Anda di halaman 1dari 15

PENGAPLIKASIAN TEORI

BEHAVIORISME DALAM BIMBINGAN


DAN KAUNSELING
1.0 Pengenalan

Teori Behaviorisme dapat ditakrifkan sebagai teori yang mengkaji dan mengawal tingkah

laku manusia melalui proses pengukuhan dan ganjaran. Perubahan tingkah laku ini didasari

oleh konsep rangsangan (stimulus) dan gerak balas (response) dengan memanipulasi

persekitaran. Dalam konteks Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Teori Behaviorisme

merupakan sesuatu perubahan tingkah laku yang boleh dilihat, dikawal dan diramal oleh

seseorang pendidik terhadap pelajar. Jika ditelusuri dari aspek bimbingan dan kaunseling,

Teori Behaviorisme ini merupakan asas utama dalam melatih kaunselor untuk lebih

memahami pelajar di sekolah agar kaunselor berupaya untuk meneliti sesuatu pengalaman

kaunseling dengan lebih terperinci. Penggunaan teori bertindak sebagai pemandu arah kepada

kaunselor untuk merancang sesuatu matlamat kaunseling dengan kliennya (Brammer &

Shostrom, 1982). Teori yang menggunakan kemahiran fizikal ini juga mendorong kaunselor

untuk tidak membuat andaian sendiri terhadap seseorang pelajar semasa sesi kaunseling,

sebaliknya kaunselor berkebolehan untuk menginterpretasi secara rasional tentang sebab

sesuatu tindakan itu dilaksanakan. Dengan berbuat demikian, kaunselor berpeluang untuk

menghuraikan masalah pelajar berdasarkan elemen tingkah laku yang digariskan dalam Teori

Behaviorisme. Secara ringkasnya, Teori Behaviorisme ini merujuk kepada pembelajaran

tanpa melibatkan proses kognitif dalam kalangan pelajar.

2.0 Pengasas & Sejarah Perkembangan

Teori Behaviorisme ini diasaskan pada tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an dan

masih lagi dominan dalam arus kemodenan ini. Ahli-ahli psikologi yang melakukan kajian

terhadap Teori Behaviorisme ini antaranya ialah Ivan Pavlov, B. Frederick Skinner, Edward

Thorndike, J.B. Watson dan Bandura. Teori Behaviorisme ini mempunyai dua komponen

yang utama. Komponen pertama memfokuskan kepada teori-teori yang dikaji oleh Ivan

Pavlov pada tahun 1960 dan Hull pada tahun 1943 yang mengasaskan teori pelaziman klasik.

1
Selain itu, hasil kajian yang turut dipelopori oleh J.B. Watson (1920) ini membuktikan

bahawa emosi seseorang itu bersifat sentiasa berubah dan boleh dipelajari melalui proses

pembelajaran. Pelaziman klasik merupakan satu bentuk pembelajaran yang melibatkan

rangsangan neutral yang berkaitan dengan rangsangan semulajadi untuk menghasilkan gerak

balas yang serupa (Noriati, Boon dan Fakhriah, 2009).

Seterusnya, seorang ahli psikologi dari Amerika Syarikat yang mengemukakan

komponen kedua dalam Teori Behaviorisme iaitu B. Frederick Skinner (1953) terkenal

dengan Teori Pelaziman Operan. Teori yang diperkenalkan oleh beliau ini adalah dengan

mewujudkan kaedah pembelajaran yang menggunakan hadiah dan hukuman iaitu dengan

mengaplikasikan konsep peneguhan untuk menggalakkan sesuatu kelakuan itu diulangi.

Selain itu, peneguhan ini dapat dilihat dari dua sudut iaitu peneguhan positif dan peneguhan

negatif. Peneguhan positif merupakan galakan kepada sesuatu tingkah laku yang diulangi

kerana wujudnya ganjaran, manakala peneguhan negatif pula didefinisikan sebagai

rangsangan serta merta yang tidak selesa selepas sesuatu tingkah laku itu ditunjukkan.

Justifikasinya, Teori Pelaziman Operan ini diperkenalkan untuk mengubah tingkah

laku seseorang dengan menggunakan teknik modifikasi tingkah laku. Ahli-ahli psikologi ini

menggabungjalinkan elemen seperti tingkah laku pelajar yang terbentuk oleh kejadian yang

dilihat serta proses rangsangan dan tindak balas yang terhasil dalam masa yang singkat lalu

membawa kepada pengenalan Teori Behaviorisme ini.

3.0 Konsep-Konsep Utama

Terdapat beberapa konsep utama yang memainkan peranan dalam Teori

Behaviorisme ini dalam konteks pendidikan. Konsep yang pertama ialah peneguhan.

Peneguhan terbahagi kepada dua iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan

positif dapat didefinisikan sebagai perolehan sesuatu hasil yang menyenangkan dan

2
menyeronokkan setelah sesuatu tingkah laku itu ditunjukkan. Contohnya seperti memberikan

pujian, ganjaran, hadiah, penghargaan dan sebagainya. Manakala, peneguhan negatif pula

diberikan untuk mengawal tingkah laku murid seperti memberikan denda, amaran dan

sebagainya untuk mengelakkan tingkah laku yang tidak diingini berulang. Kedua-dua bentuk

peneguhan ini perlu diberikan oleh guru untuk memastikan murid-murid sentiasa bertingkah

laku baik.

Konsep yang terakhir pula ialah hukuman. Hukuman berperanan untuk mengubah

tingkah laku seseorang ke arah yang lebih baik. Hukuman perlu diberikan oleh guru kepada

murid untuk mengelakkan tingkah laku yang tidak diingini. Sebagai contohnya, apabila

seseorang pelajar ponteng kelas dan bersikap biadap dengan guru, maka hukuman yang lebih

keras perlu diberikan kepada pelajar tersebut. Tujuannya adalah supaya pelajar tersebut tidak

mengulangi lagi perbuatannya. Selain itu, dengan memberikan hukuman, ia akan

memberikan pengajaran kepada pelajar tersebut dan juga pelajar yang lain supaya sentiasa

mematuhi peraturan sekolah.

4.0 Kajian-Kajian Lepas


4.1 Kajian Luar negara

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan di Kayu Agung, Indonesia, terdapat informasi

yang boleh dikaitkan dengan Teori Behaviorisme dalam bidang kaunseling iaitu teori

ini mempunyai dua bentuk sistem yang dikenali sebagai stimulus dan response. Selain

itu, pengaruh luar juga turut mempengaruhi tingkah laku seseorang itu. Oleh hal yang

demikian, kaunselor perlulah terlebih dahulu mengenal pasti masalah pelajar,

kemudian mengenalpasti stimulus yang sesuai bagi pelajar tersebut dan response

mereka setelah menjalani sesi kaunseling. Selain itu, dalam kajian yang dijalankan

oleh Siti Maghfhirah & Maemonah dalam penulisan jurnal bertemakan ‘Pemikiran

Behaviorisme dalam Pendidikan’ menyatakan bahawa pengaplikasian Teori

3
Behaviorisme dalam pendidikan ini mengutamakan peranan aksi-reaksi dalam proses

belajar dan hasil belajar yang dicapai mestilah menunjukkan tingkah laku yang

diinginkan. Menurut Sumardi Suryabrata (1984), penerapan Teori Behaviorisme juga

adalah berdasarkan kepada motivasi yang mengstimuluskan seseorang untuk

melaksanakan sesuatu demi mencapai tujuannya. Manakala, sikap pula akan

mempengaruhi seseorang secara langsung untuk memberikan response yang tepat

dalam sesuatu situasi.

4.2 Kajian Dalam Negara

Berdasarkan kajian yang dijalankan di IPG Kampus Darulaman mengenai ‘self

esteem’, keyakinan diri seseorang pelajar juga turut mempunyai kaitan dengan Teori

Behaviorisme ini. Menurut kajian ini, self esteem merupakan salah satu perwatakan

yang akan mempengaruhi tingkah laku seseorang pelajar. Tinjauan yang telah

dilakukan mendapati sebilangan pelajar mempunyai tahap keyakinan yang rendah

yang berpunca daripada ejekan rakan-rakan dan juga faktor-faktor lain. Oleh hal yang

demikian, Teori Behaviorisme boleh diaplikasikan dalam proses PdP supaya pelajar-

pelajar tersebut akan menjadi lebih aktif dan sekaligus meningkatkan keyakinan

dalam diri mereka. Melalui kajian ini juga, teknik ‘Step by Step’ telah diperkenalkan

dalam proses bimbingan dan kaunseling untuk meningkatkan keyakinan diri pelajar

melalui beberapa peringkat seperti bercakap dengan boneka (orang), bercakap di

depan kelas dan hanya guru bimbingan dan kaunseling sahaja yang mendengar dan

sebagainya.

4.3 Rumusan Kajian-Kajian Lepas

Kedua-dua kajian di atas menyatakan bahawa Teori Behaviorisme ini merupakan

perkara yang paling dominan dalam bidang pendidikan kerana ianya berkaitan dengan

tingkah laku seseorang pelajar itu. Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem stimulus

4
dan respons memainkan peranan untuk menghasilkan pelajar yang boleh

berkomunikasi dengan baik dan mempunyai tingkah laku yang cemerlang. Teori

Behaviorisme ini sangat penting untuk menukarkan pola tingkah laku pelajar dan

pendidik untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan dan

efisien. Tegasnya, guru perlulah mengkaji teori ini dengan lebih mendalam dan

seterusnya mengaplikasikannya semasa dalam proses PdP supaya dapat menarik

minat pelajar dan mengawal tingkah laku mereka.

5.0 Aplikasi di Sekolah/dalam Pendidikan

Pengaplikasian Teori Behaviorisme dalam bidang pendidikan turut dikemukakan oleh

pelopor-pelopornya iaitu J. B.Watson , Ivan Pavlov, Edward Thorndike dan B. F. Skinner.

Mereka menggunakan teknik pengukuhan, shaping, pengukuhan berjadual, penghapusan dan

modifikasi tingkah laku. Antara salah satu cara pengaplikasian Teori Behaviorisme dalam

dalam proses bimbingan dan kaunseling adalah, kaunselor perlu menetapkan maklumat yang

lebih spesifik. Perkara ini boleh dikaitkan dengan eksperimen “Kotak Ajaib Thorndike”.

Bukan itu sahaja, matlamat akhir proses kaunseling haruslah dinyatakan oleh kaunselor

dengan jelas supaya kaunselor dapat mengatur strategi dalam proses bimbingan dan

kaunseling dengan lebih baik agar objektifnya dapat dicapai. Selain itu, guru juga perlulah

mengaplikasikan teknik-teknik peneguhan yang sesuai seperti peneguhan berterusan semasa

proses pembentukan tingkah laku dan peneguhan berkala selepas tingkah laku itu dikuasai.

Contohnya, apabila murid memberikan pendapat, guru perlulah memberikan sokongan

kepada mereka.

Disamping itu, pengaplikasian hukum E.L. Thorndike iaitu hukum kesediaan dan

hukum latihan amat penting dalam proses bimbingan dan kaunseling. Dalam hukum

kesediaan, guru perlulah mengaitkan pembelajaran baharu dengan pengetahuan yang sedia

5
ada. Guru perlulah memastikan persekitaran yang baik supaya proses bimbingan dan

kaunseling akan berjalan dengan lebih lancar. Dengan itu, guru dapat mengenalpasti masalah

pelajar dan memberikan jalan penyelesaian semasa sesi kaunseling berlangsung. Contohnya,

apabila kaunselor tahu bahawa seorang murid itu mempunyai motivasi yang rendah, beliau

akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan motivasi pelajar tersebut dengan menggunakan

beberapa strategi. Selain itu, guru perlulah menyediakan amalan disiplin yang mesra dalam

proses bimbingan dan kaunseling supaya pelajar berasa selesa semasa sesi kaunseling

dijalankan. Akhir sekali, dalam proses PdP, guru juga boleh mengaplikasikan hukum latihan

dengan menyediakan banyak latih tubi kepada murid supaya mereka dapat mengingati

sesuatu konsep itu dengan lebih cepat.

5.1 Kelebihan Dan faedah

Terdapat beberapa kelebihan yang boleh dikaitkan dengan Teori Behaviorisme ini

dalam proses PdP. Secara umumnya, teori ini berfokuskan kepada tingkah laku yang

boleh diperhatikan. Teori Behaviorisme dapat mendidik kanak-kanak yang masih

memerlukan pertolongan daripada orang lain yang berada di sekitar mereka. Oleh itu,

guru-guru perlulah memberikan bimbingan dan perhatian yang lebih kepada murid-

murid tadika dan murid tahap 1 kerana mereka akan mengikuti apa sahaja yang

diajarkan oleh guru mereka.

Seterusnya, murid juga akan berasa seronok ketika belajar apatah lagi jika mereka

diberikan penghargaan oleh guru seperti pujian dan hadiah. Secara tidak langsung, hal

ini dapat meningkatkan motivasi dan semangat dalam diri mereka untuk belajar

dengan lebih bersungguh-sungguh. Sebagai contohnya, apabila seorang murid

menghabiskan kerja sekolah dengan lebih awal, guru boleh memberikan pujian

6
kepadanya. Hal ini bagi memastikan pelajar tersebut dapat melaksanakan tingkah laku

berulang dengan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh semua guru juga.

Selain itu, dengan mengaplikasikan Teori Behaviorisme ini juga, guru boleh

mengambil masa yang singkat untuk memberikan penjelasan tentang sesuatu

pelajaran itu kepada murid-murid di dalam bilik darjah dengan berbantukan alat

bahan bantu mengajar (BBM). Alat BBM ini bukan sahaja dapat menjadikan proses

PdP itu lebih menyeronokkan, malah turut membantu pelajar untuk menguasai

sesuatu mata pelajaran dengan lebih berkesan. Oleh itu jelaslah bahawa, teori ini turut

membantu untuk meningkatkan kemahiran lisan dan kreativiti seorang guru semasa

mengajar dan seterusnya memberikan faedah kepada murid-murid dari aspek

pertuturan, pendengaran dan proses pembelajaran.

5.2 Faktor-Faktor Yang Membantu

Terdapat beberapa faktor berkaitan dengan Teori Behaviorisme yang membantu

dalam proses bimbingan dan kaunseling. Faktor yang pertama ialah kaunselor

perlulah mempunyai kemahiran mendengar. Dengan kemahiran ini, kaunselor dapat

memahami segala masalah yang dikongsi oleh murid. Faktor kedua yang membantu

dalam proses bimbingan dan kaunseling adalah, guru perlulah menghargai murid

dengan menerima segala kelemahan dan kekuatan mereka. Hal ini dikatakan demikian

kerana, setiap murid mempunyai masalah yang berbeza.

Selain itu, kaunselor juga perlulah memberikan sokongan kepada murid untuk

membantu mereka melakukan perubahan dalam diri serta membuat keputusan dengan

tepat berkaitan dengan masa depan mereka. Kaunselor tidak mempunyai kuasa untuk

memaksa pelajar dan membuat keputusan bagi pihak mereka dalam apa jua situasi.

Kaunselor juga perlulah mempunyai sikap yang mesra, sedia menolong, ingin

7
memahami dan ikhlas kerana ini juga merupakan salah satu faktor yang membantu

dalam sesi bimbingan dan kaunseling. Apabila seorang kaunselor mempunyai ciri-ciri

tersebut, beliau akan mendengar masalah murid tanpa rasa dipaksa. Oleh itu jelaslah

bahawa, faktor-faktor inilah yang membantu untuk mewujudkan komunikasi yang

baik antara kaunselor dan murid dalam proses bimbingan dan kaunseling.

6.0 Cabaran & Limitasi aplikasi di Sekolah/dalam Pendidikan

Pengaplikasian Teori Behaviorisme dalam proses bimbingan dan kaunseling ini

mempunyai cabarannya yang tersendiri. Antara cabarannya ialah, wujudnya persepsi negatif

pelajar terhadap khidmat kaunseling. Pelajar seringkali beranggapan bahawa sesi bimbingan

dan kaunseling bukanlah merupakan satu keperluan. Walaupun guru-guru memberikan

peneguhan dalam bilik darjah, namun masih terdapat pelajar yang masih malu untuk

berjumpa dengan kaunselor. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka menyangka bahawa

khidmat kaunseling hanya tertumpu kepada pelajar yang mempunyai masalah dari segi

disiplin seperti kerap ponteng kelas, melakukan aktiviti vandalisme di sekolah dan

sebagainya sahaja. Dalam konteks ini, kaunselor perlulah memainkan peranannya untuk

memastikan perkhidmatan kaunseling digunakan secara optimum oleh para pelajar di

sekolah.

Walaupun demikian, pengaplikasian Teori Behaviorisme dalam proses bimbingan dan

kaunseling turut mempunyai limitasinya. Limitasi yang paling utama adalah motivasi dalam

diri para pelajar melalui proses ini hanyalah bersifat sementara dan efektif dalam tempoh

masa yang singkat sahaja. Dalam erti kata lain, penggunaan teknik peneguhan positif dalam

pendidikan tidak memotivasikan pelajar dalam jangka masa yang panjang. Peneguhan positif

merujuk kepada suatu keadaan yang menyenangkan atau menyeronokkan setelah sesuatu

tingkah laku itu ditunjukkan. Ganjaran berbentuk hadiah akan diberikan sebagai peneguhan

8
untuk tingkah laku yang bersesuaian. Sebagai contohnya, seorang guru boleh memberikan

ganjaran kepada pelajar yang aktif semasa guru melaksanakan aktiviti di dalam kelas atau

kepada pelajar yang menunjukkan tingkah laku yang baik. Namun begitu, teknik peneguhan

ini akan menjadi sedikit perlahan sekiranya proses pembelajaran ini hanyalah berpusatkan

kepada guru semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana, tidak wujud interaksi yang

melibatkan pelajar kerana mereka hanya mendengar sahaja perkara yang disampaikan oleh

guru tersebut tanpa melakukan sebarang aktiviti di dalam kelas.

7.0 Implikasi Dalam Pendidikan

Terdapat beberapa implikasi yang kita perolehi melalui pengaplikasian Teori

Behaviorisme dalam proses bimbingan dan kaunseling sama ada di sekolah mahupun dalam

bidang pendidikan. Antaranya ialah, Teori Behaviorisme membolehkan seseorang kaunselor

memahami masalah pelajar serta mengenal pasti tingkah laku mereka untuk menghadapi

masalah tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, proses bimbingan dan kaunseling akan

mewujudkan interaksi dua hala antara kaunselor dan pelajar. Secara tidak langsung, ia

membolehkan pelajar untuk melakukan perubahan dari segi tingkah laku yang dikenali

sebagai tingkah laku semula. Sebagai contohnya, apabila pelajar berjumpa dengan kaunselor

untuk meluahkan tentang masalah yang dihadapinya, kaunselor pasti akan berusaha untuk

memahami masalah tersebut dan mencari jalan penyelesaian. Secara tidak langsung, pelajar

akan menggunakan tingkah laku yang sesuai semasa menangani masalahnya.

Selain itu, melalui sesi kaunseling juga, ia dapat mengelakkan pelajar daripada

membuat keputusan secara terburu-buru serta menjauhkan mereka daripada berlakunya

sebarang perkara yang tidak diingini. Sebagai contohnya, seorang pelajar yang menghadapi

masalah di rumah berkemungkinan mempunyai tingkah laku yang agresif dan tidak dapat

menumpukan perhatian semasa berada di dalam kelas. Pelajar seperti ini sangat digalakkan

untuk berjumpa dengan kaunselor sekolah bagi mendapatkan nasihat serta jalan penyelesaian

9
untuk menangani masalahnya. Dengan bantuan dan nasihat daripada kaunselor, sudah pasti ia

dapat meningkatkan motivasi pelajar serta membolehkan pelajar tersebut berusaha untuk

mengubah tingkah lakunya. Situasi ini bertepatan dengan Teori Behaviorisme oleh J.B

Watson (1920) dalam konteks pelaziman klasik yang menyatakan bahawa emosi manusia

dapat dikawal serta diramal.

8.0 Potensi Masa Hadapan

Antara potensi masa hadapan melalui penerapan Teori Behaviorisme dalam proses

bimbingan dan kaunseling di sekolah adalah dapat meningkatkan motivasi dalam kalangan

pelajar. Menurut teori ini, seseorang individu itu akan menghasilkan gerak balas mengikut

persekitaran dan pilihan. Justeru itu, kaunselor memainkan peranan penting untuk

memberikan peneguhan positif semasa berhadapan dengan kliennya. Sebagai contohnya,

kaunselor boleh memberikan pujian kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan

yang sederhana walaupun pelajar tersebut merupakan pelajar yang lemah dalam bidang

akademik. Secara tidak langsung, ia akan menjadikan pelajar tersebut berasa gembira dan

sekaligus dapat meningkatkan motivasinya untuk belajar. Melalui peneguhan positif ini juga,

sudah pasti pelajar tersebut akan lebih bersemangat dan berusaha ke arah mencapai cita-

citanya pada masa hadapan kelak.

Selain itu, penerapan Teori Behaviorisme ini juga dapat mengembangkan potensi diri

setiap individu. Sebagai contohnya, jika seseorang individu itu berada dalam dilema untuk

memilih kelas sains atau kelas perakaunan, ia boleh berjumpa dengan guru kaunselor untuk

mendapatkan nasihat dan pandangan. Kaunselor biasanya akan melaksanakan ujian minat

kerjaya untuk mengenalpasti kecenderungan minat pelajar tersebut sama ada lebih sesuai

untuk memasuki bidang sains atau perakaunan. Melalui sesi kaunseling ini juga, pelajar akan

lebih jelas tentang masa hadapannya. Oleh itu jelaslah bahawa, Teori Behaviorisme ini

menjadi titik tolak kepada perkembangan diri setiap individu.

10
9.0 Cadangan Penambahbaikan

Tegasnya, ibu bapa juga turut memainkan peranan untuk membimbing dan

membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak melalui tingkah laku. Ibu bapa hendaklah menjadi

suri teladan kepada anak-anak dengan menunjukkan sikap yang baik serta menerapkan nilai-

nilai murni serta unsur keagamaan dalam proses mendidik anak-anak. Selain itu, ibu bapa

turut memainkan peranan sebagai kaunselor anak-anak di rumah. Ibu bapa hendaklah sentiasa

peka dengan keadaan dan masalah yang dihadapi oleh anak-anak dan memberikan nasihat

serta sokongan kepada anak-anak. Kesannya, anak-anak tidak akan berasa kesepian dan

menjadikan ibu bapa sebagai pembakar semangat untuk mereka berjaya. Dalam pada itu, ibu

bapa juga tidak seharusnya bersikap sambil lewa dan mengharapkan guru sahaja untuk

menggalas tanggungjawab tersebut.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan Sambutan Bulan Kaunseling di

sekolah dan mempromosikan pelbagai aktiviti menarik untuk menggalakkan warga sekolah

ke bilik kaunseling bagi mendapatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling secara

individu mahupun secara berkelompok. Tujuan program ini diadakan adalah untuk

meningkatkan jumlah warga sekolah yang akan hadir secara sukarela untuk berjumpa dengan

guru kaunseling. Antara aktiviti yang boleh dijalankan bersempena dengan sambutan tersebut

ialah kem motivasi, karnival kerjaya, bengkel resume dan sebagainya. Melalui sambutan

bulan kaunseling ini juga, pelajar akan lebih berani untuk berjumpa dengan kaunselor dan

secara tidak langsung dapat meningkatkan kesejahteraan warga sekolah.

Akhir sekali, guru dan pihak sekolah turut memainkan peranan dengan memberikan

peneguhan negatif atau berbentuk hukuman kepada pelajar yang bermasalah dari segi

11
disiplin. Dalam hal ini, guru disiplin dan kaunselor sekolah bertanggungjawab untuk

menyelesaikan masalah disiplin pelajar. Sebagai contohnya, kaunselor boleh mengadakan

sesi kaunseling bersama pelajar tersebut untuk memberikan jalan penyelesaian serta motivasi

kepadanya. Tetapi sekiranya pelajar tersebut telah melakukan kesalahan yang berat, guru

disiplin dan pihak sekolah boleh berbincang untuk memberikan hukuman yang setimpal

dengan perbuatan pelajar tersebut dengan tujuan untuk memberikan pengajaran kepadanya

dan juga pelajar lain.

10.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, Teori Behaviorisme ini mempunyai kepentingan dan manfaatnya yang

tersendiri terutamanya dalam proses bimbingan dan kaunseling. Teori Behaviorisme ini akan

mempengaruhi tingkah laku pelajar sama ada di dalam sekolah mahupun di luar sekolah.

Selain itu, Teori Behaviorisme ini turut mempengaruhi pelajar untuk membuat keputusan

mengikut persekitarannya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa, keluarga, rakan sebaya dan

guru wajar menunjukkan contoh teladan yang baik agar seseorang individu itu boleh

mencontohi sikap dan nilai-nilai positif yang ditonjolkan oleh mereka. Kesannya, pelajar

tersebut tidak akan mudah terpengaruh dengan perilaku negatif yang boleh membawa kepada

masalah dalam pembelajaran, gejala sosial dan sebagainya.

Rujukan

Illy, H. (2019, November 13). Teori Behaviorisme. Retrieved November 2, 2021, from
https://hannailly.blogspot.com/2019/11/teori-behaviorisme.html

Liana, C, (2013, September 17). Teori Behaviorisme. Retrieved November 7, 2021, from

http://liana-safie.blogspot.com/2013/09/teori-behaviourisme.html

Lim Xing Er Sheridean Bin Zakaria. (25-27 October 2016). Meningkatkan Self-Esteem
Murid
Melalui Teknik Step By Step. Retrieved November 3, 2021 from
http://ojs.umsida.ac.id/index.php/icecrs/article/view/610

12
Muhammad Dhori. ( 2021, April 1). Analisis Teori Belajar Behavioristik dalam Proses
Belajar
Mengajar di SD Negeri 7 Kayuagung. Retrieved November 5, 2021, from
http://ejournal.uin-suka.ac.id/tarbiyah/HJIE/article/view/3916

Musa, A. (2009, February 04). Teori Behavioris. Retrieved November 5, 2021, from
https://www.scribd.com/document/11640190/teori-behavioris

N.N. (2018, December 22). Teori Behaviorisme. Retrieved November 2, 2021, from
http://kpd3016sesi1819.blogspot.com/2018/12/teori-behaviorisme.html

N.N. (2018, December 22). Teori Behaviorisme. Retrieved November 2, 2021, from
http://kpd3016sesi1819.blogspot.com/2018/12/teori-behaviorisme.html

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan
Alam Belajar. Retrieved November 1, 2021 from
https://www.scribd.com/document/11640190/teori-behavioris

Novi Irwan Nahar. Penerapan Teori Belajar Behaviorisme dalam Proses Pembelajaran. Ilmu
Pengetahuan Sosial 1 (n.d)

Saufi, C. (2015, January 25). Teori behavioris dalam Bimbingan dan Kaunseling . Retrieved

November 7, 2021, from https://www.slideshare.net/idasaufi/teori-behavioris-dalam-

bimbingan-dan-kaunseling

Sumardi Suryabrata. Psikologi Pendidikan. Jakarta: Rajawali Press (1998).

Wilson. (2020, October 03). Kelebihan Menggunakan Aliran Teori Behavioris serta Isu dan
Cabaran Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah. Retrieved November
5, 2021, from https://www.scribd.com/document/478508244/Kelebihan-
Menggunakan-Aliran-Teori-Behavioris-serta-Isu-dan-Cabaran-Perkhidmatan-
Bimbingan-dan-Kaunseling-Di-Sekolah

Zakaria Mohamad. (2010, June 15). Pola Pengetahuan, Kefahaman dan Penggunaan Teori
di
Kalangan Kaunselor di Malaysia. Retrieved November 1, 2021, from
https://jurnalkemanusiaan.utm.my/index.php/kemanusiaan/article/view/74/7

13
14

Anda mungkin juga menyukai