Anda di halaman 1dari 10

ASEAN Comparative Education Research Network Conference 2015

7-8 Oktober 2015, Malaysia

Kemahiran Konsep Cetakan Kanak-Kanak Taska Di Malaysia


Zainiah Mohamed Isa
Universiti Pendidikan Sultan Idris
zainiah@fppm.upsi.edu.my

ABSTRAK
Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran dan kriteria konsep cetakan kanak-
kanak TASKA di Malaysia. Responden yang terlibat dalam kajian adalah 155 orang kanak-kanak yang
berumur 2, 3 dan 4 tahun dari pusat Taska di sekitar Perak dan Selangor. Reka bentuk kajian adalah kajian
tinjauan yang menggunakan borang senarai semak. Pendidik akan mengisi maklumat mengenai tahap
penguasaan konsep cetakan dalam kalangan kanak-kanak. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap
penguasaan kemahiran konsep cetakan kanak-kanak 2 tahun adalah lemah (min=1.82), sementara 3
tahun (min=2.42) dan 4 tahun (min=2.65) adalah di peringkat sederhana. Kajian ini juga menyenaraikan
kriteria penguasaan konsep cetakan bagi setiap peringkat umur bagi sampel dalam kajian ini. Implikasi
kajian ini menunjukkan kemahiran konsep cetakan perlu diberikan perhatian serius dalam kurikulum
TASKA. Menerusi kajian ini juga dicadangkan supaya pendidik melaksanakan penilaian konsep cetakan,
memperbanyakkan aktiviti membaca bersama kanak-kanak, menyediakan modul kemahiran konsep
cetakan dan juga program penglibatan ibu bapa.

Kata kunci : Konsep cetakan, kemahiran konsep cetakan, kriteria konsep cetakan

PENGENALAN
Konsep cetakan merujuk kepada pengetahuan kanak-kanak terhadap fungsi cetakan dan
bagaimana cetakan tersebut bertindak (Clay 1989). Hal Ini termasuklah memahami bahawa
membaca buku adalah bermula dari depan ke belakang dan cetakan juga merupakan bahasa
percakapan yang ditulis. Adams (1990) turut menjelaskan perlunya pengetahuan tentang
perkataan, ayat dan cerita sebagai kriteria bagi konsep cetakan. Jelaslah konsep cetakan
bermula daripada konsep bahawa bahasa lisan boleh dicetak, seterusnya memahami bahawa
cetakan tulisan yang dibaca bagi memahami penulisan teks. Oleh itu, adalah penting untuk
memastikan kanak-kanak menguasai konsep cetakan pada peringkat awal lagi.

LATARBELAKANG
Jumlah kanak-kanak yang belum menguasai kemahiran membaca di negara ini semakin
membimbangkan. Laporan Berita Harian (2009) Kementerian Pelajaran mengenal pasti 85000
orang kanak-kanak masih belum boleh membaca dan menulis. Masalah membaca sering
dikaitkan dengan kelemahan dalam penguasaan literasi kanak-kanak. Ini berkemungkinan
kerana kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai asas yang kukuh dalam perkembangan literasi
awal mereka. Ini kerana menurut teori pemunculan literasi (Emergent Literacy Theory),
pendedahan terhadap kemahiran membaca adalah bermula sejak kanak-kanak lahir lagi.
Clay (1989) menyatakan konsep cetakan adalah merujuk kepada pemahaman kanak-
kanak terhadap fungsi cetakan dan bagaimana cetakan digunakan. Melalui pemerhatian, beliau
mendapati kanak-kanak perlu mempelajari konsep cetakan sebagai pra persediaan kepada
membaca. Beliau juga mencadangkan agar konsep cetakan diajar kepada pembaca baharu
semenjak awal usia lagi. Kajian Adam (1990) juga menyokong pendapat Clay (1989) ini, bahkan
beliau turut menyarankan bukan hanya mengajar konsep cetakan sejak dari awal lagi tetapi juga
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

konsep mengenai perkataan, ayat dan juga cerita bagi memastikan kanak-kanak memperoleh
pengetahuan asas bacaan.

Konsep Cetakan Sebagai Asas Membaca


Kajian-kajian (Clay 1989, Adams 1990, Stuart 1995, Justice, Bowles & Skibbe 2006, Pullen &
Justice 2003) mengenai konsep cetakan telah membuka lembaran baharu dalam bidang literasi
awal kanak-kanak. Ini kerana pengetahuan dan penguasaan dalam konsep cetakan ini
merupakan asas kepada pengetahuan membaca dan menulis kanak-kanak semasa di peringkat
awal usia mereka. Justeru, kebolehan dan keupayaan kanak-kanak dalam konsep cetakan
merupakan faktor peramal bagi pencapaian mereka dalam kebolehan membaca dan kemahiran
ini merupakan elemen penting dalam komponen teori pemunculan literasi (Adam 1990, Stuart
1995 dalam Justice & Ezell 2001).
Ini dapat dilihat dalam kajian oleh Justice dan Ezell (2001) mengenai kesedaran cetakan
dan perkataan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Sampel kajian adalah 30 orang kanak-
kanak yang berusia 4 tahun selama 6 minggu. Semasa kajian berlangsung kanak-kanak
didedahkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan rutin bacaan bersama. Hasil kajian
mencadangkan bahawa kanak-kanak memperoleh konsep cetakan terlebih dahulu sebelum
mula mempelajari perkataan dalam cetakan. Kajian ini juga mendapati pemahaman
pemunculan literasi adalah berbeza antara setiap kanak-kanak berdasarkan kepada pengalaman
dan pendedahan yang diberikan oleh ibu bapa atau pendidik kepada kanak-kanak (Mason, 1980;
Goodman, 1986; Chaney, 1992). Lebih banyak pendedahan yang diperoleh oleh kanak-kanak
lebih mudah mereka menguasai konsep cetakan dan seterusnya mudah membaca perkataan.
Dapatan yang sama juga berlaku dalam kajian Lomax dan McGee (1987) yang
melaksanakan kajian untuk melihat keberkesanan konsep cetakan dalam membantu kanak-
kanak mengenal perkataan. Kajian tersebut melibatkan 81 orang kanak-kanak yang berumur
antara 3 hingga 7 tahun. Sebanyak 18 jenis penilaian digunakan untuk mengukur hipotesis
tersebut. Antaranya ialah penilaian penulisan jurnal, senarai semak kesedaran fonemik dan
senarai semak konsep cetakan telah digunakan dalam ujian pra dan pasca bagi menguji model
pengajaran yang mengandungi komponen-komponen seperti konsep cetakan, kesedaran huruf,
kesedaran fonemik dan juga kesedaran bunyi huruf. Dapatan kajian tersebut menunjukkan
kemahiran konsep cetakan mempengaruhi kesedaran grafik, kemahiran kesedaran fonemik
mempengaruhi pengetahuan grafem-fonem yang akan mempengaruhi mengenal perkataan
dalam pembacaan. Hal ini jelas menunjukkan konsep cetakan merupakan peramal kepada
membaca perkataan. Seterusnya kajian ini juga menunjukkan kemahiran literasi bagi setiap
komponen berkembang selari dengan peningkatan usia kanak-kanak.
Kajian Justice, Bowles dan Skibbe (2006) turut mengukur penguasaan konsep cetakan
kanak-kanak biasa dan juga kanak-kanak berisiko yang berusia 3 ke 5 tahun menggunakan item
teori tindakbalas. Kajian ini menentukan kualiti psikomentrik bagi rujukan kriteria bagi
penguasaan pengetahuan konsep cetakan kanak-kanak. Sampel seramai 128 kanak-kanak yang
berusia 3-5 tahun daripada pelbagai SES dan juga kebolehan berbahasa. Dapatan kajian
menunjukkan instrumen Preschool Word and Print Awareness (PWPA) sesuai digunakan oleh
pendidik dan penyelidik untuk mengukur penguasaan konsep cetakan kanak-kanak 3-5 tahun.
Kajian juga menunjukkan SES dan kebolehan berbahasa adalah peramal yang signifikan terhadap
penguasaan konsep cetakan apabila usia digunakan sebagai kovariat. Kajian ini jelas
menunjukkan persekitaran dan perkembangan bahasa mempengaruhi penguasaan konsep
cetakan kanak-kanak.
Berdasarkan kajian-kajian didapati betapa pentingnya kemahiran konsep cetakan
sebagai asas kepada literasi awal kanak-kanak terutamanya dalam membaca. Selain daripada itu
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

persekitaran dan perkembangan bahasa kanak-kanak juga mempengaruhi penguasaan konsep


cetakan. Oleh itu, adalah penting bagi pendidik memastikan semua kanak-kanak menguasai
kemahiran ini sejak awal usia lagi bagi memastikan kanak-kanak mempunyai asas literasi yang
kukuh.

Kemahiran Konsep Cetakan dan Usia Kanak-kanak


Kemahiran konsep cetakan ini juga berkembang selari dengan pertambahan usia kanak-
kanak. Antara kemahiran yang paling awal adalah kanak-kanak tahu menggunakan buku.
Kemahiran ini dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 2 ke 3 tahun yang
memegang buku dengan betul (tidak terbalik), menyelak muka surat dan bermain buku dengan
cara yang berbeza bermain alat mainan yang lain (Snow & Ninio, 1986). Kemahiran ini
berkembang kepada kemahiran konsep cetakan yang lain melalui pembacaan buku yang
berterusan dan juga peluang untuk kanak-kanak meneroka bahan bacaan.
Seterusnya bagi kanak-kanak berusia 3 tahun, kajian oleh Mason (1980) dalam
Justice dan Ezell (2001) mendapati bahawa kanak-kanak ini telah dapat mengenal konsep
cetakan. Beliau menegaskan lagi bahawa berlakunya transformasi ketika itu iaitu kanak-kanak
tertarik terhadap cetakan dan meneroka sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Antara
perlakuan yang diperhatikan ialah kanak-kanak menggunakan cetakan untuk berkomunikasi,
membaca huruf serta mengenal pasti huruf dan perkataan di media massa seperti surat khabar.
Selain itu, Justice dan Ezell (2001) turut menjalankan kajian terhadap kanak-kanak yang
berumur 4 tahun bagi melihat hubungan antara penguasaan konsep cetakan dengan mengenali
perkataan khusus menggunakan Penilaian Perkataan Prasekolah dan Konsep Cetakan yang
diperkenalkan oleh Clay. Kajian tersebut mendapati kanak-kanak yang berusia 4 tahun telah
mampu membaca perkataan.
Oleh itu dapat dilihat kemahiran konsep cetakan berkembang selari dengan
perkembangan usia kanak-kanak. Ini kerana semakin bertambah usia semakin banyak
pendedahan dari orang dewasa dan juga persekitaran yang dapat mempertingkatkan kemahiran
kanak-kanak dalam kemahiran konsep cetakan.

Ciri-ciri dalam Kemahiran Konsep Cetakan


Kemahiran konsep cetakan adalah kefahaman kanak-kanak tentang fungsi sesuatu bahan
bacaan itu dan prinsip-prinsip yang melibatkan penyusunan bahan cetakan yang terdapat dalam
bahan bacaan tersebut. Justice dan Ezell (2004) berpendapat bahawa antara aspek khusus yang
terlibat dalam pengetahuan konsep cetakan adalah kanak-kanak memahami cara memegang
buku yang betul, tahu membelek arah helaian buku dengan betul, dan juga boleh membezakan
antara tulisan dan gambar. Goodman (1986) turut bersetuju bahawa konsep cetakan juga
melatih keupayaan kanak-kanak mengenal pasti bahagian-bahagian buku seperti nama buku,
bahagian atau tempat yang betul untuk memulakan bacaan, halaman muka surat dan
sebagainya. Menurut beliau lagi, penguasaan terhadap konsep cetakan ini merujuk kepada
kebolehan seorang kanak-kanak dalam memilih dan mengenal pasti fungsi bahan bacaan dan
seterusnya mengetahui hubungan antara bahasa lisan dan bahasa tulisan. Oleh itu, apabila
kanak-kanak mendengar pembacaan dan juga meneroka sesuatu bahan bacaan dengan cara
mereka yang tersendiri, tahap penguasaan terhadap konsep cetakan mereka meningkat. Jika
semasa aktiviti ini kanak-kanak dibimbing untuk meneroka tulisan yang bercetak dalam buku
cerita (Justice & Ezell, 2004) yang dibaca, pengetahuan abjad dan juga mengenal pasti perkataan
akan turut terbentuk.
Selain dari itu, penilaian terhadap penguasaan konsep cetakan juga boleh dilaksanakan
menerusi pembacaan buku secara kuat. Gillet dan Temple (1994) menyatakan bahawa penilaian
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

terhadap penguasaan konsep cetakan dalam literasi awal kanak-kanak dilihat melalui cara
mereka mengendalikan sesuatu bahan bacaan, seperti tahu muka hadapan dan muka belakang
buku, tahu penyusunan berarah tentang bahan yang bercetak, iaitu dari kiri ke kanan, tahu
perbezaan antara huruf dan perkataan dan akhir sekali tahu penggunaan tanda baca yang
mudah. Oleh itu aktiviti pembacaan secara kuat perlu kerap dilakukan di dalam bilik darjah
pendidikan awal. Ini kerana melalui pembacaan ini kanak-kanak bukan hanya dapat mencontohi
perlakuan pembaca dan mempelajari secara tidak langsung tentang konsep cetakan, malahan
juga pendidik dapat melakukan penilaian melalui pemerhatian.

TUJUAN DAN OBJEKTIF KAJIAN


Kajian ini bertujuan untuk melihat penguasaan konsep cetakan bagi kanak-kanak TASKA di
Malaysia.

Objektif yang hendak dicapai ialah:


I. Mengenal pasti tahap penguasaan konsep cetakan bagi kanak-kanak yang berusia 2, 3 dan 4
tahun di Malaysia?
II. Mengenal pasti kriteria konsep cetakan bagi kanak-kanak yang berusia 2, 3 dan 4 tahun di
Malaysia?

METODOLOGI KAJIAN
Kajian yang dijalankan adalah berbentuk kajian tinjauan. Maklumat mengenai kemahiran konsep
cetakan kanak-kanak ini dikumpulkan oleh beberapa orang pendidik pelatih di beberapa buah
Taska yang terpilih. Lokasi yang dipilih untuk menjalankan kajian ini adalah di beberapa buah
Taska di sekitar Perak dan Selangor. Pemilihan beberapa buah Taska dibuat disebabkan bilangan
responden yang diperlukan oleh pengkaji bagi sesebuah Taska hanya beberapa orang bagi
mewakili populasi tertentu. Oleh hal yang demikian, dengan menjalankan kajian di lokasi yang
dipilih ini dapat memenuhi keperluan kajian ini.
Populasi bagi kajian ini ialah kanak-kanak berumur 2, 3 dan 4 tahun yang berada di
Taska di Malaysia. Sampel kajian pula terdiri daripada 155 orang kanak-kanak Taska 2, 3 dan 4
tahun yang berada di Taska. Pengkaji memilih kanak-kanak berumur 2, 3 dan 4 tahun kerana
mereka merupakan pembaca pada peringkat baharu. Pada peringkat baharu ini, kanak-kanak
perlu diajar dan didedahkan dengan cara buku berfungsi dan konsep cetakan secara khususnya.
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini borang senarai semak berkaitan konsep
cetakan yang diubah suai daripada borang senarai semak konsep cetakan oleh Clay (1989).
Borang soal selidik diubah suai dan oleh pengkaji sendiri berdasarkan maklumat daripada buku
rujukan untuk memenuhi keperluan kajian ini.
Berikut adalah item-item yang digunakan di dalam borang soal selidik dan juga untuk
penilaian kemahiran konsep cetakan kanak-kanak:

Bahagian A: Maklumat Kanak-Kanak.


● Nama
● Jantina
● Nama taska
● Orientasi taska

Bahagian B: Kemahiran Konsep Cetakan.


● Tahu fungsi buku
● Tahu memegang buku dengan betul
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

● Tahu kulit/muka depan buku


● Tahu tajuk buku
● Tahu mana gambar dan mana perkataan
● Tahu membaca dari kiri ke kanan
● Tahu permulaan ayat dan penghujung cerita
● Tahu bahawa tulisan teks yang mengisahkan cerita, bukannya gambar
● Tahu bilangan ayat yang terdapat dalam muka surat tertentu
● Tahu yang mana huruf dan yang mana perkataan

DAPATAN KAJIAN

Demografi Kajian
Dalam kajian ini, jumlah kanak-kanak terlibat adalah seramai 155 orang. Seramai 51 orang
(32.9%) kanak-kanak adalah berumur 2 tahun, 52 orang (33.5%) kanak-kanak berumur 3 tahun
dan 52 orang (33.5%) kanak-kanak berumur 4 tahun.
Kajian ini mengambil kira orientasi Taska yang merangkumi orientasi KEMAS, PERMATA,
PASTI dan swasta bagi memastikan sampel yang diambil adalah daripada populasi pelbagai
Taska. Berdasarkan kajian yang dijalankan, sebanyak 40 orang (25.8%) kanak-kanak adalah dari
Taska KEMAS, 38 orang (24.5%) dari Taska PERMATA, 38 orang (24.5%) dari Taska PASTI dan 39
orang (25.2%) dari Taska swasta.

Tahap Penguasaan Konsep Cetakan Kanak-kanak


Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap penguasaan kemahiran konsep cetakan terhadap 155
orang kanak-kanak yang berumur 2, 3 dan 4 tahun yang diambil pada suku tahun pertama
persekolahan. Penilaian tahap penguasaan kanak-kanak dinilai berdasarkan 10 item kemahiran,
iaitu daripada kemahiran asas kepada kemahiran yang sukar. Kemahiran dinilai menggunakan
skala Likert, skala 1 hingga 4 di mana skala 1 merupakan tahap lemah manakala skala 4
menunjukkan tahap cemerlang.
Analisis kajian ini secara keseluruhan menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pada
tahap penguasaan konsep cetakan kanak-kanak berumur 2 tahun, 3 tahun, dan 4 tahun. Secara
keseluruhan tahap pencapaian konsep cetakan kanak-kanak yang berumur 2 tahun (min: 1.82)
mempunyai penguasaan konsep cetakan yang lemah, sementara kanak-kanak berumur 3 tahun
(min: 2.42) dan 4 tahun (min:2.65) adalah sederhana seperti dipamerkan dalam Jadual 1 di
bawah;

