Anda di halaman 1dari 4

5.0 Prabacaan Peringkat prabacaan merupakan peringkat di mana kanak-kanak belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan.

Pada peringkat ini, kanak-kanak perlu mempunyai kesediaan membaca yang merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi minatnya terhadap bahan-bahan bacaan dan minatnya untuk mendengar bacaan khususnya yang berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah diketahuinya. Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan dan latihan bahasa pertuturan. Contoh aktiviti termasuklah membezakan benda yang sama warna dan saiz, mengecam perbezaan bunyi yang didengar dan membentuk benda daripada plastisin. Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly Chong (1992) pula, tahap prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan kata lain, istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah. Terdapar 4 kaedah yang biasa digunakan untuk mengajar kanak-kanak pada peringkat prabacaan.

(a) Kaedah abjad Kaedah abjad ialah kaedah mengenali nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan Melayu contohnya a,b,c hingga z. Murid-murid perlu menghafal nama-nama huruf ini mengikut aturannya. Selepas itu, barulah murid diajar huruf-huruf vokal a,e,I,o,u. Kemudian, murid belajar suku kata, perkataan dan akhirnya mampu untuk membina ayat. (b) Kaedah pandang dan sebut Dalam kaedah ini, murid kerap kali ditunjukkan dengan perkataan-perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya. Contohnya, perkataan rumah ditulis di tepi atau di bawah gambar rumah. Jadi dalam kaedah ini murid-murid cuba mengenal keseluruhan lambang-lambang itu untuk mendapat membaca. Selepas itu, baru murid belajar mengeja dan mengenali nama-nama huruf. (c) Kaedah fonik Pada asasnya kaedah ini mengajar murid membunyikan huruf dan kemudian belajar perkataan-perkataan baru. Misalnya, a dibunyikan aa, t tah, s ss. u uu, z zz, dan sebagainya. Setelah mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata akan dibina. Misalnya, ba, da, tu, ka, lu, mi dan sebagainya. Kemudian suku-suku kata ini akan digabungkan menjadi perkataan-perkataan dada, batu, kata, lalu, dan sebagainya. Seterusnya murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat yang menggunakan perkataan-perkataan ini. (d) Kaedah eklektik Kaedah ini adalah gabungan kaedah-kaedah mengikut kesesuaian murid, situasi bilik darjah dan bahan-bahan bacaan yang digunakan. Ada yang menggunakan penujuan sintetik, ada penujuan analitik dan ada pula penujuan sintetik-analitik.

6.0 Pratulisan Peringkat pengajaran menulis terbahagi kepada tiga iaitu peringkat pratulisan, peringkat mekanis dan peringkat untuk pelahiran. (a) Peringkat Pratulisan Peringkat Pratulisan adalah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh masa ini latihan otot-otot, tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata diberi kepada murid-murid dari awal-awal lagi. Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang dirancangkan haruslah sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pratulisan yang berbentuk bebas. Latihan-latihan pratulisan menitikberatkan beberapa perkara seperti melakukan latihanlatihan pergerakan tangan terebih dahulu seperti mengerakkan jari di atas garisan atau corak yang dilakarkan di atas kertas supaya murid-murid dapat menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan sempurna. Latihan seperti membentuk bulatan di udara, di meja, di lantai, di atas pasir, di atas rumput tanpa mengunakan alat tulis seperti melukis bulatan besar dan kecil juga boleh dilakukan. Di samping itu murid-murid boleh melakukan latihan pergerakan jari dengan memainkan jari, menekan jari, mengoyangkan tangan, meramas-ramas jari dan sebagainya. Setelah mahir dalam aktiviti tersebut murid-murid boleh melakukan latihan-latihan pergerakan mata dan seterusnya melakukan latihan-latihan yang melibatkan koordinasi tangan dan mata. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti latihan mengikut garisangarisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan, latihan membentuk garisan lurus, latihan mewarnakan rajah berbentuk mudah dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri dan seterusnya membentuk corak-corak gabungan antara bulatan dan garis lurus secara bebas.

(b) Peringkat Tulisan Mekanis Selepas peringkat pratulisan, murid boleh dilatih membentuk lambang-lambang tulisan. Pada peringkat awal, murid dicadangkan membentuk huruf di atas kertas kosong yang tidak bergaris. Setelah didapati memuaskan barulah dilatih pada halaman yang bergaris di mana kawalan tulisan adalah diperlukan. Ia harus bermula daripada garisan lebar hingga lembaran satu garis. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan adalah seperti latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan terkawal, latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua, latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu dan latihan membentuk lambang tulisan dengan cara yang betul untuk mendapat keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam. (c) Peringkat Menulis Untuk Pelahiran Setelah menguasai menulis mekanis, murid-murid patut digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Di antara aktiviti aktivit-aktiviti menulis yang boleh dijalankan adalah seperti mengisi tempat kosong bagi ayat, melengkapkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai, menulis ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi dan memanjangkan ayat dengan menambahkan rangka kata yang sesuai. Selain itu aktiviti yang lebih kompleks seperti membentuk ayat-ayat bagi menlengkapkan cerita, menulis ayat berdasarkan gambar, menulis jawapan kefahaman, menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan dan menulis karangan daripada tajuk yang disediakan. Pelbagai aktiviti harus dijalankan sehingga murid-murid dapat menguasai kemahiran menulis.

Anda mungkin juga menyukai