semangat perpaduan, saling menghormati,
- perlakuan masyarakat akan dilihat dan diperhatikan oleh remaja.
- jika setiap ahli masyarakat saling bertolak-ansur dan menunjukkan sikap toleransi,remajaakan meniru
dan mengamalkannya.
- jika sebaliknya, remaja memerhatikan masyarakat sekelilingnya bersikap negatif, maka sikap negatif
itulah yang akan menjadi amalan, seterusnya mempengaruhi peribadi remaja itu dan kehidupannya.



Isi 4: Agama merupakan elemen utama dalam pembentukan peribadi seseorang remaja.
- agama membimbing setiap orang ke jalan yang benar.
- agama memandu insan pada batasan kebenaran.
- remaja yang terdidik dengan asuhan agama yang kukuh akan memperlihatkan peribadi murni yang
selaras dengan ajaran agama.
- ketika ini, kita lihat banyak remaja yang runtuh akhlak dan peribadi disebabkan mereka telah
menyimpang jauh daripada ajaran agama masing-masing.

Isi 5: Media massa
- Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri membuat pernyataan menyelar rancangan
realiti tv yang berunsur negatif dan pernyataan beliau adalah sesuatu yang berasas.
- pada zaman ini, media massa begitu berpengaruh dalam kehidupan remaja.
- kajian yang dijalankan mendapati bahawa purata masa menonton tv dalam kalangan remaja negara ini
ialah 40 jam satu minggu.
- masa yang begitu panjang sudah pasti mampu mendatangkan kesan kepada remaja.
- remaja meniru sesuatu yang kebaratan kerana kebanyakan rancangan yang ditonton remaja pada masa
ini lebih menonjolkan budaya yang negatif.

Kesimpulan :
- remaja aset penting negara.
- perlu usaha secara kolektif untuk membentuk remaja yang positif.
- pendedahan pelbagai perkara positif perlu sejak kecil- melentur buluh biar dari rebung.
- asuhan yang betul hendaklah diberikan kepada mereka.
- mereka akan dewasa sebagai pemuda dan pemudi harapan bangsa dan negara.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:42 AM No comments:
Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan - Ciri-ciri generasi yang berwawasan


Gambar dibawah ini menunjukkan sebahagian daripada ciri generasi yang berwawasan. Huraikan
pendapat anda tentang ciri-ciri generasi yang berwawasan. Panjang huraian anda hendaklah antara 200
hingga 250 patah perkataan

Bersemangat patriotik
Berusaha membina ilmu
Pantang berputus asa
Inovatif

Remaja merupakan aset negara. Remaja juga pelapis pemimpin pada masa hadapan.
Kepentingan mereka kepada negara tidak dinafikan lagi, apatah lagi dalam usaha kita untuk melangkah
ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri remaja yang
berwawasan untuk menyahut Wawasan 2020?
Ciri pertama dan paling penting adalah mempunyai semangat patriotik. Sebagai warganegara
Malaysia yang sejati, remaja harus menyayangi negara ini dengan sepenuh hati tanpa sebarang
prasangka. Cara yang boleh dilakukan untuk membuktikan kecintaan terhadap negara dengan mematuhi
undang-undang. Di samping itu, para remaja hendaklah sentiasa mendahulukan kepentingan negara
dalam apa-apa tindakan. Remaja perlu memahami kandungan Rukun Negara sebagai teras. Penglibatan
remaja dalam Program Latihan Khidmat Negara misalnya, merupakan contoh terbaik untuk menanam
perasaan cinta akan negara dalam kalangan remaja Malaysia.
Remaja juga perlu berusaha untuk menuntut ilmu setiap masa. Pelbagai cara boleh dilakukan
untuk menuntut ilmu seperti membaca buku, akhbar, dan majalah, malayari Internet, melalui pengalaman
sendiri dan orang lain, dan sebagainya. Selain belajar untuk memperoleh kecemerlangan akademik,
remaja boleh meningkatkan kemahiran diri mereka dalam apa-apa bidang yang diminati dengan ilmu
yang ada. Yang penting, ilmu yang diterima itu akan menjadikan remaja mampu memberikan sumbangan
kepada negara sama ada kecil atau besar. Ilmu dimiliki itu pula seharusnya dimanfaatkan bersama-sama
orang lain. Sebagai contoh, remaja yang mempunyai pengetahuan tentang masakan, seharusnya
menyebarluaskan ilmunya kepada orang lain.
Remaja yang berwawasan juga pantang berputus asa. Semasa melakukan aktiviti atau ketika
menuntut ilmu tidak dapat dinafikan akan wujud halangan tertentu seperti sukar mempelajari sesuatu
perkara, masalah kewangan, kurang dorongan, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, halangan
demikian sepatutnya tidak akan melemahkan semangat remaja, sebaliknya perlu diharungi dengan tabah
supaya memperoleh kejayaan, bak peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,bersakit-
sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Selain itu, remaja perlu inovatif. Remaja yang berwawasan seharusnya sanggup mempelajari dan
menguasai pelbagai cabang ilmu, terutamanya ilmu dari negara-negara maju seperti Amerika, Jepun,
dan Korea, khususnya penyelidikan dan pengembangan. Ilmu yang dikuasai itu haruslah dapat
dikembangkan dalam acuan Malaysia supaya dapat digunakan dalam membangunkan model insan.
Jepun dan Korea misalnya, mengambil teknologi dari negara Barat tetapi mereka mengadaptasi teknologi
tersebut mengikut acuan persekitaran mereka sehingga produk yang dihasilkan beridentiti mereka dan
lebih canggih. Jika remaja kita boleh berbuat demikian, maka tidak hairanlah pemenang Hadiah Nobel
akan menjadi milik warga Malaysia suatu hari nanti.
Kesimpulannya, remaja yang berwawasan haruslah dibentuk oleh semua pihak mulai sekarang
agar mereka dapat menjadi warga Malaysia yang berkualiti dan unggul. Remaja sendiri perlu mempunyai
kekuatan diri untuk melakukan perubahan, bukannya menunggu orang lain untuk mengubahnya.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:41 AM 1 comment:
PEMBENTUKAN MODAL INSAN YANG BERKUALITI

Modal insan yang juga dikenali sebagai pembangunan sumber manusia merupakan antara agenda utama
dalam perealisasian Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) . RMK-9 yang dilancarkan oleh Perdana
Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi fokus kepada unsur ini memandangkan manusia
itu sendiri akan berperanan dengan begitu ketara pembangunan justeru mampu membawa Malaysia
menjadi sebuah negara maju. Konsep pembangunan modal insan ini adalah proses untuk membentuk
insan yang baik, kamil dan berguna, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat,
agama dan negara.


Modal insan ini berperanan dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi atau unit. Modal insan ini
juga membantu mencorakkan hala tuju negara ke arah Wawasan 2020 yang disasarkan bermula dari era
mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Modal insan ini disifatkan seperti tiang utama
yang menguatkan dan membentuk sesebuah bangunan. Jika bahan yang digunakan untuk membuat
tiang itu tidak berkualiti, pasti bangunan tersebut juga akan mudah rosak atau roboh. Begitu juga bagi
sesebuah organisasi dan negara. Tanpa sumber manusia atau modal insan yang berkualiti, sesebuah
negara akan menjadi lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif
baru dalam sosioekonominya.

Pembentukan modal insan masa ini jelas cuba dijelmakan melalui konsep Islam Hadhari yang dibawa
oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menerusi gagasan Islam Hadhari,
sumber manusia ini akan melalui satu pakej pendidikan yang menyeluruh, yang turut merangkumi aspek
kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan adalah insan yang berkualiti dan dinamik. Di sinilah
letaknya peranan penting institusi pendidikan terutama yang melibatkan generasi muda seperti MRSM.
Modul tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah agar para pelajar menghayati konsep hadharah
dalam Islam ini. Hal ini demikian kerana daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras
dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak bergantung kepada kemampuan,
kemandirian dan jati diri rakyatnya. Oleh itu, jika setiap rakyat di negara ini mempunyai kualiti
manusia unggul seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia. pasti akan mudah dan lancarlah proses
untuk mencapai kejayaan dan segala bidang kehidupan.

Penghasilan modal insan yang dinamik dan progresif memerlukan proses pengisian minda dengan ilmu
pengetahuan. Modal insan yang berilmu akan menjadi rebutan organisasi atau pihak-pihak tertentu
kerana merupakan aset berharga. Golongan yang berilmu bijak untuk mengurus sumber atau aset
organisasi dalam bentuk yang terkawal. Jka mereka menggunakan bahan daripada sumber alam,
mereka tidakakan melakukan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan sebagainya.
Jika sumber manusia berilmu itu melakukan sesuatu tugasan, maka mereka akan melakukan dengna
rasa penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi.Saya berharap agar rakan-rakan seperjuangan saya
dan adik-adik saya yang berada di maktab ini akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan
oleh MARA demi kegemilangan bersama justeru membekalkan modal insan yang boleh dibanggakan.
Selain itu, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik atau menjadi suri teladan untuk
mencetuskan sikap dan diri yang mempunyai ciri keperibadian yang mulia.

Saya merumuskan bahawa agenda pembangunan modal insan ini perlu diutamakan dalam proses
pembangunan negara kita kerana menjadi pemangkin yang bakal mencorakkan tahap ketamadunan
bangsa kita. Kita perlu berfikir dan bertindak secara produktif . Pendidikan merupakan faktor penting
terhadap usaha ini.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:39 AM No comments:
Faktor-faktor yang menentukan kejayaan seseorang pelajar.

Peribahasa berusaha tangga kejayaan perlu dijadikan pegangan sesiapa sahaja yang ingin
mengecapi kejayaan dalam hidup ini. Seseorang pelajar yang ingin berjaya perlu berusaha dengan gigih
bagi merealisasikan impiannya.

Terdapat banyak faktor yang menentukan kejayaan seseorang pelajar. Antaranya ialah sifat
bertanggungjawab, disiplin diri, kebijaksanaan pelajar membahagikan masa, dorongan serta galakan
keluarga, ketenangan emosi dan kekuatan minda seseorang pelajar.

Sifat bertanggungjawab dalam diri seseorang pelajar merupakan faktor yang amat penting bagi
menentukan kejayaannya. Sifat bertanggungjawab ini boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu sebagai
anak dan pelajar. Sebagai seorang anak, seorang remaja perlu menghormati orang tuanya serta tahu
menjaga diri di mana sahaja dia berada sepanjang waktu. Sebagai anak yang bertanggungjawab, dia
pastinya akan sentiasa mahu membahagiakan orang tuanya dan memastikan dia tidak akan menconteng
arang ke muka keluarganya. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab juga, seorang remaja tahu
mengambil hati orang tuanya seperti dengan membantu ibu melakukan kerja-kerja rumah tanpa disuruh
terutama sekali jika ibu bapa keluar bekerja. Pastinya apabila keadaan rumah bersih dan teratur, ibu
bapa yang penat sehari suntuk bekerja mencari nafkah akan berasa tenang dan senang apabila mereka
pulang dari tempat kerja. Kedamaian yang wujud dalam sesebuah keluarga akan membuat pelajar
berasa tenang dan gembira di rumah kerana rumahku, syurgaku.

Seorang pelajar yang bertanggungjawab tahu kewajipannya sebagai seorang pelajar. Dia akan
memberi sepenuh perhatiannya kepada pengajaran guru di kelas dan bertanya jika dia tidak faham. Dia
juga akan mengulangkaji pelajaran secara konsisten. Oleh sebab itu, pelajar yang berjaya sudah
bersedia menghadapi peperiksaan dan tidak akan kelam-kabut atau bersengkang-mata demi
menyiapkan dirinya untuk menduduki peperiksaan. Seorang pelajar yang bertanggungjawab juga dapat
menilai antara sesuatu yang baik dan salah. Dengan demikian, pelajar tersebut dapat menolak
pelawaaan teman-temannya sekiranya mereka mengajaknya melakukan sesuatu yang kurang
berfaedah.

Selain sifat bertanggungjawab, seorang pelajar yang berjaya perlu ada disiplin diri. Disiplin diri
seseorang itu dapat memastikan pelajar tersebut dapat mengatur dan mengimbangi masanya dengan
baik antara pelajaran, kegiatan luar darjah dan beriadah bersama kawan atau keluarga. Dengan disiplin
diri, seseorang pelajar itu berupaya mengelakkan dirinya daripada melakukan pekerjaan yang tidak
berfaedah. Aktiviti yang tidak bermanfaat adalah seperti bersembang di pusat-pusat membeli-belah atau
taman, merokok dan berfoya-foya di kelab-kelab.

Galakan serta dorongan keluarga juga merupakan faktor yang penting dalam melahirkan pelajar
yang cemerlang. Ibu bapa serta ahli keluarga ialah orang yang paling rapat dengan pelajar. Jika
seseorang pelajar mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa, dia akan
berasa selesa di rumah dan dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajaran. Ibu bapa yang prihatin
akan kebajikan serta pelajaran anak-anak mereka juga akan memberikan perhatian serius kepada emosi,
minda serta pemakanan anak-anak mereka.

Pelajar yang berjaya juga tahu menjaga kesihatan mereka dengan menjaga pemakanan serta
beriadah atau bersenam dengan kawan-kawan atau ahli keluarga bagi menenangkan fikiran mereka. Ini
kerana otak yang sihat terletak pada badan yang sihat.

Kejayaan yang dikecapi seseorang pelajar itu pastinya hanya dapat diraih sekiranya pelajar
tersebut berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan
dapat sagunya.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:38 AM No comments:
Cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang

Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan
bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun
demikian, pembangunan kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan
paradigma. Untuk merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu
menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, terutamanya
golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di
negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu
berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J.
Siegel berkata, Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal merancang. Oleh
itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan
insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut
Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu
bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang.
Terlebih dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani
anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri
teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca keranake mana tumpahnya kuah, kalau tidak
ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa melentur buluh biarlah
dari rebung. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk
memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada
mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang
cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar
yang dapat dilakukan. Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah
kecemerlangan akademik.

Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika
tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan
diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan
maksiat bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka
menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka
menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan
yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa,
bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan
kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat
penyayang menjelang wawasan 2020.
Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang
signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan
pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi
dan statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan
negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan
bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan
praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar
mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi
perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada
buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea
yang kreatif dan kritis.

Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan
yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga
kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu
dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal
ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga
kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan.
Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi
penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan
membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi.
Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda
kita.

Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan
pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan
pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama,
berinteraksi dan bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam
situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan
kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas,
persatuan kokurikulum dan pasukan beruniform. Menurut kata-kata mutiara, Anda memerlukan
sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda. Justeru, guru
sebagai penasihat harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan.
Seperti peribahasa, bumi mana tidak ditimpa hujan, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu
diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan
seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah
merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.
Akhirulkalam, bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara,
golongan muda perlu dicanai supaya menjadi modal insan yang cemerlang. Ibu bapa dan guru
memainkan peranan yang terpenting untuk mencapai aspirasi tersebut. Adakah pada tahun 2057, negara
kita telah memiliki saintis yang memperoleh hadiah Nobel? Adakah negara kita akan memiliki usahawan
seperti Bill Gates? Adakah negara kita akan memiliki olahragawan yang akan memiliki pingat emas dalam
Sukan Olimpik? Hasrat tersebut akan tercapai jika masyarakat kita mengalami anjakan paradigma dari
segi pembangunan kerohanian untuk melahirkan model insan yang cemerlang seperti tema Hari
kebangsaan, 1 Malaysia Menjana Transformasi.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:37 AM No comments:
Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.

Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan
kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan
seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu
mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif
perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.


Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialahmempunyai sahsiah dan
peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga
hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-
rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka.
Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan
angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa
mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan
bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah.
Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana
mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar
cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.

Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini
menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun
Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi
landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang
cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang
cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh
mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya
terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu,
jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada
matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial
(JERIS).

Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak
mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan
melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan
beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka
lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting
bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar
yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku
sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui
pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri
mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan
tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam
proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang
cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak
berakhir dengan penyesalan.

Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika
guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi
salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman
mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian
dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai
setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak
memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja
menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam
sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri
mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Paraguru akan berasa senang hati ketika mengajar
seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran,
peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah
bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam
kelas.


Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana
wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka.
Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti
berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam
menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada
diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang
bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga
lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka.
Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah
bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih
gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan
kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata
peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak
akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang
demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.


Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa
aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti
kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk
mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang
diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam
konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat
mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga
haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit
beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang
dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh
hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang
pelajar yang cemerlang dan seimbang.

Intihanya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang
cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak
pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang
cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada
masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata
peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:37 AM 2 comments:
ISU -GENERASI BERWAWASAN

Tugasan - ciri-ciri generasi yang berwawasan
Idea
mempunyai semangat patriotik yang tinggi supaya negara berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan negara-negara lain
mempunyai daya saing yang tinggi supaya tidak ketinggalan dengan bangsa-bangsa yang lain
mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang selaras dengan era globalisasi
mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa
mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan
patuh pada undang-undang negara supaya tidak terlibat dalam perkara negatif
mempunyai idea yang kritis, kreatif dan inovasi dalam mereka cipta sesuatu
mempunyai keinginan untuk belajar sepanjang hayat supaya ilmu sentiasa bertambah
mempunyai minda yang terbuka iaitu bersedia untuk menerima teguran orang lain
sentiasa dinamik dan progresif dalam melakukan sesuatu tugas yang diamanahkan
sanggup menghadapi cabaran tanpa mengenal erti putus asa
berani melakukan perubahan dari segi sikap agar tidak bersifat jumud
mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang
mempunyai asas agama yang kukuh dalam diri
mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:36 AM No comments:
CIRI-CIRI GENERASI BERWAWASAN

Pujangga pernah mengatakan generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara sememangnya
kata-kata ini tidak dapat disangkal lagi. Apakah maksud di sebalik frasa generasi berwawasan itu?
Generasi bermaksud pewaris masyarakat yang bakal memimpin negara untuk menstabilkan politik,
memantapkan ekonomi dan mencapai kejayaan sosial. Wawasan pula dapat kita takrifkan sebagai suatu
matlamat untuk mencapai cita-cita ngara pada tahun 2020. Manakala jika kita gabungkan kedua-dua
perkataan tersebut, generasi berwawasan dapat kita definisikan sebagai golongan muda masa kini yang
akan menerajui negara pada masa akan datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan kewibawaan yang
lengkap serta mantap demi mencapai misi dan visi Negara untuk menjadi Negara maju selaras dengan
sasaran dalam Wawasan 2020. Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam
kalangan masyarakat kita saban hari pantas meniti dari bibir ke bibir. Isu generasi berwawasan menjadi
amat penting untuk diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya. Hal ini kerana, generasi berwawasan
merupakan generasi pelapis pemimpin masa hadapan.

Sebenarnya kelompok generasi berwawasan ini mempunyai banyak kepentingannya dalam kehidupan
seharian kita. Antaranya, negara tidak akan mundur dengan adanya generasi yang berwawasan, mereka
akan dapat memimpin negara dengan lebih kreatif dan optimis. Generasi ini akan dapat mengatasi segala
masalah negara dengan lebih bijak. Selain itu, pembangunan negara juga akan menjadi lebih pesat.
Generasi berwawasan ini dapat menjamin masa depan negara yang baik dan meningkatkan lagi ekonomi
negara. Negara juga dapat berkembang maju dan nama negara juga dapat diperkenalkan di persada dunia.
Akan tetapi,dewasa ini, jika kita menyoroti isu-isu semasa, terdapat pelbagai halangan untuk melahirkan
generasi berwawasan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya generasi kini kurang
kawalan dan limpahan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal ini kerana, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk
mengejar kemewahan sehingga sanggup mengabaikan anak sendiri. Di samping itu, pemikiran generasi
kini masih belum matang dan mereka sentiasa mahu melakukan sesuatu tindakan secara terburu-buru
sehingga sanggup menjebakkan diri dalam kancah masalah sosial. Oleh yang demikian, semua pihak
perlu melangkah sederap untuk membina satu kelompok generasi muda yang berkualiti demi
merelisasikan misi nasional negara iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Oleh sebab hasrat murni kerajaan perlu dicapai sebaik sahaja kaki melangkah ke tahun 2020, maka
remaja sendiri perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ciri dan sifat mahmudah untuk mencapai misi
negara itu seiring dengan panduan dan tunjuk ajar daripada golongan dewasa. Untuk itu,generasi kita
perlulah berpengetahuan luas dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Sebagai
contoh, mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai aspek, seperti
ekonomi,politik dan sosial. Hal ini penting kerana apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan
yang mencakupi semua bidang, mereka akan dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dan
rasional. Golongan ini juga perlulah menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu
pengetahuan ,bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Ilmu yang diperoleh
hendaklah dipraktikkan supaya tidak menjadi sia-sia sahaja. Rentetan itu, generasi muda juga hendaklah
berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat bersaing secara sihat antara satu sama lain. Hal ini
merupakan satu amalan yang baik kerana selain dapat meningkatkan mutu prestasi kerja
individu,amalan ini juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia walaupun berlainan kaum.
Selain itu, bagi merealisasikan impian negara, generasi muda sekarang perlulah mempunyai sifat
keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat
menerima teguran dan pandangan orang lain.

Dalam nada yang serupa, generasi yang berwawasan turut memberi kesan kepada negara kita. Kesan yang
menjadi pokok kepada persoalan di sini ialah generasi berwawasan dapat menjamin kestabilan politik.
Mereka merupakan pendukung sistem demokrasi berpelembagaan di Malaysia dan bertanggungjawab
untuk mencapai kestabilan politik melalui pilihan raya. Direnung dari aspek yang lain, generasi
berwawasan akan menerajui tampuk kepimpinan negara untuk mencapai mercu kejayaan. Jika kita
menyingkap dari aspek ekonomi pula, generasi yang berwawasan dapat memantapkan ekonomi negara.
Mereka juga memikul tanggungjawab dan mempunyai matlamat untuk membangunkan ekonomi negara
supaya Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Seterusnya, generasi berwawasan juga dapat mencapai kejayaan sosial iaitu kesejahteraan sosial.
Generasi berwawasan akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau dengan kata lain
mencapai integrasi nasional. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi dan bertolak ansur demi
mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni satu
bangsa, satu bahasa dan satu negara. Kita perlu mengetahui, jika kita tidak mempunyai generasi yang
berwawasan, sudah pasti negara kita akan mundur dan porak peranda. Pelbagai masalah akan timbul dan
masyarakat juga akan berpecah belah. Maka, kita semua perlulah bersatu hati demi mewujudkan generasi
yang mempunyai wawasan untuk dijadikan pedoman hidup.

Kesimpulannya, generasi berwawasan sememangnya memberikan pelbagai maslahat kepada kita. Kita
boleh menjadi generasi berwawasan jika kita sentiasa berfikiran kehadapan. Generasi muda terutamanya
golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri ,bak kata pepatah sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Mereka merupakan tonggak negara yang bakal
menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan. Maka adalah menjadi suatu kewajipan bagi
generasi muda untuk menyiapkan diri dengan kemahiran dan skil-skil yang kontemporari
agar Malaysia dapat terus bersaing dengan yang lain. Akhirul kalam, generasi berwawasan sememangnya
merupakan tonggak pembangunan negara, maka kita semua perlulah berusaha untuk menjadi generasi
yang berwawasan demi menyerbakkan keharuman nama negara kita di persada antarabangsa.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:35 AM No comments:
PELESTARIAN / PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

FOKUS: SEBAB / KEPENTINGAN / KEMASLAHATAN
[Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah
bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. [Ayat Hurain] Jika ditinjau secara
umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium,
pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. [Ayat Huraian]Sejak UNESCO
mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah
kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah.[Ayat Arahan] Persoalannya, apakah
kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

[Ayat Judul]Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak
ternilai. [Ayat Huraian]Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat
menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. [Ayat Contoh]Misalnya,
pembinaan kota A Famosa (bermaksud Yang Termasyhur dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso
de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap
penjajah. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai
patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

[Ayat Judul]Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang
begitu unik. [Ayat Huraian]Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-
binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. [Ayat
Contoh]Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih
kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai
Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya.[Ayat Penyimpul] Pendek kata, seni
bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan
seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.
[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan
industri pelancongan negara kita. [Ayat Huraian]Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan
bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan
pelancong. [Ayat Contoh]Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman
kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta
de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul.[Ayat Penyimpul]Pendek kata,
bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
[Ayat Kesimpulan]Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting
dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. [Ayat Cadangan]Bangunan dan monumen yang
bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. [Ayat
Penilaian]Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka
akan perkembangan sejarah negara. [Ayat Penilaian]Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-
bangunan bersejarah dikorbankan demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup
warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:34 AM 1 comment:
KEPENTINGAN BANGUNAN BERSEJARAH

Kepentingan bangunan bersejarah di negara ini mula dilupakan kerana banyak bangunan ini telah
dirobohkan untuk membina bangunan baru.Huraikan.

Bangunan bersejarah sememangnya begitu banyak di negara ini terutama di Melaka dan Pulau Pinang
tetapi malangnya dek kerakusan ekonomi semakin banyak bangunan ini yang sudah tidak lagi mampu
berdiri sendirinya. Ada yang berpendapat bangunan ini harus dikekalkan kerana mempunyai banyak
impak yang positif terutama kepada kehidupan masyarakat tetapi ada juga yang menolaknya.

Pihak media massa turut serta dalam diskusi hebat untuk menentukan sama ada pembangunan lebih
penting atau pengekalan warisan yang maha penting. Sesungguhnya, ada banyak perkara baik yang
boleh terhasil menerusi pengekalan bangunan bersejarah ini.Impak yang paling baik pengekalan
bangunan sebegini sudah pasti daripada aspek pelancongan. Industri pelancongan akan menjadi lebih
besar kerana masyarakat asing memang suka melihat kesan-kesan sejarah sebegini. Bangunan ini juga
memerlukan kos yang tinggi kerana tidak perlu dibina tetapi hanya dikekalkan sahaja kerana sudah
lama dibina oleh penjajah atau penduduk di negara ini. Jadi, kalau bangunan lama dan bersejarah ini
dikekalkan sektor pelancongan negara akan menerima kesan yang paling ketara.

Lantaran itu peluang pekerjaan turut berupaya diwujudkan akibat kehadiran pelancong ini. Bukan
sahaja kerja yang berkait terus dengan industri ini seperti pemandu bas pelancong tetapi juga kerja
sampingan seperti kedai makan, hotel dan pengangkutan awam serta kedai kraf tangan akan menerima
tempias kedatangan pelancong asing ini. Masyarakat di negara ini tidak akan berasa bimbang
kehilangan kerja kerana mereka mudah untuk memperoleh kerja yang lain pula. Oleh itu, pengekalan
bangunan bersejarah mampu memastikan semua penduduk di negara ini memiliki pekerjaan.

Tambahan pula, nilai atau perasaan cinta akan negara sudah pasti berkembang dengan baik dalam
naluri penduduk terutama remaja di negara ini. Perasaan ini wujud kerana bangunan bersejarah
mempunyai kaitan dengan peristiwa penting yang berlaku di negara kita. Kewujudan bangunan ini
sepanjang zaman memastikan rakyat terus mengingati kepentingan peristiwa sejarah itu kepada
pembangunan negara.

Jelaslah, negara akan memiliki rakyat yang tinggi perasaan nasionalismenya.Begitu juga dengan imej
negara terus tersohor pada mata masyarakat dunia kerana memiliki sikap menghargai peninggalan
sejarah. Masyarakat yang menjaga bangunan bersejarah akan dianggap bangsa yang menghargai budaya
dan sumbangan pemimpin lamanya. Sikap ini sudah pasti akan menimbulkan satu kesan positif dalam
setiap pandangan masyarakat terhadap negara kita. Jadi, kita bukan sahaja menerima kesan ekonomi
tetapi imej kita sebagai bangsa yang menghargai budaya turut diketahui umum.

Kesimpulannya, penjagaan bangunan lama harus dilakukan demi negara kita yang tercinta ini. Semua
pihak tanpa mengira umur dan keturunan harus ada tanggung jawab menjaga bangunan sebegini. Kita
tidak harus mengutamakan kemodenan sahaja kerana tanpa sejarah tiadalah kemodenan yang kita
kecapi kini. Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas membuktikan betapa bangunan bersejarah ini
penting buat kita.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:33 AM No comments:
KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan namaMalaysia yang
kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-
belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-
hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen
mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat
keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga
negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya,Jakarta. Mengapakah
ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah
selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah
yang terdapat di negara kita.

Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau
monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah
yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan
yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai
kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda
dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu,
bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana
dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah
dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-
cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka
pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja
Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja
St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang
pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal
pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha
meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.

Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah
tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan
iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang
semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam
negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil
pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa
mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A
Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis
setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana
terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal
Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain
sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu,
bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik
pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita.
Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain
menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan
sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk
dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara
biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar
bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian
besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai
pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong
juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar
bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium
dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu
industri pelancongan negara.

Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam
pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari
dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya
bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai
Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala
Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan
tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi
kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah
Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah
dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina
sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan
dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni tak kenal maka tak
cinta. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara
terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang
bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan
terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan
sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan
atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan
bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana
pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan
undang-undang.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:32 AM No comments:
ISU - BANGUNAN BERSEJARAH DI MALAYSIA

Tugasan - usaha-usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di Malaysia

Idea
kerajaan perlu mendapatkan lebih banyak pengiktirafan daripada badan dunia untuk
mewartakan bangunan-bangunan bersejarah sebagai Warisan Dunia
kerajaan perlu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah walaupun tempat tersebut
mempunyai nilai komersial untuk pembangunan
kerajaan perlu mengekalkan tajuk mengenai bangunan-bangunan bersejarah diMalaysia dalam
buku teks untuk menjadi rujukan kepada murid-murid sekolah
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan perlu menjaga struktur binaan
bangunan-bangunan bersejarah supaya keunikan seni binaannya dapat dikekalkan
Kementerian Pelancongan perlu memasukkan lebih banyak bangunan bersejarah dalam pakej
pelancongan untuk dipromosikan kepada masyarakat antarabangsa
kerajaan perlu mengadakan pelbagai program untuk memelihara dan memulihara bangunan-
bangunan bersejarah di Malaysia kepada masyarakat
kerajaan perlu menyediakan dana yang besar untuk mengekalkan bangunan-bangunan
bersejarah di Malaysia
pihak sekolah perlu melukis bangunan-bangunan bersejarah di dinding sekolah untuk memupuk
perasaan sayang dan bangga akan bangunan bersejarah dalam kalangan murid-murid
pihak sekolah perlu mengadakan pertandingan menulis esei mengenai usaha-usaha menjaga
bangunan bersejarah kepada murid-murid sempena menyambut bulan kemerdekaan negara di peringkat
sekolah
kelab dan persatuan di sekolah perlu merancang program lawatan ke tempat-tempat bersejarah
yang terdapat di negara kita untuk memberi peluang kepada murid-murid mengenali bangunan-
bangunan bersejarah dengan lebih dekat
ibu bapa perlu membawa anak-anak semasa musim cuti sekolah ke tempat-tempat yang menarik
termasuk melawat bangunan bersejarah agar anak-anak dapat melihat keunikan binaannya seterusnya
mampu memupuk semangat patriotik dalam diri mereka
ibu bapa perlu menceritakan sejarah mengenai bangunan-bangunan bersejarah kepada anak-
anak supaya anak-anak dapat menghargainya
media massa sama ada media cetak dan media elektronik perlu membuat dokumentari mengenai
bangunan-bangunan bersejarah sebagai tatapan generasi akan datang
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:31 AM No comments:
Sampel Karangan Cemerlang

Contoh 1

Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius oleh pihak yang berkenaan
kerana bangunan tersebut mempunyai nilai kebudayaan dan keseniaannya yang tersendiri. Selain itu,
bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan sejarah penting negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

Di Malaysia, banyak bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik perhatian para
pelancong tempatan mahupun pelawat dari negara luar. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu
dikekalkan supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas untuk menjadi tatapan generasi yang akan
datang. Antara bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa
dan Bangunan Stadhuys di Melaka, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, serta Kota Belanda
di Pulau Pangkor, Perak. Pengekalan bangunan bersejarah sememangnya penting untuk negara kita.
Antara faktor bangunan bersejarah di negara ini wajar dikekalkan adalah kerana bangunan
tersebut mempunyai nilai kesenian dan estetika. Seni bina bangunan-bangunan ini halus dan
bercorakkan budaya bangsa, contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu Kutai di Perak yang
cantik dan harmoni. Secara tidak langsung, pelawat dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina
negara kita pada zaman dahulu. Ukiran pada dinding batu dan kayu di dalam bangunan bersejarah ini
pula memaparkan corak budaya masa silam. Hal itu membolehkan pelawat menghayati keistimewaan
budaya kita.
Selain itu, pengekalan bangunan bersejarah negara membolehkan pelawat yang mengunjungi
bangunan tersebut mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau. Lawatan ke
sesebuah bangunan bersejarah membolehkan pelawat menyaksikan kesan tinggalan sejarah dan
mengetahui peristiwa bersejarah yang berlaku di tempat itu. Kunjungan ke Kota A Famosa misalnya,
membolehkan para pelancong membayangkan peperangan dan pertumpahan darah ketika rakyat
Melaka menentang Portugis. Bagi murid-murid pula, kunjungan ke tempat itu menarik minat mereka
terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya, cara pembelajaran seperti ini amat berkesan.
Di samping itu, pengekalan bangunan-bangunan bersejarah wajar dilaksanakan kerana
mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Kunjungan pelancong tempatan mahupun pelancong asing ke Kota
Cornwallis di Pulau Pinang dan bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur misalnya, dapat
membantu perkembangan industri pelancongan melalui pengaliran wang asing masuk ke negara ini. Hal
ini seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negara.
Lawatan ke bangunan-bangunan bersejarah juga memberi pengajaran kepada para pelancong.
Contohnya, pelancong tempatan yang melawat Bangunan Abdul Samad di ibu negara akan menyedari
pahit maung yang dialami oleh rakyat sewaktu berjuang menentang penubuhan Malayan Union dan
menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan mereka lebih menghargai keamanan dan kebebasan
yang dinikmati selama ini. Selain itu, mereka akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan
berulang dan seterusnya dapat memupuk patriotisme dalam diri mereka.
Tuntasnya, dapat disimpulkan bahawa bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian
daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara ini
haruslah dikekalkan dan diharapkan agar usaha-usaha untuk memulihara bangunan bersejarah akan
dilaksanakan secara berterusan untuk penghayatan dan kepentingan generasi akan datang.
Dicatat oleh Cikgu Hasanah di 4:30 AM No comments:
Kenaikan harga minyak

