Anda di halaman 1dari 4

KEPENTINGAN MASYARAKAT PENYAYANG

Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan
gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang
yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal
yang dianugerahkan oleh Tuhan. Memandangkan dunia sekarang yang semakin penuh
pancaroba dan aral melintang, maka masyarakat penyayang inilah yang menjadi tulang
belakang negara ke arah merealisasikan visi kudsi yang semakin mendatang kira-kira 11 tahun
lagi dari sekarang iaitu wawasan 2020. Lantaran itu, kerajaan telah menggariskan salah satu
matlamat dan cabaran wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat penyayang bagi
mewujudkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari pelbagai aspek.
Persoalannya, apakah kepentingan masyarakat penyayang kepada masyarakat kita dari
dahulu, kini dan selamanya? Persoalan inilah yang perlu dirungkai supaya masing-masing
membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara
kita.

Pembentukan masyarakat yang penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan


masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum, masyarakat penyayang
menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang
antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam
dalam naluri dan sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan
berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya
memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana rakyat masing-masing memupuk nilai
penyayang. Begitu juga halnya ketika rakan-rakan atau saudara-mara yang mendapat musibah,
kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka
kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Melalui nilai
murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur
dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk
melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana
dengan jayanya.

Selain itu, masyarakat penyayang mampu merobah paradigma masyarakat yang bersikap bagai
enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita lihat pada masa ini, kebanyakan
warga kita sibuk mengejar kemewahan duniawi kerana bagi mereka hidup yang singkat ini perlu
diisi dengan kemewahan. Mereka bekerja siang malam tanpa memikirkan peri pentingnya
masyarakat penyayang kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Golongan inilah yang
akan membantutkan usaha murni kerajaan ke arah mewujudkan masyakat penyayang secara
bersepadu dan menyeluruh. Sebenarnya, melalui masyarakat penyayang kita akan lebih
bersikap prihatin dan rasional tentang apa-apa yang berlaku dalam negara mahupun di luar
negara. Sebagai tamsilnya, bencana alam yang dahsyat yang berlaku di beberapa buah tempat
baru-baru ini seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, tsunami di Samoa, dan ribut taufan di
Filipina memerlukan belas kasihan daripada rakyat negara kita untuk membantu kerana berat
mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Secara implisit, masyarakat penyayang akan
mengamalkan sikap saling menolong kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang
menerima.
Di samping itu, masyarakat penyayang mampu membawa perubahan ekonomi negara dan
melonjakkan nama Malaysia di persada dunia. Sebenarnya, masyarakat sebegini mampu
menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita yang akan membawa pulangan
berbilion-bilion ringgit kepada nusa yang tercinta ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya diseru
agar bersama-sama menunjukkan nilai kasih sayang supaya pelancong berduyun-duyun
datang ke negara kita. Segala perkara negatif seperti keganasan, penderaan, dan sikap hidung
tinggi perlulah dibuang jauh-jauh. Hakikatnya pelancong-pelancong dari negara atas angin dan
bawah angin akan datang ke negara kita untuk melihat panorama indah yang unik di samping
melihat rakyatnya yang penyayang. Misalnya, kedatangan pelancong perlu diraikan dengan
nilai kasih sayang daripada setiap ahli masyarakat terutamanya pekerja yang terlibat secara
langsung menguruskan hal ehwal mereka. Dengan ini, masyarakat penyayang telah membawa
Malaysia ke landasan yang betul dengan memberi keuntungan kepada negara dan kita mampu
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara membangun malah negara
maju yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan masyarakat penyayang akan mewujudkan sebuah
keluarga yang harmoni seperti yang diidam-idamkan oleh setiap keluarga. Ikatan silaturahim
bertambah erat apabila ahli keluarga memainkan peranan terutamanya ibu bapa menjadi suri
teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih
dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Lagipun ibu bapa berperanan untuk mendidik
anak-anak sejak kecil ibarat melentur buluh biarlah ketika rebung supaya anak-anak akan
mengamalkan nilai kasih sayang kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Contohnya,
amalan gotong-royong dalam sesebuah keluarga, ibu bapa meluangkan masa untuk menemani
anak-anak mengulang kaji pelajaran, bermain bersama-sama anak-anak dan sebagainya dapat
mempererat hubungan mesra antara ibu bapa dengan anak-anak. Situasi ini mengelakkan
keluarga daripada bercerai-berai, porak-peranda, bergaduh kerana semua ahli keluarga
mengamalkan sikap penyayang. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang membawa
perubahan yang drastik terhadap keluarga kerana keluarga bahagia, negara sejahtera..
Kesimpulannya, masyarakat penyayang banyak memberi manfaat kepada diri, keluarga,
masyarakat, dan negara. Usaha mewujudkan masyarakat penyayang dalam negara kita yang
terdiri daripada pelbagai ras, budaya, dan agama ini memerlukan kerjasama yang jitu daripada
semua pihak kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pembentukan masyarakat
penyayang perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya hanya hangat-hangat
tahi ayam sahaja. Usaha ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat kerana kerbau
dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Dengan ini, saya mencadangkan
supaya kita perlu menggembleng tenaga untuk meningkatkan usaha ke arah masyarakat
penyayang bagi mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai