Anda di halaman 1dari 4

Ibu bapa harus terlibat dalam mewujudkan persekitaran yang sihat di dalam kalangan anak-anak

mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan
yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang
bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Anak-anak perlulah diajar
untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-
anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam mewujudkan persekitaran yang sihat.

Ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan
sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi
lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat. anak-anak mampu membina tahap
imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada
setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti
menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan
amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan
bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih
gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera.

Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang
penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap
hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh
membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan
sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat
mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun
tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat
melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri
mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka.
Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi
manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra
bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat
melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan
sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa
mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta
mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi
menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu
mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja
memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi
tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-
taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada
perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan.
Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai
oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-
anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak
sehingga mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah
membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan.
Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang
sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa
dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit,
secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi
kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi
orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada
masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita
menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat
mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang,
berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-
anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.

Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan
kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang
telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur
dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah
malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas
dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-
kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil
oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu
memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu
peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah
disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam
negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh
anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit
seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam
jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi di
sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di
atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak
seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Ibubapa sangat penting dalam proses membesarkan anak dengan menjadi seorang yang
berjaya dan berilmu serta beradat. Suasana harmoni di rumah dan persekitaran dapat
mengekalkan budi Bahasa mereka yang berpanjangkan. Pasangan ibu bapa juga
mempunyai pelbagai tanggungjawab terhadap anak-anak yang perlu di pikul secara
bersama-sama dalam mewujudkan persekitaran yang sihat.
Di antaranya termasuklah
 Tempat tinggal yang selesa dan b ersih, yang mempunyai cukup ruang pengudaraan serta
memiliki bekalan air yang bersih untuk minum dan bersuci.
 Makanan dan minuman yang cukup bersih dan berkhasiat Pakaian yang sesuai, selesa dan
bersih.
 Tanggungjawab memberi kasih sayang dari kedua ibu bapa amat penting dalam
perkembangan emosi dan sahsiah anak-anak. Dengan wujudnya belaian kasih sayang dalam
rumahtangga, anak-anak dapat merasakan bahawa kehadiran mereka dihargai.
Keluarga yang penuh dengan nilai murni dan bahagia menyumbang kepada persekitaran
yang selamat. Oleh itu, hubungan ibu dan bapa dengan anak sangat memberi kesan kepada
pembesaran anak-anak dari segi mental dan fizikal.Selain itu, ibubapa perlu memberi
sokongan moral kepada anak-anak mereka untuk mewujudkan persekitaran yang sihat yang
baik.Ianya akan mengeratkan hubungan antara ibu,bapa dan anak-anak.
Pendidikan secara berterusan juga menjadi satu aspek mewujudkan persekitaran yang
sihat.Ini akan membantu anak- anak menjadi orang yang terbelajar dan secara tidak
langsung menjadi bijak dan berbudi bahasa.Ibubapa haruslah meluangkan masa bersama
anak-anak sejak sebelum kecil sebelum mereka menjadi dewasa.

Anda mungkin juga menyukai