Soalan:
Kenaikan harga minyak telah menjejaskan ekonomi dan pembangunan negara-negara di seluruh dunia.
Berikan pendapat anda.
Pendahuluan
- Kenaikan harga minyak saat ini berpotensi menurunkan pertumbuhan ekonomi negara.
- Banyak implikasinya terhadap pembangunan negara dan menjejaskan ekonomi.
- Boleh menyebabkan negara menghadapi pelbagai masalah untuk menghadapi krisis kenaikan harga
minyak yang mendadak.
Isi Pertama
AT : Kenaikan harga barang.
AH :- Kenaikan harga minyak member impak kepada kenaikan harga barang yang mendadak.
- Harga barang dipengaruhi oleh harga minyak kerana dalam proses pembuatan barang perlu
menggunakan minyak sebagai sumber utama.
AC :- Dalam proses pembuatan plastik atau nilon, minyak digunakan untuk menghasilkan bahan
tersebut.
- Kenaikan harga minyak menyebabkan kos pengeluaran barang akan meningkat.
AP :- Ternyatalah di sini bahawa kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang
juga naik seterusnya menjejaskan ekonomi dan pembangunan negara.
Isi Kedua
AT : Berlaku inflasi barangan
AH :- Kenaikan harga minyak dunia akan berisiko terjadi penurunan konsumsi swasta sejalan
dengan pengaruh penurunan daya beli akibat kenaikan inflasi dan impak langsung kenaikan harga barang
import.
- Penurunan permintaan domestik yang cukup kuat dan mempengaruhi penurunan pertumbuhan
ekonomi.
- Peningkatan risiko inflasi didorong kenaikan harga barang import terkait kenaikan harga minyak.
AC :- Hasil kajian menunjukkan dalam simulasi pengaruh minyak terhadap inflasi, jika rata-rata
harga minyak 60 Dolar per barel akan terjadi inflasi sebanyak 6.1 peratus
AP :- Oleh hal yang demikian, jelaslah disini bahawa kenaikan harga minyak mendorong berlakunya
inflasi.
UM :
Isi Ketiga
AT : Negara terpaksa menanggung beban subsidi minyak yang tinggi.
AH :- Untuk memberi manfaat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
- Subsidi minyak yang tinggi boleh membantutkan ekonomi dan pembangunan negara kerana kerajaan
perlu menyalurkan dana yang banyak semata-mata untuk menanggung subsidi minyak sejajar dengan
kenaikan harga minyak.
AC :- Kajian oleh Kementerian kewangan, pada tahun 2007 sahaja kerajaan terpaksa menanggung
subsidi minyak menjangkau lebih RM33 billion.
- Perbelanjaan subsidi minyak itu boleh disalurkan kepada pembangunan negara jika harga minyak tidak
naik dengan mendadak.
AP :- Sudah terang lagi bersuluh kenaikan harga minyak member kesan negatif kepada pertumbuhan
negara kerana kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak yang tinggi.
Isi Keempat
AT : Perbelanjaan negara meningkat untuk mengimport dan mengeksport barangan.
AH :- Mengeksport dan mengimport barangan menggunakan kenderaan untuk mengangkatnya.
- Kenderaan memerlukan minyak. Apabila harga minyak meningkat negara terpaksa mengeluarkan
perbelanjaan lebih semata-mata untuk menampung kos penghantaran dan penerimaan barangan.
AC :- Negara mengeksport bertan-tan sayur dan buahbuahan tempatan ke luar negara. Kira-kira
RM 1 juta digunakan hanya untuk menampung kos perbelanjaan minyak mengeksport sayur dan buah-
buahan tersebut.
AP : - Jelaslah di sini bahawa kenaikan harga minyak menyebabkan perbelanjaan negara meningkat
untuk mengimport dan mengeksport barangan.
Isi Kelima
AT : Negara terpaksa memberikan fokus untuk mengatasi masalah kenaikan harga minyak.
AH :- Segala hasil ekonomi kerajaan digunakan untuk mengatasi masalah kenaikan harga minyak.
- Pembangunan negara terpaksa ditangguhkan atau dengan kata lain diabaikan kerana perlu memikirkan
tentang krisis kenaikan harga minyak.
- Pembangunan negara terjejas akibat kenaikan harga minyak.
Penutup
- Kesimpulannya, jelaslah bahawa kenaikan harga minyak boleh menjejaskan ekonomi dan
pembangunan negara melalui pelbagai aspek.
- Oleh yang demikian, semua pihak perlu bersedia untuk menghadapi krisis kenaikan harga minyak yang
kian meruncing.
- Sediakan payung sebelum hujan.

Anda mungkin juga menyukai