Jadual 1: Min Keseluruhan Tahap Penguasaan Konsep Cetakan Kanak-Kanak

Kemahiran konsep cetakan Min Keseluruhan


2 Tahun 1.82
3 Tahun 2.42
4 Tahun 2.65

Kriteria Konsep Cetakan Bagi Kanak-kanak


Bagi menjawab persoalan kedua, pengkaji mengambil kira min setiap item mengikut umur.
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

4
3.5
3
2.5
2
1.5
1
0.5
0

2 Tahun

3 Tahun

4 Tahun

Rajah 1: Kriteria Konsep Cetakan Kanak-Kanak 2, 3 dan 4 Tahun

Kriteria bagi kanak-kanak 2 tahun ialah tahu pegang buku mempunyai min tertinggi
(min: 2.39) dan tahu muka depan (min : 2.14). Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak 2
tahun telah menguasai konsep buku berbanding kemahiran konsep cetakan yang lain.
Kemahiran ini adalah kemahiran yang paling mudah dikuasai oleh kanak-kanak dalam komponen
konsep cetakan.
Kriteria bagi kanak-kanak 3 tahun pula ialah tahu cara memegang buku yang betul (min:
3.06), tahu fungsi buku (min: 3.04), tahu muka depan sesebuah buku (min: 3.00), tahu
membezakan gambar dengan perkataan (min : 2.87), tahu tajuk buku (min : 2.40), tahu
membaca dari kiri ke kanan (min : 2.29) dan tahu permulaan dan penghujung ayat (min : 2.13).
Berdasarkan dapatan ini, dapat disimpulkan bahawa kanak-kanak 3 tahun telah menguasai
beberapa kemahiran seperti tahu cara memegang buku yang betul, tahu fungsi buku, tahu muka
depan sesebuah buku, tahu membezakan gambar dengan perkataan, tahu tajuk buku, tahu
membaca dari kiri ke kanan dan tahu permulaan dan penghujung ayat. Hal ini menunjukkan
bahawa kanak-kanak 3 tahun telah menguasai konsep buku dan kemahiran konsep cetakan yang
berkaitan dengan prosedur pembacaan.
Kriteria bagi kanak-kanak 4 tahun adalah tahu fungsi buku (min: 3.50), tahu cara
memegang buku yang betul (3.48), tahu muka depan sesebuah buku (min: 3.00), tahu
membezakan gambar dengan perkataan (min : 2.94), tahu tajuk buku (min : 3.00), tahu
membaca dari kiri ke kanan (min : 2.35), tahu di mana permulaan dan penghujung ayat (min :
2.21) dan tahu teks yang mengisahkan cerita bukannya gambar (min : 2.19) merupakan kriteria
kemahiran yang paling dikuasai oleh kanak-kanak 4 tahun ini.
Berdasarkan dapatan ini dapat disimpulkan bahawa kanak-kanak 4 tahun telah
menguasai beberapa kemahiran seperti tahu fungsi buku, tahu cara memegang buku yang betul,
tahu muka depan sesebuah buku, tahu membezakan gambar dengan perkataan, tahu tajuk
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

buku, tahu membaca dari kiri ke kanan, tahu di mana permulaan dan penghujung ayat dan tahu
membezakan huruf dengan perkataan. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak 4 tahun telah
menguasai kebanyakan kemahiran konsep cetakan terutamanya tahu tulisan teks yang
mengisahkan cerita dan bukannya gambar yang merupakan ciri utama dalam kemahiran konsep
cetakan.
Berdasarkan analisis kajian ini, rumusan kriteria yang dicadangkan adalah seperti
berikut;

Jadual 2: Kriteria Konsep Cetakan Kanak-Kanak 2, 3 dan 4 Tahun

Kemahiran Konsep Cetakan Tahap Umur


2 3 4
Tahu fungsi buku.  
Tahu memegang buku dengan betul.   
Tahu kulit/ muka depan buku.   
Tahu tajuk buku.  
Tahu membezakan gambar dengan perkataan.  
Tahu membaca dari kiri ke kanan.  
Tahu di mana permulaan dan penghujung ayat.  
Tahu tulisan teks yang mengisahkan cerita bukannya 
gambar.
Tahu bilangan ayat yang terdapat dalam muka surat
tertentu
Tahu yang mana perkataan dan huruf
PERBINCANGAN
Perbincangan kajian ini bertujuan untuk menilai tahap pencapaian konsep cetakan kanak-kanak
di Malaysia dan membandingkannya dengan tahap pencapaian kanak-kanak di luar negara.

Penguasaan Konsep Cetakan Kanak-kanak 2, 3 dan 4 Tahun


Apabila keputusan kajian dinilai dari segi usia kanak-kanak, hasil dapatan menunjukkan terdapat
perbezaan yang ketara dalam tahap penguasaan konsep cetakan untuk kanak-kanak yang
berumur 2 tahun dengan 3 dan 4 tahun. Dapatan kajian menunjukkan penguasaan konsep
cetakan agak lemah bagi usia 2 tahun tetapi sederhana bagi usia 3 dan 4 tahun. Walaupun
penguasaan kanak-kanak 3 dan 4 tahun tidak banyak berbeza, namun kanak-kanak yang
berumur 4 tahun mempunyai tahap penguasaan konsep cetakan yang lebih baik berbanding
dengan kanak-kanak yang berumur 3 tahun.
Dapatan ini menunjukkan bahawa pemahaman kanak-kanak terhadap konsep cetakan
semakin meningkat mengikut usia seperti dalam kajian Evans, Williamson & Pursoo (2008).
Dalam pada itu, tahap pencapaian kanak-kanak dalam konsep cetakan adalah semakin
meningkat mengikut usia, iaitu kanak-kanak berumur 5 tahun menunjukkan pencapaian
tertinggi diikuti oleh kanak-kanak berumur 4 tahun dan terakhir adalah kanak-kanak berumur 3
tahun apabila pendidik membaca buku bersama sambil menunjuk pada setiap perkataan semasa
membaca. Ini bersesuaian dengan kenyataan Clay (1989) yang pemunculan literasi berlaku
secara berperingkat-peringkat, iaitu perlakuan menulis dan membaca kanak-kanak yang
berkembang kepada kebolehan membaca dan menulis yang sebenarnya.
Dari segi kemahiran konsep cetakan, kajian ini mendapati kemahiran yang paling mudah
dikuasai oleh kanak-kanak ialah kemahiran memegang buku dengan betul dan sebaliknya kanak-
kanak kurang menguasai kemahiran konsep huruf, perkataan dan ayat. Ini bertepatan dengan
pemeringkatan kriteria konsep cetakan iaitu kemahiran memegang buku dengan betul adalah
antara kemahiran konsep cetakan yang terawal, sementara kemahiran mengenal pasti ayat,
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

perkataan dan huruf adalah kemahiran yang lebih tinggi seperti yang dicadangkan oleh Justice
dan Ezell (2004), Goodman (1986), Mason (1980), Hiebert (1981), dan van Kleeck (1998). Ini
menunjukkan penguasaan konsep cetakan kanak-kanak bermula dengan pengetahuan tentang
bagaimana buku berfungsi dan akhirnya berkembang kepada kemahiran yang lebih tinggi, iaitu
bagaimana cetakan teks berfungsi.
Sememangnya kemahiran konsep buku sepatutnya telah mula dikuasai oleh kanak-kanak
seawal usia 2 tahun. Namun begitu jika mereka kurang mendapat pendedahan kepada
pembacaan, kemahiran ini turut kurang dikuasai. Aktiviti pembacaan yang menarik
sememangnya membantu kanak-kanak dalam memperkukuhkan konsep cetakan (Ezell &
Justice, 2000). Oleh itu pembacaan buku kepada kanak-kanak adalah penting untuk menyemai
kemahiran penguasaan konsep cetaka. Ini kerana kebolehan dan keupayaan kanak-kanak dalam
konsep cetakan merupakan peramal bagi pencapaian mereka dalam membaca pada masa
hadapan (Adam, 1990; Van Kleeck, 1998; Justice & Ezell, 2001).
Kriteria Konsep Cetakan Bagi Kanak-kanak
Dapatan kajian ini menunjukkan kebanyakan kanak-kanak 2 tahun dalam kajian ini telah boleh
memegang buku dan telah boleh mengenal pasti muka depan buku yang merupakan kebolehan
awal dalam konsep cetakan. Hasil dapatan kajian ini sama dengan kajian oleh Snow & Ninio
(1986) yang melihat kemahiran ini dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 2 ke 3 tahun di
dalam kajian mereka. Kanak-kanak pada usia ini memegang buku dengan betul (tidak terbalik),
menyelak muka surat dan bermain buku dengan cara yang berbeza bermain alat mainan yang
lain. Oleh itu, dapatan kajian ini mendapati kanak-kanak telah dapat menguasai kemahiran
memegang buku dan telah boleh mengenal pasti muka depan buku, adalah merupakan satu
permulaan yang baik. Goodman (1986), Mason (1980) dan Hiebert (1981) turut bersetuju
bahawa penguasaan awal terhadap konsep cetakan ini merujuk kepada kebolehan seorang
kanak-kanak dalam memilih dan mengenal pasti fungsi bahan bacaan dan seterusnya
mengetahui hubungan antara bahasa lisan dan bahasa tulisan. Diharapkan berasaskan
kemahiran sedia ada ini akan dapat mendorong keupayaan kanak-kanak untuk mengenal pasti
bahagian-bahagian buku seperti nama buku, bahagian atau tempat yang betul untuk
memulakan bacaan, halaman muka surat dan sebagainya. Hal ini kerana apabila kanak-kanak
berpeluang mendengar pembacaan buku dan juga meneroka sesuatu bahan bacaan itu dengan
cara mereka yang tersendiri, tahap penguasaan terhadap konsep cetakan mereka akan dapat
berkembang.
Bagi kanak-kanak 3 tahun pula, kemahiran yang telah dikuasai oleh kebanyakan kanak-
kanak di Malaysia ialah mengetahui cara memegang buku yang betul, mengetahui fungsi buku,
mengetahui muka depan sesebuah buku, mengetahui membezakan gambar dengan perkataan,
mengetahui tajuk buku, mengetahui membaca dari kiri ke kanan dan telah mengetahui
permulaan dan penghujung ayat. Kemahiran yang dikuasai oleh kanak-kanak dalam kajian ini
agak ketinggalan berbanding kemahiran kanak-kanak 3 tahun dalam kajian oleh Mason (1980)
dalam Justice & Ezell (2001). Kajian Mason mendapati bahawa kanak-kanak telah tertarik
terhadap cetakan dan meneroka sendiri tanpa bantuan orang dewasa antaranya kanak-kanak
menggunakan cetakan untuk berkomunikasi, membaca huruf serta mengenal pasti huruf dan
perkataan di media massa seperti surat khabar. Ini mungkin disebabkan budaya Barat yang
melibatkan pembacaan sebagai rutin harian terutamanya sebelum waktu tidur yang
menyebabkan pembacaan kepada kanak-kanak bukan hanya berlaku di sekolah semata-mata,
tetapi juga di rumah. Keadaan ini berbeza dengan budaya kita di Malaysia iaitu membaca di
rumah bukanlah sebagai rutin harian (Zainiah, 2005).
Dapatan kajian ini mendapati kanak-kanak 4 tahun dalam kajian ini lebih maju dalam
pengetahuan konsep cetakan, iaitu mereka telah menguasai fungsi buku, mengetahui cara
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

