Anda di halaman 1dari 18

Komponen Pendidikan Kerohanian Dan Moral.

Satu analisis berasaskan al-quran


dan al-sunnah.

(Disediakan oleh Ikmal Firdaus Bin Abdul Wahab)

1.0 Pengenalan

Pendidikan Kerohanian dan Moral prasekolah amat penting bagi pemupukan nilai Islam
dan nilai-nilai murni masyarakat berbilang kaum. Ianya bertujuan melahirkan rakyat
yang berakhlak mulia, mampu membezakan baik dan buruk serta mampu menjadi
benteng dari terjebak dengan perkara-perkara negatif. Pendidikan seumpama ini perlu
diterap sejak dari kecil kerana ia akan menjadi asas apabila sudah dewasa seperti kata
pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Oleh kerana pendidikan ini penting,
maka ia perlu dirangka dengan sebaiknya bagi menjamin keberkesanan dalam
pelaksanaannya kelak.

2.0 Definisi Kurikulum Pendidikan Islam Dan Moral

2.1 Definisi Kurikulum Pendidikan Islam

“Manhaj” atau “kurikulum” merujuk kepada maksud jalan yang terang atau jalan yang
dilalui oleh manusia dalam berbagai bidang kehidupan. Dari segi konteks pendidikan,
Kurikulum (manhaj) adalah cara atau pendekatan yang digunakan oleh pendidik atau
guru terhadap pelajarnya untuk mengembangkan pengetahuan, membentuk
ketrampilan dan sikap mereka. Pada masa dahulu, kurikulum dalam pendidikan Islam
lebih terbatas kepada ilmu-ilmu yang diajar oleh guru-guru di sekolah-sekolah atau
institusi pendidikan dalam bentuk buku-buku atau kitab-kitab tradisional untuk dikaji
oleh murid-muridnya (Muhammad Omar al-Toumy al-Syaibany, 1982).

Menurut Addamarsady dan Munir (1968), kurikulum adalah satu himpunan


daripada pengalaman-pengalaman yang meliputi bidang pendidikan, sosial, sukan dan
kesenian yang telah disediakan oleh pihak sekolah untuk pelajarnya di dalam dan di
luar bilik darjah bertujuan membantu para pelajar berkembang secara menyeluruh dari
segala aspek serta membentuk tingkahlaku mereka sejajar dengan objektif pendidikan.
Ianya juga satu jalan yang dibentuk oleh guru untuk menolong para pelajar supaya
mereka lebih maju dalam pendidikan dan kemahiran-kemahiran tertentu melalui
pelbagai aktiviti (Muhammad Omar al-Toumy al-Syaibany, 1982).

2.2 Definisi Kurikulum Pendidikan Moral

Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang
bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran
moral, perasaan moral dan tingkah laku moral.

Kita melihat pula apakah yang didefinisikan bagi moral. Straughan, R. (1982)
berpendapat bahawa Pendidikan Moral adalah suatu bidang yang kabur. Damon, W.
(1988) mengatakan bahawa tiada satu definisi yang universal bagi “kemoralan” yang
diterima oleh semua pihak. Terdapat banyak pengertian tentang moral, kemoralan,
etika, dan nilai. Perbezaan pengertian istilah-istilah ini telah membawa kepada
pendapat yang berlainan, perselisihan faham, dan juga pertelingkahan tentang konsep
pendidikan moral. Hal ini menyebabkan pelbagai pendekatan dicadangkan dan
pelbagai kaedah telah dilaksanakan dalam pengajaran dan pelbagai pembelajaran
Pendidikan Moral.

Bull, H. J. (1969) berkata bahawa mengajar moral menjadi sukar sekiranya kita
sendiri tidak tahu apa itu “kemoralan”. Oleh itu, sebelum kita mulakan segala
perbincangan tentang kemoralan dan pendidikan moral, kita perlu mendefinisikan
perkataan “moral” dan “kemoralan”, serta istilah-istilah yang banyak berkaitan dengan
moral, seperti “etika” dan “nilai. Maksud etimologi bagi perkataan “etika” (ethics) yang
berasal daripada perkataan Yunani “ethos”, ialah adat (customs) atau kegunaan
(usages). Manakala “moral” berasal daripada perkataan Latin “mores” yang membawa
erti yang sama dengan etika (Ashmore, R. B. 1987).
Etika boleh ditakrifkan sebagai kajian falsafah tentang moral, iaitu tentang
kelakuan yang baik, kewajipan moral, sikap moral, tanggungjawab moral, keadilan
sosial dan ciri-ciri kehidupan yang baik(Grassian, V. 1981). Menurut Frankena, W,K.
(1973), etika ialah falsafah moral atau pemikiran falsafah tentang kemoralan, masalah
moral, dan pertimbangan moral. Apakah itu nilai? Menurut Kamus Dewan (Edisi Baru
1995), antara erti “nilai” termasuklah “taksiran harga”, harga sesuatu dibandingkan
dengan harga benda yang lain”, darjat, kualiti, mutu, taraf” dan sifat ketinggian
(pemikiran, agama, kemasyarakatan dll).

Kesimpulannya dari segi bahasa pengertian kurikulum atau manhaj dalam


pendidikan Islam, bermakna jalan yang terang. Manakala dalam bidang pendidikan ia
memberi maksud unsur-unsur yang terdapat dalam proses pendidikan yang diikuti oleh
guru atau pendidik sebagai panduan untuk mengajar dan mendidik para pelajarnya.
Manakala dari segi kurikulum atau manhaj dalam pendidikan moral, bermakna sukatan
pelajaran untuk membimbing para pelajar memahami sifat kemoralan. Tetapi yang
utama, pendidikan moral sepatutnya merupakan proses yang menolong pelajar-pelajar
itu sendiri menjadi orang yang bermoral. Oleh itu, program pendidikan moral mestilah
dilihat sebagai suatu usaha merangsangkan pentaakulan para pelajar, membolehkan
mereka mencapai keputusan dan pertimbangan moral yang sempurna di samping
memupuk emosi moral dan menggerakkan pelajar-pelajar itu bertingkah laku baik
berdasarkan pemikiran dan perasaan moralnya.

3.0 Kepentingan Kurikulum Pendidikan Islam Dan Moral

3.1 Kepentingan Kurikulum Pendidikan Islam

Menurut Hasan Lunggulung (1991) ;

i. Kurikulum Pendidikan Islam adalah sebagai alat untuk mendidik generasi muda
dengan baik dan menolong mereka untuk membuka dan mengembangkan bakat
dan potensi diri disamping menyediakan diri untuk masyarakatnya.
ii. Membentuk masa depan yang lebih berjaya disamping memperbaiki kegagalan
yang pernah dilalui sebelumnya.
iii. Menyediakan diri untuk berhadapan dengan suasana kehidupan yang lebih
mencabar terutamanya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.
iv. Sebagai alat yang terbaik untuk membina masyarakat yang maju dari segi
memenuhi tuntutan dunia dan juga tuntutan akhirat.

3.2 Kepentingan Kurikulum Pendidikan Moral

Kurikulum Persekolahan Kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi


menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang.
Penyemakan kurikulum bertujuan memantapkan Akta Pendidikan, memenuhi semangat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan murid menghadapi cabaran
pendidikan pada abad 21. Kurikulum yang disemak semula memberi penekanan
kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyedarkan murid akan peranan dan
tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid
dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertataetika tinggi, bijaksana, serta
dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan
kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala
rintangan dan cabaran dalam kehidupan. Pendidikan Moral ialah mata pelajaran teras
untuk murid bukan beragama Islam di peringkat sekolah rendah dan Menengah. Mata
pelajaran ini yang memberi tumpuan pada pemupukan, penghayatan dan amalan nilai-
nilai murni masyarakat Malaysia bertujuan melahirkan murid yang berilmu
pengetahuan, berperibadi mulia, serta rela dan sanggup berbakti kepada masyarakat
dan negara. Kandungan Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah dan Menengah merangkumi aspek diri, keluarga, masyarakat, alam
sekitar dan negara.
4.0 Sistem Pendidikan Prasekolah

Prasekolah merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan Malaysia. Kementerian


pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan prasekolah bagi membolehkan kanak-
kanak berumur empat hingga enam tahun memasuki persekolahan lebih awal,
terutamanya kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah. Kurikulum
Pendidikan prasekolah dirangka dengan teliti bagi memenuhi keperluan dan tahap
keupayaan kanak-kanak berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Mulai tahun
2002, semua pusat pembelajaran kanak-kanak samada diuruskan oleh Kementerian
Pelajaran mahupun dikelolakan oleh pihak swasta mestilah mengikut sukatan pelajaran
yang telah ditetapkan dan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi
pengajaran pendidikan Islam di prasekolah, guru yang mengajar pendidikan Islam
sekolah rendah yang akan menggantikan guru prasekolah untuk menjalankan sesi
pengajaran. Kekerapan sesi pengajaran sebanyak 4 masa (2 jam) dalam seminggu.
Guru prasekolah masih boleh menerapkan pendidikan Islam dalam pendidikan
prasekolah tetapi pendidikan asas sahaja seperti bacaan doa dan nilai murni dalam
pendidikan Islam. Bagi pendidikan moral pula guru prasekolah boleh menjalankan sesi
pengajaran dan tidak memerlukan guru yang lain.

5.0 Falsafah Pendidikan Islam Dan Moral

Musa Daia (1967) menyatakan, kalimah ‘falsafah’ merupakan suatu sebutan yang telah
pun menjadi sebati dalam perbendaharaan kata dan merupakan suatu asimilasi bagi
mengembang dan mengukuhkan bahasa Melayu di rantau ini. Menurut sejarah
perkembangan bahasa, perkataan tersebut berasal dari bahasa Yunani iaitu philo
sophic. Philo bererti ‘cinta’ atau ‘kaji’ atau ‘hargai’ dan sophic bererti ‘hikmat’ atau
‘kebajikan’ atau ‘kebenaran’.

Kombinasi dari kedua-dua perkataan philo sophic disebut sebagai ‘cinta


kebenaran’. Rangkai kata ini dipindah ke bahasa Inggeris dengan sebutan philosophy.
Mohd. Sulaiman (1984) memberi erti falsafah berdasarkan kepada perkataan falsafah
itu sendiri yang bercantum daripada dua perkataan Yunani philo-sophic dengan
terjemahannya ‘cintakan hikmat’.

Justeru itu, perkataan falsafah dapat diertikan sebagai usaha mencari suatu
kebenaran atau keyakinan yang berhubung dengan suatu kebenaran atau keyakinan
yang berhubung dengan suatu perkara dengan menggunakan kekuatan akal fikiran.
Dengan kata lain, falsafah adalah mencari atau menganggap sesuatu dengan
menggunakan kecerdasan akal fikiran dan kebijaksanaan.

5.1 Falsafah Pendidikan Islam

Assyaibani mendefinisikan Falsafah Pendidikan Islam sebagai melaksanakan teori dan


metode falsafah di bidang pengalaman manusia yang dipanggil ‘pendidikan’. Oleh itu,
falsafah pendidikan berfungsi menilai pendidikan, menyelaras dan menganalisa
permasalahan dan isunya dalam kehidupan. Ia mencakupi pembahasan pemahaman
yang berbeza dan menjelaskan makna istilah yang digunakan dalam pendidikan. Ia
juga menentukan perkara pokok yang ada hubungan dengan lapangan lain dalam hidup
manusia (Haron Din dan Sobri Solomon, 1988).

Turki Rabib (1982) menyatakan bahawa falsafah pendidikan Islam dibina


berasaskan kepada empat rukun iaitu:

i. Iman yang teguh kepada Allah dan rasulnya, malaikatnya, syurganya, nerakanya
dan hari kebangkitan.
ii. Akhlak yang baik dan mulia.
iii. Berilmu dalam erti yang menyeluruh.
iv. Amal salih di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah Yunus, ayat 9 yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal


salih, mereka dibimbing oleh Tuhan kerana keimanannya, di bawah
mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh
kenikmatan”.
Falsafah merupakan komponen paling utama dan tertinggi di dalam pendidikan,
kerana sikap manusia yang ingin dilahirkan adalah bergantung kepada falsafah yang
disalurkan melalui pendidikan. Pendidikan diertikan oleh cendekiawan sebagai
pemindahan nilai-nilai dari generasi ke generasi sama ada ilmu atau kemahiran,
sedangkan nilai-nilai itu ditentukan oleh falsafah yang disogokkan melalui sistem
pendidikan. Oleh itu, falsafah yang berteraskan kebendaan akan melahirkan
masyarakat yang bersikap kebendaan yang mampu membangunkan kebendaan bagi
keseronokan hidup di dunia. Bagi mereka dunia ini merupakan matlamat, seperti yang
dinyatakan dalam Al-Quran. Firman Allah dalam surah Al-Jathiah ayat 24 yang
bermaksud;

“Dan mereka berkata; Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup
kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah
yang membinasakan kita melainkan edaran zaman, pada hal mereka
tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu, mereka
hanyalah menurut sangkaan semata-mata”.

Menurut Al Nahwi, sesuatu falsafah pendidikan mestilah didasarkan kepada asas yang
kukuh, diyakini dan tidak berubah. Inilah yang dibawa oleh Islam di dalam semua aspek
kehidupan manusia, termasuklah pendidikan yang diasaskan kepada sumber yang
teguh iaitu Al-Quran dan al-sunnah. Firman Alah dalam surah al-ma’idah, ayat 15-16
yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab


yang menerangkan. Dalam kitab itulah Allah menunjukkan kepada
orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan yang selamat,
dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu
daripada kegelapan kepada cahaya yang terang dengan
kehendakNya dan menunjukkan mereka jalan yang lurus”.
Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam menerangkan kepentingan kedua-dua sumber
tersebut;

“Aku telah meninggalkan kepadamu 2 perkara, jika kamu berpegang


teguh kepada kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat buat
selama-lamanya, iaitu kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.

5.2 Falsafah pendidikan moral

Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk


kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai
murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam
pelbagai kaum di Negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup
yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka
menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan
dan tindakan yang dilakukan. Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai
panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi,
rohani dan sosial. Prinsip-prinsip itu adalah :
i. bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang lain;
ii. berpegang teguh pada ajaran agama;
iii. prihatin kepada alam sekitar;
iv. mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup;
v. bersemangat patriotik;
vi. menghormati hak asasi manusia; dan
vii. mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan.

Pemilihan prinsip-prinsip di atas dilakukan untuk merealisasikan semangat dan


hasrat yang terkandung dalam Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
6.0 Matlamat Pendidikan Islam Dan Moral

6.1 Matlamat pendidikan islam

Pendidikan Islam ialah pendidikan yang bersumberkan kepada Al-Quran dan hadis.
Oleh itu matlamat pendidikan tersebut hendaklah disesuaikan dengan kedua-dua
sumber tersebut.

Mohd. Attiah Al-Ibrashi (1969) menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam


adalah;

“Bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk menjadi pemimpin


bermegah-megah dan berlumba-lumba”.

Beliau juga seterusnya menyatakan bahawa matlamat pendidikan menurut Ibnu


Khaldun adalah seperti berikut;

“Sebenarnya pendidikan Islam mempunyai dua tujuan iaitu tujuan


keaagamaan, maksudnya beramal untuk akhirat sehingga
seseorang itu menemui Tuhannya setelah selesai menunaikan hak-
hak Allah yang diwajibkan ke atasnya. Kedua, tujuan ilmiah yang
bersifat keduniaan iaitu apa yang diungkapkan oleh pendidikan
moden dengan tujuan kemunafaatan atau persediaan hidup”.

Abdul Qadir Ahmad (1980) menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam ialah
untuk melahirkan individu yang salih dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam
kehidupan di dunia untuk melahirkan individu yang beramal dengan amalan-amalan
Islam supaya mencapai kebahagiaan di akhirat.

Samak (1980) menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam dalam pelbagai


peringkat pengajarannya adalah menuju ke arah dua matlamat utama. Satu
matlamatnya tersimpul dalam tujuan am dan satu lagi dalam tujuan khas.

Langgulung, Hassan (1986) menyatakan bahawa tujuan pendidikan Islam


sebagai alat untuk menentukan haluan pendidikan yang dapat dilihat melalui tiga
peringkat iaitu tujuan khas, tujuan am dan tujuan akhir. Apabila digunakan dalam
kurikulum, ketiga-tiga peringkat ini mencakupi aspek tertentu pada tujuan tersebut.
Peringkat-peringkat tujuannya adalah seperti berikut:

i. Murid-murid akan menguasai prinsip-prinsip ilmu tersebut (tujuan khas)


ii. Murid-murid akan sanggup berfikir secara kritis (tujuan am).
iii. Murid-murid akan mencapai perwujudan diri (tujuan akhir).

Jika dilanjutkan lagi maka ia akan berkaitan dengan tujuan hidup manusia iaitu berbakti
kepada Allah dan mencari kesempurnaan diri.

