Anda di halaman 1dari 5

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PAVLOV, WATSON DAN THORNDIKE DI DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TEORI IVAN PETROVICH

PAVLOV Ivan Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran berlaku akibat daripada rangsangan yang telah diterima oleh seseorang. Setiap rangsangan yang diterima pula akan menimbulkan suatu gerak balas. Daripada teori ini, guru perlu sedar bahawa rangsangan dan gerak balas mempunyai kaitan yang boleh dilazimkan atau dipelajari. Kaitan antara rangsangan dengan gerak balas boleh diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerak balas, semakin kukuh gerak balas terlazim itu. Sebagai contoh, apabila guru memberi pujian (rangsangan) setiap kali murid membuat hasil kerja yang baik (gerak balas), maka gerak balas tersebut (hasil kerja yang baik) akan dapat diteruskan walaupun tiada pujian daripada guru. Oleh itu, guru perlu kerap memberikan rangsangan untuk memperkukuhkan gerak balas terlazim. Guru juga boleh memotivasikan muridnya dengan ganjaran yang sesuai supaya dapat mengawal tingkah laku yang dikehendaki dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Sebagai contoh, guru boleh memberi motivasi dalam bentuk pujian, hadiah dan kata-kata perangsang untuk membentuk tingkah laku yang diingini. Guru juga boleh meningkatkan motivasi murid-muridnya dengan menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan seperti memulakan pengajaran dan pembelajaran dengan set induksi yang dapat menarik perhatian murid. Selain itu, guru juga perlu melibatkan murid-murid dalam proses pengajarannya seperti penglibatan dalam aktiviti berkumpulan, perbincangan, projek dan sebagainya. Melalui aktiviti seperti ini, murid-murid dapat belajar dengan lebih berkesan kerana pembelajaran boleh berlaku melalui latihan, kebiasaan dan pengalaman. Dalam proses pembelajaran juga, generalisasi boleh berlaku di mana murid dapat melakukan tingkah laku yang sama di dalam situasi yang berlainan. Sebagai contoh, murid dapat mengaplikasikan konsep wang yang dipelajari di kelas ketika proses jual beli di kantin atau di kedai buku sekolah. Dalam pembelajaran juga, penghapusan boleh berlaku jika peneguhan tidak diberikan. Ini bermakna, sekiranya sesuatu tingkah laku tidak diperkukuhkan melalui

ganjaran, tingkah laku itu mungkin akan terhapus begitu sahaja. Apabila seseorang guru berhenti memberi ganjaran, prestasi muridnya mungkin akan merosot. Oleh itu, konsep pemulihan semerta dapat membantu seseorang guru meningkatkan keberkesanan pengajarannya dengan memberikan insentif semula kepada muridmurid dengan mempelbagaikan hadiah, aktiviti, alat bantu mengajar dan projek untuk meningkatkan semula semangat ingin belajar murid-murid.

TEORI JOHN BROADUS WATSON Kajian J.B Watson banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov. Menurut Watson, tingkah laku adalah refleks terlazim iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Selain tingkah laku, Watson turut menjalankan kajian terhadap pembelajaran emosi manusia. Menurut beliau, manusia mewarisi tiga jenis emosi iaitu takut, marah dan kasih sayang. Beliau berpendapat bahawa rasa takut dan respons emosi lain boleh diperoleh atau dihapuskan melalui pelaziman. Seperti kajian yang dijalankan olehnya terhadap seorang bayi berusia 9 bulan dengan seekor tikus putih. Watson juga memperkenalkan dua prinsip iaitu prinsip kekerapan dan prinsip kebaruan. Prinsip kekerapan menekankan bahawa semakin kerap seseorang menunjukkan suatu respons terhadap suatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan orang itu akan memberikan respons (gerak balas) yang sama terhadap rangsangan tersebut. Prinsip ini membawa implikasi bahawa murid perlu memahami dan mengulangkaji setiap tajuk dalam sesuatu mata pelajaran dengan kerap bagi mengingati kembali konsep-konsep pelajaran dengan mudah. Prinsip kebaruan pula menegaskan bahawa semakin baru respons seseorang terhadap suatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan orang itu akan memberikan respons atau gerak balas terhadap rangsangan itu. Ini bermakna, setiap murid perlu membuat ulang kaji dengan sempurna sebelum menempuh peperiksaan bagi membolehkan mereka mengaplikasikan konsep-konsep yang diulang kaji. Sekiranya sesuatu tajuk itu lama tidak diulangkaji, ia akan terhapus daripada ingatan begitu sahaja. Oleh itu, seseorang guru perlu memberikan latihan dengan kerap untuk mengukuhkan ingatan murid.