memegang buku yang betul, mengetahui muka depan sesebuah buku, mengetahui membezakan
gambar dengan perkataan, mengetahui tajuk buku, mengetahui membaca dari kiri ke kanan dan
telah mengetahui permulaan dan penghujung ayat dan juga mengetahui tulisan teks yang
mengisahkan cerita bukannya gambar. Namun, kanak-kanak 4 tahun dalam kajian ini masih lagi
lemah dalam mengenal pasti ayat, perkataan dan huruf berbanding kanak-kanak 4 tahun dalam
kajian Justice & Ezell (2001) yang telah mengenali perkataan. Ini berkemungkinan kerana kanak-
kanak dalam kajian ini agak lambat dalam penguasaan konsep cetakan, maka penguasaan
mereka membaca perkataan juga akan turut ketinggalan seperti yang dinyatakan oleh Lomax
dan McGee (1987).
Secara keseluruhan, pencapaian konsep cetakan di Malaysia berada pada tahap
sederhana tetapi masih ketinggalan berbanding kanak-kanak di barat. Namun, penguasaan
kemahiran ini boleh dipertingkatkan sekiranya kurikulum pendidikan awal sedia ada diperkemas
lagi dengan mengambil kira kemahiran konsep cetakan sebagai salah satu komponen literasi
awal yang perlu diterapkan sejak kanak-kanak berusia 2 tahun lagi. Berdasarkan dapatan kajian
yang telah dijalankan, diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada pihak-pihak
berkepentingan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak supaya lebih mengenali dan
memahami kepentingan konsep cetakan. Hasil kajian ini dapat memberi gambaran sebenar
kepada pendidik prasekolah terhadap situasi semasa tentang tahap penguasaan konsep cetakan
kanak-kanak prasekolah di negara ini.
Kajian ini memberikan kriteria penguasaan kemahiran konsep cetakan bagi kanak-
kanak di Malaysia berusia 2, 3 dan 4 tahun. Melalui kriteria ini suatu modul pengajaran dan
pembelajaran konsep cetakan boleh dibina bagi membantu mempertingkatkan kemahiran ini
dalam kalangan kanak-kanak Taska. Pengajaran dan pembelajaran menggunakan konsep
cetakan boleh dilakukan secara langsung dan tidak langsung ataupun secara gabungan.
Memandangkan tahap penguasaan konsep cetakan kanak-kanak dalam kajian ini adalah
sederhana maka usaha melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berasaskan kemahiran
konsep cetakan perlu disegerakan. Ini kerana beberapa hasil dapatan kajian menunjukkan
penguasaan konsep cetakan membawa kesan yang positif dalam perkembangan literasi kanak-
kanak terutamanya dalam kemahiran membaca.
Selain itu, pengkaji mencadangkan pelaksanaan bacaan bersama dengan menggunakan
buku besar dilakukan untuk kanak-kanak Taska seawal usia dua tahun. Melalui aktiviti bacaan
bersama, kanak-kanak boleh menghayati pembacaan buku cerita, di samping mendapat
pendedahan mengenai kemahiran konsep cetakan. Latihan dan galakan kepada ibu bapa boleh
perlu diberikan supaya mereka dapat menjadikan pembacaan buku sebagai rutin harian di
rumah.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kajian ini memperlihatkan tahap penguasaan konsep cetakan bagi kanak-kanak
berusia 2, 3 dan 4 tahun di Malaysia yang di tahap sederhana. Memandangkan konsep cetakan
secara amnya dapat memainkan peranan yang penting dalam asas kemahiran literasi dan
membaca kanak-kanak, kemahiran ini perlu diberikan perhatian dalam pembinaan kurikulum
literasi awal kanak-kanak. Semua pihak terutamanya pendidik dan ibu bapa perlu memainkan
peranan dalam menerapkan kemahiran ini dalam kalangan kanak-kanak. Diharapkan usaha ini
akan dapat membantu mempertingkatkan kemahiran literasi kanak-kanak di masa akan datang.
Asean Comparative Education Research Network Conference 2015
7-8 Oktober 2015, Malaysia