6.2 Matlamat pendidikan moral

Mari kita lihat apakah matlamat pendidikan moral. Matlamat keseluruhan pendidikan
moral boleh diperjelaskan lagi dan lebih bermakna jika dipandang mengikut matlamat-
matlamat tertentu terutama:

i. Untuk menyampaikan kepada para pelajar beberapa pengetahuan fakta yang


perlu dan relevan sebagai asas dalam membuat keputusan dan pertimbangan-
pertimbangan moral.
ii. Untuk menambahkan kesedaran dan pemahaman para pelajar tentang
peraturan-peraturan masyarakat serta segala sifat-sifat murni dan baik yang
diingini diterima dan dipuji dari segi moral.
iii. Untuk mengembangkan kemahiran para pelajar menggubal prinsip-prinsip moral
serta menggunakannya dalam situasi-situasi tertentu, membolehkan pelajar-
pelajar secara bebas membuat keputusan dan pertimbangan-pertimbangan
moral yang rasional dan betul serta membenarkan mereka berfikir dan menilai
keadaan sekeliling walaupun mereka mungkin mengkritik perturan-peraturan dan
prinsip-prinsip yang sedia ada.
iv. Untuk menyuburkan emosi moral atau sentimen perikemanusiaan para pelajar
supaya bersifat penyayang, bersikap belas kasihan dan sebagainya.
v. Untuk menggalak dan merangsang para pelajar agar bertingkah laku dan
bertindak sukarela, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh mengikut apa
yang dipertimbangkan atau difikirkannya baik, mulia dan benar dari segi moral.
Kurikulum Pendidikan Moral juga bermatlamat membentuk individu yang berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah keharmonian dan kestabilan
negara serta masyarakat global.

7.0 Objektif Pendidikan Islam Dan Moral

7.1 Objektif Pendidikan Islam

Antara objektif pendidikan Islam ialah memperkukuhkan kemahiran membaca,


memahami menghafaz ayat-ayat al-quran serta menghayati serta mengamalkan isi
kandungan dalam amalan kehidupan harian (Huraian KPM, 2005).

Menurut Mohd Aderi dan Asmawati (2006), objektif pengajaran Tilawah al-Quran
bukanlah dari susut membetulkan bacaan semata-mata, bahkan ia meliputi bacaan,
kefahaman, penghayatan dan amalan. Firman Allah di dalam surah al-An’am, ayat 155
yang bermaksud;

“Dan sebuah kitab (al-quran) yang kami turunkan, yang ada berkatnya
(banyak manfaatnya). Oleh itu hendaklah kamu menurutnya, dan
bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat”.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oelh Ibn Hibban Rasulullah s.a.w bersabda,
bermaksud;

“Hendaklah kamu membaca Al-Quran, kerana ia adalah cahaya


kepadamu di dunia dan perbendaharaan bagimu di langit”.

Objektif pendidikan Islam yang seterusnya ialah memperkukuhkan dan


memepertingkatkan amalan ibadat solat dan ibadat-ibadat lain serta ke arah memahami
konsep ibadat dan mengamalkannya dengan betul dan sempurna (Huraian KPM,
2005). Hasan Langgulung (1991) menyatakan, fokus utama dan terpenting dalam
pendidikan Islam ialah seseorang pelajar itu perlu dididik sepanjang masa secara
seimbang iaitu jasmani, rohani, emosi dan intelek yang dijuruskan dalam konteks
pengabdian diri kepada Allah dan memperolehi keredhaanNya. Oleh itu ibadat
merupakan perkara yang sangat penting, yang mesti difahami betul-betul oleh setiap
orang yang beriman kepada Allah dan para Rasulnya, sebelum ia diamalkan dan
dihayati. Firman Allah di dalam surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud;

“Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku


semua bagi Allah Tuhan semesta alam”.

Kurikulum pendidikan Islam juga menekankan dan menumpukan tentang ibadat


solat kerana ia merupakan tonggak kepada ibadat-ibadat lain, Seperti sabda Rasulullah
s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Tabrani;

“Amal seseorang hamba yang pertama akan dihisab kelak ialah solat,
maka jika solatnya rosak maka amal lainnya akan rosak”.

Segala amal ibadat dan urusan hidup yang dijalankan mestilah dengan niat
ikhlas kerana Allah demi mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan
akhirat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Hakim,
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Bertulus ikhlaslah kamu dalam melaksanakan agamamu, nescaya segala


amalan yang sedikit itu cukup untukmu”.

Selain daripada itu objektif Kurikulum Pendidikan Islam juga adalah untuk
memperkukuhkan pegangan aqidah Islamiah dan mengaitkan konsep tauhid dalam
keseluruhan aspek kehidupan. Menurut Musa (1997), aqidah yang kukuh ialah
kepercayaan yang tertanam kukuh di dalam jiwa tanpa sebarang keraguan bahawa
tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah, seperti firman Allah di
dalam surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenarnya beriman adalah orang-


orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka tidak
ragu-ragu”.

Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud;
“Dari Umar Ibn Khattab r.a, ia berkata : telah bersabda Rasulullah s.a.w :
Iman ialah bahawa engkau percaya dengan Allah, dengan para
Malaikatnya, dengan para Rasulnya, dengan Hari Kiamat dan engkau
percaya dengan Qadar baik dan burukNya”.

Objektif kurikulum pendidikan Islam juga adalah supaya para pelajar dapat
membina kepribadian serta mengamalkan akhlak mulia, sifat-sifat terpuji dan
menghindari sifat-sifat yang tercela (Huraian KPM, 2005).

Menurut Asmawati (2006), pendekatan Islam dalam pendidikan akhlak amat


menekankan kepada penanaman aqidah atau rohani. Ini kerana aqidah merupakan
teras Islam yang utama. Kepentingan aqidah dalam Islam dapat dilihat menerusi nas-
nas al-Quran dan Hadis yang mengaitkan pembentukan akhlak dengan aqidah atau
iman. Misalnya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud;

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik
akhlaknya”.

Rasulullah s.a.w. memiliki akhlak yang tinggi dan sempurna, maka Allah menetapkan
baginda sebagai ikutan yang baik bagi seluruh umat manusia seperti yang termaktub di
dalam surah al-Ahzab ayat 21, yang bermaksud;

“Pada peribadi Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi
kamu semua, yang mengharapkan (keredhaan) Allah serta
(kebahagiaan hidup) di akhirat”.

Pendidikan akhlak yang berteraskan aqidah dan nilai agama adalaah lebih sempurna
dan terjamin untuk melahirkan insan yang berkualiti (Asmawati, 2006)

Selain daripada itu, selepas mempelajari kurikulum pendidikan Islam, para pelajar
akan dapat memahami, menghayati hadis-hadis Rasulullah, mengambil pengajaran dan
meneladani Sirah Rasulullah dan para sehabat serta Tamaddun Islam, supaya mereka
dapat mengambil iktibar dan mengamalkan ajaran Islam sebagai satu cara hidup
(Huraian KPM, 2005). Firman Allah s.w.t dalam surah Ali ‘Imran ayat 19 yang
bermaksud;

“Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam”

Rasulullah s.a.w adalah rahmat Allah untuk manusia sejagat. Firman Allah di dalam
surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud;

“Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai


rahmat untuk seluruh alam”.

7.2 Objektif pendidikan moral

Setalah kita mengetahui objektif pendidikan Islam mari kita lihat apakah objektif
pendidikan moral. Objektif pendidikan moral ialah untuk membolehkan pelajar:

i. Memahami dan menghayati nilai-nilai murni masyarakat Malaysia;


ii. Meningkatkan amalan budi pekerti mulia;
iii. Menyedari dan menerima kepentingan tanggungjawab moral dan sosial bagi
mengekalkan kesejahteraan hidup dalam perhubungan diri dengan
keluarga,masyarakat, negara serta alam sekitar; dan
iv. Mengembangkan pemikiran moral,perasaan moral dan amalan moral dalam
membuat sesuatu pertimbangan dan keputusan yang selaras dengan nilai-nilai
murni masyarakat Malaysia.

8.0 Kandungan Sukatan Kurikulum Pendidikan Islam Dan Moral

8.1 Sukatan kurikulum pendidikan Islam

Kandungan Sukatan Kurikulum Pendidikan Islam KBSM terbahagi kepada bidang-


bidang berikut : (1) Tilawah al-Quran (TQ) yang merangkumi bacaan, hafazan dan
kefahaman serta hadis, (2) Ulum Syar’iyyah (US) yang merangkumi Aqidah, Ibadah,
Sirah Rasulullah s.a.w dan tamaddun Islam, dan (3) Adab dan Akhlak Islamiyyah
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005).
Bidang pengajaran TQ, bukan sekadar membetulkan bacaan al-Quran semata-
mata malah ia bertujuan mendidik pelajar-pelajar supaya sentiasa menghayati ajaran-
ajaran al-Quran dalam kehidupan individu dan jemaah (Asmawati, 2006). Ini
bersesuaian dengan firman Allah dalm surah al-Ma’idah ayat 16 yang bermaksud;

“Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah nur


(Muhammad) dan kitab yang terang (al-quran). Dengan kitab itu Allah
memimpin sesiapa yang hendak mengikut keredaanNya ke jalan yang
selamat dan dikeluarkan mereka dengan izinNya dari kegelapan
kepada cahaya yang terang dan mereka dipimpinNya ke jalan lurus’.

Bidang pengajaran Ulum Syari’yyah, memberi tumpuan kepada


memperkenalkan asas keimanan dan membiasakan diri pelajar dengan rukun-rukun
Iman dan Islam serta prinsip-prinsip syari’at serta asas-asas pengajaran Islam dengan
mengenal pasti Islam dari segi aqidah dan ibadah. Ini bersesuaian dengan hadis
Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Hakim dari Ibn Abbas yang bermaksud;

“Mulakanlah anak-anak kamu dengan kalimah Tiada Tuhan Melainkan


Allah”.

Menurut Mohd Ali Hashimi (1986), melalui pengetahuan tentang kosep ibadah,
seseorang itu dapat menjalani ibadah dengan sempurna seperti mana firman Allah di
dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud;

“Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
beribadah kepadaku”.

Melalui pembelajaran Sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta Tamadun
Islam dapat memberi pengajaran dan menimbulkan kesedaran tentang kekuatan aqidah
umat Islam pada masa itu. Peribadi baginda dijadikan Allah sebagai contoh teladan
bagi sekelian umat Islam. Firman Allah dal surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud;

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasulullah kepada kamu
maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya, maka
patuhilah larangannya”.
Pengajaran Akhlak Islamiyyah, berkait rapat dengan matlamat pendidikan untuk
membentuk akhlak manusia menjadi mukmin sejati seperti yang ditegaskan oleh
Rasulullah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud;

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang terbaik akhlak dan budi


pekertinya”.

Oleh itu pendidikan Akhlak Islamiyyah berperanan membentuk insan yang


berpekerti mulia dan soleh. Insan yang berakhlak mulia akan disenangi dan disukai oleh
orang lain dan insan yang berakhlak mulia juga akan menghindarkan diri dari semua
perkara yang buruk dan kuat amar makruf nahi mungkarnya iaitu menyeru kearah
kebaikan dan mencegah kemungkaran.

8.2 Sukatan kurikulum pendidikan moral

Sukatan pelajaran bagi pendidikan moral terbahagi kepada tiga lingkungan umur
iaitu (rendah 6-11 tahun, menengah rendah 12-14 tahun dan menengah atas 15-16
tahun). Perancang dan pengembang kurikulum (yang terlibat dengan pendidikan moral
di Malaysia) mengenalkan inovasi terhadap kandungan atau bahan-bahan pengajaran,
strategi atau teknik-teknik pengajaran dan bantuan serta sumber-sumber lain yang
perlu digunakan oleh guru pendidikan moral sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
Guru pendidikan moral di Malaysia menyediakan skim kerja yang bersesuaian dengan
peringkat perkembangan pelajar. Secara amnya program pendidikan moral dirangka
untuk membimbing para pelajar memahami sifat kemoralan.

Untuk membolehkan murid memahami, menghayati serta mengamalkan prinsip-


prinsip moral,sebanyak lima bidang pembelajaran telah dikenal pasti dan nilai-nilai
moral disampaikan menerus bidang pembelajaran tersebut. Selain aspek kerohanian
dan kemanusiaan, bidang pembelajaran itu juga menekankan aspek kemasyarakatan
dan kebudayaan. Bidang pembelajaran tersebut adalah seperti berikut :

i. Nilai berkaitan dengan Perkembangan Diri.


ii. Nilai berkaitan dengan Diri dan Keluarga
iii. Nilai berkaitan dengan Diri dan Masyarakat
iv. Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar
v. Nilai berkaitan dengan Diri dan Negara

Pengajaran nilai harus berfokus pada Model Insan Menyeluruh yang meliputi tiga
dimensi moral yang saling berkaitan. Perwatakan yang positif harus terdiri daripada tiga
dimensi moral ini, iaitu pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral.
Pendidikan Moral yang efektif seharusnya membantu murid supaya memahami nilai-
nilai moral, menerima dan menunjukkan komitmen terhadapnya, serta
mengamalkannya dalam kehidupan harian. Ketiga-tiga dimensi ini perlu untuk
membolehkan seseorang murid mencapai tahap kematangan moral. Teori
perkembangan moral yang sebaik-baiknya ialah yang mempertimbangkan ketiga-tiga
dimensi ini, iaitu pemikiran moral, perasaan moral dan tindakan moral. Perkembangan
moral yang meliputi ketiga-tiga dimensi ini akan menyubur dan merangsangkan lagi
kesedaran hati nurani yang menyebabkan insan berkenaan berasa gembira membuat
apa yang betul dan berasa bersalah jika melakukan sesuatu yang tidak betul atau tidak
bermoral. Program Pendidikan Moral ini tidak seharusnya mengabaikan aspek
kesedaran hati nurani yang berfungsi menyepadukan ketiga-tiga dimensi moral
tersebut.

Namun demikian, amatlah rumit bagi sukatan pelajaran pendidikan moral untuk
menghasilkan orang terdidik yang sempurna dari segi moral seperti yang dianggap atau
digambarkan di atas. Walaupun guru yang mengendalikan kelas-kelas Pendidikan
Moral secara formal mungkin berjaya menggalakkan sentimen kemanusiaan dan
menggerakkan pelajar-pelajarnya supaya berkelakuan moral, lebih realistik jika
dinyatakan bahawa urusan utama pelajaran Pendidikan Moral ialah untuk
membolehkan seseorang pelajar mempertingkatkan atau memperbaiki pertimbangan
dan pentaakulan moralnya .

Dengan mengambil kira tentang sifat-sifat murid-murid prasekolah, tugas guru


pendidikan moral semata-mata menyediakan asas yang kemudiannya memungkinkan
para pelajar mempelajari perkara kemoralan dengan cara yang lebih matang. Pada
peringkat umur yang rendah, pelajar-pelajar tidak boleh menggubal prinsip-prinsip
moral untuk untuk digunakan dalam situasi-situasi khusus atau menilai peraturan-
peraturan yang telah wujud serta membuat pertimbangan moralnya sendiri dengan
bebas dan rasional.

Sebenarnya untuk memberangsangkan pentaakulan moral pelajar, dia sendiri


mesti melalui satu bentuk latihan moral dan didedahkan kepada peraturan-peraturan
dan standard moral supaya biasa dengan konsep-konsep seperti baik dan jahat, benar
dan salah. Begitu pun, pelajar-pelajar mesti diberi peluang meneroka pengalaman dan
perasaannya sendiri, bertanya dan membuat komen serta dalam perhubungannya
dengan orang lain dalam komuniti prasekolah, mengenali sifat saling menghormati.
Kesemuanya perlu jika sosiolisasi dan latihan moral yang tidak dapat dielakkan itu
hendak menyokong pendidikan moral.

Penutup

Kesimpulannya Kurikulum Pendidikan Islam telah dibentuk berdasarkan al-Quran dan


al-sunnah. Kurikulum Pendidikan Moral juga telah dibentuk dengan sebaiknya
berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menepati kehendak falsafah
tersebut. Sesungguhnya sesuatu perkara itu pasti ada kelemahannya. Itulah sifat
manusia yang bergelar insan makhluk ciptaan Alllah s.w.t. Kelemahan yang terdapat
pada Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral ialah dari segi pelakasanaannya kurang
memberi kesan kepada pelajar sekiranya guru hanya menerapkan kurikulum tersebut di
dalam kelas sahaja. Untuk menambahkan keberkesannya pihak pentadbir, sekolah,
semua kakitangan serta guru-guru bersepadu berganding tenaga dalam membentuk
kerohanian dan moral murid-murid dengan menunjukkan akhlak yang baik
berlandaskan al-Quran dan al-sunnah dan bagi yang bukan Islam mengamalkan moral
yang baik dan serta menjaga tatasusila berpakaian. Kita sebagai umat Islam haruslah
menjadi contoh kepada yang bukan Islam kerana agama Islam adalah agama yang
benar dan lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Beruntungla bagi mereka yang
mengamalkan ajaran agama Islam dengan sempurna.

Anda mungkin juga menyukai