Selain itu, minat murid juga boleh ditimbulkan dan dihapuskan. Guru yang mengajar dengan pelbagai alat bantu mengajar dan mengelola pelbagai jenis aktiviti akan dapat menimbulkan minat murid terhadap pengajarannya dan seterusnya menyebabkan murid ternanti-nanti kemunculan guru berkenaan untuk mengajar mereka. Sebaliknya, minat murid terhadap sesuatu mata pelajaran akan berkurangan sekiranya didapati pengajaran guru tersebut tidak menarik atau membosankan. Sama seperti Pavlov, teori Watson juga menggalakkan rangsangan yang baik bagi mewujudkan tingkah laku positif. Sebagai guru kita harus memastikan rangsangan dalam bilik darjah (termasuk tingkah laku guru) menimbulkan perasaan keseronokkan serta keselesaan dan bukan perasaan takut atau risau. Guru juga perlu menggunakan rangsangan yang boleh memotivasikan murid seperti mewujudkan persekitaran yang kondusif dan kaya dengan bahan pengajaran bagi mendorong mereka berminat untuk belajar.

TEORI EDWARD LEE THORNDIKE Beliau berpendapat bahawa pembelajaran merupakan proses cuba-ralat ( trial and error) atau memilih dan menghubungkait (selecting and connecting). Proses cuba-ralat ini juga dikenali sebagai proses juba jaya. Latihan yang dilakukan secara berulang-ulang akan menyebabkan gerak balas yang dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurangan. Manakala perhubungan antara rangsangan dan gerak balas akan semakin kukuh. Gerak balas operan berlaku secara sendiri dan jika mendapat hasil yang berkesan, ia akan dikukuhkan dan dikekalkan. Ini bermakna apabila ganjaran diberi, gerak balas yang terhasil akan berulang kerana sudah berlakunya proses pembelajaran. Tetapi jika ganjaran tidak diberikan, gerak balas tersebut akan hilang secara perlahan-lahan. Oleh itu, guru perlu menyediakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan mengagumkan agar proses pembelajaran yang berkesan boleh berlaku. Contohnya dengan menggunakan ICT dan audio atau video yang menarik agar murid dapat menjalani proses pembelajaran dengan berkesan. Thorndike juga terkenal dengan tiga hukumnya iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan juga Hukum Kesan. Thorndike amat menyarankan ketiga-tiga

hukum tersebut digunakan dalam mengawal pembelajaran manusia kerana beliau percaya jika hukum-hukum tersebut dipatuhi, maka pembelajaran akan menjadi mudah dan berkesan. Hukum kesediaan adalah perkara yang paling penting dan asas sebelum seseorang murid memulakan pembelajaran. Seseorang murid perlu mempunyai persiapan yang rapi sebelum menghadapi sesi pembelajaran di dalam kelas. Murid perlu mempersiapkan diri mereka dari segi mental, fizikal, emosi, sosial dan psikomotor sebelum pembelajaran berlaku. Faktor-faktor ini sangat membantu dalam mewujudkan aktiviti pembelajaran yang aktif, mudah, seronok dan berkesan. Justeru kesediaan murid sangat penting dalam memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Jika murid bersedia sepenuhnya untuk menjalani aktiviti pembelajaran, kesannya mereka akan berasa seronok sepanjang pembelajaran berlaku dan seterusnya objektif pembelajaran dapat dicapai dengan mudah. Guru boleh menggunakan motivasi yang sesuai untuk meningkatkan kesediaan murid untuk belajar. Kesediaan murid untuk belajar adalah perkara yang paling utama kerana jika mereka bersedia, maka gerak balas yang positif akan dihasilkan. Motivasi yang diberikan adalah sebagai satu rangsangan yang baik untuk meningkatkan semangat murid untuk belajar. Dalam Hukum Latihan pula, Thorndike berpendapat bahawa perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas akan bertambah kukuh jika latihan diberikan. Ini bermakna, untuk meningkatkan perhubungan antara rangsangan dan gerak balas, seseorang murid hendaklah diberi latihan dan pengulangan untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Semakin banyak latihan yang diberi semakin kukuh ikatan antara rangsangan dengan gerak balas seseorang murid. Sebagai contoh, jika seseorang murid diberi latihan Matematik yang banyak, murid itu akan menjadi semakin mahir dan tempoh masa untuk menyelesaikan soalan matematik tersebut semakin singkat. Ini juga dapat mengukuhkan dan meningkatkan kemahiran dan ingatan mereka terhadap isi pembelajaran yang telah dipelajari. Oleh itu, guru perlu sentiasa memberikan latih tubi, kuiz atau soal jawab yang menyeronokkan supaya murid dapat mengukuhkan dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka. Hukum Kesan pula menyatakan bahawa perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas akan bertambah kukuh jika terdapat kesan yang

menyeronokkan.

Manakala

kesan

yang

menyakitkan

akan

melemahkan

perhubungan antara rangsangan dan gerak balas. Ini bermakna, sekiranya seseorang murid mendapat kesan pembelajaran yang menyeronokkan, ini akan mendorong mereka memperolehi pencapaian yang lebih baik. Sebaliknya, jika seseorang murid mendapat kesan yang menyakitkan, gerak balas tersebut akan semakin lenyap. Perkara ini boleh dikaitkan dengan ganjaran dan denda yang diberikan berdasarkan gerak balas yang dihasilkan. Oleh itu, guru berperanan mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan dengan memberi ganjaran, motivasi dan menyediakan peluang yang sama rata untuk semua murid supaya mereka terdorong untuk belajar. Guru juga perlu memastikan tugasan yang diberi tidak terlalu tinggi supaya murid dapat menyelesaikannya dengan perasaan puas hati seterusnya dapat meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Di samping itu, guru boleh memberikan peluang kepada murid untuk menikmati kejayaan yang diperolehi dalam pembelajaran mereka. Guru tidak boleh memandang rendah terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh murid malah guru perlu memberikan sokongan yang padu supaya mereka tidak mudah putus asa dan akan terus mencuba untuk mencapai kejayaan yang mereka ingini. Kesimpulannya, ketiga-tiga tokoh ini (Teori Behavioris) menekankan peranan persekitaran dalam proses pembelajaran. Pembelajaran berlaku dengan wujudnya perkaitan dan perhubungan antara suatu rangsangan dengan suatu gerak balas. Pelaziman klasik dan pelaziman operan adalah contoh teori behavioris yang menekankan kajian tentang tingkah laku yang dapat diperhatikan. Disebabkan teori ini memberi penekanan terhadap tingkah laku kanak-kanak, maka aktiviti yang menarik akan mendorong murid untuk terlibat aktif dalam proses pembelajaran di dalam kelas. Guru pula perlu memainkan peranan dengan menjalankan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan untuk menguatkan hubungan antara rangsangan dan gerak balas. Akhir sekali, ganjaran terhadap gerak balas yang baik dan peneguhan perlu diberi kepada murid bagi membantu murid menikmati perkembangan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Anda mungkin juga menyukai