RUJUKAN
Adams, M. J. (1990). Beginning to read: Thinking and learning about print. Cambridge, MA: MIT Press.
Chaney, C. (1992). Language development, metalinguistic skills, and print awareness in 3-year-old
children. Applied Psycholinguistics, 13(04), 485-514.
Clay, M. M. (1989). Concept about print in English and other languages. The Reading Teacher 42: 268-276.
Evans, M. A., Williamson, K., & Pursoo, T. (2008). Pre-schoolers’ attention to print during shared book
reading. Scientific Studies of Reading, 12(1), 106-129.
Ezell,H. K. & Justice L. M. (2000),Increasing the print focus of adult-child shared book reading through
observational learning. American Journal of Speech-Language Pathology. 9 (1), 36-47.
Gillet, J. W. & Temple, C. (1994). Understanding Reading Problems: Assessment and Instruction.New York:
Harper Collins.
Goodman, K. S. (1986) What's Whole in Whole Language? A Parent/Teacher Guide to Children's Learning.
Portsmout: Heinemann Educational Books, Inc.
Justice, L. M., & Ezell, H. K. (2001). Word and print awareness in 4-year-old children. Child Language
Teaching and Therapy, 17(3), 207-225.
Justice, L. M. & Ezell, H. K. (2004). Print referencing: An emergent literacy enhancement technique and its
clinical applications: Language, Speech & Hearing Services in Schools, 36, 17-32.
Justice, L. M., Bowles, R.P. & Skibbe, L.E. (2006). Measuring preschool attainment of print-concept
knowledge: A study of typical and at-risk 3-to 5-year-old children using item response
theory. Language, Speech, and Hearing Services in Schools, 37(3), 224-235.
Hiebert, E.H. (1981) Developmental patterns and inter-relationships of preschool children’s print
awareness. Reading Research Quarterly 16, 236-259
Lomax, R. & McGee, L.M (1987). Young children’s concept about print and reading: Toward a model of
word reading acquisition. Reading Research Quarterly, 22920, 237-256.
Mason, J. (1980). When do children begin to read: An exploration of four year-old children's letter and
word reading competencies. Reading Research Quarterly,15, 203-227.
Mohd Rogi Abdullah. (2009, September 12) 85000 murid tak tahu baca, menulis. Berita Harian.
Pullen, P. C., & Justice, L. M. (2003). Enhancing phonological awareness, print awareness, and oral
language skills in preschool children. Intervention in school and clinic, 39(2), 87-98.
Stuart, M. (1995). Prediction and qualitative assessment of five- and sixyear old children’s reading: A
longitudinal study. British Journal of Educational Psychology, 65, 287–296.
Snow, C. E., & Ninio, A. (1986). The contracts of literacy: What children learn from learning to read books.
Emergent literacy: Writing and reading, 116-138.
Van Kleeck, A. (1998). Preliteracy Domains and Stages Laying the Foundations for Beginning
Reading. Communication Disorders Quarterly, 20(1), 33-51.
Zainiah Mohamed Isa (2005). Peranan Ibu Bapa dan Guru Dalam Mempertingkatkan Tahap Bacaan
Kanak- Kanak. Dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Malaya
Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai