Anda di halaman 1dari 1

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita.

Jiran sangat penting kerana mereka menjadi


sahabat dan orang yang rapat dengan kita. Mereka akan membantu kita apabila kita menghadapi
kesusahan. Oleh itu, jiran sepakat membawa berkat perlu diamalkan oleh masyarakat hari ini.

Jiran penting untuk memupuk hubungan baik antara jiran. Hubungan baik dapat dipupuk melalui
aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti ini, mereka dapat berkenalan dan bertanya khabar antara
satu sama lain. Kesannya, hubungan sesama jiran semakin erat. Kerjasama yang erat ini bertepatan
dengan peribahasa seperti aur dengan tebing. Jelaslah, kerjasama penting untuk memupuk
hubungan yang baik antara jiran.

Selain itu, jiran juga dapat memupuk nilai kerjasama sesama jiran. Nilai kerjasama ini penting untuk
melahirkan masyarakat yang sepakat. Setiap individu akan membantu jiran mereka semasa
mengadakan majlis seperti kenduri-kendara. Aktiviti akan menjadi mudah kerana muafakat
membawa berkat. Oleh itu, nilai kerjasama penting dalam amalan kejiranan.

Di samping itu, jiran yang baik akan membantu orang lain yang menghadapi kesusahan. Mereka akan
menziarahi jiran yang sakit. Mereka juga akan memberi bantuan wang ringgit untuk meringankan
beban jiran. Mereka dapat menyelesaikan banyak masalah. Sesungguhnya, amalan baik ini seperti
kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Seterusnya, jiran juga dapat menjamin keselamatan masyarakat. Jiran akan bersama-sama menjaga
kawasan kediaman daripada kejadian pecah rumah. Mereka boleh membuat rondaan pada waktu
malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Selain itu, mereka akan melaporkan kejadian
tersebut kepada pihak polis. Jelaslah, jiran dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat.

Akhirnya, jiran dapat mengenali adat dan budaya kaum yang lain. Pada musim perayaan, kita dapat
mengenali pakaian tradisional kaum yang lain seperti sari, baju kurung dan lain-lain. Mereka juga
boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisi. Selain itu, adat resam sesuatu kaum dapat
diketahui oleh jiran yang berlainan kaum. Oleh itu, kita perlu mengenali adat dan budaya jiran.

Kesimpulannya, jiran sepakat membawa berkat penting dalam masyarakat. Semua pihak hendaklah
mengamalkan semangat kejiranan. Amalan ini perlu diteruskan demi memelihara keamanan dan
keharmonian masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai