Anda di halaman 1dari 5

Dia REMAJA

GURU DAN CABARAN


MASA dan zaman berlalu begitu pantas. Semakin jauh masa beredar maka semakin banyaklah juga cabaran yang terpaksa dihadapi oleh manusia. Cabaran yang dihadapi manusia itu adalah sukar untuk diukur. Tahap atau magnitude cabaran itu adalah berbeza mengikut peringkat individu atau peranan atau tugas yang dimainkan masing-masing dalam masyarakat. Salah satu golongan yang menghadapi cabaran hebat dewasa ini ialah golongan pendidik atau lebih tepatnya dipanggil golongan guru. Apakah yang dimaksudkan dengan cabaran itu? Menurut Kamus Dewan, (1994: 198), cabaran bermaksud perihal mempersoalkan, mempertikaikan; sesuatu yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Erti kata lain, cabaran dapat dikatakan sebagai tuntutan yang berkehendakkan usaha yang gigih serta dedikasi yang tinggi. Siapa yang dikatakan guru itu? Guru dapat didefinisikan sebagai individu yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh (Kamus Dewan, 1994: 420). Dalam konteks pendidikan formal, guru yang dimaksudkan adalah individu (guru) yang mendidik atau mengajar secara formal di sekolah-sekolah, maktab-maktab mahupun di peringkat universiti. Sememangnya cabaran itu sudah sedia wujud semenjak dahulu lagi. Hanyasanya yang membezakannya dengan cabaran yang ada sekarang ini ialah dari segi bentuk atau jenis cabaran-cabaran itu. Misalnya, ketika zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dahulu, sejarah telah mencatatkan bahawa Baginda menerima pelbagai dugaan dan cabaran dalam usaha menjalankan tugasnya sebagai seorang penyebar agama Islam. Antara bentuk cabaran yang terpaksa Baginda hadapi adalah psikologi iaitu tohmahan, cacian, hinaan dan sebagainya. Cabaran itu datang disebabkan kejahilan masyarakat pada waktu itu mengenai ilmu pengetahuan agama Islam. Beralih pada zaman sekarang, pelbagai cabaran yang datang silih berganti adalah disebabkan oleh perubahan masyarakat dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilainilai masyarakat sama ada berbentuk positif ataupun negatif. Dalam hal ini, kita perlu tahu bahawa masyarakat itu berubah adalah disebabkan oleh perkembangan ilmu pengetahuan ataupun lebih tepat lagi disebut ledakan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang secara am. Dalam konteks pendidikan, amat bersabit dengan bidang perguruan secara khusus seperti ilmu psikologi, pedagogi, pragmatik, falsafah, linguistik, mata pelajaran dan sebagainya. Selain itu, kemajuan bidang sains dan teknologi maklumat (IT) juga telah memberikan impak yang hebat terhadap perubahan sosialisasi umat manusia. Sebagai contoh,

kemudahan internet dan penggunaan alat komunikasi yang canggih, seperti telefon bimbit telah terbukti menyebabkan berlakunya perubahan drastik terhadap cara dan gaya hidup masyarakat sekarang. Kepesatan pertumbuhan sains dan IT juga ternyata mendorong berlakunya perpindahan manusia secara beramai-ramai dari kampung ke bandar-bandar. Hal ini menyebabkan masyarakat menjadi majmuk, yang terdiri dari pelbagai puak etnik dan budaya asal yang berlainan. Di samping itu, faktor ekonomi juga menyebabkan menculnya perbezaan kelas sosioekonomi dalam masyarakat - walaupun kurang ketara di negara ini, tetapi amat memberikan kesan terhadap cabaran yang dihadapai golongan pendidik. Umumnya, cabaran golongan pendidik dewsa ini dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu cabaran dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Cabaran dari aspek pengetahuan Seperti yang diketahui, ilmu pengetahuan pada masa ini sudah jauh berubah dan bertambah dari zaman dahulu. Perubahan dan penambahan disebabkan penerokan, inovasi dan evolusi mengenai ilmu-ilmu itu sendiri. Sekarang ilmu pengetahuan semakin kompleks dan pelbagai bentuknya. Dari itu, cabaran utama guru ialah untuk memastikan dirinya dapat melengkapkan sebanyak mungkin dengan ilmu pengetahuan yang kompleks dan pelbagai itu. Kita sedia maklum, maklumat dan ilmu pengetahuan amat mudah diperolehi pada zaman sekarang. Jika dahulu, seseorang itu perlu merantau - memakan masa dan tenaga untuk mencari ilmu - sekarang dengan mudah sahaja, tanpa mengira usia kita seperti boleh meneroka dunia dengan hanya menggunakan jari-jemari. Tidak hairanlah jika terdapat kes pelajar yang lebih pintar dan berilmu dan lebih tahu daripada gurunya sendiri. Dalam hal ini, seolah-olah menunjukkan guru berpengetahuan sempit dan ketinggalan. Dari itu, ilmu pengetahuan para guru perlulah sentiasa terkini atau up-to-date agar masyarakat amnya dan pelajar khasnya dapat menerima pengajaran guru dengan lebih berkesan. Guru juga perlu mengekalkan dirinya sebagai 'role model'. Lebih sesuai lagi mengatakan bahawa guru adalah 'public figure'. Guru mesti mempamirkan sikap suka mementingkan ilmu pengetahuan. Ini adalah kerana orang yang mementingkan ilmu pengetahuan adalah mereka yang sentiasa memperolehi panduan daripada Allah di dunia dan di akhirat, seperti hadis riwayat Bukhari yang kirakira bermaksud: "Jikalau hendak kebahagiaan di dunia, tuntutlah ilmu; jikalau hendak kebahagiaan di akhirat, tuntutlah ilmu; kalau hendak kebahagiaan di dunia dan akhirat, tuntutlah ilmu."

Jelasnya, guru perlulah berusaha untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dari masa ke semasa. Ada banyak cara untuk menambah ilmu, antaranya melalui inisiatif sendiri; melalui pembacaan dan menggunakan kemudahan IT, menyertai bengkel, menghadiri seminar, mengikuti kursus dan seumpamanya. Semakin tinggi dan luas ilmu pengetahuan guru, semakin terserlah masa depan anak-anak didiknya (Pelita Brunei, Guruku Masa Depanku, 24 September 1997: 11). Bagaimana guru menyampaikan ilmu pengetahuan yang pelbagai dan kompleks itu kepada pelajar? Persoalan ini adalah satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru. Guru harus mengetahui bahawa tidak semua ilmu pengetahuan yang ada sekarang ini penting dan sesuai untuk semua pelajar. Dalam usaha mencapai hasrat atau matlamat pendidikan di negara ini, iaitu untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti dalam pelbagai bidang, guru perlu menilai kemampuan, kreativiti dan bakat serta minat pelajar sebelum mencurahkan ilmu pengetahuan itu kepada mereka. Apa yang nyata, guru perlu mengorak langkah yang teliti dan bijaksana dalam memilih ilmu pengetahuan yang patut dan sesuai untuk pelajarnya, iaitu dengan cara menapis dan menilainya terlebih dahulu sebelum disampaikan. Misalnya, pelajar yang mengikuti jurusan perubatan perlulah diberi kemahiran perihal perubatan dengan sebaik-baiknya agar dapat menghasilkan pelajar yang berkualiti untuk pembangunan negara. Cabaran dari aspek kemahiran Seperti yang dijelaskan sebelum ini, perkembangan ilmu pengetahuan dan IT telah memberi cabaran kepada guru untuk berfikir. Semakin pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan, semakin perlulah guru untuk berusaha dan berfikir cara untuk menghasilkan pelajar seperti mana yang dikehendaki negara, bangsa dan agama. Peranan guru hari ini sudah semakin bertambah. Guru bukan hanya setakat 'menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar, tetapi juga menjalankan tugasnya sebagai pemimpin, pengubah sosial, pereka, penilai, perancang kurikulum, pemupuk semangat pelajar dan berperanan sebagai ahli psikologi secara tidak langsung (Pelita Brunei, Guruku Masa Depanku, 17 September 1997). Tugas guru semakin berat apabila ibu bapa khasnya yang bekerja memberi kepercayaan meletakkan sebahagian besar tugas memberi pendidikan itu di bahu golongan guru. Buktinya, sekarang sudah menjadi suatu kemestian, kanak-kanak semenjak dari kecilnya lagi sudah dihantar ke sekolah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Sedangkan sebilangan besar ibu bapa hari ini sibuk dengan profesion mereka masing-masing. Dalam usaha memikul tanggungjawab yang bukan mudah, guru perlu berusaha keras untuk tidak menghampakan harapan ibu bapa. Kerana itu, dapatlah dikatakan guru adalah ibu bapa kedua kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah. Gurulah yang memberi segala tunjuk ajar dan bimbingan yang berguna kepada pelajar menelusuri masa depan

mereka. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang tafsirnya: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik." Cabaran dari aspek kemahiran berikutnya yang perlu dihadapi guru ialah dalam hal keupayaan guru menggunakan IT yang ada sekarang. Guru pada zaman sekarang perlu tahu menggunakan kemudahan internet kerana seperti yang dijelaskan kebanyakan ilmu pengetahuan boleh diperolehi melaluinya, hanya memerlukan guru memilih maklumat yang sesuai untuk digunakan dalam pengajarannya. Seterusnya, pelajar yang datang dari masyarakat majmuk atau yang datang dari kaum yang berlainan memerlukan guru berkemahiran menyesuaikan pendekatan, teknik dan langkah-langkah pengajaran yang pelbagai dengan mata pelajaran yang akan diajarkannya. Kepekaan dan kreativiti guru amat penting sebagai salah satu usaha untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti bukan hanya setakat akademik tetapi sahsiahnya. Cabaran dari aspek nilai Perubahan zaman menyebabkan masyarakat juga turut berubah. Hal ini termasuklah perubahan nilai-nilai masyarakat yang ada kaitannya dengan unsur-unsur kebudayaan, adab dan norma. Pelajar adalah sebahagian dari anggota masyarakat yang sama-sama menerima perubahan nilai itu. Pelajar adalah golongan yang mudah terdedah dan mudah menerima perubahan. Jika perubahan nilai-nilai pelajar menjurus ke arah yang positif, ia amatlah diharapkan. Akan tetapi, dalam situasi sekarang ekoran kemudahan IT dan keberleluasaan pengaruh media massa, pelajar hari ini lebih banyak terbentuk oleh unsur-unsur luaran yang berbau negatif. Pelajar lebih suka membuat perbandingan sehingga sebilangan mereka menganggap budaya bangsa asing lebih tinggi tarafnya dari budaya ibundanya. Pencemaran nilai budaya dan bangsa adalah cabaran yang berat yang perlu ditangani oleh guru. Kita pasti pernah mendengar masalah pencemaran budaya dan kes-kes salah laku pelajar seperti melawan guru, berkelakuan dan bertutur kurang sopan, memugut kemudahan sekolah, melanggar disiplin, bergaduh, merokok, ponteng, lepak dan sebagainya. Hakikatnya, kesan perubahan nilai terhadap sebilangan pelajar di negara ini perlu dipandang serius. Dalam hal ini, sekali lagi tanggungjawab guru bukan hanya setakat menyampaikan ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing, tetapi apa yang lebih penting guru mesti menerapkan nilai-nilai yang berbentuk positif dan keagamaan ke dalam diri pelajar. Sebagai guru, sikap keprofesionalisme perlu dimiliki dan sememangnya untuk mempertahankannya merupakan suatu cabaran yang bukan mudah. Untuk meyakinkan

masyarakat, khasnya ibu bapa, imej guru perlulah dijaga dengan baik. Sikap lepas tangan, pilih kasih dan mengambil kesempatan ke atas pelajar mestilah dikikis. Kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti yang pernah terpapar di dada-dada akhbar sebelum ini, misalnya kejadian exploitisme - jenayah rogol, penderaan pelajar - telah sedikit sebanyak mencemarkan profesion perguruan. Perkara ini amat memalukan dan akibatnya masyarakat boleh memandang rendah dan tidak menghormati golongan guru. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, guru perlu menjalankan tugasnya dengan amanah dan tanggungjawab dan menerima pandangan masyarakat terhadap mereka. Mereka perlu sentiasa menjaga nilai keprofesionalisme perguruan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat. Perkara ini disokong seperti titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Majlis Sambutan Hari Guru, 23 September 1993: "Supaya guru-guru itu dihormati dan dipandang tinggi, mereka mestilah memiliki watak yang baik dan hebat. Mereka tidak boleh cacat di mata murid-murid mahupun orang ramai." Kesimpulan Pada zaman ledakan ilmu pengetahuan dan era IT ini, guru terpaksa merempuhi jalan yang penuh cabaran dan liku-liku. Namun, sebarang apa jua bentuk cabaran itu tidaklah perlu dipandang sebagai sesuatu yang membebankan guru. Cabaran itu amat penting kerana tanpa wujudnya cabaran, guru tidak akan maju dan berwawasan. Pendapat ada mengatakan, 'manusia yang sentiasa ditimpa masalah atau cabaran adalah manusia yang berjaya, sedangkan manusia yang kurang menghadapi masalah adalah manusia yang mundur'. Dari itu, untuk menghadapi cabaran, guru perlu memperlengkapkan diri dengan perisai atau pertahanan yang meliputi aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai. http://www.brunet.bn/news/pelita/10nov/sasbuday.htm

Anda mungkin juga menyukai