Anda di halaman 1dari 4

1.

0 Pendahuluan

Pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia adalah dirujuk berdasarkan beberapa model


pendidikan luar negara yang amat baik dan amat sesuai untuk pendidikan di negara kita. Antara
model-model tersebut ialah model Montessori, model Reggio Emilia, model Sure Start, model
Head Start dan model Froebelion.

2.0 Model Pendidikan Awal Kanak-kanak

2.1 Model Montessori

Model Montessori telah dipelopori oleh Maria Montessori. Minat beliau terhadap
pendidikan timbul apabila beliau bertugas mengendalikan kanak-kanak yang mengalami
kecacatan. Matlamat program ini adalah sebagai satu pembentukan individu yang menekankan
intelektual secara umum terhadap sesuatu subjek. Menurut Nor Nurulhayati Aris (2009) kaedah
yang digunakan dalam model Montessori ini boleh mendatangkan hasil pencapaian yang lebih
baik kepada kanak-kanak istimewa dan boleh memperbaiki kanak-kanak normal. Hal ini kerana,
kanak-kanak digalakkan untuk memilih aktiviti yang diminati, mengikuti urutan tertentu dalam
penggunaan bahan bagi setiap aktiviti yang dijalankan, serta mempraktikkan aktiviti supaya
dapat mengekalkan pembelajaran. Guru memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk
meneroka pengalaman baru serta guru memerhati kanak-kanak dari jauh dan hanya melibatkan
diri sewaktu membuat demonstrasi kepada kanak-kanak tentang bagaimana menggunakan
alat-alat atau bahan yang baru.

Model pendidikan Maria Montessori telah meninggalkan pengaruhnya kepada


pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Antaranya ialah terdapat waktu untuk permainan luar
di mana ditekankan pembelajaran secara penerokaan dan penjelajahan tentang persekitaran.
Kanak-kanak dapat meneroka alam di sekeliling dan dapat merasai pengalaman tersebut
melalui bahan maujud. Selain itu, penekanan masa untuk menguasai kemahiran asas (3M) iaitu
teras dan bertema juga diterapkan dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
Penguasaan kemahiran-kemahiran tersebut amatlah penting untuk memastikan kanak-kanak
tersebut bersedia untuk menghadapi alam persekolahan dan dunia sekitar.

1
2.2 Model Reggio Emilia

Pendekatan ini diasaskan di Reggio Emilia oleh Loris Malaguzzi. Menurut Malaguzzi
(1993) pendidikan seharusnya melibatkan tiga elemen iaitu kanak-kanak, guru dan keluarga.
Guru-guru di Reggio Emilia bekerja sebagai rakan kanak-kanak. Mereka akan duduk bersama
dengan kumpulan kanak-kanak tiga tahun, bayi hingga tiga tahun dan juga kanak-kanak 3
hingga 6 tahun. (Rohani Abdulah, 2007). Pendekatan ini mengunakan tumpuan pendidikan
yang berbeza kerana ia memberi tumpuan terhadap potensi setiap kanak-kanak bukan secara
umum serta melihat pembelajaran kanak-kanak dalam konteks sistem yang menyeluruh iaitu
keluarga, rakan sebaya, persekitaran sekolah, komuniti dan masyarakat luar. Seterusnya guru
sedar akan potensi setiap kanak-kanak dibawa seliaan serta berperanan untuk membina
pengajaran dan persekitaran bagi mengalakkan pengalaman dan pembelajaran kanak-kanak.
Melalui program ini, ibubapa dilibatkan dalam pengajaran dan pembelajaran, perancangan
program serta pengurusan prasekolah.

Model pembelajaran ini memberikan pengaruh kepada pendidikan di Malaysia melalui


peranan guru sebagai rakan kongsi dan pemandu arah kanak-kanak semasa belajar. Semasa
proses pengajaran dan pembelajaran guru sebagai fasilitator yang membimbing kanak-kanak
untuk menyelesaikan isi pembelajaran. Selain itu, guru juga berperanan sebagai penghubung
antara institusi dengan keluarga, komuniti dan pentadbiran kerajaan. Guru perlulah
mengadakan program seperti program sukan dan gotong-royong agar hubungan antara ibu
bapa, guru dan juga komuniti. Pandangan dan keupayaan kanak-kanak juga guru perlu fahami
dan mengambil berat.

2.3 Sure Start

Sure Start ialah satu usaha kerajaan British untuk mengatasi masalah kanak-kanak
miskin dan penyisihan sosial. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan hasil yang terbaik buat
kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat dengan membuka pusat jagaan kanak-kanak,
meningkatkan kesihatan, pendidikan, perkembangan mereka, serta membantu peranan ibu
bapa dan meningkatkan aspirasi kerja. Hubungan yang erat dan kerjasama antara keluarga,
sekolah dan komuniti adalah merupakan faktor yang ditekankan dalam program ini.

Hal ini telah meninggalkan pengaruh kepada pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia
iaitu dengan menggalakkan dan mendorong ibu bapa untuk melibatkan diri dalam aktiviti
bersama anak-anak mereka. Selain itu, pemeriksaan kesihatan di prasekolah dan taska juga
dijalankan untuk mengesan sekiranya terdapat masalah kesihatan pada diri kanak-kanak

2
tersebut dan sebagai indikator perkembangan kanak-kanak. Melalui program tersebut, pelbagai
masalah dapat dikesan dengan lebih awal. Di samping itu, model pendidikan Sure Start juga
menekankan tumpuan kepada kanak-kanak yang berumur 0 hingga 4 tahun.

2.4 Head Start

Program model pembelajaran Head Start mula diperkenalkan pada tahun 1964.
Program ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang terdiri daripada golongan kurang
bernasib baik seperti golongan miskin dan berpendapatan rendah melalui pendidikan. Head
Start memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat bayi dan pra sekolah di antara
umur 4 hingga 5 tahun.

Head Start memberikan pengaruh yang besar kepada pendidikan awal kanak-kanak di
Malaysia iaitu pada sistem prasekolah kebangsaan memberi keutamaan pemilihan kanak-kanak
dari golongan berpendapatan rendah mengikut kawasan untuk belajar di kelas prasekolah.
Selain itu, prasekolah berperanan untuk memberi persediaan kepada kanak-kanak untuk
memasuki alam persekolahan dengan minda yang lengkap, emosi yang bersedia dan fizikal
yang mantap.

2.5 Froebelion

Pada tahun 1837, Friedrich Froebel menubuhkan sekolah taman kanak-kanak yang
dinamakan “kindergarden”. Menurut beliau “kanak-kanak umpama biji benih, ibu bapa dan
pendidik umpama tukang kebun, “kindergarten” pula ialah taman untuk kanak-kanak. Oleh itu,
kanak-kanak perlu belajar dalam persekitaran yang terancang dan kanak-kanak berkembang
melalui main”. Bilik darjah perlu dilengkapi dengan kerusi dan meja yang sesuai untuk kanak-
kanak. Keadaan bilik tidak sempit kerana akan menyusahkan perjalanan aktiviti. Beliau
menekankan kaedah bermain kepada kanak-kanak dan belajar melalui membuat. Beliau
mencadangkan dalam mendidik kanak-kanak perlu menggunakan objek supaya menimbulkan
minat dalam pembelajarannya.

Kelas prasekolah wajib menyediakan persekitaran yang selesa, luas dan menarik minat
kanak-kanak adalah pengaruh model ini kepada pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.
Selain itu, kaedah pengajaran belajar melalui bermain diterapkan melalui penyediaan aktiviti-
aktiviti yang menjurus kepada bermain secara tidak lansung. Kaedah pembelajaran dan
pengajaran ini dapat meningkatkan minat kanak-kanak tersebut kepada pengajaran yang
diberikan. Di samping itu, kanak-kanak juga diberikan kebebasan menggunakan bahan atau

3
alatan yang disediakan dan meneroka pembelajaran baru. Perkembangan dan kemahiran
kanak-kanak juga dapat dikembangkan dengan lebih baik melalui cara pembelajaran tersebut.

3.0 Penutup

Kesimpulannya, model-model pendidikan luar negara telah banyak meninggalkan


pengaruh kepada pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Pengaruh-pengaruh tersebut
amatlah penting untuk memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang menarik, berkesan
dan menyeluruh untuk perkembangan kanak-kanak yang holistik seperti yang disarankan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Anda mungkin juga menyukai